Sumber: Sejarah.World
“Jika roboh Kota Melaka, Papan di Jawa kami Dirikan, Jika sungguh bagai dikata, badan dan nyawa jadi taruhan.”
Melaka merupakan sebuah Empayar Maritim Melayu yang merentangi laluan perdagangan dunia di Selat Melaka. Laluan Selat Melaka menjadi penting dan terkenal apabila banyak kapal dagang yang bersaiz mega dibina lalu menyebabkan laluan sempit merentasi Segenting Kra menjadi tidak popular sehinggakan laluan tersebut ditutup sekitar kurun ke-13 M.
Kemakmuran Kota Melaka disebabkan oleh kebijaksanaan sultannya yang bijak dalam berdiplomasi dan mahir dengan perdagangan maritim. Setiap hari dianggarkan terdapat 2,000 buah kapal dagang yang akan singgah di pelabuhan-pelabuhan Kota Melaka untuk berdagang dan mengisi keperluan. Para pedagang juga sering singgah di Melaka untuk berehat dan mengisi masa terluang untuk menunggu angin monsun berubah.
Kemakmuran Kota Melaka menyebabkan ia menjadi tumpuan pedagang seluruh dunia dan digambarkan terdapat lebih 84 bahasa yang dipertuturkan di pasar Melaka. Uniknya, Bahasa Melayu merupakan Lingua Franca atau bahasa perhubungan antara bangsa-bangsa yang berdagang di Melaka mahupun seluruh laluan perdagangan bermonsun tersebut.
Tome Pires menganggarkan terdapat lebih kurang 4,000 pedagang asing di Melaka pada Tahun 1509, dengan 1000 orang pedagang daripada Gujarat. Laluan Selat Melaka juga menjadi laluan peribadi kepada Kesultanan Melayu Melaka. Semua kapal yang melaluinya perlu singgah di Melaka dan membayar tol.
Selain itu, Pires juga berpendapat bahawa Melaka merupakan Kota yang terbina untuk perdagangan, sangat sesuai berbanding mana-mana kawasan lain. Di sinilah berakhirnya monsun dan bermulanya monsun yang berbeza. Melaka dikelilingi oleh jalur perdagangan dan ia berada di tengah-tengahnya, dan perdagangan serta perniagaan di antara pelbagai negara yang terletak beribu batu jauhnya mesti datang ke Melaka untuk berdagang.
Kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan pada kurun ke-15 M sudah tidak dapat disangkal lagi apabila Bahasa Melayu diajarkan di Istana Ming dan digunakan sehingga ke Mekah sebagai bahasa selain bahasa Arab di sana.
Kekayaan Kota Melaka sebagai kota pelabuhan dicemburui ramai pesaingnya. Siam, Aru malah Makassar pernah datang untuk menyerang dan menakluk Melaka. Namun, kekuatan Tentera Laut Melaka dan kebijaksanaan pembesar bermain taktik peperangan menyebabkan Melaka kekal bermandiri sehingga awal kurun ke-16 M.
Pada Tahun 1505 M, Raja Manuel I dari Portugal yang mengalami Era Eksplorasi mahu menguasai jalur perdagangan dunia. Portugal bertekad untuk menghapvskan pengaruh Perdagangan Islam di Lautan Hindi dengan menakluk Aden, Hormuz, Goa dan Melaka.
Barat Eropah terasa kesan daripada penaklukan Konstantinopel ke tangan Uthmaniah dan Uthmaniah menutup jalur perdagangan ke dunia Barat. Tambahan pula, Venice yang menjadi orang tengah perdagangan di antara Cairo (Kerajaan Islam Mamluk) dan Eropah Barat bertindak mengenakan cukai yang tinggi.
Keadaan ini menyebabkan Portugal mahu mencari alternatif lain dari terus-terusan dimonopoli oleh Venice.
Jurutera peperangan yang digerakkan oleh Raja Manuel I ialah Afonso de Albuquerque. Afonso seorang jeneral yang genius dengan taktik perang dan risikan berjaya menakluk Aden, Hormuz dan Goa sebelum bergerak ke Melaka.
Pada Tahun 1509 M, Diogo Lopes de Sequeira dihantar ke Melaka oleh Raja Portugal dengan empat buah kapal Portugis untuk membuka jalur perdagangan dengan Melaka. Pada mulanya, rombongan Raja Portugal ini diterima oleh Sultan Mahmud Syah dengan hati yang terbuka.
Namun, pedagang-pedagang dari Goa dan sekitarnya seperti Malbari dan Calicut telah memberi amaran kepada baginda Sultan bahawa Portugis bukanlah bangsa yang berhati mulia. Mereka telah terkena kesannya apabila Portugis yang hadir di Barat India melakukan penj4rahan dan peny3rangan kapal-kapal Islam di Lautan Hindi.
Tambahan pula, rombongan delegasi yang tidak faham budaya Timur telah turun ke pelabuhan Melaka dan memeluk serta mencumbui wanita-wanita di Melaka menyebabkan mereka diperangi oleh hulubalang-hulubalang Melaka lalu dibunvh atau dipenjarakan.
Afonso berlepas ke Melaka pada Bulan April 1511 dengan 1200 pejuang menaiki 18 buah kapal perang. Afonso yang tiba di pelabuhan Melaka pada Bulan Julai 1511 cuba menyerang dan menakluk Melaka, namun beliau gagal pada pertama kalinya.
Namun, Afonso berjaya memaksa Melaka untuk membebaskan tahanan perang Portugis seperti Rui de Araujo yang telah mempelajari dan mengetahui keadaan pertahanan di Melaka semasa dalam penjara Melaka.
Rui de Araujo berjaya menghantar risikannya kepada Afonso semasa Afonso dalam usaha menawan Goa melalui saudagar India kaya yang bernama Nina Chatu dan semasa Rui de Araujo dalam tahanan Melaka. Araujo menjelaskan berkenaan dengan kehebatan artileri Melaka sebagai pertahanan, kemakmuran Melaka sebagai sebuah kota yang kaya-raya dan ramai penduduknya.
Dalam surat de Araujo, dinyatakan bahawa Orang-orang Gujarati sedang bertungkus-lumus siang dan malam untuk membina kubu pertahanan Melaka dan Melaka tidak akan tunduk kepada kuasa Portugis. De Araujo juga menasihati Afonso untuk menyegerakan serangan kerana jika kubu pertahanan siap, Orang Portugis tidak mungkin boleh menjejakkan kaki ke Kota Melaka.
Kerajaan Melaka yang sedang dalam krisis pembesar kerana pembesar-pembesar utama negara telah dihukum bunuh sebelumnya bertindak mengupah tentera upahan untuk menahan serangan daripada Portugis. Portugis berjaya memaksa mereka berpaling tadah dan tidak membantu mempertahankan kota Melaka, walaupun Melaka telah memberikan wang pendahuluan sebanyak tiga bulan kepada mereka.
Sultan Ahmad Syah yang menaungi takhta Sultan Mahmud ketika itu memberikan tentangan sengit kepada ketumbvkan Portugis yang meny3rang Melaka.
Setelah mendapatkan maklumat dan mendapatkan pertolongan orang-orang yang berpaling tadah menjadi tali barut Portugis, Portugis berjaya menawan Kota Melaka dengan menggunakan Jong Berni (sebuah ibukota di Timur Sumatra) dan Jong Cina.
Akhirnya, Pada Bulan Ogos 1511, Melaka kalah walaupun Kota Melaka terdapat banyak senjata artileri. Melaka berjaya dikalahkan disebabkan adanya pengkhianat yang membuka pintu kota dan pengawal kota yang mengawal artileri berpaling tadah daripada menyerang Portugis. Selain itu, Melaka juga tidak mempunyai serbuk belerang yang mencukupi menyebabkan mereka tidak mampu membalas ser4ngan meriam kapal Portugis yang dibina khas untuk men3mbak jauh ke daratan. Portugis juga berjaya menakluk beberapa Kota Pelabuhan Islam seperti Aden, Hormuz daan Goa dengan menggunakan taktik serangan ‘mengebom dari kapal’ tersebut.
Rujukan:
- Paul Wheatley (1961). The Golden Khersonese, Kuala Lumpur, Universiti of Malaya Press.
- Afonso de Albuquerque (diterjemahkan oleh Walter de Gray, 1875). The commentaries of the great Afonso Dalboquerque, second viceroy of India, London, Hakluyt Society.
- Sejarah Melayu Versi Raja Bongsu (MS Raffles No. 18)
Gambar daripada: https://torredahistoriaiberica.blogspot.com/2010/12/afonso-de-albuquerque-2-governador.html?m=1
Sumber : Sejarah.World
18 March 2020 / 23 Rejab 1441H : 3.44 pm
No comments:
Post a Comment