Posted by Rozza Zainal
FB PERISTIWA N' SEJARAH : 27 August 2022
10/12/2020, By Aiman Hakim
Perang Dunia Kedua memberikan impak yang besar kepada penduduk Tanah Melayu. Rakyat Tanah Melayu tidak mengira bangsa bermati-matian mempertahankan tanah air mereka. Sebenarnya ada adik beradik dari Malaya yang pernah berjuang di Eropah dan menjadi hero di sana.
Henry dan Cyril Tallala merupakan anak kepada Hewage Benjamin Tallala, seorang usahawan berbangsa Sri Lanka yang disegani di Kuala Lumpur. Hewage mula terkenal di sana setelah mencipta proses pembersihan moden yang pertama di bandar itu. Hewage juga turut mencatat sejarah di dalam sejarah penerbangan negara setelah membuat penerbangan solo dari Alor Setar ke Croydon, England pada 1932.
Henry dan Cyril Tallala mendapat pendidikan di Victoria Instituiton. Kedua-dua beradik ini amat aktif di dalam sukan. Mereka juga memandu sendiri kereta untuk pergi ke sekolah dan keizinan ini hanya diberikan oleh mereka.
Sewaktu persekolahan mereka, Henry dan Cyril juga berjaya memiliki lesen memandu kapal terbang. Mereka sering terbang berlegar-legar di udara Kuala Lumpur jika mempunyai masa terluang.
Setelah menamatkan persekolahan, Henry melanjutkan pelajarannya ke London untuk mengambil jurusan perubatan di Institut St Bartholomew.
Apabila Perang meletus di Eropah, British memanggil semua pelatih juruterbang di negara-negara komanwel untuk membantu mereka di Eropah. Henry dan Cyril kemudian menyertai latihan penerbangan Angkatan Tentera Diraja British (RAF) di Singapura.
Cyril kemudian berjaya lulus latihan tersebut dan berjaya menjadi orang Asia pertama yang berjaya melepasi ujian penerbangan RAF. Cyril kemudian berkelana terbang ke Sydney dan seterusnya ke Kanada untuk menyambung latihan. Henry pula gagal melepasi ujian kecergasan dan terpaksa pulang ke Kuala Lumpur.
Selepas berjaya menghabiskan latihan, Cyril dinaikkan pangkat sebagai Staff Sargeant dan bertugas ke Britain. Enam bulan kemudian, Henry akhirnya berjaya melepasi ujian kecergasan. Setelah menghabiskan latihan di Sekolah Penerbangan Alberta, Kanada, Henry juga dinaikkan pangkat sebagai Staff Sargeant dan dihantar ke Britain.
Setelah menjalani bersama Skuad Latihan Operasi Hurricane, pada musim panas 1943, Henry dihantar untuk bertugas di dalam Skuadron 182 Pasukan Taktikal Kedua Angkatan Tentera Diraja British yang berpengkalan di Merston.
Cyril yang bertugas lebih awal berbanding Henry kini menjadi salah satu anggota Skuad Spitfire. Cyril juga pernah menjadi pengiring kepada konvoi 1000 pesawat pengeb0m. Kejayaan beliau mengiringi konvoi ini membuahkan hasil dan beliau dikurniakan pingat penghargaan Distinguished Flying Cross oleh Kerajaan British.
Di Malaya, keadaan keluarga Tallala ini amat menyedihkan. Setelah Jepun berjaya menawan Tanah Melayu, keluarga Tallala ini diseksa oleh pihak Jepun. Mereka disyaki terlibat sebagai dalang di dalam sebuah operasi untuk mensabotaj kapal perang Jepun di Singapura.
Pada 1944, Tentera Bersekutu membuat satu serangan ke atas Jerman melalui pantai Normandy yang mana Henry dan Cyril juga turut terlibat sama. Pada 25 Julai, Henry dan pasukannya diarahkan untuk menyerang skuad kereta kebal Panzer Jerman. Malangnya pesawat Henry telah ditembak dan terhempas di sebuah ladang berhampiran Bandar Caen.
Bangkai pesawat Henry kemudian ditemui oleh pihak penentang Perancis dan dikebumikan di kawasan yang sama. Cyril yang pada ketika itu bertugas sebagai Komander Skuad 122 itu akhirnya mendapat perkhabaran mengenai saudaranya itu.
