Monday, 18 December 2023

PERBEZAAN PENGIRAAN TAKWIM ISLAM, KRISTIAN

  • Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen B Shaikh Mohd Salleh
  •  
  • 23/12/2004
    • BERITA HARIAN
        • PERKEMBANGAN takwim banyak berhubung kait dengan faktor keagamaan dan sains. Dalam hal ini, ada dua cara pengiraan takwim, iaitu dengan menggunakan matahari (syamsiah atau solar) dan bulan (qamariah atau lunar).

          Berkenaan penetapan takwim, Allah berfirman yang membawa maksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan- Nya.” (Surah Yunus, ayat 5) 

          Secara umumnya, orang Rom mempopularkan penggunaan takwim solar dan pada peringkat awal, penggunaan takwim dikira bermula daripada masa bandar Rom diasaskan. 

          Tarikh yang digunakan ditanda dengan perkataan Rumawi iaitu ab urbe condita (auc) yang bermaksud “dari tarikh pengasasan bandar”. Andai kata tarikh ini masih dipakai hari ini, kita sekarang berada pada tahun 2757 auc.

          Apabila Julius Caesar menawan Mesir pada tahun 48 sebelum Masihi, beliau memperkenalkan apa yang dipanggil takwim solar Julian (bersempena dengan namanya) pada tahun 709 auc atau tahun 46 sebelum Masihi. 

          Takwim ini dikatakan diperkenalkan setelah Julius Caesar meminta seorang ahli falak bernama Sosigenes untuk membuat perubahan kepada takwim yang sedia ada pada ketika itu.

          Takwim baru ini mempunyai 12 bulan dalam setahun dengan bilangan hari sebanyak 365 hari dengan tambahan sehari bagi setiap empat tahun. 

          Namun begitu, sejarah merekodkan bahawa kesilapan berlaku dalam pengiraan takwim Julian ini apabila tambahan satu hari pada setiap empat tahun tidak dilakukan, sebaliknya tambahan ini dilakukan pada setiap tiga tahun.

          Ini berlaku antara tahun 43 sebelum Masihi sehingga tahun 10 sebelum Masihi. 

          Augustus Caesar yang menggantikan Julius Caesar sebagai pemerintah Empayar Rom mengarahkan supaya pengiraan tahun lompat ini dihentikan dan hanya disambung pada tahun empat selepas Masihi. 

          Augustus Caesar juga membuat beberapa perubahan kepada jumlah hari dalam sebulan. Pada asalnya, dikatakan bulan Februari mempunyai 29 hari dan 30 hari bagi tahun lompat. 

          Februari kehilangan satu hari kerana pada satu ketika, dua daripada bulan dalam takwim Julian dinamakan Julai (sempena Julius Caesar) dan Ogos (sempena Augustus Caesar). 

          Pada asalnya Ogos hanya mempunyai 30 hari, namun Augustus Caesar menganggap dirinya sama hebat jika tidak lebih hebat daripada Julius Caesar, maka beliau telah memerintahkan supaya bulan Ogos ditambah satu hari. Ini menjadikan jumlah hari dalam bulan Ogos sebanyak 31 sama seperti bulan Julai. 

          Kesan pembesaran Empayar Rom menyaksikan penyebaran penggunaan takwim Julian yang kemudian turut diterima pakai gereja Kristian. 

          Pada tahun 527 Masihi, seorang paderi Rom bernama Dionysius Exiguus memperkenalkan sistem pengiraan takwim yang diberi nama Anno Domini atau AD (yang memulakan tarikh 1 AD sempena kelahiran Isa al-Masih). Orang Islam menggelarkan pengiraan ini sebagai al-Masihiah atau Masihi. 

          Menariknya, berlaku kekeliruan dengan tarikh lahirnya Nabi Isa apabila Dionysius Exiguus menyatakan bahawa Nabi Isa lahir pada tahun 754 auc tetapi ramai yang beranggapan bahawa kiraan Exuguus tidak tepat dan mempunyai ralat sebanyak beberapa tahun. 

          Jika ditinjau panjang purata setahun bagi takwim Julian ialah 365.25 hari dengan satu hari ditambah setiap empat tahun, ini jauh berbeza dengan panjang sebenar bagi setahun. 

          Namun demikian, di kalangan ahli astronomi sendiri, panjang sebenar tempoh satu tahun dipertikaikan. 

          Pendapat popular berpegang kepada purata tahun tropika iaitu 365.2422 hari dalam setahun manakala satu lagi pendapat mengatakan bahawa panjang purata setahun ialah 365.2424 hari. 

          Beza nilai ini ialah masing-masing 0.0078 hari (11 minit 13.8 saat) dan 0.0076 hari (10 minit 56.4 saat). 

          Akibatnya setiap 131 tahun, takwim Julian ini akan berganjak menyebabkan ia tidak lagi selari dengan perubahan musim solstis dan ekuinoks yang merujuk kepada kedudukan matahari dengan bumi dan ini menjadi sumber pengiraan yang penting bagi hari-hari kebesaran Kristian. 

          Menjelang abad ke-16, tarikh Hari Easter yang sepatutnya berlaku semasa Ekuinoks Musim Bunga telah memasuki musim panas. 

          Bagi mengatasi masalah ini, Pope Paul III mendapatkan beberapa ahli astronomi seperti Christopher Clavius untuk mencari penyelesaian kepada keadaan gawat itu dan kajian dilakukan sehinggalah Gregory XIII menjadi Pope Gereja Roman Katolik. 

