Sunday, 31 August 2025

SEPANJANG JALAN KENANGAN: SABAH NEGERI DIBAWAH BAYU

Sabah adalah salah satu wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia bersama Sarawak, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu pada 16 September 1963. Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu yang dulu dikenali sebagai Jesselton. 

Pengalaman pertama saya menjejak kaki ke bumi Sabah ialah pada tahun 1981 ketika berkhidmat dengan kapal KD Raja Jarom yang ketika itu ditugaskan untuk Ops Terumbu di Pulau Layang Layang di perairan Sabah.  

Dengan KD Raja Jarom kami telah merapat ke beberapa buah pelabuhan di Sabah dan Sarawak seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kuching, Bintulu dsb. 




1997 - SABAH
PERCUTIAN KELUARGA KE KOTA KINABALU, SABAH
Pada 1 Jun 1997 saya dan keluarga bersama Ibu dan keluarga kakak-kakak saya telah berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah untuk berkunjung ke rumah Abang Sulong kami Norajelan Maamor yang ketika itu bekerja sebagai Pengurus di SIME Bank Kota Kinabalu. 
Kami menginap di rumah Abang kami yang terletak di Graceville, Kota Kinabalu, Sabah, lebih kurang 6.5 km dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. 



Tidak jauh dari rumah Abang saya, terdapat sebuah tugu peringatan iaitu Tugu Peringatan Double Six, sebuah memorial untuk mengingati tragedi kemalangan pesawat pada 6 Jun 1976 dikenali sebagai Tragedi Double Six yang telah meragut nyawa Ketua Menteri Pertama Sabah, Allahyarham Tun Fuad Stephen beserta 6 menteri Sabah. 

BERSIAR-SIAR DI KOTA KINABALU
Pada hari pertama Abang Sulong kami membawa kami bersiar-siar di sekitar bandar Kota Kinabalu.
Antara yang kami lawati ialah Pusat Warisan Tumbuhan Sabah, Pusat Kraftangan Sabah, Pasar Filipina, Muzium Sabah dan banyak lagi.




Antara yang cukup terkenal di Kota Kinabalu ialah Pantai Tanjung Aru yang terletak lebih kurang 2.7 km dari Grace Ville. 
Kami mengambil kesempatan untuk berkelah di Pantai ini yang sangat cantik dan indah..... Kata Abang Sulong saya orang ramai lebih suka datang ke Pantai ini waktu menjelang senja untuk melihat dan mengabdikan foto waktu matahari terbenam di pantai ini. 



Pada 2 Jun 1997, kami bertolak dari Kota Kinabalu menuju ke Kundasang, sabah yang jarak perjalanan adalah 94.7 km dan mengambil masa 2 jam 7 minit.
Dalam perjalanan kami singgah di Kg. Nabalu untuk membeli cenderahati. Kg. Nabalu ialah sebuah pekan kecil yang sering menjadi tumpuan pengunjung ke Sabah. Ianya dahulu asalnya adalah menjadi "Toilet shop" untuk para pelancong yang menuju ke Taman Kinabalu. 


Kundasang yang dikenali sebagai Historical town of Kundasang merupakan sebuah pekan kecil yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu, lebih kurang 6 km dari Taman Negara Kinabalu. 




Di Kundasang kami menginap di Sri Intan Resort (milik TM Resort) terletak di Kampung Sinisian, lebih kurang 6 km dari Taman Kinabalu. 
Dari Sri Intan Resort ini kita boleh melihat puncak Gunung Kinabalu, iaitu Gunung yang tertinggi di Asia Tenggaran. 


Tugu Peringatan Perang Sandakan dibina di bekas kawasan bekas Kem Sandakan di Sabah. Ia dibina sebagai memperingati tawanan perang yang terkorban dalam Sandakan Death March ketika Perang Dunia Kedua. 


Jambatan Air Panas Poring terletak lebih kurang 35 km dari Kundasang.Ianya terletak di dalam daerah Ranau, Sabah. 
Poring adalah nama Kadazan-Dusun untuk sejenis spesis buluh yang tumbuh di kawasan itu. Taman Air Mata Panas Poring terkenal dengan kolam air pans dan Jambatan Gantung sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok. 


Pondok Timpohon adalah tempat permulaan untuk mendaki ke Gunung Kinabalu. Udara di sini segar, dingin dan nyaman. 
Untuk ke Taman Kinabalu, ada 2 laluan iaitu satu melalui Timpohon Gate dan satu lagi melalui Mesilau. 



Dari Pondok Timpohon kami menuju ke Menggatal, Sabah untuk makan malam. Perjalan dari Timpohonke Menggatal adalah lebih kurang 78.2 km dan memakan masa perjalanan selama 1 jam 22 minit. 
Menggatal sebuah pekan kecil terletak di daerah Pantai Barat Sabah. Nama Menggatal adalah nama sejenis pokok mangga yang apabila dimakan buahnya boleh menyebabkan kegatalan. 
Apa yang menariknya nama Menggatal ini telah menjadi bahan gurauan buat suami kepada isteri, contoh "Sayang, abang nak pergi Menggatal sekejap"... 

2013 - SABAH
SURIA SABAH, KOTA KINABALU
17-22 AUGUST 2013
Minggu Jantung Kota Kinabalu 2013 telah diadakan di Komplek Beli Belah Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. Seramai 530 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan manakala 129 menjalani Ujian Elektrokardiagram sepanjang kempen dijalankan.


Suria Sabah Shopping Mall di buka kepada orangramai pada 3 Disember 2009. Terletak di tengah-tengah pusat bandar dan pusat perniagaan Kota Kinabalu berhadapan bangunan Wisma Sabah. 



Kota Kinabalu atau "KK", dulunya dikenali sebagai Jesselton, ialah ibu negeri Sabah yang terletak di Malaysia Timur. Bandar ini juga merupakan destinasi pelancongan utama dan pintu masuk yang popular bagi pelancong yang melawat Sabah dan Borneo. 


Sepanjang program dijalankan, kami menetap di Best Western Kinabalu Daya Hotel yang terletak di Jalan Pantai, kira-kira 10-15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan tidak jauh dari Suria Sabah Shopping Mall (walking distance). Oleh kerana hotel ini berdekatan dengan Suria Sabah, ia memudahkan kami untuk pergi dan balik dari Hotel ke Suria Sabah.




Pada 23 Ogos 2013, kami bertolak dari Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu yang terletak sejauh 119 km dengan perjalanan mengambil masa 2 jam 13 minit. 
Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu, kami telah melalui beberapa buah pekan kecil di Sabah seperti Inanam, Telipok, Tamparuli, Tuaran dan Kota Belud. 

KOTA MARUDU, SABAH
24-25 OGOS 2013
Kempen "Go Red for Women" telah berlansung di Dewan Komuniti Kota Marudu dari 24-25 Ogos 2013. Seramai 182 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan sepanjang program dijalankan. 




Kota Marudu adalah daerah yang terletak di Bahagian Kudat, Sabah. Kota Marudu mula dipetakan oleh seorang ahli pelayaran Belanda pada tahun 1595 yang belayar dari Brunei melalui Marudu menuju ke Palawan dan seterusnya ke Pulau Sulu. 

Sepanjang program di Kota Marudu, kami menginap di Hotel Season 2 yang terletak berseberang dengan Dewan Komuniti Kota Marudu. 

LAIN-LAIN KENANGAN DI SABAH


Banjaran Crocker adalah sebuah banjaran gunung yang terletak di Bahagian Pantai Barat negeri Sabah. Puncak tertinggi banjaran ini adalah Gunung Kinabalu.


Kalabakan ialah sebuah daerah baharu di selatan Sabah terletak di Barat Bahagian Tawau, Jaraknya dari Bandar Tawau adalah kira-kira 106 kilometer. Antara Sejarah Kalabakan ialah pada 29 Disember 1963 apabila Tentera Nasionalis Indonesia (TNI) telah menyerang Pos Kawalan Tentera Malaysia yang telah mengorbankan 18 anggota daripada Batalion ke 3 Rejimen Askar Melayu DiRaja. Sebuah tugu telah dibina bagi memperingati peristiwa tersebut. 


Maliau Basin atau Lembangan Maliau terletak di susuran Sungai Maliau dan Sungai Kinabatangan. Lembangan ini merupakan kawasan semula jadi yang masih menjadi misteri sehingga kini. 


Tawau merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km. 



Keningau sebuah bandar di pendalaman Sabah, bersempadan dengan daerah Ranau dan Tambunan di sebelah Utara,Nabawan dan Tenom di sebelah Selatan, Tongod di sebelah Timur. 


Semporna sebuah pekan di Daerah Semporna, dalam bahagian Tawau, manakala Lahad Datu terletak di Pantai Timur Sabah adalah bandar keempat terbesar di Sabah. 


Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok terletak di Hutan Simpan Sepilok, 24 km dari Sandakan, Sabah. Pusat ini dikhususkan untuk memelihara dan mengkaji spesies orang utan yang semakin pupus di dunia ini. 

Demikian secebis kenangan di Negeri Sabah, banyak kenangan manis saya di bumi Sabah ini. Orang Sabah baik-baik dan berbudi bahasa. 

Nukilan:
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
31 Ogos 2025: 9.22 p.m





































































RUSUHAN DI MALAYSIA

Oleh Nizam Ali
KISAH & SEJARAH

Sepanjang 62 tahun Persekutuan Malaysia wujud di muka bumi ini, terdapat lebih kurang 14 demonstrasi dan rusuhan berdarah yang telah berlaku.
1. Rusuhan Maulidur Rasul Singapura: 21 Julai 1964.
Merupakan rusuhan pertama selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Berlaku ketegangan politik antara kaum Melayu Singapura yang dipimpin oleh UMNO Singapura dan kaum Cina Singapura yang menyokong PAP. Hal ini rentetan daripada pertembungan ideologi antara Tunku Abdul Rahman yang mahu mengekalkan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera dalam Perlembagaan dengan konsep Malaysian Malaysia yang diutarakan oleh Lee Kuan Yew.
Pada hari kejadian, umat Islam Singapura yang majoritinya dari kaum Melayu telah mengadakan perarakan Maulidur Rasul di Jalan Kallang. Perarakan aman kemudiannya bertukar menjadi rusuhan dan pergaduhan berdarah apabila berlakunya ejek-mengejek dan provokasi antara peserta perarakan dengan para pemuda Cina pro-PAP yang menonton perarakan di pinggir jalan. Pasukan polis FRU telah dihantar bagi mengawal keadaan.
Malangnya situasi semakin buruk sehingga pergaduhan antara kaum merebak ke seluruh Singapura. Darurat terpaksa diisytiharkan. Seramai 23 orang terbunuh dan 460 orang telah tercedera. Ratusan buah kedai, kediaman dan kenderaan telah dirosakkan, dirompak serta dibakar.
Ejen Indonesia dan anasir Komunis dipertanggungjawabkan sebagai pihak yang menyemarakkan konflik.
2. Hartal Pulau Pinang: 24 Nov–13 Dis 1967.
Berpunca daripada kejatuhan teruk nilai mata wang apabila kerajaan memperkenalkan matawang Ringgit Malaysia bagi menggantikan Dollar Malaya yang diikat setara dengan Pound Sterling. Rakyat terutamanya peniaga Cina di Pulau Pinang marah kerana barangan yang diimport naik harga secara mendadak dan simpanan mereka dalam bentuk Dollar Malaya yang ditukar kepada Ringgit Malaysia menjadi susut nilai.
Parti-parti politik kiri seperti Barisan Sosialis yang disusupi anasir Komunis dan kesatuan sekerja mengambil kesempatan untuk menganjurkan hartal sebagai satu bentuk mogok dan protes terhadap kerajaan. Kedai-kedai milik peniaga Cina dan India Muslim ditutup dan pengangkutan awam dihentikan.
Tetapi keadaan jadi huru-hara apabila sekumpulan pemuda Cina telah menyerang dan memukul seorang peniaga Melayu yang membuka kedainya pada hari berkenaan. Protes bertukar ganas apabila orang Melayu mula bertindak balas dengan menyerang kedai-kedai Cina dan India Muslim. Perintah berkurung terpaksa diisytiharkan di seluruh kawasan pulau. 29 orang terbunuh dan lebih 100 orang telah cedera.
3. Tragedi 13 Mei: 13 Mei 1969.
Suasana selepas PRU 1969 menjadi sangat tegang apabila parti pembangkang terutama DAP dan Gerakan telah memainkan isu perkauman semasa berkempen sehingga berjaya menguasai 40 kerusi Parlimen dan menghilangkan majoriti 2/3 Parti Perikatan.
DAP dan Gerakan telah mengadakan perarakan kemenangan besar-besaran di Kuala Lumpur sambil menghina UMNO, Perikatan dan kaum Melayu yang mencetus provokasi antara kaum. Penyokong UMNO bertindak balas dengan perhimpunan di Kampung Baru dan kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris di Jalan Raja Muda Aziz.
Sentimen perkauman Melayu–Cina memuncak. Akhirnya rusuhan berdarah telah meletus di Kuala Lumpur apabila kedua-dua kumpulan telah bertembung dengan membawa senjata tajam. Angka rasmi mencatatkan 196 orang terkorban dan lebih 2000 orang cedera. Ribuan rumah, kedai dan kenderaan telah musnah terbakar. Darurat diisytiharkan dan Parlimen digantung.
4. Darurat Kelantan: 8 November 1977
PAS yang ketika itu bergabung dalam Barisan Nasional pimpinan UMNO telah dikeluarkan daripada gabungan tersebut oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn.