Cyril kemudian mencari lokasi terakhir Henry. Namun, kerana situasi perang yang tidak mengizinkan. Menjelang Krismas 1944, Cyril memutuskan untuk tidak terlibat di dalam mana-mana operasi lagi dan beliau bekerja sebagai pelatih juruterbang sehingga perang tamat.
Sebelum berhenti, beliau berjaya memusnahkan tiga pesawat dan merosakkan sebuah pesawat di dalam operasinya. Keberanian Henry itu mendapat perhatian dari Raja George V. Oleh itu, Raja George mengundang Cyril untuk hadir ke Istana Buckingham oleh raja sendiri.
Keluarga Tallala di Malaya tidak mengetahui akan nasib anaknya. Pada suatu hari, mereka mendapat tahu keberadaan anak-anak mereka di Eropah melalui berita yang disampaikan oleh seorang anggota Force 136.
Kematian Henry amat mengejutkan mereka. Selepas Jepun menyerah kalah, bapa Henry dan Cyril, Hewage terbang ke London untuk menuntut mayat anaknya. Di London, Hewage pergi sendiri ke Kementerian Udara British untuk menjejak anak-anaknya. Beliau juga turut meminta pertolongan daripada pihak berkuasa di Perancis.
Hewage kemudian berjaya menjejaki pusara anaknya, Henry melalui seorang petani yang bernama Loiuse Bree. Mayat Henry kemudian disempurnakan dan disemadi di Memorial Perang Banneville-la-Campagne di Cavaldos.
Pada Oktober 1945, Cyril akhirnya pulang ke Malaya dan menukar namanya kepada Jimmy. Di Malaya, Cyril masih bertugas sebagai jurulatih penerbangan di sana. Cyril juga sering memakai pakaian Tenteranya ketika terbang di ruang udara Kuala Lumpur.
Pada 1949, nama Henry Tallala diabadikan di perpustakaan sekolah Victoria Institution dan dirasmikan oleh Sir Anthony Eden. Keluarga Tallala ini juga diberi penghormatan untuk menanam pokok peringatan di perkarangan sekolah ini. Pokok ini masih wujud hingga ke hari ini.
Cyril kemudian menjalani kehidupan seperti rakyat biasa. Pada 1953, Cyril menyertai Jabatan Penerbangan dan bertugas sebagai penjaga trafik. Pada hujung tahun itu, Cyril dilantik sebagai Ketua Komander Juruterbang Persekutuan Tanah Melayu.
Sepanjang perkhidmatannya, Cyril sering membawa anggota kenamaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Sardon Jubir dan Leong Lew Koh. Tunku juga sering meminta Cyril untuk menjadi juruterbang peribadinya. Kemudian, Cyril menyertai Malayan Airlways dan dilantik sebagai pengurus syarikat tersebut di Kuala Lumpur sehinggalah beliau bersara pada 1963.
Cyril kemudian berpindah ke Llangerdeine, Wales dan membuka sebuah pub di sana. Pub itu agak terkenal di bandar tersebut. Cyril meneruskan perniagaannya itu setelah kematiannya pada 1973.
Pada 1994, sempena ulang tahun peristiwa D-Day, keluarga Tallala dijemput untuk menghadiri majlis peringatan yang berlangsung di Normandy. Sebuah gereja tempatan di Airan juga membuat satu majlis peringatan bagi mengenang Henry.
Henry tidak dilupakan begitu saja, pemuda yang berasal dari Malaya ini kini diabadikan di sebatang jalan raya yang menghubungkan Moult dan Airan dan menjadi laluan utama bagi penduduk-penduduk bandar tersebut.
RUJUKAN:
(n.d.). Retrieved December 09, 2020, from http://viweb.school/talalla-bros.htm
Choo, E. (2018, October 29). Brothers In Arms. Retrieved December 09, 2020, from https://goingplaces.malaysiaairlines.com/brothers-in-arms/
Lingan, L. (2014, August 31). Talalla brothers flew high during WW2: New Straits Times. Retrieved December 09, 2020, from https://www.nst.com.my/.../talalla-brothers-flew-high...
Sumber artikel : thepatriots
No comments:
Post a Comment