          Beberapa cadangan dikemukakan dan Gregory XIII memilih cadangan Clavius. Pada 24 Februari 1582, beliau memperkenalkan beberapa perubahan kepada pengiraan takwim dan ini dikenali sebagai “Takwim Gregorian”. 

          Perubahan yang diperkenalkan adalah seperti berikut: 

          * Sebanyak 10 hari ditolak daripada takwim yang dipakai pada ketika itu menjadikan hari yang menyusul selepas Khamis, 4 Oktober 1582 sebagai Jumaat 15 Oktober, 1582 (5 Oktober 1582 jika menurut kiraan Julian). 

          * Bagi pengiraan tahun lompat Julian, tahun itu mestilah boleh dibahagi dengan angka 4. Dalam perubahan yang diperkenalkan melalui takwim Gregorian, sesuatu tahun lompat itu hanya dikira jika sama ada boleh dibahagi dengan 400. Oleh itu, setiap tahun yang boleh dibahagi dengan 4 ialah tahun lompat melainkan jika boleh dibahagi dengan 100 dan tidak dengan 400. Ini menjadikan tahun-tahun 1600 dan 2000 sebagai tahun lompat tetapi tidak demikian bagi tahun-tahun 1700, 1800, 1900 dan 2100. 

          * Hari pertama tahun baru ditetapkan pada 1 Januari setiap tahun. 

          * Hari bagi tahun lompat ditetapkan pada 29 Februari. 

          Penggunaan takwim berkenaantersebar serta-merta ke negara Roman Katolik seperti Sepanyol, Itali, Portugal, Poland, Perancis dan Luxembourg dan secara berperingkat digunakan di negara seperti Jerman, Belgium, Switzerland, Belanda dan Hungary. 

          Britain hanya menggunakan takwim ini dalam tahun 1752 dengan perubahan pada tarikh dilakukan pada Khamis 14 September 1752 (tarikh ini ditukarkan daripada 2 September 1752). 

          Koloni British di seluruh dunia, termasuk Tanah Melayu, turut melakukan perubahan itu. Akibat daripada penggunaan takwim Gregorian ini, terdapat dua tarikh bagi satu hari yang sama antara abad ke-16 dan ke-18, bergantung kepada takwim mana yang digunakan. 

          Mengikut konvensyen, tarikh yang menggunakan takwim Julian ditandakan dengan “OS” yakni old style manakala tarikh yang menggunakan takwim Gregorian ditandakan dengan “NS” atau new style. 

          Negara lain di dalam dunia turut menggunakan takwim Gregorian ini secara berperingkat misalnya Jepun (1873), Mesir (1875), Eropah Timur (antara 1912 dan 1919), Russia 1918) dan Turki (1927). 

          Ringkasan AD yang diterima pakai bagi pengiraan takwim Gregorian ialah ringkasan kepada “Anni Domini Nostri Jesu Christi” yang bermaksud “dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ.” 

          Takwim ini mempunyai konotasi kepada agama Kristain, oleh sebab itu mungkin menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan penganut Islam dan Yahudi khususnya, maka ringkasan AD diganti dengan CE iaitu “Christian Era” manakala BC (“Before Christ”) diganti dengan BCE (untuk Before Christian Era). 

          Namun demikian, di kalangan orang Islam di Malaysia dan rantau Melayu umumnya, ringkasan SM (sebelum Masihi) dan TM (tahun Masihi) lebih kerap digunakan. 

          Bagi penganut Kristian, sambutan tahun baru mempunyai konotasi keagamaan kerana tahun baru menandakan ulang tahun kelahiran al-Masih namun, kepada orang lain sambutan itu mempunyai konotasi yang berbeza. 

          Perubahan angka pada tahun hanya berlaku sekali setahun dan semua ini mempunyai kaitan dengan keadaan manusia itu sendiri. 

          Jika dilihat kepada sejarah, 2004 misalnya menyaksikan banyak pertumpahan darah dan tragedi yang berlaku di Iraq, Sudan, Russia, Thailand dan beberapa negara lain. 

          Bermulanya 2005 dilihat sebagai satu tanda harapan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik tetapi yang menjadi persoalan sekarang, adakah wajar sambutan tahun baru disambut oleh orang Islam dengan pesta, hiburan dan hedonisme? Tiada salahnya menyambut ketibaan tahun baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik. 

          Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas syariat Islam yang dilarang dan ditegah. Menurut pandangan Islam, peredaran masa ialah satu proses alam yang ditetapkan Allah bagi dunia ini. 

          Malah di dalam al-Quran banyak ayat yang diturunkan menegaskan pentingnya masa dalam kehidupan manusia. 

          Jika ditinjau secara logik, 1 Januari hanyalah satu hari dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan besar kepada kehidupan manusia melainkan hanya menjadi tanda bermulanya era baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian. 

          Islam mempunyai kiraan takwim sendiri apabila Saidina Umar al-Khattab menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam. 

          Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada kedudukan dan pergerakan matahari. 

          Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari kebesarannya banyak membabitkan kedudukan matahari dan pergerakan musim seperti Hari Easter dan seumpamanya. 

          Golongan muda nampaknya begitu ghairah dengan sambutan tahun baru tetapi sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak agama Islam. 

          Sambutan tahun baru perlu dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik malangnya apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak. 

          Satu perkara yang mungkin wajar direnungkan ialah mengapa orang Islam begitu beria meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharam? 

          Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah satu cuti umum dalam kalendar tahunan kita semata-mata?

          Copy and paste:

          18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 3.15 pm

No comments: