Friday, 14 March 2025

MISTERI GUA 130 JUTA TAHUN

Sumber: Berita Harian Online
Oleh: Roselan Ab Malek
6 Oktober 2024

APA yang menarik di Gua Kota Gelanggi, lokasi terletak kira-kira 25 kilometer dari Jerantut? Bagi generasi terdahulu kawasan itu intim dengan pelbagai kisah mitos dan mistik. Namun hari ini ia sudah menjadi antara lokasi singgah dalam peta pelancongan Pahang.

Dari segi sejarahnya, Gua Kota Gelanggi ini terletak berhampiran kampung Pulau Tawar iaitu tempat asal pahlawan Melayu Mat Kilau. Di situ terdapat beberapa gua iaitu Gua Tongkat, Gua Angin, Gua Batu Sanding, Gua Kota Balai, Gua Penyu dan Gua Kelawar yang menzahirkan kompleks dikenali sebagai Taman Warisan Kota Gelanggi.

Menariknya, gua batu kapur itu sudah berusia lebih 130 juta tahun. Malah ia turut mencacat tamadun prasejarah Houbinhian (mesolitik) hingga ke zaman neolitik (zaman batu akhir) melalui penemuan ekskavasi di kawasan terbabit.

Sebelum menjadi lokasi kunjungan awam, sekitar 1960-an, lokasi itu menjadi antara tapak ekskavasi arkeologi antaranya oleh Brian AV Peacock dan Frederick L. Pada 1967, projek ekskavasi mereka menemukan alat-alat daripada batu yang memperjelaskan kawasan itu pernah dihuni manusia satu ketia dahulu.

Kajian arkeologi turut dijalankan oleh pakar-pakar dari Muzium Negara misalnya pada Disember 1980 kajian dibuat di Gua Tongkat mengesan banyak artifak sejarah meskipun ia sudah ditimbus tahi kelawar.

Ekskavasi pada 1983 menemukan beberapa perkakas batu dan tembikar di Gua Balai dan pada tahun 1997 pasukan penyelidik menemukan tinggalan rangka manusia awal di Gua Tongkat.

Ada juga andaian yang menyebutkan mengenai kemungkinan Kota Gelanggi dahulunya adalah sebuah pulau di tengah lautan. Ia berdasarkan kewujudan banyaknya cengkerang siput laut di kawasan itu. Namun sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan.

Sumpahan sang kelembai

Selain kajian arkeologi, Kota Gelanggi juga tidak kurang misterinya. Ia dikatakan pernah dihuni oleh manusia yang kemudiannya ghaib begitu saja. Bagi penduduk sekitar antara warisan cerita lisan yang disampaikan kepada mereka mengenai kisah orang bunian dan Sang Kelembai selain di situ pernah wujud sebuah kerajaan yang besar. Bagaimanapun kerajaan itu dikatakan bertukar menjadi batu akibat ditegur oleh Sang Kelembai. Hal itu mungkin di luar jangkauan realiti namun, jika anda berpeluang berkunjung ke Gua Kota Gelanggi, pasti tertanya-tanya apabila melihat banyak batu yang berbentuk manusia dan binatang di situ.

Selain kisah orang bunian dan sang kelambai, legenda setempat turut mengaitkan Kota Gelanggi dengan kisah peperangan antara Raja Mambang dan Raja Usul yang berebut seorang puteri rupawan. Kononnya, anak Raja Mambang dari Lipis jatuh cinta dengan tuan puteri itu yang berasal dari Kota Gelanggi dan kemudiannya masuk meminang. Walaupun lamaran itu diterima oleh Raja Gelanggi tetapi tuan puteri pula tidak berkenan dengan anak Raja Mambang.

Selang beberapa hari, anak Raja Usul yang memerintah Bera pergi berburu di kawasan berhampiran dengan Kota Gelanggi. Secara kebetulan anak Raja Usul itu bertemu dengan Puteri Raja Gelanggi dan terus tertawan padanya dan bersetuju untuk berkahwin.

Apabila mengetahui hal itu, anak Raja Mambang sangat marah dan terjadilah pergaduhan antara mereka.

Anak Raja Usul berjaya membunuh anak Raja Mambang dan kemudian mengahwini tuan puteri rupawan.

Kisah Kota Gelanggi turut dicatat dalam Salatus Salatin. Tun Seri Lanang dalam naskhah itu menyebutkan mengenai negeri yang bernama 'Ganggayu' sebutan Melayu, manakala sebut Siam berbunyi 'Klang Kio'. Dalam Salatus Salatin, digambarkan wujud pertembungan antara angkatan, Raja Suran dengan angkatan Raja Chulan.

Ada sejarawan yang berpendapat bahawa Ganggayu dalam Sejarah Melayu itu adalah Gelanggi yang kini dikenali sebagai Kota Gelanggi.

Menurut mereka, perubahan nama itu mungkin berlaku dalam pengalihan bahasa daripada tulisan jawi karya Tun Seri Lanang kepada tulisan rumi. 'Ga' yang bertitik bertukar menjadi 'kaf'. Jadi perkataan Gelang-gio atau Gelanggi telah bertukar menjadi Klang-Kio.

Bagaimanapun yang lebih menarik tentu saja kedudukannya berhampiran Pulau Tawar, justeru ia dikaitkan dengan kisah Mat Kilau dan Tok Gajah, pahlawan terbilang negeri Pahang. Dikatakan Mat Kilau dan Tok Gajah pernah berlindung dan bertapa di gua ini.

Hari ini Kota Gelanggi menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong asing yang ingin melihat keindahan alam semula jadinya. Namun lawatan ke lokasi itu disarankan mestilah menggunakan khidmat pemandu pelancong yang arif akan selok belok gua itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti tersesat.

Seorang pemandu pelancong, Azmi Baharuddin, 43, berkata pengunjung malah dinasihatkan membawa lampu kerana keadaan di dalam gua itu amat gelap.

" Keunikan dan keindahan di dalam gua-gua itu memang tidak dapat dibandingkan dengan keadaan di luarnya.

"Terdapat 100 buah gua di sini tetapi hanya 12 gua sahaja dibenarkan untuk dilawati seperti Gua Angin, Gua Gajah, Gua Sanding, Gua Potret, Gua Kepala Gajah, Gua Tongkat, Gua Balai, Gua Silat, Gua Penyu dan Kota Papan.

"Sebagai lokasi tumpuan pelancong, di sini terdapat kemudahan tapak perkhemahan, tandas dan surau," katanya.

Copy and paste:

14/3/2025 @ 13 Ramadan 1446H : 6.01 p.m

No comments: