Sunday, 22 December 2024

Macam Mana Boleh Ada Kubu Perang Dunia Kedua di Sungai Kelantan?


SUMBER: THE PATRIOTS

Oleh: Azizul Farhan
Lepas banjir haritu, ramai yang baru tahu ada kubu tinggalan Perang Dunia Kedua di tebing Sungai Kelantan. Itu pun lepas tebing tu runtuh barulah ramai orang perasan kewujudannya.
Tahu tak yang sebenarnya Kota Bharu ialah tempat pertama diserang Jepun semasa Perang Pasifik?
Kalau kita tanya orang-orang Amerika tentang dimanakah bermulanya Perang Pasifik ketika Perang Dunia Kedua? Majoriti akan menjawab Pearl Harbour.
Korang tau tak serangan Jepun terhadap Kota Bharu awal lagi sebelum Pearl Harbour?
Di sini jugalah British berdepan Blitzkrieg - Perang Kilat Jepun buat kali pertama.
Pertempuran ni tercetus 70 minit sebelum serangan udara Jepun ke atas Pearl Harbor, Hawaii.
Bila Kubu British di Kelantan Dibina
Menjelang Perang Dunia Kedua, tentera British di Kelantan mula mendirikan kubu-kubu untuk mempertahankan pantai-pantai negeri itu daripada serangan Jepun.
Mereka ditugaskan untuk menjaga dan mempertahankan landasan terbang di Pengkalan Chepa, Machang dan Gong Kedak di Pasir Puteh.
Kubu-kubu ini dibina pada tahun 1940 sepanjang pesisir pantai dari Tumpat hingga Bachok, selain kawasan strategik seperti tebing Sungai Kelantan dan lapangan terbang di Machang.
Kubu-kubu ini menjadi pertahanan penting semasa serangan Jepun yang bermula pada tengah malam 7 Disember hingga awal pagi 8 Disember 1941.
Kedudukan kubu-kubu ini diatur pada jarak sekitar 1.5 kilometer antara satu sama lain untuk memastikan kawalan menyeluruh.
Namun, Jepun yang menyasarkan pantai Sabak, Kuala Pak Mat, dan pantai Badang di Kota Bharu tetap berjaya menembusi pertahanan ini selepas pertempuran sengit.
Jepun Mula Menyerang Kota Bharu
Tetapi berbeza dengan serangan di Pearl Harbor yang tak dirancang, operasi di Kota Bharu pula memang menjadi sebahagian daripada rancangan penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu.
Divisyen Kelima dijangka mara ke Tanah Melayu dari sebelah Pattani dan Songkhla, selatan Thailand. Sementara Divisyen Ke-18 Jepun pula akan mendarat di Kota Bharu bagi memulakan operasi dari sebelah pantai timur.
British jangka Jepun akan datang dari dua arah ini. Dua operasi dirancang British iaitu Operasi Krohcol dan Operasi Matador.
Bagaimanapun, sikap kepimpinan tinggi tentera British sedikit sebanyak menyumbang kepada kegagalan British mengekang kemaraan Jepun di Kota Bharu.
Sikap terburu-buru British masuk ke sempadan Thailand-Tanah Melayu mengakibatkan tentangan sengit daripada tentera, polis dan warga Thai.
Jepun menggempur Kota Bharu dengan membawa 5,000 orang tentera untuk mendarat di situ.
Tentera-tentera ini dibawa dari Saigon (kini Ho Chi Minh City), Vietnam dan Pulau Hainan, China.
Tiga kapal pengangkut iaitu Awazisan Maru, Ayatosan Maru dan Sakura Maru mengangkut mereka ke situ.
British dah bersiap sedia menempatkan Divisyen Infantri India Kelapan dengan sokongan pasukan artileri.
Selain itu, mereka turut pasang periuk api, kawat berduri dan parit-parit bagi memperlahankan kemaraan tentera Jepun yang mendarat.
Sepatutnya di sebelah laut, ia dikawal oleh dua buah kapal perang British iaitu Repulse dan Prince of Wales.
Tetapi sama ada terlampau yakin atau bodoh, pihak British memutuskan untuk hantar Repulse ke Australia selama dua minggu.
Sementara Laksamana Tom Philips yang sepatutnya memantau keadaan di sebelah pantai timur boleh menghilangkan diri kerana mengadakan lawatan ke Filipina.
Pada tengah malam 8 Disember 1941, Jepun mula mendarat di Kota Bharu.
Pada awalnya, pihak Jepun berdepan kesukaran untuk mara disebabkan periuk api, kawat berduri, parit-parit dan tembakan bertubi-tubi mesingan pihak British.
Ini memaksa gelombang pertama dan kedua tentera Jepun terpaksa bertempur bermati-matian untuk menembusi pertahanan British yang berada di beberapa pantai sekitar Kota Bharu.
Selain asakan mesingan dan artileri, mereka juga terpaksa berdepan serangan udara 10 pesawat pengebom Lockheed Hudson.
Dengan tekanan sebegini, tidak hairanlah Jepun menyifatkan Pertempuran Kota Bharu sebagai yang paling sukar dalam menakluk Tanah Melayu.
Kempen tersebut menyaksikan 300 orang tentera mereka terbunuh dan 500 lagi cedera.
Di sebalik semua ini, Jepun terus mara dan akhirnya berjaya menguasai Kota Bharu pada 9 Disember.
Sebaik berjaya bertapak di situ, tentera Jepun baik di sebelah utara (Perlis dan Kedah) atau belah timur (Kota Bharu, Kelantan) memilih satu pendekatan bukan konvensional: berjalan atau basikal sebagai kaedah pergerakan.
Pertempuran Kota Bharu merupakan permulaan kempen Jepun di Tanah Melayu dan ia berterusan sehingga 15 Februari 1942.
Mana Perginya Kubu-Kubu Itu Sekarang?
Sebahagian besar kubu yang dibina British di Kelantan ketika Perang Dunia Kedua kini sudah tiada, ditelan zaman dan hakisan alam.
Banyak kubu di sepanjang pantai, terutamanya di Tumpat, Bachok dan kawasan sekitar Kota Bharu telah hilang akibat hakisan pantai yang berterusan sejak 1942.
Namun, masih ada segelintir kubu yang kekal berdiri walaupun dalam keadaan usang, tersembunyi di sebalik semak-samun atau tertanam di bawah tanah. Penemuan kubu di tebing Sungai Kelantan baru-baru ini adalah salah satu contohnya.
Selain itu, ada juga kubu-kubu yang kini berada di kawasan persendirian, dibangunkan menjadi ladang atau tanah pertanian dan sebahagiannya tertanam di bawah lapisan tanah.
Apa yang menyedihkan, kebanyakan kubu ini tidak didokumentasikan dengan baik. Tiada usaha besar-besaran dilakukan untuk melindungi atau memulihara peninggalan bersejarah ini.
Tanpa tindakan segera, kubu-kubu ini berisiko terus hilang, dan kita mungkin kehilangan sebahagian penting sejarah tanah air kita.
___
Nak tau macam mana kekejaman Jepun ketika Perang Dunia Kedua?Dapatkan MALAYA 1941 dan PERANG DUNIA KEDUA di Shopee kami sekarang!

Copy and paste:
22/12/2024: 3.59 p.m

No comments: