Sumber: The Patriots > 22 December 2024
Oleh: Azizul Farhan
Peristiwa Dunkirk yang sering kali kita kenali adalah operasi penyelamatan 338,000 askar British dan Perancis dari pantai Dunkirk, Perancis pada tahun 1940.
Di sinilah, seorang wira tempatan, Leftenan Ibrahim Alla Ditta memahat namanya dalam sejarah dengan menyelamatkan 2000 askar British di Pantai Punggur, Johor pada hujung Januari 1942.
Pada 16 Januari 1942, Jepun semakin mara ke Muar dan Batu Pahat. Pertempuran sengit berlaku apabila batalion British cuba mempertahankan kedudukan mereka namun gagal.
Mereka dihantar untuk mengekang kemaraan Jepun tetapi akhirnya terpaksa berundur. Arahan diberikan untuk mengosongkan tanah besar Malaya dan berundur ke Singapura. Batalion British yang sudah penat dan terdesak tiba di Senggarang, 15 batu di selatan Batu Pahat, pada pagi 25 Januari.
Keadaan semakin kritikal apabila usaha menutup dan membakar jalan oleh British tidak berjaya menghentikan kemaraan Jepun. Komander Briged tiada pilihan selain mengarahkan semua artileri dan kenderaan bermotor dimusnahkan dan askar-askar berundur dengan berjalan kaki melalui paya bakau, parit dan paya yang penuh bahaya.
Ketika ini, Leftenan Ibrahim Alla Ditta dan pasukan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) memainkan peranan penting.
Dalam keadaan kelam-kabut, Leftenan Ibrahim dan beberapa pegawai lain seperti Leftenan Yazid Ahmad dan 2nd Leftenan Mohd Ali Sharakat membantu menavigasi askar-askar British yang keletihan dan sesat menuju ke pantai untuk penyelamatan.
Leftenan Ibrahim bukan sekadar menunjukkan kebijaksanaan strategiknya tetapi juga keberanian yang luar biasa. Beliau memimpin misi penyusupan ke kawasan tentera Jepun untuk mendapatkan maklumat kekuatan musuh.
Tindakan nekad ini membolehkan mereka merancang pengunduran dengan lebih berkesan. Walaupun ditangkap oleh Jepun, beliau berjaya meloloskan diri dan kembali kepada pasukannya.
Keberanian dan kebijaksanaan inilah yang melayakkan beliau dianugerahkan pingat Military Cross oleh King George VI pada 1 Ogos 1946.
Pada malam 27 Januari, komunikasi berjaya dilakukan dengan Tentera Laut. Dua malam kemudian, semua askar British yang berundur diselamatkan oleh HMS Scorpion dan HMS Dragon Fly dan dibawa ke Pelabuhan Singapura.
Malayan Dunkirk ini menjadi bukti keberanian dan kebijaksanaan tentera kita, terutama Leftenan Ibrahim Alla Ditta yang menjadi pahlawan tanpa diduga, menyelamatkan ribuan nyawa dalam saat-saat genting.
Leftenan Ibrahim Alla Ditta, anak kelahiran Taiping, Perak, memasuki alam ketenteraan pada 1 Januari 1935 dan berkhidmat sehingga mencapai pangkat Sarjan sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 31 Disember 1938.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau bukan sahaja menunjukkan ketangkasan dan kepemimpinan tetapi juga semangat juang yang tinggi, menjadikan beliau antara pegawai tentera yang paling dihormati dalam sejarah negara.
___
Macam mana Jepun menawan Malaya hanya dalam masa kurang dari dua bulan? Kalau nak tahu, dapatkan MALAYA 1941 dan PERANG DUNIA KEDUA di Shopee kami sekarang!
Malaya 1941: https://shope.ee/4fXvppM4Ce
Copy and paste:
25 Disember 2024: 11.48 a.m
No comments:
Post a Comment