Tuesday 31 March 2020

BANGSA MELAYU


Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya Kerajaan Melayu sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai Melayu" di Jambi.


Etimologi
Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.

Istilah "Melayu" untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun demikian, tidaklah sehingga abad ke-17 bahawa istilah "Melayu" yang merujuk kepada bangsa semakin digunakan secara meluas. Sebelum itu, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada keturunan raja Melayu dari Sumatera sahaja.

Penggunaan istilah "Melayu" muncul buat pertama pada kira-kira 100-150 Masihi dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis, yang menggunakan istilah "maleu-kolon". G. E. Gerini menganggap istilah itu berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu malayakom atau malaikurram, yang merujuk kepada Tanjung Kuantan di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, Roland Bradell menganggap tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabung.

Istilah Malaya dvipa muncul dalam kitab Purana, sebuah kitab Hindu purba, yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha sehingga 500 Masihi. Dvipa bermaksud "tanah yang dikelilingi air" dan berdasarkan maklumat-maklumat yang lain dalam kitab itu, para pengkaji beranggapan bahawa Malaya dvipa ialah Pulau Sumatera.

Istilah "Mo-lo-yu" juga dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji bersependapat bahawa perkataan "Mo-lo-yo" yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Palembang.

Masalah dalam penakrifan orang Melayu
Penakrifan orang Melayu merupakan satu pekerjaan yang sukar. Sekiranya menurut penakrifan orang Melayu sebagai orang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, penakrifan ini merangkumi kebanyakan orang di Malaysia, Indonesia, dan sebahagian daripada negeri Thai dan Filipina. Tetapi, apa yang menjadi masalahnya, di Indonesia orang Melayu hanya merupakan salah satu daripada beratus-ratus kaum/suku di negara itu. Lebih-lebih lagi, warga Indonesia lebih suka mengenali diri mereka sebagai orang Indonesia dan mengenali bahasa mereka sebagai bahasa Indonesia. Walaupun demikian, secara amnya terdapat dua jenis penakrifan untuk menentukan sama ada seseorang itu orang Melayu. Iaitu:

* Penakrifan undang-undang
* Penakrifan antropologi

Penakrifan undang-undang
Di negara Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut perlembagaan dalam perkara 160(2). Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai :

1. Seorang yang beragama Islam
2. Bertutur bahasa Melayu
3. Mengamalkan adat istiadat Melayu
4. Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.

Takrifan undang-undang ini adalah ditetapkan demi keperluan politik di negara Malaysia. Maka dengan itu, ia adalah tidak menepati hakikat di mana sebenarnya terdapat juga orang Melayu yang bermastautin di luar Persekutuan Malaysia. Contohnya di selatan Thailand terdapat juga kelompok manusia yang bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu.

Penakrifan antropologi
Menurut Syed Husin Ali yang merupakan ahli antropologi di negara Malaysia, orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Dari segi etnologi, Melayu bermakna kelompok masyarakat yang mengamalkan sistem kemasyarakatan dwisisi dan kegenerasian yang termasuk dalam bangsa Mongoloid.



Asal usul bangsa Melayu

Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:

* Bangsa Melayu Berasal daripada Yunnan(Teori Yunnan)
* Bangsa Melayu Berasal daripada Nusantara(Teori Nusantara)

Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.

Teori ini disokong oleh beberapa sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar. Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperti berikut:

1. Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk daripada Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
2. Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah Assam (Berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar).
3. Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja. Dengan lebih lanjut lagi, penduduk di Kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunnan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.

Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum. Contohnya, dalam buku Teks Pengajian Malaysia, adapun menyatakan "nenek moyang" orang Melayu itu berasal daripada Yunan.

Berdasarkan Teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunnan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya.

Orang Negrito
Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka diperkirakan ada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, serta saiz badan yang pendek.

Melayu Proto
Perpindahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu diperkirakan berlaku pada 2,500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, ditandai dengan kemahiran bercucuk tanam. Terdapat satu lagi persamaan antara Melayu Proto dimana dikenali sebagai Melayu Negosiddek dimana kebanyakan terdapat disebuah pulau yang dikenali sebagai Pinang. Melayu Negosiddek ini mahir dalam bidang lautan tetapi tidak pandai berenang.

Melayu Deutro
Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua yang berlaku pada 1,500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar.

Teori Nusantara
Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:

1. Bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
2. K.Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa (Kemboja). Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena "ambilan"
3. Manusia kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.
4. Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Teori ini merupakan teori yang kurang popular khususnya di negara Malaysia.

Kekeluargaan orang Melayu
Sistem kekeluargaan Melayu mempunyai ciri-ciri yang agak fleksibel. Ciri-ciri ini terlihat dalam perkahwinan Melayu yang boleh berbentuk matrilokal atau patrilokal, monogami atau poligami. Lebih-lebih lagi, perkembangan keluarga mempunyai beberapa variasi. Dalam sistem ini, keluarga boleh bercerai dan bergabung sekiranya berlaku perceraian ibu bapa dan perkahwinan semula. Malah bukan semua keluarga akan mengalami perkembangan kepada keluarga luas yakni sebuah keluarga (yang mendiami sebuah rumah) mempunyai golongan 3 generasi. Kelahiran cucu mungkin membawa kepada perkembangan ini tetapi juga mungkin membawa kepada perpecahan keluarga dengan perginya ibu bapa yang baru demi mencari ruangan yang baru di luar rumah untuk keluarganya yang mengalami penambahan ahli. Di samping itu, faktor yang menyebabkan seorang anak mewarisi rumah ibu-bapa mereka juga tidak menentu dan ia mungkin disebabkan oleh desakan ekonomi dan alasan-alasan yang lain.

Perkahwinan orang Melayu
Orang Melayu amat beradat. Perkahwinan mereka secara umumnya terbahagi kepada lima peringkat istiadat: merisik, melamar, bertunang, bernikah dan bersanding.

Melayu kacukan
Oleh kerana Nusantara Melayu adalah tempat perdagangan dan pernah dijajah oleh kuasa Eropah, banyak orang Melayu berkahwin campur dengan bangsa asing dan anak mereka dikenali sebagai Melayu Kacukan. Sesetengah mereka ada mempunyai kemiripan orang Melayu dan yang lain tidak ternyata dan susah hendak dikatakan. Di antara masyarakat Melayu Kacukan yang terkenal adalah Melayu Eropah, Melayu India dan Melayu Arab.



Cerita dongeng masyarakat Melayu

Dongeng Melayu ialah cerita rekaan bertujuan sebagai bahan pengajaran kepada kanak-kanak dengan perspektif yang positif dan juga membantu ibu bapa mendidikan anak-anak mereka dengan sopan-santun dan juga adat resam. Dongeng Melayu pada zaman sekarang telah dibukukan kepada buku cerita kanak-kanak pra-sekolah. Maksud dan erti dalam pengajaran kandungan Dongeng Melayu juga menjadi bahan didikan kanak-kanak pada usia kecil lagi.

Cerita Dongeng Melayu yang memberi pengajaran
Kisah mengenai jangan menderhaka kepada ibu dan bapa. Kisah-kisah bercorak sedemikian seperti Nakoda Tanggang/Si Tenggang (Malaysia), Nakoda Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei); menunjukan si anak yang di jaga dari kecil tetapi menderhaka kepada ibubapanya. dan cerita ini mengajar supaya anak-anak zaman sekarang lebih hormat kepada ibubapa.

Bawang Putih Bawang Merah - menceritakan dua orang anak perempuan sama bapa dan berlainan ibu, Putih, anak perempuan yang bersikap lemah-lembut dan bersopan-santun kepada orang tua dan Merah, anak perempuan yang bersikap kurang ajar dan tiada sopan-santun. Cerita ini mengajar supaya anak-anak sekarang bersabar apabila menghadapi rintangan, lebih menghormati orang tua dan tidak tamakkan harta. Selain itu, cerita ini turut mengajar bahawa perbuatan jahat akan dibalas jahat.

Kepercayaan orang Melayu

Bangsa Melayu dahulu banyak meninggalkan bermacam-macam kepercayaan yang mana dalamnya mengandungi pelbagai pantang larang, tunjuk ajar yang halus dan nasihat yang berguna kepada anak cucunya yang masih mentah dalam kehidupan harian mereka.

Duduk atas bantal
Masyarakat Melayu pantang duduk di atas bantal kerana dipercayai boleh naik bisul. Sebenarnya dilarang berbuat demikian adalah kerana hendak menjaga bantal daripada dipecah atau dikoyak. Tambahan lagi adalah tidak baik benda untuk melapek kepala diletakkan di bawah punggung.

Bergendang dalam rumah
Mendengar anak cucu mereka bergendang dalam rumah, seperti memukul dinding, lantai atau sebagainya, maka dilarang oleh orang tua-tua, “dengan berkata "tidak baik bergendang dalam rumah, nanti harta habis dicuri oleh orang.”

Larangan ini sebenarnya untuk mengelakkan bunyi bising di rumah, tambahan lagi bergendang itu akan merosakkan barang, terutamanya barang-barang yang bergantung di dinding itu akan jatuh dan pecah.

Menjahit pada waktu senja
Apabila ibu melihat anaknya menjahit atau menyulam pada waktu senja dengan segeranya akan berkata, “Jangan menjahit pada waktu senja, nanti mata guru engkau akan buta.” Apabila si anak mendengar larangan itu, tentunya akan berhenti perbuatan tersebut. Ini kerana mereka tidak suka melihat gurunya buta atau cacat kerana segala pengetahuan yang didapatinya itu adalah daripada guru yang disayanginya.
Pengajaran disebalik larangan itu adalah untuk menjaga kesihatan mata anak supaya tidak menjadi kabur dan rosak atau jarum tercucuk tangan.

Makan dengan menggunakan bekas retak atau sumbing
Apabila si isu melihat anaknya makan dengan menggunakan bekas yang retak atau sumbing, maka si ibu itu akan melarang dengan berkata, “Siapa makan menggunakan bekas yang retak akan dapat isteri atau suami yang telah berkahwin dua atau tiga.”
Nasihat ini sebenarnya untuk mengelakkan supaya anaknya tidak terkena luka dari bekas yang digunakan itu.

Bersiul atau bernyanyi di dapur
Seseorang anak gadis yang suka bersiul dan bernyanyi ketika memasak dikatakan akan mendapat suami tua. Apabila anak gadis mendengar nasihat itu tentunya akan berhenti berbuatan tersebut. Ini kerana anak gadis tentunya tidak mahu bersuami dengan seorang lelaki yang tua.
Larangan ini adalah mengelakkan berlakunya kecelakaan supaya sebarang kerja di dapur mesti dibuat dengan sempurna dan tambahan pula adalah tidak manis sekiranya anak gadis bersiul dan bernyanyi di dapur.

Tikus tidak boleh di seranah
Mengikut kepercayaan tikus tidak boleh di seranah. Sekiranya disumpah kerana perbuatannya merosakkan barang-barang di dalam rumah, ia akan lebih mengganas lagi. Biasanya tikus-tikus tidak memusnahkan sesuatu benda, yang dilakukannya ialah merosakkan sedikit di sana sini yang menyebabkan benda-benda yang dirosakkan itu tidak boleh digunakan lagi.

Perbuatan tikus ini dapat memberi didikan kepada diri agar jangan mudah mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain. Perbuatan ini amat tidak disukai oleh masyarakat. Unsur pengajarannya ialah manusia mestilah berfikir dahulu sebelum bercakap agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Sumber: Carigold Forum
Copy and paste: 31 March 2020 / 7 Syaaban 1441H : 11.34 pm

No comments: