Sumber: Misteri Benua Asia MY
06.08.2017 @ Ahad
kisah hospital Lady Templer
Kira-kira sepuluh tahun lalu saya berbual kisahkisah misteri dengan seorang sifu qigong bernama Master Wee. Kata Master Wee, dia juga boleh melihat dan berkomunikasi dengan hantu serta roh orang mati.
Master Wee turutm mendakwa dirinya boleh nampak roh-roh mundarmandir di tepi jalan di hadapan hospital itu. Adakalanya roh itu mengganggu kenderaan yang lalu lalang hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Biasalah… hospitalkan tempat orang mati. Roh mereka ini ada yang tidak aman. Ia berkeliaran di situ,” begitulah cerita dan pendapat Master Wee dalam konteks kepercayaan bangsanya. Sama ada anda mahu percaya atau tidak, terpulang. Hospital mana, maaflah ya. Nanti ada yang takut pula.
Sebuah lagi hospital yang dikatakan berhantu di negara kita adalah Hospital Lady Templer yang terletak di Cheras. Hospital ini dibina pada tahun 1952 dan dirasmikan oleh Lady Templer iaitu isteri kepada bekas Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer. Ia dibina khusus untuk pesakit jantung, paru-paru dan batuk kering.
Pada peringkat awal kakitangan hospital ini terdiri daripada pakar perubatan, tiga orang pegawai perubatan, jururawat, juru x-ray dan pembantu jururawat. Ia mula menerima pesakit pada Ogos 1955.
Hospital Lady Templer bagaimanapun ditutup pada tahun 1985. Hanya sebahagian sahaja yang dibuka dan dijadikan poliklinik sehingga tahun 1995. Khabarnya rumah mayat hospital ini pernah menempatkan korban tragedi 13 Mei 1969.
Sejak penutupan hospital tersebut, diceritakan banyak kisah misteri berlaku di situ, sampailah sekarang. Antaranya jelmaan lelaki berpakaian serba putih seperti doktor berdiri di tepi tingkap, perempuan yang mendukung anaknya, perempuan berambut panjang, suara orang menangis dan mayat tanpa kepala.
Kumpulan-kumpulan paranormal sering menjalankan aktiviti memburu hantu di bangunan terbengkalai ni dan seringkali tidak menghampakan. Pasti ada entiti-entiti aneh berjaya mereka kesan.
TANGISAN MISTERI
Sebenarnya, bukan saja di negara kita, kisah hospital berhantu juga dikatakan berlaku di seluruh dunia. Salah satunya adalah Hospital Jiwa Sai Ying Pun, di Hong Kong. Dibina pada 1892, hospital ini pernah digunakan sebagai kuarters jururawat. Ia kemudian ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan menggunakannya sebagai tempat seksaan para tawanan perang. Banyak nyawa terkorban di sini.
Hospital Sai Ying Pun dijadikan hospital mental pada 1947 hingga 1961 dan seterusnya menjadi pusat rawatan psikiatri sehingga 1971. Selepas ditutup, masyarakat setempat sering terdengar suara wanita menangis serta bunyi dentuman yang menakutkan dari dalam bangunan tersebut.
Mereka juga sering terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan, jelmaan seorang lelaki di tingkat dua yang kemudiannya tiba-tiba terbakar serta kelibat-kelibat aneh berkeliaran pada waktu malam.
Hospital Nocton Hall di Engand pula asalnya merupakan kediaman mewah pembesar negeri. Ia kemudian digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai hospital tenteranya semasa Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, hospital lama itu dibiarkan terbengkalai mulai 1995 ekoran berlaku kebakaran yang menyebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.
Pelbagai kejadian misteri berlaku di sini. Antara yang paling kerap dilihat adalah kelibat seorang gadis berkeliaran di dalam bangunan itu sambil menangis teresak-esak dengan suara yang amat sayu. Ramai yang mengadu mereka akan terjaga pada pukul 4.30 pagi dan melihat si gadis menangis di hujung katil.
Dikatakan gadis itu adalah bekas seorang pekerja di hospital berkenaan yang telah dirogol dan kemudian dibunuh oleh anak lelaki pemilik Nocton Hall sebelum ia dijadikan hospital tentera.