Hal ini rentetan daripada Menteri Besar Kelantan, Dato Mohamed Nasir dari PAS dijatuhkan sendiri oleh para ADUN PAS yang melihat beliau sebagai "budak suruhan UMNO". Penyokong Dato Mohamed Nasir kemudiannya telah turun ke jalan menentang keputusan tersebut sehingga berlaku rusuhan dan keganasan di Kota Bharu yang mengakibatkan 4 orang maut dan puluhan lagi tercedera.
Kerajaan Pusat kemudiannya mengisytiharkan darurat politik di Kelantan berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Hanya DAP satu-satunya pihak yang membela PAS dan menentang pengisytiharan darurat politik tersebut di Parlimen.
5. Demonstrasi Baling: 19 Disember 1974.
Berlaku kejatuhan harga getah dunia sehingga petani di Baling hidup melarat, ada yang terpaksa makan ubi kayu untuk bertahan. Tersebar khabar angin yang mengatakan terdapat kematian akibat kebuluran di Baling.
Mahasiswa dari UM dan UKM telah turun bersama penyokong parti pembangkang untuk menganjurkan demonstrasi aman bagi membela nasib para petani. Namun kerajaan anggap perhimpunan itu sebagai ancaman politik kerana ada pengaruh gerakan golongan kiri. Pihak polis kemudiannya bertindak mematahkan protes dan ramai mahasiswa ditahan bawah ISA termasuklah Anwar Ibrahim.
6. Demonstrasi Tasek Utara: 9 September 1974.
Penduduk setinggan secara haram di tanah milik kerajaan di Tasek Utara, Johor Bahru telah diarah keluar kerana kawasan mereka bakal dibangunkan. Ratusan orang hilang tempat tinggal. Golongan mahasiswa dari UM khususnya dari PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya), PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia), dan UMCA (Persatuan Tionghua UM) telah datang menyokong perjuangan rakyat miskin bandar.
Polis bertindak keras bagi menyuraikan protes ini dan ramai aktivis ditahan. Ia memperlihatkan wajah sebenar masalah perumahan rakyat di bandar besar pada era 1970-an. Terdapat juga unsur penyusupan anasir Komunis dalam kalangan aktivis.
7. Peristiwa Memali: 19 November 1985
Berpunca daripada cubaan pihak polis untuk menahan seorang tokoh agama PAS, Ustaz Ibrahim Libya, di bawah ISA kerana dituduh menyebarkan ajaran yang menentang kerajaan rentetan daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan pada 7 April 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.
Penduduk kampung yang menyokong beliau enggan membenarkan tangkapan dibuat. Suasana bertukar tragedi berdarah apabila berlaku tembak-menembak antara polis dengan penyokong Ibrahim yang bersenjatakan senapang patah, parang dan lastik. 14 orang kampung bersama Ibrahim Libya terbunuh, manakala pihak polis pula kehilangan 4 orang anggota. Peristiwa ini meninggalkan luka politik mendalam khususnya antara UMNO dan PAS.
8. Rusuhan Sabah (“Silent Riot”): 21 Mac 1986.
Berpunca apabila Parti BERJAYA yang menjadi kerajaan negeri sebelumnya telah tumbang kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Pairin Kitingan.
Penyokong Parti BERJAYA yang kalah berasa tidak puas hati lalu melakukan kekacauan. Akhirnya berlaku rusuhan termasuk beberapa rangkaian letupan bom buatan sendiri dan sabotaj di Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu serta Tawau.
Akhirnya Kerajaan Pusat telah mengisytiharkan darurat dan UMNO telah dibawa masuk ke Sabah bagi menstabilkan politik dalam negeri.
9. Operasi Lalang: 27 Oktober 1987.
Ketegangan antara kaum meningkat apabila isu pendidikan Cina meletus. Dong Jiao Zong dan parti-parti Cina seperti MCA, DAP dan Gerakan menentang keras pelantikan guru besar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). UMNO pula menganggap tindakan itu mencabar kedudukan kaum Melayu di dalam Perlembagaan.
Pertembungan ini menimbulkan kekhuatiran akan berlakunya rusuhan kaum sekali lagi seperti Peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan telah bertindak pantas dengan melancarkan Operasi Lalang. Seramai 106 orang ditahan bawah ISA termasuk pemimpin DAP, MCA, UMNO, PAS, dan beberapa aktivis NGO. Beberapa akhbar utama seperti The Star, Watan dan The Sunday Mail juga digantung permit.
10. Rusuhan Kampung Medan: 13 Mac 2001.
Puncanya bermula dengan pertelingkahan kecil antara penduduk Melayu dan India di sebuah majlis kenduri kahwin Melayu dan upacara perkabungan seorang India. Ketegangan merebak menjadi rusuhan kaum di kawasan setinggan Petaling Jaya Selatan yang meliputi Kampung Medan, Kampung Ghandi dan Kampung Lindungan.
Pergaduhan ini kemudiannya menjadi rusuhan antara kaum Melayu-India apabila berlakunya kehadiran orang Melayu dari luar dan campur tangan kumpulan kongsi gelap India. Kejadian ini berlarutan beberapa hari yang mengakibatkan 6 orang maut dan ratusan lagi telah cedera.
11. Rusuhan Batu Buruk di Terengganu: 8 September 2007.
Satu himpunan besar-besaran anjuran NGO BERSIH untuk menuntut pilihan raya yang adil telah diadakan di Kuala Terengganu. Himpunan ini disertai oleh Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP serta beberapa NGO pro pembangkang. Polis bertindak menghalang yang menyebabkan berlaku kekecohan.
Dua orang awam terkena tembakan peluru hidup, ramai cedera akibat gas pemedih mata dan rempuhan FRU. Insiden ini jadi salah satu titik penting kebangkitan gerakan reformasi menjelang PRU 2008.
12. Bersih 3.0: 28 April 2012.
Gelombang tuntutan reformasi pilihan raya yang adil dan bersih semakin kuat selepas Bersih 1.0 (2007) dan 2.0 (2011). Perhimpunan kali ini berjaya himpunkan ratusan ribu orang di Kuala Lumpur. Parti pembangkang daripada Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS telah menjadi nadi utama dalam menghimpunkan para peserta demonstrasi.
Walaupun himpunan ini pada awalnya berjalan aman, keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila sekatan polis di Dataran Merdeka telah dirempuh oleh peserta himpunan yang beremosi. Gas pemedih mata dan meriam air terpaksa digunakan oleh FRU. Pelbagai insiden keganasan berlaku seperti kereta polis peronda telah dirosakan dan beberapa orang polis turut dipukul. 60 orang peserta dan 20 orang anggota polis dilaporkan telah tercedera dan 12 buah kenderaan termasuk milik polis telah dirosakan.
13. Rusuhan Low Yat: 12 Julai 2015.
Puncanya bermula dengan kes kecurian telefon pintar oleh seorang Melayu di Plaza Low Yat, KL. Kes kecil itu disensasikan di media sosial sebagai isu perkauman antara Melayu dan Cina. Parti politik turut mengambil kesempatan dengan menunggang isu ini yang mengakibatkan keadaan semakin panas dan tidak terkawal.
Ramai pemuda Melayu dan Cina telah turun ke plaza itu sehingga berlaku pergaduhan tanpa isu yang jelas. Kesannya, 7 orang dilaporkan telah tercedera dan beberapa premis di situ telah mengalami kerosakan.
14. Rusuhan Kuil Seafield (Sri Maha Mariamman, USJ 25): 26–27 November 2018.
Telah berlaku pertikaian status tanah yang melibatkan pemindahan sebuah kuil Hindu haram di USJ 25. Isu tersebut menjadi panas kerana campur tangan pihak luar apabila pihak pemaju telah mengupah sekumpulan samseng Melayu untuk mengusir penjaga kuil dan meruntuhkannya. Penganut Hindu di sekitar kawasan tersebut telah bertindak balas dengan menyerang gerombolan samseng tersebut
Rusuhan berlaku selama dua malam yang mengakibatkan banyak kecederaan berlaku, beberapa kenderaan dirosakan dan kuil itu terbakar.
Tragedi jadi lebih besar apabila seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, cedera parah akibat ditarik daripada trak bomba oleh perusuh lalu dipukul ketika pihak bomba cuba mengawal kebakaran. Akhirnya, beliau telah meninggal dunia semasa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara.
Kesimpulannya, rata-ratanya demonstratsi dan rusuhan berdarah tersebut melibatkan:
1. Unsur politik
2. Isu perkauman
3. Pergeseran antara kelas sosial
4. Kesenjangan ekonomi antara kelas
Rekod 14 kali rusuhan berdarah yang berlaku di sepanjang 62 tahun negara ini berdiri merupakan satu rekod yang agak baik. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Malaysia masih matang dalam bertindak dan kerajaan Malaysia cekap dalam mengawal konflik daripada terus melarat.
Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi negara kita daripada apa yang dialami Indonesia sekarang.

Copy and paste:
31 Ogos 2025: 12.01 p.m

Saturday, 30 August 2025

SEPANJANG JALAN KENANGAN : PULAU PINANG

Pulau Pinang terletak di Pantai Barat laut Semenanjung Malaysia, terkenal sebagai pusat pelancongan dan perniagaan dengan warisan budaya yang kaya. Dikenali sebagai Pulau Mutiara, pulau ini dipisahkan dari Tanah Besar oleh Selat Pinang dan ibunegerinya adalah George Town, Tapak Warisan Dunia UNESCO. 

Kali pertama aku pernah sampai ke Pulau Pinang ialah pada tahun 1981 bersama kapal KD Ganas. Belayar dari Woodlands Singapura ke Pulau Pinang....kali pertama makan Pasembur.... masa nak bayar tersembur bila diberitahu harganya.......

Berikut ialah beberapa kenangan saya dengan Negeri Pulau Pinang. 

1990 : PULAU PINANG
INTERNATIONAL ROYAL FLEET REVIEW
17-21 MEI 1990
Ketika berkhidmat dengan kapal TLDM KD Lekir dari Sekuadron Korvette ke 22, kapal kami terlibat dengan Royal Malaysian Navy International Royal Fleet Review (IRFR) yang julung-julung kali di adakan di Malaysia. Ini adalah acara terbesar pernah diadakan oleh TLDM yang berlansung serentak dengan Tahun Melawat Malaysia 1990.

Butir lanjut berkenaan dengan IRFR tersebut boleh dirujuk di laman Blog saya seperti di bawah.



2012 - PULAU PINANG 
KG. TITI TERAS, BALIK PULAU
15 APRIL 2012
Yayasan Jantung Malaysia kali ini telah di undang untuk menyertai Karnival Sihat Sepanjang Hayat bersempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2012 yang bertempat di Perkarangan Masjid An Nur, Kg.Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang. 
Seramai 100 orang telah menjalani ujian Saringan Kesihatan yang dijalankan sepanjang hari. 




Balik Pulau atau "The Village Behind The Island", terletak di daerah Barat Daya Pulau Pinang. Terkenal dengan buah durian dan buah pala. 


Kami menginap di Anggerik Lodging yang terletak di Hilir Pemancar, Taman Tun Sardon, Gelugor, Pulau Pinang.


Semasa di Gelugor inilah aku telah berpeluang bertemu dengan sahabat lama semasa berkhidmat dengan Tentera Laut iaitu Osman Desa dan Mohd Najib. Osman Desa pernah berkhidmat satu kapal dengan aku iaitu KD Ganas berpengkalan di Woodlands, Singapura pada tahun 1981, manakala Mohd Najid pernah bertugas bersama di KD Sri Rejang di Sibu Sarawak pada tahun 1983/84. 


Kali pertama saya merasa juga melalui Jambatan Pulau Pinang, walaupun pernah datang ke Pulau Pinang sebelum ini. 
Jambatan yang kedua terpanjang di Malaysia dan Kelima di Asia Tenggara, kira-kira 13.5 km. Jambatan ini menghubungkan Pulau Pinang di Lebuhraya Gelugor, Bayan Lepas dengan Tanah Besar Semenanjung di Seberang Jaya.Dibina pada tahun 1982 dan siap pada 1985. 

AEON SEBERANG PERAI CITY
BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG
23-28 NOVEMBER 2012
Minggu Jantung Seberang Prai 2012 berlansung dari 23-28 November 2012 di AEON Seberang Prai City di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 
Seramai 461 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan, sementara 86 menjalani Ujian Elektrokardiogram sepanjang program dijalankan. 



Terimakasih dari pihak YJM kepada jururawat-jururawat dari Kolej Kejururawatan Bukit Mertajam termasuk 2 orang Jururawat yang memberikan khidmat secara sukarela iaitu En. Mohd Nawawi dan Cik Adibah, kedua-dua mereka menetap di Bukit Mertajam. 


Bukit Mertajam merupakan sebuah bandar di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Malaysia. Ia juga lebih dikenali sebagai BM di kalangan penduduk setempat.Nama 'Bukit Mertajam' sempena sebuah bukit berdekatan yang terletak di sebelah Timur bandar ini.
Antara lokasi berhampiran ialah Kulim, Seberang Perai Tengah, Permatang Pauh, Penanti, Simpang Ampat, Kubang Semang, Lunas,Perai, Butterworth dan lain-lain.
Sepanjang program dijalankan kami menginap di Sri Indar Hotel yang terletak di Jalan Sungai Rambai, Bukit Mertajam.


Syukur Alhamdullillah sepanjang saya di Seberang Prai ini saya telah berkesempatan untuk bertemu dengan 2 orang sahabat lama satu intake dengan saya ketika berkhidmat dalam Tentera laut dahulu iaitu Kamsani dan Jalil setelah berpuluh tahun berpisah.
Turut saya temui ialah En. Mohd Shukri (juga bekas TLDM) yang kini bertugas dengan Majlis Perbandaran Seberang Prai. 

2013 - PULAU PINANG
SMK BERAPIT, BUKIT MERTAJAM
5-6 FEBRUARI 2013
Pada 4.2.2013, saya dan team Awareness Yayasan Jantung Malaysia telah bertolak ke Bukit Mertajam untuk program Peringkat Sekolah di SMK BerapitSMK Berapit terletak di Jalan Berapit Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 
Kami bermalam di Sri Indar Hotel yang terletak di Jalan Sungai Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ini adalah hotel yang sama kami menginap tahun lepas (2012). 



Cherok To'Kun sebuah pekan terletak di Timur Wilayah Bukit Mertajam. Hutan Lipur Bukit Mertajam terletak disini. 

2014 - PULAU PINANG
APARTMENT MUTIARA, BANDAR BARU PERDA
BUKIT MERTAJAM
22 JUN 2014
Program Pemeriksaan Kesihatan Penyakit Jantung YJM kali ini dilansungkan di Apartmen Permata, Bandar Baru Perda yang terletak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Apartmen ini juga adalah kediaman keluarga salah seorang staff YJM. 
Program yang berlansung dari jam 9 pagi hingga 2 petang ini turut dibantu oleh Jururawat-jururawat dari Pejabat Kesihatan Daerah Perai Tengah.  Seramai 85 penduduk Apt. Permata telah menjalani Ujian Saringan kesihatan pada hari tersebut. 



Bandar Baru Perda ialah sebuah Township yang terletak Bukit MertajamSeberang Perai Tengah. Nama Perda adalah diambil sempena nama Penang Regional Development Authority (PERDA). Projek Bandar Perda bermula pada tahun 1994. 
Dahulu disini terdapat AEON Seberang Perai City Shopping Centre namun kini telah berpindah ke AEON Mall Bukit Mertajam. 


Semasa program di Bandar Baru Perda, kami telah menginap di Palm Inn Hotel yang terletak di Taman Industri Permatang Baru, Bukit Mertajam. 


Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, jambatan kedua Pulau Pinang siap dibina sepenuhnya pada Februari 2014 menghubungkan Batu Kawan di Tanah Besar Seberang Perai dan Batu Maung. Jambatan ini adalah jambatan yang terpanjang di Malaysia dan juga di Asia Tenggara. 

SEK.MEN.KEB. PERMATANG RAWA
BUKIT MERTAJAM, P.PINANG
25 JUN 2014
SMK Permatang Rawa terletak di Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Seramai 131 orang Murid dan juga guru dan kakitangan sekolah telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan anjuran YJM. 
Bantuan Tenaga Jururawat diperolehi dari KPJ International College of Nursing and Health Sciences, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 



AEON MALL BUKIT MERTAJAM
21-24 OGOS 2014
Program Pemeriksaan Kesihatan Yayasan Jantung Malaysia berlansung di Kompleks ini dari 21 - 24 Ogos 2014. Seramai 176 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan sepanjang 4 hari program ini dijalankan. Bantuan tenaga Jururawat diperoleh Kolej Kejururawatan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 
AEON Mall Bukit Mertajam dibuka pada 4 Jun 2014 bagi menggantikan AEON Seberang Perai City yang terletak di Bandar Perda, Bukit Mertajam. 


Kami menginap di Hotel Seri Pauh di Taman Pauh Jaya, Prai, P.Pinang

2015 - PULAU PINANG

SEK.MEN.KEB PERMATANG RAWA
BUKIT MERTAJAM, P.PINANG
3 MAC 2015
Program Pemeriksaan Kesihatan di SMK Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 



Di Padang Kota Lama terdapat juga komuniti Tentera Laut DiRaja Malaysia yang menjadi duta kecil TLDM di Pulau Pinang dikenali sebagai RNO Penang (Resident Naval Officer Penang). 
Kenangan sewaktu berkhidmat dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia, aku pernah ke pejabat ini ketika bertugas di atas kapal KD Ganas yang tiba di Pulau Pinang pada tahun 1981.


GREAT EASTERN COLOUR RUN
PADANG KOTA LAMA, P.PINANG
19 APRIL 2015
The Great Eastern Colour My Heart Run 2015 dianjurkan bersama oleh Yayasan Jantung Malaysia dan Great Eastern Life Assurance telah diadakan pada 19 April 2015 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. 
Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu En. Lim Guan Eng turut hadir dalam acara larian ini. 




Feri Pulau Pinang telah dibuka dengan rasminya pada 23 September 1959 oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.


Kota Cornwallis sebuah kota lama yang dibina pada 1786 di namakan sempena nama Charles Earl Cornwallis, Gabenor General India ketika itu. Ianya terletak di Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang.


Bazaar Chowrasta merupakan pasar dan gerai pelbagai barangan makanan dan pakaian yang dimonopoli oleh peniaga dan peruncit Cina di Pulau Pinang. Terletak di Jalan Chowrasta, ditengah bandar Georgetown berhadapan dengan IPK Polis Pulau Pinang bersebelahan dengan Menara KOMTAR.

IPK Pulau Pinang dan Menara KOMTAR


Kami menginap di Old Penang Hotel yang terletak di Kampung Jawa Lama sepanjagn program. Apa yang saya tidak boleh lupa ialah, gerai menjual Putumayam dan Putubambu yang terletak tidak jauh dari hotel ini. Saya sempat beli sebelum balik ke bilik Hotel.

KOLEJ PTPL PULAU PINANG
GEORGETOWN
28 JULAI 2015
Pada 28 Julai 2015, saya bersama team Awareness Yayasan Jantung Malaysia telah mengadakan Program Pemeriksaan Kesihatan di Kolej PTPL Penang yang terletak di Georgetown Pulau Pinang. 



Selesai program di Kolej PTPL Penang, kami singgah beristirehat di Padang Kota Lama sebelum pulang ke hotel. Padang Kota Lama mempunyai sejarah tersendiri, kerana di sinilah pada 30 Ogos 1957, bendera Union Jack British diturunkan bagi menandakan berakhirnya penjajahan kolonial di Pulau Pinang. 

INTEL TECHNOLOGY SDN BHD
BAYAN LEPAS, P.PINANG
29 JULAI 2015
Keesokan harinya pdaa 29 Julai 2015 kami meneruskan Program Pemeriksaan Kesihatan di Pulau Pinang. Kali ini di Intel Technology Sdn Bhd yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang. 



Bayan Lepas sebuah kawasan di pinggir bandar George Town di Pulau Pinang. Terletak berhampiran hujung tenggara Pulau Pinang, kira-kira 15 km dari pusat bandar. Bandar ini menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas. 


Selesai Program di Intel Technology Sdn Bhd, kami terus ke Pejabat Yayasan Buahpinggang Negara yang terletak di Bayan Lepas untuk menghadiri mesyuarat Penyelarasan Program. 

Disebelah malam di waktu lapang kami tidak melepaskan peluang untuk menikmati Nasi Beratur yang cukup terkenal di Pulau Pinang. Terletak di Jalan Masjid KapitanKeling, George Town. Malam itu saya makan cukup berselera sekali. 

2016 - PULAU PINANG
BUBBLE DASH RUN, BAYAN LEPAS, P.PINANG
25 SEPTEMBER 2019
Tahun 2016 hanya satu program sahaja yang saya sertai di Pulau Pinang iaitu Bubble Dash Run di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 25 September 2016. 


Ketika di Bayan Lepas kami menginap di Apple 1 One Hotel di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, P. Pinang. 

2017 - PULAU PINANG
APARTMEN MUTIARA, BANDAR BARU PERDA
9 APRIL 2017
Saya bersama rakan-rakan Awareness Team dari Yayasan Jantung Malaysia tiba di Pulau Pinang pada 8 April 2017 untuk menghadiri Program Pemeriksaan Kesihatan Penyakit Jantung di Apartment Permata, Bandar Baru Perda yang berlansung pada 9 April 2017.


Kami menginap di BG Business Hotel, Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.




Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami mengambil kesempatan untuk berziarah ke Bukit Bendera di Pulau Pinang. Perjalanan dari hotel kami di Perda ke Bukit Bendera sejauh 30 km dan mengambil masa perjalanan 46 minit.

Demikianlah pengalaman menarik kami Geng Awareness Team Yayasan Jantung Malaysia... bersama team ini jugalah saya telah menjelajah ke Seluruh Malaysia , dari Perlis sampailah ke Sabah...kami bersama-sama mengerakkan misi YJM.....
Syabas Awareness Team YJM.... 


Nukilan:
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
31 Ogos 2025: 12.01 a.m