Saturday, 24 November 1984

KD SRI REJANG DALAM KENANGAN

KD SRI REJANG
SIBU, SARAWAK
28.3.1983 - 24.11.1984



Sibu terletak di Bahagian ke 3 Sarawak



KD Sri Rejang, adalah satu-satunya Pengkalan Hadapan TLDM dalam Gerakan menentang kegiatan Komunis yang pernah beroperasi di Sibu, Sarawak. Diletakkan di bawah naungan Rajang Area Security Command (RASCOM HQ MIL) kerana Sibu ketika itu adalah sebuah kawasan Hitam dengan kegiatan pengganas Komunis yang mengancam penduduk tempatan.

KD Sri Rejang ditauliahkan pada 18 Mac 1978 oleh Menteri Pertahanan ketika itu Tan Sri Hj Abdul Taib Mahmud. Walaupun dirasmikan pada tahun 1978 namun pengkalan ini sebenarnya beroperasi sejak 1964 yang ketika itu bertempat di Simpang Tiga diantara Kampung Hilir dan Kampung Nangka. Pegawai Memerintah pertama KD Sri Rejang ialah Lt. Balagopal Pillai TLDM . 

KD Sri Rejang yang asal di Simpang Tiga, Sibu, Sarawak





RAJANG AREA SECURITY COMMAND

RASCOM (Rajang Area Security Command) ditubuhkan pada tahun 25 Mac 1972 akibat daripada beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam yang dilakukan oleh anggota Komunis di Bahagian Ke 3 Sarawak yang dikenali sebagai Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dan Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU). 
Kawasan operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Di tubuhkan dengan tiga komponen yang terdiri daripada unit tentera, Polis dan awam dan Ketua Menteri Sarawak dilantik sebagai Pengarah Operasi  Negeri. Kewujudan RASCOM berjaya  menghakis ancaman komunis di Sarawak dan  bekas komunis telah kembali ke pangkuan masyarakat selepas berlakunya  perletakan senjata dan  penyerahan seramai 585 ahli PKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok dalam Operasi Aman pada tahun 1973 dan  pada tahun 1986, Ubong anak Nuing beserta 40 orang ahli turut menyerah diri. Ancaman keganasan komunis berakhir pada 17 Oktober 1990 apabila Kerajaan dan PKKU menandatangani perjanjian di Kuching apabila 52 anggota PKKU menyerah diri dan dengan itu  RASCOM dibubarkan mengikut keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 November 1994.

Sumber lain:


Setelah menamatkan Kursus Laskar Kelas 1 di KD Pelandok, saya telah diarahkan bertukar ke KD Sri Rejang, Sibu, Sarawak. Tak dapat digambarkan betapa gembiranya saya ketika itu kerana ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi Sarawak. Kali pertama tiba di Sibu adalah dengan kapalterbang TUDM dari Kuala Lumpur ke Kuching dan kemudian menaiki kapal MV Sang Fajar dari Kuching ke Sibu. 
Saya dan kawan saya berempat dari TLDM menaiki MV Sang Fajar bersama dengan anggota dari Batalion ke 24 Rejimen Askar Melayu DiRaja yang dihantar beroperasi di Sibu, Sarawak. 
Sibu ialah salah satu bandar di bahagian ketiga di Sarawak. Ia terletak di pertemuan Sungai Rajang dengan Sungai Igan, kira-kira 60 km dari laut.





Sarawak House, tempat saya selalu lepak dengan kawan-kawan


Pegawai Memerintah KD Sri Rejang ketika itu ialah Kdr. Tajuddin Bin Yahya (sekarang Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Cawangan Wangsa Maju KL) , kemudian digantikan dengan KDR Ahmad Kamal. 

Bagi anggota Komunikasi yang bertugas di KD Sri Rejang akan bertugas di 2 tempat iaitu di Pejabat Semboyan dan juga di Bot Lancang (RCP, LCP dan LCM) secara bergilir-gilir.














Bertugas di Bot Lancang di KD Sri Rejang adalah satu tugas yang mencabar. 3 Jenis bot lancang yang digunakan ketika itu ialah Riverine Craft Personal (RCP), Landing Craft Personal (LCP) dan Landing Craft Merchandised (LCM). Tugas kami ialah melakukan rondaan sungai di samping memberi bantuan logistik kepada unit Tentera Darat terutama dari Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Rejimen Renjer, Rejimen Gerak Khas (Komando) dan Pasukan Polis Hutan (sekarang Pasukan Gerakan Am), Sarawak Border Scout yang beroperasi di sekitar Sibu, Kanowit, Song, Kapit dan banyak lagi. Ketika itu Operasi Jala Aman 1 telah dilancarkan bagi memerangi Komunis di Bahagian ke 3 Sarawak.
Bertugas di Bot Lancang tidak sama seperti bertugas di Kapal-kapal TLDM yang lain, kerana di sini semua boat crew tidak kira cawangan kena buat semua kerja. Waktu paling menyeronokkan ialah bila waktu makan, kami akan masak bersama-sama kerana tidak ada tukang masak di bot lancang. Krew bot lancang tak ramai, lebih kurang 5-6 orang terdiri dari Skipper (Ketua Bot), 2 anggota Kelasi, 1 anggota TMK (Mekanik Enjin) dan 1 anggota Radio Operator (Komunikasi).
Pengalaman yang paling unik  bagi anggota yang bertugas dengan bot lancang ini meronda hampir sepanjang batang sungai Rejang bermula dari Kuala Rejang atau Kuala Paloh sehinggalah ke Kapit. Kami sering singgah di beberapa tempat yang sebelum ini namanya begitu asing bagi kami seperti Kanowit, Song, Durin, Kapit, Belaga, Sarikei, Binatang (Sekarang Bintangor) dan banyak lagi yang aku dah tak berapa nak ingat namanya.
Menyusuri sepanjang sungai Rejang memang berisiko tinggi, kerana terdapatnya buaya dan juga ancaman dari pengganas komunis. Bagaimanapun sepanjang aku berkhidmat di Bot Lancang ini... bersyukurlah kerana tidak pernah berlaku bot kami diserang oleh pengganas komunis walaupun ada beberapa tempat yang kami lalui adalah merupakan sarang pengganas komunis seperti Sungai Asan, Sungai Naman, Sungai Nyemah, Sungai Setabau dan beberapa lagi.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai OPS Jala Aman 1 dan tugas rondaan kami di Sepanjang Sungai Rejang, layari blog saya di bawah, klik pada link tersebut:


REST AND RECREATION
Sepanjang menjalankan tugas rondaan Sungai di sepanjang Sungai Rejang, ada waktu kami akan mengambil masa beberapa jam atau setengah hari untuk beristirehat. Sepanjang Sungai Rejang tak ada R&R seperti lebuhraya di Malaysia, tapi kami akan singgah bertambat di jeti beberapa buah kampong atau pekan di sepanjang Sungai Rejang. Antara tempat persinggahan kami yang paling popular ialah Song, Kapit, Kanowit, Belaga, Durin, Sarikei, Binatang (Sekarang Bintangor) dan banyak lagi yang saya sudah lupa. 


Belaga ialah sebuah kawasan pendalaman Sarawak terletak di Hulu Sungai Rejang Bahagian Kapit. Di Belaga terdapat beberapa suku kaum yang menduduki daerah ini antaranya ialah Orang Ulu, Kenyah, Kayan, Penan, Ukit,Punan, Sihat, Lahanan, Kajaman, Sekapan dan Tanjung. 
Antara yang agak terkenal di sini ialah Empangan Bakun yang terletak di utara daerah ini. 


Kanowit ialah sebuah daerah kecil terletak di bahagian Sibu, Sarawak. Perjalanan dari Sibu ke Kapit mengambil masa 1 jam perjalanan di darat. Kanowit di huni oleh masyarakat dari pelbagai etnik namun etnik Iban mendominasi bahagian penduduk di Kanowit. . 

Di Kanowit, ketika sedang beristirehat setelah penat meronda, saya bertugas menjaga bot ketika krew lain berkelepasan ke pekan Kanowit. Padan masa itu seorang lelaki Iban datang ke bot dan berbual-bual dengan saya. Ternyata beliau adalah bekas anggota Sarawak Border Scout. Beliau menceritakan pada saya satu tragedi dikenali dengan "Tragedi Pendam Bungkang". 
Kisah selanjutnya boleh layari blog saya di bawah ini:



Kapit, Sarawak


Kapit merupakan gabungan dari 4 daerah iaitu Bukit Mabong, Belaga, Song dan Kapit dan 2 daerah kecil iaitu Sungai Asap dan Nanga Merit. Terdapat perlbagai etnik mendiami daerah Kapit iaitu Melayu Sarawak, Iban, Melanau dan Bidayuh. 
Antara kenangan saya di Pekan Kapit ini ialah saya telah tercicir BAT C 10 (Kad Pengenalan Tentera) di Pasar Kapit. Saya hanya menyedari yang saya kehilangan IC Tentera ketika kembali ke Bot Lancang di Jeti. Waktu itu Skipper dah beritahu yang bot akan memulakan rondaan semula dalam masa sejam lagi.... saya pun beritahu skipper (Ketua Bot) untuk saya cari BAT C 10 saya dalam masa sejam itu... kalau tak jumpa saya terpaksa kembali ke bot.
Saya pun kembali semula ke Pasar Kapit kerana seingat saya saya hanya mengeluarkan dompet ketika membeli buah di Pasar Kapit. Ketika sampai di gerai buah itu saya bertanya kepada peniaga buah jika ia ada melihat Kad Tentera saya. Peniaga itu kata dia tak nampak pun kad itu. Saya kecewa dan terus berusaha mencari kad itu. Sedang saya tercari-cari sampil memandang ke tanah, seorang lelaki Cina menghampir saya dan bertanya adakah saya mencari Kad Pengenalan Tentera saya. Saya pun terus mengiyakankan dan dia beritahu yang dia sudah serahkan BAT C 10 saya itu di Balai Polis Kapit. Selepas mengucapkan terima kasih saya tanpa lengah terus ke Balai Polis Kapit untuk mengambil kembali BAT C 10 saya...Syukur Alhamdulillah....  nasib baik ianya dijumpai oleh seorang warga yang baik..... kalau yang jumpa itu ejen komunis, tak tahulah nasib saya. 

TUGU PERINGATAN NANGA GAAT
Ketika menyusuri Sungai Rejang di Daerah Kapit, saya sering terlihat seperti sebuah tugu di tepi sebatang sungai. 
Saya masih nama tempat itu Nanga Gaat kerana saya sebagai anggota Komunikasi Bot, sering menghantar SITREP (Situation Report) setiap jam 8 Pagi dan 8 Malam mengenai kedudukan bot kami kepada pengkalan. 
Tugu ini telah dibina oleh Tentera British pada tahun 1965 bagi memperingati 21 tentera Komanwel terkorban di Kapit semasa Konfrantasi. 
Untuk mengetahui kisah lanjut boleh layari laman web dibawah. 







Bintangor Kini 

Binatang (Sekarang Bintangor) sebuah pekan kecil di daerah Meradong lebih kurang 22 km dari Sarikei dan 50 km dari Sibu. Pekan ini terkenal dengan Buah Limau Bintangor. 
Disini juga terdapat sebuah Maktab Perguruan iaitu Maktab Perguruan Rajang. Kaum Iban adalah suku kaum terbesar di Bintangor ini. 


Sarikei Kini....Kelihatan hotel yang sama masih berdiri gagah di Bandar Sarikei..




Sarikei merupakan salah satu dari Bahagian Ketiga Sarawak yang turut mengambungi Sibu dan Kapit. Ia mempunyai 4 daerah pentadbiran iaitu Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan. 
Majoriti penduduk adalah dari kalangan etnik Iban diikuti Melanau, Melayu dan Cina. 








Song ialah sebuah pekan di daerah Kapit, Sarawak, ianya bersempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia di Selatan. 

Itulah antara pekan-pekan yang kami pernah singgah sepanjang menyusuri Sungai Rejang dari Kuala Sungai sehinggalah ke Pekan Kapit.... banyak nama-nama pekan ini begitu asing bagi ku sebelum ini...syukur Alhamdullilah... pengalaman bertugas di KD Sri Rejang adalah suatu yang tidak dapat ku lupakan....

BERTUGAS DI PEJABAT SEMBOYAN, KD SRI REJANG
Sekiranya tidak bertugas di Bot Lancang, saya akan bertugas di Pejabat Semboyan KD Sri Rejang mengikut shift kerana bertugas di Pejabat Semboyan adalah 24 jam. 






Pejabat Semboyan KD Sri Rejang





Antara perayaan tahunan di Sarawak ialah Hari Gawai Dayak yang disambut pada 1 Jun setiap tahun. Gambar ini diambil ketika perayaan Gawai Dayak di Rumah Jala, sebuah rumah Panjang yang moden dan lengkap serba serbi.  Difahamkan dari Ketua rumah panjang, Ratu Sarawak pada tahun itu lahir di rumah ini. Dalam gambar itu ialah RO Savirimuthu, RO Ismail Md Ali, anggota cawangan store (tak ingat namanya) dan COXN Bakar. 
RO Savirimuthu dulu pernah bertugas satu kapal dengan saya di KD Raja Jarom yang ketika itu berpengkalan di Woodlands, Singapura.





Sambutan Maulidur Rasul di Sibu, Sarawak tahun 1984

KEJADIAN LETUPAN BOT RCP


Satu kejadian yang tidak diingini telah berlaku pada bulan November 1983 dimana sebuah bot RCP telah meletup akibat kebocoran gas dan tenggelam di Jeti Sri Igan. Dua anggota tercedera dimana seorang anggota, LK1 PPP Montaza Hj Amin telah dimasukan ke wad Hospital Lau King Howe, Sibu kerana mengalami kecederaan parah (second degree burn) dan seorang lagi cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar. Bagaimanapun Syukur Alhamdullillah Montaza dapat diselamatkan dan sembuh tidak lama kemudian. Berikut kejadian itu, Pegawai Memerintah telah mengeluarkan arahan langkah keselamatan diperketatkan di bot - bot lancang agar kejadian yang sama tidak akan berulang lagi.

TRAGEDI KD SRI PERAK 
Satu lagi tragedi hitam berlaku dalam Sejarah TLDM pada tahun 8 Januari 1984 iaitu tenggelamnya kapal KD Sri Perak di perairan Laut Cina Selatan. KD Sri Perak ketika itu belayar bersama KD Hang Tuah dan KD Sri Terengganu. 
Akibat keadaan laut yang bergelora dan tidak selamat kapal KD Hang Tuah dan KD Sri Terengganu diarahkan bertambat di Jeti Sri Igan, Sibu  (jeti dimana bot lancang bertambat) selepas tragedi hitam itu. Anggota-Anggota Bot Lancang KD Sri Rejang ketika kejadian itu telah diarahkan bersiap sedia dalam masa 24 jam sekiranya bantuan diperlukan. Untuk mengetahui kisah lanjut KD Sri Perak, boleh layari laman blog Catatan Pak Mail kerana Pak Mail adalah seorang anggota Komunkasi KD Sri Perak ketika tragedi tersebut berlaku.


Bot-bot Lancang bertambat di Jeti Sri Igan...




KD Sri Trengganu yang kini diabadikan di Muzium TLDM di Bandar Hilir, Melaka

Mengambilalih tugas Telefonis apabila anggota Telefonis Awam bercuti


Anggota Komunikasi yang bertugas KD Sri Rejang ketika itu telah dilatih untuk mengendalikan alat switchboard telephone operator. Ini ialah kerana sekiranya anggota telefonis awam (En. Hamdan dan seorang kakak yang saya lupa namanya) bercuti, tugas telepon operator akan diambil alih oleh anggota Komunikasi di waktu malam hingga pagi. Apalagi bila larut malam ... bergayut sakan lah dengan awek Sibu...  antara kenangan yang tidak dapat dilupakan.

RO MAHMUD, RO ZULHEIMY, LTO SHAHRUM & RO NORDIN





Menyambut Aidilfitri di Sarawak adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan. Sepanjang 2 tahun di sana , 2 kali aku tak dapat berhari raya di kampung bersama keluarga di Semenanjung. Mujurlah ada beberapa anggota TLDM di Pengkalan ini yang merupakan anak tempatan Sibu. Jadi dapat jugalah merasakan suasana Hari Raya walaupun berjauhan dari keluarga. Kami akan turut mengunjungi anggota-anggota yang berkeluarga di sini.

Aku agak terkilan juga tak dapat berhari raya di Kampung ku selama 2 tahun di KD Sri Rejang kerana ketika bertugas di sinilah , bapa ku Allahyarham Maamor Bin Sudin meninggal dunia pada 18 Disember 1984 ..... AL FATIHAH



Salah satu jasa yang aku tinggalkan di bumi Sibu Sarawak ialah terlibat dalam gotong royong membersihkan Masjid An Nur yang baru siap dibina sebelum tiba Hari Perasmian. 

Masjid An-Nur Sibu dirasmikan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sarawak ketika itu Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya'kub pada 15 Ogos 1983 dimana saya dan rakan-rakan turut terlibat dalam Majlis perasmian tersebut. 

InsyaAllah jika ada rezeki kalau aku berpeluang menziarahi Sibu suatu masa nanti... satu dari hajat ku ialah untuk bersolat di Masjid ini dimana aku dan rakan-rakan terlibat secara tidak lansung dalam Perasmian Masjid Baru di Bandar Sibu ketika itu.



Sepanjang berkhidmat di Sibu, seorang sahabat kami bertemu jodoh dengan gadis tempatan. Majlis perkahwinan diadakan disebuah hotel terkemuka di Sibu, Sarawak. Turut hadir ialah Pegawai Memerintah KD Sri Rejang, Kdr.Tajudin Yahya (berkaca mata hitam) dan Pegawai Bekalan (sebelah CO).

Kini KD Sri Rejang hanya tinggal kenangan. Pengkalan ini telah ditutup dengan rasminya pda 3 November 1991 dan diserahkan kepada Tentera Darat selepas perletakan senjata oleh Komunis pada tahun 1989.
Bagi mereka yang pernah berkhidmat di Pengkalan ini, banyak kenangan pahit manis yang tidak mungkin dapat kita lupakan kerana bagi saya bertugas di KD Sri Rejang telah banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai anggota Tentera Laut. Tentera Laut selalu digambarkan sebagai anggota yang bertugas di atas kapal-kapal besar yang meredah lautan yang luas, namun kita lupa ada sebahagian anggota TLDM ketika itu yang bertugas meredah sungai-sungai di bahagian pendalaman Sarawak yang penuh dengan duri dan ranjau dengan mara bahaya yang sentiasa berada di depan mata..... KD SRI REJANG TETAP DALAM INGATAN KU.....




KD SRI REJANG KINI
KD Sri Rejang kini telah diambil oleh Rejimen 510 Askar Wataniah (Tentera Darat) selepas ianya ditutup. 



 Tempat yang menjadi kenangan ku... disinilah saya bersama rakan menaikkan bendera setiap pagi dan menurunkannya selepas matahari terbenam



Di sepanjang Sungai Rejang... dari Hulu Rejang/ Kuala Paloh hingga ke Kapit... pernah aku harungi suatu ketika dulu.... yang ada kini hanyalah kenangan... 




Yang tinggal kini.... Hanya Memori usang yang tidak mungkin akan datang lagi... KD SRI REJANG tetap dalam ingatan ku...


Kenangan ditemuramah oleh Setaf PUSMAS TLDM di Yayasan Jantung Malaysia pada 26 Disember 2018


LATEST UPDATE: 6/1/2024 : 9.32 PM




8 comments:

Anonymous said...

SubhanaLLah kenangan mengusik jiwa ! menitis airmata terlau banyak kenangan di RASCOM

Unknown said...

saya merupakan seorang mahasiswa Sejarah dari salah sebuah IPTA tempatan...saya sangat berminat dengan info yang terdapat dalam Blog Zulheimy...


segala maklumat tentang RASCOM sangat berharga...saya berasal dari Sarikei iaitu merupakan salah satu daerah dimana RASCOM berkuatkuasa berasa sangat berbangga dengan kejayaan RASCOM...sekarang saya sedang mengkaji tentang Sejarah RASCOM untuk Penulisan ilmiah saya...

Jika Tuan tidak keberatan...untuk berkongsi info bolehlah hantar info tentang RASCOM kepada email saya andrean.drean42@yahoo.com

zulheimymaamor.blogspot said...


Terima kasih... antara info yang saya dapat mengenai RASCOM adalah seperti dibawah... boleh digunakan untuk rujukan....

http://dwnsiswa.dbp.my/wordpress/?p=384

http://awangkusantubong.blogspot.com/2013/03/rajang-area-security-command-rascom.html

http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=6927

Anonymous said...

Mengapakah TLDM bagitu daif sangat tak dapat mengadakan satu ruang bagi kami yang telah bersara mengatahui serbsedikit perkembangann.Bilakah KD SRI REJANG dilucut tauliahnya?.1974 base lama simpang 3,1977-1979 base sg.antu.Rasa terkilan juga banyak hasil kerja tangan tentang base sg,antu.

46sekupang.1971-1984.

Kedah News Network said...

Rascom dalam kenangan.. 1987- 1990

qarirah said...

saya pelajar sekolah di sibu. saya berminat dengan butiran blog tuan. Saya ditugaskan utk membuat kajian tentang tema yang saya pilih. jika tidak keberatan bagaimana saya nak dapatkan info yang lebih banyak tentang KD SRI REJANG ini?

zulheimymaamor.blogspot said...

Salam Cik Qarirah... info mengenai KD Sri Rejang ini tidak banyak kalau Saudari cari di Google sekalipun....
Ada satu lagi web cik Qarirah boleh rujuk:
https://utohpaloi.wordpress.com/2019/06/28/kd-sri-rejang-lcplcm-3-artillery/

Fendy Zakaria said...

Ayah saya pernah bertugas disini.. Zakaria atau Pakya. Dulu balik sekolah selalu sy cari jarum mas kat padang tu..