Sunday, 2 March 2025

KUPASAN ISI KITAB HIDAYATUS SALIKIN

 Sumber : Hidayatus Salikin

(Pada akhir tahun lalu, Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady diminta menyumbang buah fikiran pada Seminar Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sempena Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin di Banjarbaru, Kalimantan Selatan. Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir. Hanya rakaman bicara beliau yang ditayangkan dan diperdengarkan kepada peserta pengajian. Beliau juga mengirim kertas kerja yang berbicara secara khusus mengenai kitab Hidayatus Salikin sebagai teks pengajian dan bagaimana besarnya pengaruh kitab ini dalam membentuk keperibadian dan aspek kerohanian masyarakat Islam sejak dahulu, sekarang dan insya-Allah pada masa akan datang. Di bawah ini petikan kupasan beliau.)
Semenjak dahulu hingga sekarang, kita tidak tahu berapa kali sudah kitab Hidayatus Salikin ini dicetak, oleh siapa dan di mana; ia dicetak di Mesir, di India, Singapura, Indonesia, Selatan Thailand (yang berada di tangan saya sekarang adalah terbitan Maktabah wa Matba'ah Muhammad al-Nahdi dan anak-anaknya di Selatan Thailand). Apa pun juga, jelas bahawa kitab ini tersebar semenjak dahulu hingga sekarang ini.
Ini membuktikan ia bertuah dan diberkati Allah serta berkesan mendidik umat dalam bidang ini dahulu hingga sekarang; di pondok-pondok di Malaysia, Thailand, Kemboja, Indonesia, Jawa, Sumatera, Bentan dan lainnya, malah di Kalimantan ia digunakan sebagai teks pengajian. Di masjid-masjid, madrasah-madrasah, ia dijadikan teks pengajian oleh mereka yang menekuni ilmu akhlak dari segi kerohanian yang berdasarkan ajaran Imam Hujjatul Islam al-Ghazali radhiallahu anhu.
MENGEMBANGKAN AJARAN IMAM AL-GHAZALI
Melalui Hidayatus Salikin dan Sairus Salikin (yang sedang dikembangkan di rantau ini oleh rakan karib kita Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi) ajaran Imam al-Ghazali dikembangkan. (Berkatkanlah usaha ini ya Allah. Amin.)
KEPENTINGAN HIDAYATUS SALIKIN
Kepentingan kitab ini boleh difahami daripada isi kandungannya yang disebutkan sebagai terjemahan kitab Imam al-Ghazali, Bidayatul Hidayah, yang isinya mengandungi "ilmu yang bermanfaat di dalam dunia dan di dalam akhirat, maka tidak dapat tiada bagi setiap orang Islam yang mukallaf daripada mengenal akan dia" (muka surat 3). Maka untuk membentangkan ilmu Imam al-Ghazali (berdasarkan kepada Quran, Sunnah, ijmak dan pengalaman mereka yang muktabar dalam umat ini. - penulis) beliau menyatakan, "kasih aku bahawa aku bahasakan akan beberapa masalahnya di dalam kitab ini dengan bahasa Jawi Melayu serta kutambah daripadanya beberapa masalah yang baik-baik tak dapat tiada daripadanya supaya manfaat dengannya orang yang tiada mengetahui baginya bahasa Arab" (muka surat 3).
Dengan ini beliau membentangkan ajaran Imam al-Ghazali dengan beberapa tambahan yang telah dibuatnya. Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali saya dapati sudah diterjemahkan oleh rakan kita Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi dan diterbitkan di Kedah; maka gabungan menekuni kitab Bidayatul Hidayah dan Hidayatus Salikin adalah usaha yang amat bermanfaat sekali bagi menyampaikan pendidikan akhlak dan kerohanian cara Ahli Sunnah wal-Jamaah di kalangan kita. Amin. Dan beliau menyebutkan (muka surat 4) bahawa diharapkan ia "memberi manfaat dengannya seperti manfaat dengan asalnya (yakni Bidayatul Hidayah - penulis)." Amin.
Kepentingannya boleh difahami daripada isi kandungannya yang berupa ajaran daripada imam utama dalam Ahli Sunnah wal-Jamaah ini.
PERINCIAN ISI KANDUNGAN HIDAYATUS SALIKIN
(Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady seterusnya mengulas isi kitab Hidayatus Salikin. Ulasan ini membantu kita untuk mengenal lebih dekat dan menyelami apa yang terkandung di dalam kitab yang sangat berkat ini. - Admin)
Isinya adalah berkenaan dengan tiga ilmu utama yang mesti difahami dan dihayati setakat fardu ain terlebih dahulu, iaitu ilmu aqidah, ilmu fiqh dan ilmu tasawuf (muka surat 4-8). Ilmu aqidah adalah untuk membetulkan aqidah dan penghayatannya; ilmu fiqh adalah untuk membetulkan ibadah dan amalan-amalan dalam kehidupan dan penghayatannya; ilmu tasawuf adalah untuk mengenali ilmu membersihkan batin dan zahir manusia supaya amalannya diterima oleh Allah dan tidak ditolak-Nya.
Ini diikuti dengan perbincangan tentang menuntut ilmu yang bermanfaat dan mengelak daripada ilmu yang tidak bermanfaat (muka surat 9-16). Ini diikuti dengan pendedahan dan huraian tentang aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah (muka surat 17-23) yang menyentuh 20 sifat ketuhanan. Kemudian sifat-sifat Nabi Sallallahu alaihi wasallam dan kedudukan nabi-nabi dan rasul alaihussalam.
Kemudian disentuh juga soal kiamat dan akhirat, dan berakhir dengan perbincangan tentang kedudukan para Sahabat dan Khulafa ur-Rasyidin; Allah meredhai mereka semua, amin.
Ini diikuti dengan segi-segi ketaatan yang zahir untuk membawa manusia kepada taqwa dengan adab-adab dan aturan-aturan menjaga gerak-geri anggota badan supaya selari dengan hidup dalam ketaqwaan (muka surat 23-26), dan ia disusuli dengan adab-adab membersihkan dan menyucikan diri untuk beribadah kepada Allah (26-28), adab-adab berwuduk (29-36) dengan menjaga hukum-hukumnya, yang wajib dan sunatnya, yang adab dan doanya; ini diikuti dengan hukum dan adab mandi wajib (36-37), adab dan hukum tayamum (37-38), adab keluar pergi ke masjid (39-41), masuk ke dalam masjid (41-53), dengan doa-doa dan wirid-wirid di dalamnya; kemudian adab-adab menjaga masa selepas naik matahari hingga ke waktu condong matahari (53-66) dengan menjaga ibadah seperti sembahyang Isyraq, Dhuha dan wirid-wiridnya.
Kemudian persiapan untuk sembahyang-sembahyang seterusnya (66-86) dengan menjaga hukum-hukum sembahyang dan doa-doa serta wirid-wiridnya, dan menjaga keikhlasan dalam sembahyang dan adab-adab batin di dalamnya selain daripada menjaga hukum-hukum dan adab-adab yang zahir. Ini diikuti dengan cara dan adab sembahyang Tasbih (86-102), adab-adab dan hukum-hukum tentang sembahyang Istikharah (102-105), sembahyang Hajat (105-108), adab-adab dalam sembahyang (108-117), diikuti dengan menjadi imam dan mengikut imam (117-122), sembahyang Jumaat (122-139) dengan hukum-hukum, adab-adab, wirid-wirid dan doa-doa pada hari itu.
Ia turut diikuti dengan hukum-hukum dan adab-adab melaksanakan ibadah puasa (14-151) dengan menjaga anggota zahir daripada membatalkan puasa, menjaga hati supaya tidak rosak dengan sifat-sifat yang jahat. Ini diikuti dengan panduan tentang hukum-hukum dan adab-adab menjauhi maksiat yang zahir dengan anggota-anggota badan (151-185) tentang menjaga mulut dan lidah, kaki tangan, telinga, kemaluan dan seterusnya supaya berada dalam ketaatan; termasuk ke dalam ajaran tentang mengelakkan diri daripada dosa-dosa yang melibatkan anggota-anggota zahir itu.
