Saturday 7 March 2020

DALAM KENANGAN - KD MUTIARA

KD MUTIARA

36TH HYDROGRAPHIC SQUADRON

















Saya telah berkhidmat di KD Mutiara dari 26 Ogos 1985 sehingga 1 Mei 1986. Pegawai Memerintah ketika itu ialah Kdr Husaini Bin Abdullah TLDM N/400355.

KD MUTIARA di bina di Pulau Pinang oleh Syarikat Hong Leong Lurssen Dockyard. Dengan menggunakan kata panggilan antarabangsa 9MNG, kapal ini telah ditauliahkan di dalam perkhidmatan TLDM pada 18 Disember 1977 dengan nombor pennant A 255. Pelancaran kapal in telah disempurnakan oleh DYMM Raja Permaisuri Agung ketika itu Tengku Zainab binti Tengku Seri Utama Raja Muhammad Petra. Ianya mengambil sempena nama KD Mutiara lama yang tamat perkhidmatan. KD Mutiara diletakkan dibawah Skuadron ke 36 Hidrografi bersama KD Perantau. Kept Goh Siew Chong TLDM N/400157 adalah Pegawai Memerintah KD Mutiara yang pertama.

KD MUTIARA berdimensi 71 meter panjang, 13 meter lebar dan berkapasiti 1905 tan. Untuk sistem tujahan, kapal dilengkapi dengan 2 enjin utama jenis Deutz SBA 12M 528 yang digerakkan menggunakan Controllable Pitch Propeller (CPP). Kelajuan maksimum kapal boleh mencapai sehingga 16 batu nautika sejam. Pengoperasian kapal bagi mengoperasikan sistem dan peralatan yang terpasang dijana menggunakan 3 janakuasa utama dan 1 janakuasa kecemasan. Kapal juga dilengkapi dengan 4 buah bot ukur dan 2 buah bot kerja.
Bidang tugas KD MUTIARA adalah melaksanakan pengukuran hidrografi, melaksanakan pemerhatian meteorologi dan melakukan kerja - kerja penyelidikan cerapan oseanografi yang terhad. Carta nautika telah dikeluarkan hasil dari data KD MUTIARA ini telah menyumbang kepada Safe Navigation dan seterusnya memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi melalui bidang pengangkutan import dan eksport yang menggunakan jalan laut. Kapal turut memegang rekod pengukuran yang mengagumkan yang mana telah menyumbang kepada penerbitan 50 carta nautika.

Pegawai Memerintah pertama KD Mutiara, Kept (B) Goh Siew Chong menerima cenderahati dari Panglima Tentera Laut
KD Mutiara mengakhiri perkhidmatannya dengan TLDM setelah 41 tahun menabur bakti. KD Mutiara dilucutkan tauliah pada 20 Julai 2018 di Pengkalan TLDM Lumut , Perak. 
Upacara pelucutan tauliah kapal itu disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Tambatan Pangkalan TLDM di sini.
Majlis itu dihadiri lebih 300 anggota dan pegawai TLDM serta 11 bekas pegawai memerintah kapal berkenaan.
Dengan pelucutan tauliah itu, kapal berkenaan dikeluarkan daripada inventori Skuadron Hidrografi Ke-36 TLDM.
KD Mutiara yang dibina pada akhir 1975, dilancarkan pada 13 November 1976 dengan dilengkapi teknologi bagi melaksanakan operasi di kawasan tropika; menjalankan operasi dan pengukuran luar pantai serta kajian oseanografi.
Sepanjang perkhidmatan, kapal hidrografi itu merekodkan pelayaran sejauh 220,000 kilometer (km) bersamaan enam kali mengelilingi dunia dengan 146 Arahan Hidrografi merangkumi keluasan pengukuran seluas 68,598 kilometer persegi perairan negara berjaya dilaksanakan.







7 March 2020 / 12 Rejab 1441H : 3.45 pm

No comments: