Showing posts with label PEJABAT MUFTI. Show all posts
Showing posts with label PEJABAT MUFTI. Show all posts

Sunday, 19 October 2025

IRSYAD HUKUM SIRI KE631: HUKUM MENGGANTUNG GAMBAR FOTOGRAFI DI DINDING.

SUMBER: PEJABAT MUFTI WP

Oleh: Khairul Anuar bin Abdul Khalid
24 Oktober 2021

SOALAN

Assalamualaikum mufti. Saya nak buat pertanyaan. Apakah hukum mengambil gambar fotografi manusia dan menggantungnya dengan tujuan perhiasan atau kenang-kenangan? Harap dibalas pertanyaan kerana saya tak jumpa jawapan di website mufti wp. 

RINGKASAN JAWAPAN

Menangkap gambar fotografi dengan menggunakan alat seperti kamera ini bukan seperti perbuatan melukis dan perbuatan ini dianggap sebagai menangkap bayang maka perbuatan ini diharuskan. Hukum ini berkekalan selama mana gambar yang diambil adalah bertujuan sebagai perhiasan di rumah untuk kenang-kenangan. Sementara itu, sekiranya menggantung gambar tersebut bertujuan untuk penyembahan dan mengagungkan maka perbuatan tersebut diharamkan. Justeru itu, perbuatan menggantung gambar fotografi di dinding rumah atau disusun sebagai perhiasan di rumah mahupun pejabat adalah suatu perbuatan yang dibenarkan dalam agama.

 HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hukum menggantungkan gambar fotografi ini berkait rapat dengan hukum melakar atau melukis makhluk hidup. Para ulama berbeza pandangan antara mengharamkan atau mengharuskannya.

Terdapat sebahagian ulama yang mengharamkannya. Hal ini berdasarkan kepada gambar yang terdapat pada zaman Nabi SAW yang dilarang mempunyai tiga ciri iaitu gambar sesuatu yang mempunyai roh seperti manusia dan haiwan, berniat untuk mengagungkannya dan menyerupai atau meniru perbuatan mencipta (sesuatu) oleh Allah SWT.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/670)

Namun menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani yang menyatakan pendapat yang tepat ialah sekiranya lakaran atau lukisan tersebut tidak mempunyai bentuk tubuh atau jisim yang sempurna bahkan dengan ketidaksempurnaan itu maka ia tidak dapat hidup seperti tidak mempunyai kepala atau seumpamanya serta bukan untuk dimuliakan maka ia dibenarkan.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/674)

Hal ini juga berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA katanya:

اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْخُلْ فَقَالَ كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ

Maksudnya: Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi SAW menyebut: masuklah. Kata Jibril: bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak.

Riwayat al-Nasaie (5270)

Hikmah pengharaman pada lakaran yang berjisim dan mempunyai bayang adalah bertujuan menghalang menyerupai dengan penyembahan berhala dan patung, memerangi perbuatan syirik dan menjamin keagungan Allah SWT yang Maha Esa.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/670)

Selain itu, Saidatina A’ishah RA ada meriwayatkan hadis berkenaan larangan melukis gambar:

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ

MaksudnyaSesungguhnya seberat-berat azab siksaan pada manusia di hari Qiamat adalah mereka yang melukis gambar.

Riwayat Muslim (2109)

Namun begitu, Imam Nawawi menyebut di dalam syarahnya berkenaan azab yang berat itu bahawa:

أشد عَذَابًا فَقِيلَ هِيَ مَحْمُولَةٌ عَلَى مَنْ فَعَلَ الصُّورَةَ لِتُعْبَدَ وَهُوَ صَانِعُ الْأَصْنَامِ وَنَحْوِهَا فَهَذَا كَافِرٌ وَهُوَ أَشَدُّ عَذَابًا وَقِيلَ هِيَ فِيمَنْ قَصَدَ الْمَعْنَى الَّذِي فِي الْحَدِيثِ مِنْ مُضَاهَاةِ خَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَاعْتَقَدَ ذَلِكَ

Maksudnya: Azab yang berat seperti mana yang disebut iaitu membawa maksud ke atas mereka yang melakukan lakaran atau melukis gambar dengan tujuan beribadah iaitu membuat berhala dan selainnya, maka mereka ini adalah kafir dan akan diberi azab yang berat, dan dikatakan iaitu mereka yang melakukannya dengan tujuan (niat) yang dimaksudkan dalam hadis mereka yang melakukan (mengukir) sesuatu yang menyerupai (bersaing) Allah SWT dalam penciptaan makhluk dan mereka berniat yang sedemikian (mengagungkan ukiran mereka).

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/91)

Jelas disini bahawa melukis atau mengukir gambar makhluk hidup dengan tujuan penyembahan atau mengagungkannya adalah diharamkan kerana dikhuatiri menjadi bahan mensyirikkan Allah SWT seperti yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Imam Ibn al-‘Arabi menyebut di dalam tafsirnya:

مَا كَانَتْ الْعَرَبُ عَلَيْهِ مِنْ عِبَادَةِ الْأَوْثَانِ وَالْأَصْنَامِ، فَكَانُوا يُصَوِّرُونَ وَيَعْبُدُونَ، فَقَطَعَ اللَّهُ الذَّرِيعَةَ وَحَمَى الْبَابَ... نُهِيَ عَنْ الصُّورَةِ، وَذَكَرَ عِلَّةَ التَّشْبِيهِ بِخَلْقِ اللَّهِ، وَفِيهَا زِيَادَةُ عِلَّةِ عِبَادَتِهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ،

Maksudnya: Apa yang dilakukan oleh golongan Arab Jahiliyyah apabila menyembah patung dan berhala, lalu mereka mengukir dan menyembahnya, maka Allah SWT menutup atau memelihara pintu kerosakan (dengan mengharamkan lukisan)...larangan melakar, dan dinyatakan bahawa sebab pengharamannya adalah menyerupai sifat penciptaan Allah SWT, dan terdapat penambahan sebab pengharaman menyembah selain daripada Allah SWT pada perbuatan itu.

(Rujuk: Ahkam al-Quran li Ibn al-‘Arabi, 4/9)

Kamera Dan Hukum Mengenainya

Mengambil gambar dengan menggunakan kamera ialah suatu proses menangkap bayang dengan cara yang khusus dan tertentu.

(Rujuk: Al-Jawab al-Syafiy Fi Ibahati al-Taswir al-Fotografi, 35)

Menurut Syeikh Ali al-Sayis hukum sesuatu yang dipanggil sebagai penggambaran matahari atau fotografi tidak sama seperti lukisan gambar, tetapi ia bagaikan penangkapan bayang yang mana ia seperti hasil objek yang terpapar melalui cermin.

(Rujuk: Tafsir Ayat Ahkam, 4/58)

Hal ini kerana gambar fotografi terhasil daripada proses tangkap bayang dengan cara yang tertentu dengan menggunakan alat iaitu kamera. Oleh disebabkan itu, terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan perbuatan bergambar fotografi dan tiada larangan daripada menggantungkan gambar tersebut di rumah dan selain daripadanya. Perbuatan ini dibenarkan sekiranya gambar tersebut tidak menyebabkan berlaku fitnah seperti gambar perempuan yang memperlihatkan bahagian anggota badan selain daripada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/676)

Selain itu, pengharaman berkaitan lukisan atau gambar makhluk bernyawa itu disebabkan illahnya (sebab pengharamannya) mensyirikkan Allah SWT dan memuliakan makhluk tersebut. Perbuatan ini bertentangan dengan syariat Islam seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina A’ishah RA berkenaan dengan mereka yang melukis gambar-gambar golongan soleh dan pembesar mereka yang sudah mati di dalam gereja di Habsyah. Namun begitu, Imam Sana’ni menjelaskan di dalam kitabnya:

وَالظَّاهِرُ أَنَّ الْعِلَّةَ سَدُّ الذَّرِيعَةِ وَالْبَعْدُ عَنْ التَّشْبِيهِ بِعَبَدَةِ الْأَوْثَانِ الَّذِينَ يُعَظِّمُونَ الْجَمَادَاتِ الَّتِي لَا تَسْمَعُ وَلَا تَنْفَعُ وَلَا تَضُرُّ

Maksudnya: Dan jelas, sesungguhnya illahnya (tujuan pengharamannya) adalah bertujuan menutup pintu kerosakan dan menjauhi daripada menyerupai perbuatan penyembah berhala yang memuliakan benda-benda yang tidak hidup yang mana tidak boleh mendengar, memberi manfaat dan mudarat.

(Rujuk: Subul al-Salam, 1/229)

Oleh itu, mengambil dan menggantung gambar di dinding bukan kerana tujuan yang diharamkan seperti yang dinyatakan maka perbuatan tersebut dibenarkan. Tambahan pula, sesuatu hukum ditetapkan bergantung kepada kewujudan sebab ia ditetapkan, sepertimana hukum haram disabitkan dengan wujud sebab pengharamannya pada sesuatu perbuatan. Jika tiada sebab pengharamannya maka hukumnya tidak jatuh haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الحكم يدور مع علته ثبوتاً وعدماً

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.

(Rujuk: Risalah Latifah Jami’ah fi Usul al-Fiqh al-Muhimmah, 1/105)

Berdasarkan perbahasan di atas dapat difahami bahawa perbuatan mengambil dan menggantung gambar diharuskan sekiranya perbuatan tersebut bebas daripada tujuan penyembahan dan mengagungkan makhluk. Hal ini kerana perbuatan tersebut mempunyai unsur syirik kepada Allah SWT. Terdapat fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta al-Masriyah juga bersamaan dengan pendapat yang disimpulkan ini. Rujukan mengenai fatwa tersebut boleh didapati di pautan berikut:

https://www.dar-alifta.org/AR/ViewVideo.aspx?CatID=17&ID=1075

KESIMPULAN

Menangkap gambar fotografi dengan menggunakan alat seperti kamera ini bukan seperti perbuatan melukis, dan perbuatan ini dianggapkan sebagai menangkap bayang maka perbuatan ini diharuskan. Hukum ini berkekalan selama mana gambar yang diambil adalah tujuan perhiasan dirumah sebagai tanda kenang-kenangan. Sekiranya menggantung gambar tersebut bertujuan untuk penyembahan dan mengagungkan makhluk maka perbuatan tersebut diharamkan. Justeru itu, perbuatan menggantung gambar fotografi di dinding rumah atau di susun sebagai perhiasan di rumah mahupun pejabat adalah suatu perbuatan yang dibenarkan di dalam agama.

Copy and paste: 19/10/2025: 2.45 p.m


 





Tuesday, 15 July 2025

IRSYAD HUKUM #227- HUKUM MEMUAT NAIK GAMBAR TIDAK MENUTUP AURAT DI MEDIA SOSIAL

SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Soalan:

Assalamualaikum. Apakah hukum memuat naik gambar yang mendedahkan aurat di media sosial, iaitu gambar wanita Muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau gambar wanita non-Muslim? Mohon penjelasan SS Mufti.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Arahan Menutup Aurat

Allah SWT berfirman dalam Al-Qur’an al-Karim:

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۖ

Maksudnya: Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (yakin Adam dan isterinya) (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga.

(Surah al-A’raf: 22)

Ayat ini menunjukkan bahawa menutup aurat itu merupakan satu fitrah insani yang telah sedia ada dalam diri setiap manusia. Kerana itulah Nabi Adam dan isteri Baginda menutup aurat masing-masing apabila terbuka, meskipun masih belum ada sebarang syari’at yang diturunkan pada waktu tersebut.

Allah SWT juga berfirman dalam kitab-Nya:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.

(Surah Al-A’raf: 26)

Arahan Menundukkan Pandangan dan Larangan Melihat Aurat

Pada masa yang sama, Allah SWT juga memerintahkan kita agar sentiasa memelihara dan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang haram. Firman Allah SWT:


قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

(Surah An-Nur: 30-31)

Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda kepada Saidina Ali r.a:

يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Maksudnya: Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.

(Sunan Abi Dawud: 2149)

Menurut Imam Nawawi pula, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ ulama. (Imam Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/30)

Hukum Memuat Naik Gambar Tidak Menutup Aurat di Media Sosial

Dalam fiqh Islam, terdapat satu bab yang dinamakan ( نَظَرُ الرَّجُل إِلَى الْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيقِ الْمَاءِ وَالْمِرْآةِ ) iaitu hukum seseorang lelaki melihat wanita melalui pantulan dalam atau cermin.

Dalam bab ini, Imam Ar-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan (mithal). Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Nihayatul Muhtaj, 6/187. Juga disebut oleh Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anatu at-Thalibin, 3/301. Rujuk juga Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, 40/353-354 )

Dalam hal ini, gambar samada yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran suatu objek yang terpantul pada cermin atau air. Maka hukum melihat kepada gambar yang tidak menutup aurat adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat. Maka memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial atau dalam bentuk cetakan adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah.

Ini turut disokong oleh qa’idah fiqhiyyah iaitu:

إِذا ضَاقَ الْأَمر اتَّسَع

Maksudnya: Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.

الْحَاجة تنزل منزلَة الضَّرُورَة

Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.

Dalam hal ini, mengharamkan memuat naik gambar yang tidak menutup aurat serta melihatnya secara mutlak akan menyebabkan kesusahan dan kesempitan apabila ada keperluan seperti wartawan yang ingin melaporkan lawatan pemimpin wanita non-Muslim ke Malaysia, laporan program keilmuan yang melibatkan wanita tidak bertudung dan sebagainya.

Dalam hal-hal tertentu, terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti yang disebutkan di atas, maka keperluan tersebut perlu diraikan sekadar yang diperlukan.

Kesimpulan

Maka kami berpandangan, hukum asal memuat naik gambar sendiri yang mendedahkan aurat untuk tatapan umum di media sosial adalah HARAM kerana ia akan menyebabkan auratnya turut dilihat oleh bukan mahramnya. Walaubagaimana pun hukum seseorang memuat naik gambar wanita Muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau wanita non-Muslim adalah HARUS jika atas keperluan tertentu yang bukan bertujuan ingin mendedahkan auratnya. Termasuk dalam keharusan ini bagi para wartawan akhbar yang melaporkan berita namun termasuk di dalamnya gambar-gambar yang tidak menutup aurat.

Contoh keperluan yang perlu diraikan ialah memuat naik gambar-gambar rasmi melibatkan urusan kerajaan, syarikat perniagaan atau gambar kenang-kenangan sewaktu program keilmuan. Disyaratkan juga gambar itu masih lagi bersifat sopan dan menepati neraca ketatasusilaan, tidak terlalu mendedahkan dan menghairahkan. Malah adalah lebih baik jika bahagian- bahagian tersebut dikaburkan bagi mengelakkan ia dilihat.

Selain itu, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah az-zhan gambar yang dimuatnaik tersebut mampu menimbulkan fitnah, maka ia diharamkan berdasarkan kaedah Sadd Zari’ah, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram. Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Ini juga berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar r.a:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Wallahu a’lam.

Copy and paste: 15 Julai 2025: 9.20 a.m

AL-KAFI #1056: MUATNAIK GAMBAR DAHULU TIDAK MENUTUP AURAT UNTUK #10YEARSCHALLENGE

SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Soalan: Apakah hukum memuatnaik gambar tidak menutup aurat (gambar dahulu) dalam cabaran #10yearschallenge?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Memandangkan ini isu yang baharu, maka kami melihat gambar yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada pantulan objek pada cermin atau air yang dibincangkan oleh para ulama’.

Dalam bab ini, Imam al-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan. Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/187) Hal ini juga disebutkan oleh Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anah at-Thalibin, 3/301.

Memuatnaik Gambar Tidak Menutup Aurat Sempena #10YearsChallenge

Kami melihat, isu yang penting untuk diperhatikan adalah samada gambar dahulu tersebut adalah ketika mumayyiz ataupun belum mumayyiz. Sekiranya belum mumayyizkami cenderung untuk menyatakan hukumnya adalah harus selagimana tidak membawa fitnah. Manakala bagi yang sudah mumayyizhukumnya adalah haram. Ini kerana memuatnaik gambar yang tidak menutup aurat sempena fenomena cabaran #10yearschallenge yang tular kini, bukanlah satu keperluan yang penting dan hanya sekadar suka-suka sahaja.

Ianya tidak termasuk dalam pengecualian dan kelonggaran yang telah kami bahaskan pada 21 Mei 2018 iaitu IRSYAD AL-FATWA #227- HUKUM MEMUAT NAIK GAMBAR TIDAK MENUTUP AURAT DI MEDIA SOSIAL. Selain itu, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Potensi untuk gambar dahulu yang tidak menutup aurat (walaupun sekarang menutup aurat) untuk menjadi fitnah adalah amat tinggi. Maka, di sinilah asas pengharamannya berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.

Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Ini juga berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar r.a:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Pun begitu, sebarang bentuk gambar yang boleh dimanipulasi untuk tujuan yang tidak baik, hendaklah dipertimbangkan sebaik-baiknya sebelum dimuatnaik. Apatah lagi dalam suasana zaman sekarang yang terdedah kepada bahaya, termasuk isu-isu melibatkan child predator dan pedofil.

Untuk persoalan berkaitan, lihat juga AL-KAFI LI AL-FATAWI KE-458: MEMUATNAIK GAMBAR BAYI DI FACEBOOK dan IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-5: HADITH BERKENAAN PENYAKIT AIN

Wallahu a’lam.

Copy and paste: 15 Julai 2025: 9.12 a.m



Friday, 27 June 2025

IRSYAD HUKUM KE-114: RAHSIA ANGKA ‘7’

SUMBER: MUFTI WP

Soalan:
Apakah terdapat hikmah dan rahsia pada angka 7 kerana terdapat banyak nas dari Al-Quran dan al-Hadith yang menunjukkan kepadanya seperti penciptaan 7 petala langit, tawaf sebanyak 7 kali begitu juga dengan sa’ie, tentang 7 anggota sujud seperti di dalam hadith, tentang memakan 7 biji kurma ‘Ajwah bagi mengelak racun dan sihir. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Tidak dinafikan bahawa kesemua yang telah dinyatakan pada bahagian soalan terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi ﷺ yang sahih.

Firman Allah ﷻ:

وَرَبُّكَ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُ وَيَخۡتَارُۗ مَا كَانَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُۚ سُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ 

Maksudnya: Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya.

(Al-Qasas: 68)

Al-Imam Ibn Kathir (wafat 774H) Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa Allah ﷻ mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Diri-Nya itu satu-satunya dalam penciptaan dan juga membuat pemilihan. Tiada yang setandingnya dan tiada juga yang mampu untuk memperkatakan (yang buruk) tentangnya. [Lihat Tafsir Al-Quran al-‘Azim. Dar al-Taybah, 6/251]

Jelas melalui ayat di atas menunjukkan bahawa Allah ﷻ berkuasa ke atas sesuatu. Dia menciptakan sesuatu lalu memilihnya dengan kekuasaan dan hikmah-Nya. Tidak ada yang mampu mempersoalkannya.

Adapun mengenai angka tujuh (7) yang sering terdapat di dalam Al-Quran dan hadith Nabi ﷺ, maka tidak ada sesiapapun yang mengetahui rahsia dan juga hikmahnya.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah (wafat 751H) di dalam kitabnya, Zaad al-Ma’ad menyebut mengenai pengkhususan bilangan tujuh, ianya berlaku pada ketetapan (kadar) dan juga secara syar’ie. Maka Allah ﷻ menciptakan tujuh petala langit, tujuh petala bumi, hari yang tujuh, penciptaan manusia padanya tujuh fasa, pensyariatan tujuh pusingan tawaf dan tujuh kali ulang-alik bagi sa’ie, melontar jamrah dengan tujuh biji batu, dan takbir pertama bagi solat sunat hari raya sebanyak tujuh kali. Seterusnya, Ibn Qayyim menyebut diakhirnya: “Maka tidak diragui bahawa sesungguhnya bilangan ini (iaitu tujuh) mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang tidak ada pada yang lainnya”. Kemudian tambah beliau lagi: “ Dan Allah  Maha Mengetahui hikmahnya (pada pensyari’atan) dan ketetapannya pada mengkhususkan bilangan ini (iaitu tujuh)…”. [Lihat Zaad al-Ma’aad. Muassasah al-Risalah, 4/90-91]

Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) juga di dalam kitabnya, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menyebutkan bahawa angka tujuh ini dari perkara-perkara yang telah Allah ﷻ ajarkan yang mana kita tidak mengetahui akan hikmahnya. Namun, ianya perlu diiktikad dan diimani dengan segala kelebihan dan hikmahnya sepertimana bilangan solat, bilangan nisab zakat dan selainnya. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 14/3] 

Kesimpulan

Melihat kepada pertanyaan ini, kami merasakan ianya termasuk di dalam perkara-perkara tawaqquf dan ta’abbudi yang mana memerlukan kepada dalil-dalil yang sahih untuk mensabitkannya. Ianya juga termasuk di dalam perkara yang ghayr ma’qul li al-ma’na (perkara yang tidak dapat dicapai oleh akal) sepertimana jika kita mempersoalkan mengapa perlu 7 kali tawaf, 7 kali ulang-alik bagi sa’ie dan sebagainya. Ianya tidak dapat difikirkan oleh manusia kerana Allah ﷻ yang telah menetapkannya.

Makanya, kami juga menyerahkan urusan ini kepada Allah ﷻ dan memberikan jawapan sepertimana al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah: “Allah lebih Maha Mengetahui akan hikmahnya, penetapannya dan pensyariatannya”.

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

24 Mei 2016 bersamaan 17 Sya’ban 1437H

Copy and paste: 27 Jun 2025: 12.49 a.m /1 Muharram 1447H. 

Tuesday, 9 January 2024

Hukum Makanan Yang Disangka Halal Dan Syak Pada Halalnya

Oleh: Prof. Dato Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin
Jabatan Mufti Negeri Perlis : 4 Januari 2021

1. Perbuatan menipu dalam perniagaan adalah haram tanpa syak. Jika menipu barang yang buruk dengan gambaran yang baik adalah haram dan Nabi s.a.w tidak mengaku pengikut baginda, apatahlagi menipu bahan yang haram dengan gambaran ia bahan yang halal. Pasti dosanya lebih besar.
 
2. Mana-mana pihak yang bersekongkol dengan penipuan daging yang haram ini, maka dia terlibat dalam dosa tersebut. Lebih ramai yang tertipu, lebih besar dosa yang ditanggung.
 
3. Pihak yang ditipu, sehingga menyangka bahan yang haram itu halal, tidak menanggung apa-apa dosa dan kesalahan di sisi agama. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh ALLAH dalam al-Quran:
وَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ فِيمَآ أَخۡطَأۡتُم بِهِۦ وَلَٰكِن مَّا تَعَمَّدَتۡ قُلُوبُكُمۡۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورا رَّحِيمًا
 
(maksudnya) “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh jantung hati kamu. Dan (ingatlah) Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
 
Nabi s.a.w dalam hadis :
إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
 
“Sesungguhnya Allah memaafkan umatku atas kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya” (Riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban dll. Ia disahihkan oleh al-Albani dan lain-lain).
 
Dalam al-Quran, ALLAH mengajar akan kita berdoa kepadaNYA supaya tidak diamabil tindakan ke atas apa yang kita lupa atau silap. Firman Allah :
 
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ
(maksudnya) "Wahai Tuhan kami! Jangan ENGKAU mengambil tindakan ke atas kami jika kami lupa ataupun kami tersilap"[Surah Al-Baqarah 286]
 
Daging Dari Orang Muslim
 
4. Berhubung dengan daging yang dihidangkan atau diberikan oleh seorang muslim tetapi diragui statusnya, hal ini telah dijelaskan dalam hadis sahih, di mana Nabi s.a.w telah ditanya tentang hal ini:
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا - أَفَنَأْكُلُ مِنْهَا؟- قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا
 
Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya di sini (Madinah) terdapat kaum-kaum yang baru sahaja (meninggalkan) kesyirikan (baru menganut Islam) yang membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak ke atasnya (semasa sembelihan). Apakah boleh kami memakannya? Sabda Nabi s.a.w.: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah” (Riwayat al-Bukhari, al-Nasai, Abu Daud dan lain-lain)
 
Ertinya, Nabi s.a.w mengizinkan daging itu dimakan dan disunatkan kita membaca bismillah semasa makan. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad dalam Syarh Kitab al-Sunnah min Sunan Abi Daud: “Hadis ini menunjukkan bahawa tidak wajib bertanya atau seseorang tidak perlu bertanya apakah disebut nama ALLAH atau tidak? Jika dibuka pintu ini, maka akan ditanya pula: “Apakah penyembelih itu memenuhi syarat atau tidak? Apakah dia menggunakan alat sembelihan yang sah atau tidak? Maka akan muncul soalan-soalan yang tidak perlu sedangkan asalnya ia selamat (iaitu daging dari orang muslim). Maka tidak perlu untuk memayah-mayahkan dan bertanya soalan-soalan yang tiada keperluan. Justeru itu Nabi s.a.w menjawab dengan jawapan yang jelas dalam hal ini, iaitu mereka boleh makan dan membaca bismillah semasa makan”.
 
5. Maka, berdasarkan hadis di atas, seseorang muslim tidak berdosa apabila dia memakan sembelihan yang pada zahirnya halal, sekalipun dia tidak pasti atau syak status halalnya yang sebenar. Ini seperti kita memakan hidangan daging yang dihidangkan atau dijual oleh seorang muslim sekalipun kita tidak tahu secara pasti atau syak status sebenar daging yang dihidangkan. Memadai keislaman pihak yang memberikan daging itu untuk kita menganggapnya halal. Ertinya, jika zahir dia seorang muslim, dan daging tersebut dari haiwan yang halal dimakan, maka memadai dan tidak dituntut oleh kita bertanya dengan lebih detil, melainkan terdapat bukti yang nyata dan yakin bahawa daging tersebut tidak halal.
 
Makan Di Kedai atau Rumah Muslim
 
6. Atas alasan ini, kita boleh makan di kedai atau rumah orang muslim sekalipun tiada logo halal rasmi dari mana-mana pihak. Ini seperti kebanyakan kedai makan muslim terutama di kampong atau di luar negara atau hidangan di rumah seseorang muslim sekalipun tiada logo halal rasmi. Jika dia menipu, dosa ditanggung oleh pihak yang menipu. Melainkan, kita yakin benar makanan tersebut adalah haram atas bukti yang kita ada, maka ketika itu haram kita makan.
 
Logo Halal
 
7. Berasaskan hadis tadi juga, maka makanan yang diberikan jaminan halal oleh mana-mana pihak yang dipercayai, khususnya badan-badan umat Islam di mana sahaja -tidak disyaratkan JAKIM- maka hukumnya halal atas kaedah umum tadi. Logo-logo halal yang dikendalikan oleh umat Islam di mana sahaja mereka berada, sah untuk kita pegang sebagai tanda halal.
 
Fatwa Ulama Tentang Sembelihan Yahudi dan Kristian
 
8. Untuk maklumat kita, ramai ulama komtemporari yang berfatwa bahawa daging-daging yang datang dari negara yang majoriti penganutnya beragama Kristian atau Yahudi, boleh dimakan melainkan kita jika daging tersebut daripada haiwan yang haram seperti khinzir. Ini atas dalil Surah al-Maidah ayat 5 yang membenarkan sembelihan Ahlul Kitab. Ahlul Kitab dalam takrifan mereka luas merangkumi semua Yahudi dan Kristian pada zaman bila pun dan di mana pun. Antara tokoh fekah tersohor yang berfatwa dengan perkara ini ialah al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram (m.s 72. Kaherah: Maktab Wahbah), al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa al-Zarqa (m.s 214. Damsyik: Dar al-Qalam). Kedua tokoh ini dan beberapa yang lain dengan lebih luas dengan berfatwa selagi mana sembelihan tersebut dianggap halal di sisi penganut Yahudi atau Kristian maka mereka memfatwakan ia adalah halal.
 
9. Tokoh fekah terbilang zaman ini al-Syeikh Dr Muhammad Fathi al-Duraini pula menyebut Lajnah Fatwa al-Azhar berfatwa atas pendapat majoriti ulama (jumhur) bahawa daging-daging yang diimport daripada negara Ahlul Kitab (Kristian dan Yahudi) halal dimakan dengan syarat kita TIDAK tahu ia disembelih atas nama selain ALLAH, kita TIDAK tahu ia disembelih cara sembelihan yang salah menurut syariat Islam dan kita TIDAK tahu ia daging binatang yang diharamkan. Al-Duraini menyokong fatwa ini dengan syarat-syarat tadi. (lihat: al-Duraini, Buhuth Maqaranah fi al-Fiqh al-Islami wa Usulihi, 2/341. Beirut: Muassasah al-Risalah). Ertinya, fatwa ini mensyaratkan kita tidak mempunyai maklumat bahawa haiwan import dari negara Yahudi dan Kristian tersebut disembelih dengan cara yang salah di sisi syariat Islam seperti dipukul, dicekik dan seumpamanya, atau untuk berhala atau binatang yang haram dimakan. Jika kita tahu hal itu, maka haram dimakan.
 
10. Al-Syeikh ‘Atiyah Saqar r.h, mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar menyebut pandangan yang sama: “Daging-daging yang disimpan dan diimport jika kita ketahui daripada maklumat yang dipercayai bahawa ia disembelih dengan bukan cara islamik, maka tidak harus dimakan sama sekali. Adapun jika kita ketahui ia disembelih dengan cara islamik, maka harus memakannya tanpa sebarang masalah. Jika kita tidak tahu cara ia disembelih tapi terdapat tanda-tanda yang menyokong ia disembelih secara islamik maka harus memakannya. Antara tanda-tanda tersebut; ditulis atasnya ‘disembelih dengan cara islamik’, atau daging-daging itu diimport dari negara-negara yang beragama Yahudi atau Kristian. Ini berdasarkan nas yang menghalalkan sembelihan mereka dalam firman ALLAH: (maksudnya) “Dan makanan mereka yang diberikan kitab halal bagi kamu dan makanan kamu halal bagi mereka” (Surah al-Maidah ayat 5). (rujukan: ‘Atiyah Saqar, Mausu’ah Ahsan al-Kalam fi al-Fatwa wa al-Ahkam, 306/6. Kaherah: Maktabah Wahbah).
 
Produk Sendiri
 
11. Jalan yang terbaik untuk kita Umat Islam ialah menghasilkan makanan kita sendiri dari ternakan hingga proses sembelihan. Ia menghilangkan syak. Dengan hal itu, banyak persoalan dapat diatasi. Samada di sudut ekonomi ataupun proses penyembelihan.
 
12. Adapun daging atau makan yang dibawa kepada kita, jika datang dari individu atau masyarakat Islam seperti komuniti muslim India, atau negara-negara Umat Islam maka kita anggap ia sebagai halal. Majoriti ulama di zaman ini pula berfatwa daging import daripada negara yang berpegang dengan ajaran Yahudi dan Kristian boleh dimakan melainkan jika terdapat bukti ia daging yang binatang haram atau cara sembelihannya menyanggahi cara islamik seperti mati dicekik atau dipukul atau lemas atau dihempap atau disembelih untuk berhala.
 
Pilihan Terbaik
13. Apapun, jika daging atau makanan itu mempunyai logo halal, atau daripada masyarakat muslim yang kita percaya pasti itu adalah pilihan yang terbaik selagi kita mampu membuat pilihan. Jika tidak, fatwa ulama luas dalam hal ini. Dalam negara kita, kita mungkin masih mampu membuat pilihan, maka pilihlah yang terbaik. Itulah yang lebih afdal. Ini tidaklah bermaksud kita mengharamkan apa yang difatwakan halal oleh para ulama.
 
Copy and paste:
9/1/2024 : 28 Jamadilakhir 1445H: 9.18 pm

AL-KAFI #564: HUKUM MEMAKAN MAKANAN YANG DIMASAK OLEH NON-MUSLIM (BUKAN AHLI KITAB)

SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL
8 Mac 2017 bersamaan 9 Jamadil Akhir 1438H

Soalan:

Assalamualaikum Tuan, apakah hukum memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam walaupun ia berasal daripada sumber yang halal?

Jawapan:

Tiada menjadi kesalahan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim dari susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.

Telah berkata Qatadah Rahimahullah:

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihan.

Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10155)

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar  selain dari sembelihan mereka.[1]

Kesimpulan

Dibolehkan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya dari hasil sembelihan mereka.

Maka, tidak ada masalah buat seseorang muslim itu sekiranya diajak untuk bertandang ke rumah rakannya yang bukan non-muslim lalu dihidangkan makanan untuk dimakan selagi mana ianya halalan toyyiba.

Walaupun begitu, ini tidaklah menafikan keafdhalan bersikap warak dalam mengambil suatu makan. Adalah afdhal makanan kita itu diperolehi daripada orang yang bertaqwa dan disediakan juga dengan taqwa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda memberi peringatan kepada umatnya:

لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ

Maksudnya: Janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan  jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertaqwa.

Riwayat Abu Daud (4832)

Wallahu `alam.

[1] Lihat Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Misriyyah, (6/77)

Copy and paste:
9 Januari 2024 >28 Jamadilakhir 1445H: 8.41 pm

Sunday, 24 December 2023

BAYAN LINNAS SIRI KE-286: ADAKAH ASHAB AL-KAHFI BERAGAMA KRISTIAN?

SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL
22 Disember 2023

Pengenalan:

Baru-baru ini tular satu klip video berkenaan ucapan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 yang menyentuh berkenaan agama Ashab al-Kahfi (para pemuda Kahfi) dalam ucapan beliau di perhimpunan bulanan. 
Oleh itu, dalam Bayan Linnas kali ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) akan menjelaskan berkenaan adakah Ashab al-Kahfi itu beragama Kristian.

Apakah Agama Ashab al-Kahfi

Para ulama berbeza pandangan mengenai agama Ashab al-Kahfi yang disebut dalam al-Quran Pandangan pertama mengatakan bahawa mereka adalah beragama Yahudi kerana orang Yahudi di zaman Nabi SAW bertanya kepada Baginda mengenai Ashab al-Kahfi, tidak mungkin Yahudi bertanya kepada Nabi SAW jika Ashab al-Kahfi itu beragama Kristian. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir:

وقد ذُكر أنهم كانوا على دين عيسى ابن مريم عليه السلام، والله أعلم. والظاهر أنهم كانوا قبل ملة النصرانية بالكلية، فإنه لو كانوا على دين النصرانية، لما اعتنى أحبار اليهود بحفظ خبرهم وأمرهم، لمباينتهم لهم

Maksudnya: “Telah disebutkan bahawa mereka mengikuti agama Nabi Isa yang merupakan anak kepada Maryam. Namun secara zahirnya mereka sebelum agama Nasrani, kerana jika mereka mengikuti agama Nasrani, para pendeta Yahudi tidak akan memberi perhatian untuk memelihara kisah mereka, kerana permusuhan mereka dengan Nasrani.”

Manakala menurut Syeikh Tahir Ibn Asyur berkemungkinan agama Yahudi dan Nasrani mengetahui tentang satu kaum yang dikenali dengan Ashab al-Kahfi dan mereka saling mendakwa bahawa kaum itu adalah dari kalangan orang soleh agama mereka. Walau bagaimanapun menurut kebanyakan ulama Ashab al-Kahfi adalah beragama Nasrani. Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan perkataan mujahid dengan katanya:

وكانت شريعتهم شريعة عيسى في قول جماعة من سلف علمائنا

Maksudnya: “Syariat mereka iaitu Ashab al-Kahfi adalah mengikut syariat Nabi Isa AS menurut sebilangan ulama salaf.”

Asal Usul Perkataan Kristian/Christian

Perkataan Kristian atau christian berasal dari bahasa Greek iaitu daripada perkataan ‘christos’ atau ‘kristus’ yang bermaksud ‘the anointed one’ merujuk kepada maksud ‘yang diurapi’. Perkataan kristus pula, ialah merujuk kepada Jesus oleh penganut agama Kristian. Rentetan daripada itu, wujudnya perkataan atau istilah christ yang sama maksud dengan perkataan al-masih dalam bahasa hebrew yang mana ia merujuk kepada maksud Rasul yang dipilih. Oleh yang demikian, istilah christian ini ialah merujuk kepada golongan atau penganut yang mengikut ajaran Jesus.

Selain itu, agama Kristian juga dikenali dengan agama Nasara merupakan agama samawi yang mana ia dibawa oleh Nabi Isa AS kepada Bani Israil supaya mengikut syariat serta mentauhidkan Allah SWT. Namun, setelah Baginda Isa AS diangkat ke langit agama Kristian telah diubah dan diseleweng daripada ajaran asalnya . St. Paul antara individu yang terlibat dengan penyelewengan agama ini dan penggunaan istilah Christian dilakukan oleh pengikutnya setelah ketiadaan Nabi Isa AS selama berpuluh tahun.

Dalam kajian yang dibuat oleh Abdul Halim Syihab dan M. Afif Afnan istilah “agama Kristian” muncul selepas Nabi Isa AS diangkat ke langit kerana baginda tidak bertutur dalam bahasa Greek. 

Walau bagaimanapun penggunaan al-Masih yang memiliki makna yang sama dengan Kristian (christian) telah digunakan dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

مَّا ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ وَأُمُّهُۥ صِدِّيقَةٌ ۖ كَانَا يَأْكُلَانِ ٱلطَّعَامَ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ ٱلْـَٔايَٰتِ ثُمَّ ٱنظُرْ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ ‎﴿٧٥﴾

Maksudnya: “Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).”
Surah al-Maidah (75)

Kesimpulan

Ulama berbeza pandangan mengenai agama yang dianuti oleh pemuda Ashab al-Kahfi namun menurut pandangan yang kuat mereka adalah mengikuti agama Nasrani. Penggunaan istilah agama Kristian hanya muncul setelah Nabi Isa AS diangkat ke langit. Manakala perkataan christ memiliki maksud yang sama dengan perkataan al-masih dalam bahasa hebrew yang bermaksud Rasul yang dipilih dan ia disebutkan dalam al-Quran. Oleh itu mengatakan bahawa Ashab al-Kahfi adalah beragama Kristian tidak menjadi kesalahan. Namun harus dibezakan antara agama yang diubah dan ditokok tambah dari ajaran tauhid yang sebenar dengan agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa AS. Dalam pegangan akidah Islam, semua agama yang datang sebelum Islam telah dimansukhkan dengan kedatangan Islam.

Wallahu A'lam

Rujukan:

1. Muhammad Tahir Ibn Asyur. (1984). Al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis: al-Dar al-Tunisiyyah.

ويجوز أن يكون لأهل كلتا الملتين ، اليهودية والنصرانية ، خبر عن قوم من صالحيهم ، عرفوا بأهل الكهف ، أو كانوا جماعة واحدة ادعى أهل كلتا الملتين خبرها لصالحي ملته، وبني على ذلك اختلاف في تسمية البلاد التي كان بها كهفهم"

2. Muhammad bin Jarir al-tabari. (1967). Tarikh al-Tabari, Mesir: Dar al-Maarif, jld. 2, hlm. 6.

3.Rujuk al-Irsyad: Jurnal of Islamic and Contemporary Issues “Perbandingan Konsep Messiah Menurut Perspektif Islam dan Kristian” Hlm: 83. https://www.researchgate.net/publication/357600366_Perbandingan_konsep_Messiah_menurut_perspektif_Islam_dan_Kristian_Comparison_of_the_Messiah_concept_according_to_Islamic_and_Christians_perspective

4. Zakaria @ Mahmud bin Daud. Jurnal Usuluddin: Agama Kristian Kini Dan Pengasasnya. Hlm: 2.


5. al-Irsyad: Jurnal of Islamic and Contemporary Issues “Perbandingan Konsep Messiah Menurut Perspektif Islam dan Kristian” Hlm: 83.

6. Rujuk al-Irsyad: Jurnal of Islamic and Contemporary Issues “Perbandingan Konsep Messiah Menurut Perspektif Islam dan Kristian” Hlm: 83.

Copy and paste:24 Disember 2023 > 11 Jamadilakhir 1445H: 4.22 pm






Wednesday, 20 December 2023

AL-KAFI #1256: IKTIBAR PEPERANGAN AIN JALUT

SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sempena dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak, kami cuba mengimbas kembali nostalgia catatan kemenangan Islam – yang berlaku pada bulan Ramadhan – yang teramat banyak dalam kitab-kitab tarikh. Justeru, kami nyatakan di sini, salah satu daripada catatan tersebut adalah peperangan Ain Jalut.[1]

 Latar belakang Peperangan

Peperangan Ain Jalut berlaku pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260 Masihi. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang hebat di antara kerajaan Islam Mamalik Mesir dan tentera Mongol.

Kekuatan Tentera Islam Mamalik dicatatkan sekitar 20,000 sehingga 50,000 orang. Manakala tentera Mongol pula adalah sekitar 20,000 tentera. (Lihat ‘Ain Jalut bi Qiyadah al-Malik al-Muzaffar Qutuz oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 74 dan Qissah al-Tatar min al-Bidayah hatta ‘Ain Jalut oleh Dr. Raghib al-Sirjani, hlm. 245)

Tentera Mongol sangat terkenal dengan kekuatan mereka dari sudut ketenteraan. Sifat mereka yang hidup secara nomad membentuk sifat dan kekuatan fizik mereka. Proses yang alami ini menjadi satu proses latihan ketenteraan bagi pasukan Mongol. (Lihat The Mongol oleh David Morgan, hlm. 84)

Sultan Qutuz telah memainkan peranan yang penting dalam menyatukan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol termasuklah menyelesaikan isu ketamakan sebahagian daripada pembesar yang berniat untuk merampas takhta Mesir dari tangannya. Seterusnya beliau mengambil langkah selanjutnya dengan mengobarkan semangat para tentera Mamalik di Akka, Palestin yang pada awalnya menolak untuk berjihad melawan tentera Mongol. Sultan Qutuz telah memberikan pidato sebelum peperangan bermula agar seluruh tentera Islam berjuang atas nama menegakkan Islam serta memerangi kekufuran. (Lihat Mongol and Mamluks-Ilkhanid War, hlm. 39)

Akhirnya setelah berlangsungnya pertempuran yang dahsyat di sebuah kawasan bernama Ain Jalut, pasukan Mamalik yang dipimpin panglima tenteranya Baibars[2] telah berjaya meraih kemenangan yang gemilang. Tentera-tentera Islam yang telah memenangi peperangan tersebut lantas mengejar tentera Mongol. Sultan al-Muzaffar Qutuz kemudiannya telah mengirimkan berita berkenaan kemenangan yang diraih dalam pertempuran tersebut ke Damsyiq. (Lihat Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti, hlm. 556)

Kemenangan tersebut selepas pertempuran yang berlangsung selama tiga hari telah memberi tamparan yang cukup hebat kepada tentera Mongol yang sangat terkenal dengan sifatnya yang ganas dan buas. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah13/258-260.

Hasil kemenangan ini telah berjaya memberi pukulan maut terhadap pasukan Mongol lantas sedikit sebanyak mengekang misi perluasan dan penawanan wilayah oleh tentera Mongol. 

Kemenangan tersebut juga telah menjadikan kerajaan Mamalik sebagai harapan umat Islam di sekitarnya. Kepercayaan dan taat setia oleh pemerintah-pemerintah Syria lantas diberikan terhadap pemerintah Mamalik. Kemenangan tersebut juga merupakan balasan terhadap bangsa Mongol yang telah menghancurkan Baghdad sebagai pusat pemerintahan Islam sebelumnya. (Lihat al-Sultan Saif al-Din Qutuz wa Ma’rikah ‘Ain Jalut fi ‘Ahd al-Mamalik oleh Muhammad ‘Ali al-Salabi untuk maklumat lanjut)

Iktibar Peperangan

  • Persediaan Menghadapi Peperangan

Persiapan dan persediaan dalam menghadapi sesuatu peperangan adalah sangat penting. Dalam perang menentang Mongol, Sultan Qutuz telah terlebih dahulu menyelesaikan isu-isu dalaman yang boleh melemahkan kesepakatan. Beliau telah berjaya menghimpunkan para ulama, pembesarnya dan umat-umat Islam atas dasar iman dan perpaduan. Pengumpulan dana serta persediaan kelengkapan peperangan yang jitu juga turut telah digerakkan demi tujuan ini.

  • Penglibatan Para Ulama’

Dalam mengobarkan semangat para tentera Islam serta menghimpunkan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol, para ulama’ turut memainkan peranan. Mereka turut terlibat dalam menasihati pemerintah sepertimana yang dilakukan oleh Sultan al-‘Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam. Sultan Qutuz telah meminta fatwa dari beliau agar kerajaan dibenarkan untuk mengambil cukai daripada rakyat bagi tujuan persediaan kelengkapan peperangan, namun beliau menegaskan bahawa kerajaan mesti mengutamakan harta pemerintah dan pegawai terlebih dahulu bagi tujuan tersebut.

  • Kemenangan di Bulan Ramadhan

Walaupun peperangan Ain Jalut berlaku di bulan Ramadhan, namun ia bukanlah penghalang untuk tentera Islam bersikap lemah dalam menghadapi musuh. Malah kesungguhan mereka telah menatijahkan kejayaan yang gemilang.

  • Kesatuan Ummah

Ini merupakan nilai yang terpenting apabila semua pihak sama ada di Mesir atau Syria, Palestin dan sekitarnya bersatu hati mendokong perjuangan Qutuz serta Zahir Baibars yang menghasilkan kejayaan yang gemilang. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

Maksudnya“..dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..”

(Surah al-Anfal: 46)

Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ”, menyebut: Iaitu kekuatan dan semangat kamu semua. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/50)

Marilah sama-sama kita membetulkan nawaitu, merapatkan saf dan menyatukan masyarakat dengan penuh keharmonian dan aman yang menjadi cita-cita kita semua dalam masyarakat Malaysia ini.

Nota Hujung:

[1] Ia berhampiran dengan Ajlun, Hebron dan Baitul Maqdis.

[2] Nama lengkapnya adalah Muhammad Ruknuddin Baibars, seorang komandan perang yang tangkas dan negarawan yang cerdas. Beliau lahir di Crimea, Baibars. Dikatakan beliau telah ditawan oleh Mongol di Kipchak dan dijual sebagai hamba di Syria. Tuan beliau yang pertama ialah seorang putera dari Hama. Beliau kemudian dijual kepada seorang pegawai Mamluk dan dihantar ke Mesir dan menjadi pengawal kepada pemerintah kerajaan Ayyubiyyah, al-Salib Ayyub. (Lihat al-Suluk li Ma’rifah Duwal al-Muluk oleh al-Maqrizi dan al-Nujum al-Zahirah fi Muluk Misr wa al-Qahirah oleh Ibn Taghri)

Beliau merupakan komandan tentera Mamluk yang telah berjaya mengalahkan tentera Mongol dalam perang Ain Jalut. Beliau mempunyai pengaruh yang luas dan telah diangkat menggantikan Sultan Qutuz selepas kematiannya.

Copy and paste: 
19 Disember 2023 > 7 Jamadilakhir 1445H: 11.55 pm