Hospital Royal Hope di Florida, Amerika Syarikat (AS) dibina pada 1784. Ia dijadikan hospital tentera Sepanyol sehingga 1821, sebelum diruntuhkan atas sebab-sebab tertentu. Sebuah bangunan baru kemudiannya dibina menjadi rumah kediaman mangsa-mangsa Perang Seminole, tetapi ketika kerja-kerja pemasangan paip dilakukan, para pekerja mendapati bangunan tersebut rupa-rupanya dibina di atas tanah perkuburan masyarakat asli Amerika.
Dikatakan ramai yang terdengar suara rintihan dan jeritan dari bilik-bilik kosong di situ. Pada waktu yang lain, katil tiba-tiba bergerak sendiri, teko air menggelongsor di atas lantai dan meja, serta kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam bilik kosong.
KEJADIAN ANEH
Satu lagi hospital yang disenaraikan sebagai antara paling berhantu di dunia adalah Hospital Whittingham, di Preston, Lancashire, England. Dibuka pada 1873, ia merupakan hospital mental terbesar di England pada ketika itu.
Banyak kejadian aneh berlaku di sini. Dikatakan banyak kali berlaku pesakit tiba-tiba terkunci di dalam sebuah bilik kecil di bawah tangga dan di dalam bilik air.
Paling menakutkan adalah rambut pesakit ditarik “sesuatu” dan leher mereka dijerut dengan tuala basah hingga tidak sedarkan diri.
Ada pihak mengaitkan kejadiankejadian misteri ini dengan peristiwa seorang pesakit tua yang mati disembelih oleh seorang jururawat.
Namun begitu, barangkali daripada sekian banyak hospital berhantu di dunia ini, yang paling misteri adalah Waverly Hills Sanatorium, di Louiseville, Kentucky, AS. Hospital yang dibina pada 1908 ini asalnya digunakan sebagai pusat rawatan pesakit batuk kering yang merebak ketika itu.
Ramai yang meninggal dunia ketika dirawat di situ. Antara kisah misteri paling terkenal berlaku di pintu masuknya.
Dikatakan ramai pengunjung mendakwa terserempak dengan jelmaan seorang wanita tua berlari di situ dalam keadaan badannya diikat rantai dan dipenuhi luka serta darah.
Sambil berlari wanita tua itu meraung meminta tolong sebelum hilang begitu saja bagaikan kabus.
Di tingkat tiga bangunan tersebut pula kelihatan kelibat seorang gadis.Diceritakan ada kalanya gadis ini muncul seperti manusia biasa dan berbual dengan pengunjung yang hadir di hospital.
Pada waktu yang lain dia dilihat berdiri di tepi tingkap dan memandang ke luar dengan wajah yang sayu. Mereka menamakannya sebagai Mary.
Diceritakan bahawa kejadiankejadian misteri yang berlaku di sini ada kaitan dengan peristiwa seorang ketua jururawat membunuh diri pada 1928 kerana ditinggalkan kekasih dalam keadaan hamil.
Ia berlaku di Bilik 502. Kononnya juga berlaku kejadian seorang jururawat membunuh diri denganterjun dari tingkap bangunan itu pada 1932. Sejak itu kelibat seorang jururawat muda sering dilihat berlegar-legar di hospital berkenaan.
Ada juga yang mendakwa ternampak jelmaan seorang kanak-kanak di bumbung hospital. Kononnya suatu ketika dahulu budak itu ditempatkan di atas bumbung sebagai satu proses terapi bagi mendapatkan pancaran cahaya matahari secara optimum.
Tempat paling berhantu adalah di tingkat empat. Bayangan-bayangan aneh dilihat mundar-mandir, daun pintu terbuka dan tertutup sendiri dengan kuat serta suara jeritan dan bunyi bising kedengaran pada waktu-waktu tertentu.
Ada juga yang mendakwa terhidu bau masakan dari bahagian dapur yang telah lama terbiar. Malah ada yang mendakwa melihat jelmaan tukang masak bekerja di situ.
Di kaki lima hospital pula terdengar suara bisikan, tangisan dan jeritan misteri.
sumber : Zulkarnain Zakaria utusan online
Copy and paste :
31/12/2024: 11.23 p.m
No comments:
Post a Comment