Ini diikuti dengan perbincangan tentang menjauhkan diri daripada maksiat yang batin (185-186), mengelak daripada ketamakan kepada makan minum (186-188), kebinasaan percakapan, termasuk etika atau akhlak berbahasa (188-189), menjauhi sifat marah yang tercela (189-190), dengki (190-193), sifat gilakan kedudukan (194-195), gilakan dunia (195-198), mengelak daripada takabur (198-201), sifat tercengang dengan kebaikan diri sendiri (201-203), sifat riyak (203-220) dengan menukil riwayat hadis yang panjang daripada Muadz bin Jabal, kemudian fasal berkenaan dengan hukum-hukum dan adab-adab tentang ketaatan batin (220-221); tentang bertaubat (221-224), sifat takut kepada Allah (224-225), sifat zuhud (225-227), sabar (228-231), syukur (231-234), sifat ikhlas dan benar (234-237), tawakkal (237-244), redha dengan qadha Allah (247-251), dan mengingati mati (251-253), fadilat dan adab-adab berzikir (253-269), khas tentang adab zikir (269-274), kaifiat zikir (274-276), disusuli dengan adab dengan Allah (276-281), adab ahli ilmu (271-283), adab orang belajar (283-285), adab dengan ibu bapa (285-287), adab bersahabat (287-293), dan adab umum dengan Muslimin yang dikenali atau tidak dikenali (293-307).
Di akhirnya dinyatakan bahawa kitab ini ditashihkan oleh Muhammad (mudah-mudahan yang benarnya ialah Ahmad bin Muhammad Zain - penulis) bin Muhammad Zain al-Fatani, dan disebutkan ia "mencemerlangkan rahsia-rahsia orang yang beramal dengannya pada berbuat ibadah bagi ma'budnya dan adalah ia sangat nyata berkatnya, dan sangat rata manfaatnya dan sangat banyak yang menuntutnya... Kitab ini dikeluarkan di Mesir berhampiran masjid al-Jami' al-Azhar. Ia merupakan kitab Melayu yang pertama dikeluarkan negeri Mesir. Dan adalah hamba me[ng]amat-amati pada mentashihkan dia sekira-kira yang mudah bagi hamba ... ."
Dan memang benar bahawa kitab ini "sangat rata manfaatnya", "sangat nyata berkatnya", "mencemerlangkan rahsia orang yang beramal dengannya". Memang benarlah kenyataan-kenyataan itu hingga sekarang, melainkan pada sisi orang yang akal dan rohnya terkena racun aliran yang memudaratkan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Allahumma sallimna wal-Muslimin.
Minat Dunia Melayu terhadap Bidayatul Hidayah jelas kelihatan. Antaranya huraian Syeikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab terhadapnya dalam kitab yang berjudul Miraqil 'Ubudiyah yang sangat tinggi nilainya dalam menghuraikan maksud matan Bidayatul Hidayah ini. Ia tidak perlu ditambah lagi pengamatan-pengamatan tentangnya sebab memang diketahui kepentingan kedudukan kitab ini di kalangan mereka yang ahli di dalamnya.
Saya sendiri, dengan kedaifan saya ini, sempat menelaah kitab ini bersama rakan-rakan dalam tahun 1980-an, dan catatan-catatan mengenainya masih terdapat dalam simpanan saya sehingga ini (2012). Syeikh Abdus Shamad, sebagaimana yang dinyatakan dalam tulisannya itu, bukan sahaja menterjemahkan isi kitab Bidayatul Hidayah itu bahkan beliau membuat beberapa tambahan yang sangat berguna dan mencerahkan untuk kita memahami isi kandungan kitab asal Imam Ghazali itu.
ANTARA TAMBAHAN YANG DIBUAT OLEH SYEIKH ABDUS SHAMAD
Antaranya, kita boleh perhatikan tambahan-tambahan itu terdapat pada beberapa bahagian seperti berikut.
Tambahan tentang ilmu yang memberi manfaat mulai muka surat 4. Sememangnya bab yang ditambahinya itu tidak terdapat dalam kitab Bidayatul Hidayah; iaitu bab hal kelebihan ilmu yang bermanfaat mulai muka surat 8 tidak terdapat di dalam kitab Bidayatul Hidayah; kelebihan orang yang menuntut ilmu yang bermanfaat juga tidak terdapat dalam Bidayatul Hidayah mulai muka surat 9; bab yang menyatakan aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah pun tidak terdapat dalam kitab itu, mulai muka surat 17; manakala sebutan tentang berusahalah untuk penghidupan bagi menampung keperluan anak isteri juga tidak terdapat dalam kitab yang baik itu (Bidayatul Hidayah).
Mulai muka surat 63-64, hal kelebihan membaca surah al-Kahf, mulai muka surat 128, membaca surah al-Ikhlas mulai muka surat 121, surah Yasin mulai muka surat 134, ad-Dukhan, alif lam tanzil dan Tabarakalladzi biyadihil-mulk mulai muka surat 135; semua itu tidak tertulis di dalam kitab Bidayatul Hidayah termasuk sebutan tentang mengumpat yang dibenarkan dalam enam keadaan mulai muka surat 161. Bagaimanapun, bab an-nasihat dengan adab-adabnya nampaknya tidak terdapat dalam Hidayatus Salikin tetapi ditulis dalam Bidayatul Hidayah di tepi Miraqil 'Ubudiyyah muka surat 68, terbitan Sulaiman Marie, Singapura, tanpa tahun.
ANTARA HIDAYATUS SALIKIN & BIDAYATUL HIDAYAH
Sememangnya Hidayatus Salikin adalah kitab yang memenuhi isi dan tujuan Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali. Ia memberi peluang untuk kita melihat bagaimana mesej atau pengajaran Bidayatul Hidayah menjadi lebih penuh daripada karangan asalnya melalui usaha Nawawi al-Bantani dalam Miraqil 'Ubudiyyah dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani melalui Hidayatus Salikinnya (adapun Sairus Salikinnya itu terjemahan bahagian Ihya' Ulumiddin, juga dengan beberapa tambahan yang berfaedah, dan saudara kita Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi menerbitkannya juga. - penulis).
Hadis panjang berkenaan dengan kejinya riyak, mengumpat, dengki dan takabur ada disebut dalam Hidayatus Salikin pada muka surat 206-215, dan ini memang ada dalam Bidayatul Hidayah oleh Imam al-Ghazali muka surat 80-83; dan ia tercatat dalam Ithaf al-Sadat al-Muttaqin syarah kepada Ihya' jilid 8 muka surat 266 bahawa hadis ini diambil dari riwayat Muadz bin Jabal dari Khalid bin Ma'dan, yakni Abu 'Abdullah al-Kala'i al-Shami, dia tsiqah 'abid orang kepercayaan, ahli ibadah, disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar halnya dalam at-Tahdhib. Lihat Ithaf al-Sadat al-Muttaqin, jilid 8 muka surat 266.
Sebagaimana yang menyentuh hadis-hadis lain yang riwayatnya mungkin dhaif, tetapi kalau tidak menyentuh perkara hukum haram-halal dalam syariat, maka muhaddisin memberi ruang kepada penggunaan hadis-hadis yang tidak kuat sandaran; bagaimanapun kandungan hadis yang berkenaan ada sokongannya daripada hadis-hadis yang sahih dalam kitab-kitab hadis sahih yang muktabar seperti Bukhari-Muslim dan lainnya.
MENGENAI KEMULIAAN, KEMEGAHAN DAN KELEBIHAN ZIKIR
Antara isi kemuncak dalam kitab Hidayatus Salikin (sudah tentu yang kemuncaknya adalah yang menyebut peringkat kesedaran kemuncak dalam sembahyang dalam munajat dengan Allah. -penulis) adalah kelebihan tentang berzikir yang dinyatakan bahawa di dalamnya ada 30 perkara kepujian dalam zikir itu berbanding dengan amalan-amalan lainnya.
Disebutkan bahawa ini adalah mengikut apa "yang disebutkan oleh Syeikh 'Ali al-Mursafi di dalam kitabnya yang bernama Minhaj al-Salik ila Ashrafil-Masalik mukhtasar Risalah al-Qushairi. Beliau menaqalkan daripada sesetengah orang yang 'arifin bahawa kemuliaan zikir dan kemegahan dan kelebihannya atas yang lainnya daripada segala ibadah iaitu berhimpun di dalam zikir itu 30 perkara yang kepujian (mulai muka surat 257-266) bermula dengan mengikut suruhan Allah dalam Quran supaya berzikir menyebut Allah dengan sebutan yang banyak di waktu pagi dan petang hingga kepada zikir khafi (muka surat 266) yang berlaku dalam kalbu orang ahli yang 'arif pada hadrat Allah Taala yang dipertaruhkannya oleh Allah Taala sebagai perbendaharaan di sisi-Nya hingga hari kiamat dan apabila masuk ke dalam syurga, Allah akan kurniakan kepadanya, inilah zikir khafi yang tidak ada siapa yang tahu [pahalanya]." Allahummaj'alna mina' dhaakirin, amin. Ini tidak terdapat di dalam kitab Bidayatul Hidayah tetapi tertulis di dalam kitab Syeikh Abdus Shamad.
Allah, cucurkan rahmat atas rohnya dan berikanlah rahmat kepada kami semua. Amin.
Beliau melengkapkan maksud Bidayatul Hidayah dengan Hidayatus Salikin ini. Masya-Allah. Isi kandungan kitab Hidayatus Salikin perlu diperteguhkan oleh orang-orang yang mengetahui dan menguasai isinya, merealisasikannya, dan mampu mempertahankannya dengan hujah dan amalan mendepani kebencanaan dan kecelaruan pemikiran masa kini yang mufli dari segi hidup kerohanian yang betul dan terpandu dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah yang benar. Amin.
JALAN SELAMAT
Itulah jalan selamat bagi kita di Dunia Melayu dan Islam di mana Muslimin berada di dalamnya. Ia adalah bekal yang mahal bagi manusia yang disuruh oleh Allah jalla jalaluhu untuk menjadi shuhada' 'alannas, bukan orang yang masuk ke dalam khemah orang lain dan di'jual' olehnya. La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim.
Mungkin ada sebahagian daripada apa yang disebutkan dalam kitab penting ini menjadi masalah pada sesetengah pihak; misalnya hal memandang wajah guru sebelum daripada berzikir, dan mendapatkan kekuatan daripada himmah gurunya dengan perbuatan itu; perkara ini sepatutnya tidak menjadi masalah sebab ia bukannya berlaku semasa mengingati Allah tetapi sebelumnya. Ia adalah berdasarkan kepada hadis yang bermaksud bahawa orang yang sebaik-baiknya dalam kalangan kamu ialah orang yang apabila dia dilihat oleh orang menyebabkan orang ingat kepada Allah. Amalan-amalan zikir yang sangat banyak itu disebut dalam Quran, hadis dan teks-teks kerohanian Islam semenjak awal lagi seperti Risalah Qusyairiyyah misalnya.
Demikian pula cara-cara zikir yang disebut itu adalah hasil pengalaman mereka yang mempunyai kewenangan dari segi kerohanian dan keagamaan dalam umat ini; sepatutnya itu juga tidak menjadi masalah. Demikian juga sepatutnya tidak timbul sikap memandang ajaran sedemikian sebagai ajaran yang tidak mengikut sunnah Nabi Sallallahu alaihi wasallam sebab ajarannya adalah berdasarkan Quran, sunnah dan pengalaman mereka yang muktabar dalam Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Ringkasnya, dalam zaman kegawatan rohaniah dan akhlak, kitab seperti ini perlu dijadikan bahan pengajian dan amalan masyarakat. Sudah tentu orang yang memberi pengajaran itu adalah peribadi yang mempunyai persiapan yang sewajarnya supaya tidak timbul salah penafsiran terhadap isi kandungannya.
BUKAN HANYA UNTUK ORANG ZAMAN DAHULU
Termasuk dalam perkara yang perlu diawasi adalah tanggapan bahawa ajaran yang sedemikian adalah untuk orang zaman dahulu yang banyak masa lapang untuknya beramal; zaman sekarang keadaannya sudah berubah. Ini juga tidak perlu timbul sebab memang diajarkan oleh syeikh ini (dalam Sairus Salikin) bahawa amalan-amalan wirid seseorang itu hendaklah sesuai dengan cara hidupnya. Jika dia sebagai guru maka jagalah tugasnya dalam pengajaran yang mesti dilaksanakan, lalu dia menyusun masanya untuk zikir-zikir dan wirid-wiridnya. Jika seseorang itu sebagai murid yang mempelajari ilmu yang berguna, sama ada ilmu agama atau ilmu umum yang bermanfaat, cari dan susunlah masa untuk zikir dan wiridnya. Kalau dia orang yang berkeluarga dan mempunyai pekerjaan untuk saraan mereka, maka susunlah masa dan carilah peluang supaya kerjanya berjalan dan zikir serta wiridnya terlaksana dengan baik.
Sekiranya dia seorang penjawat awam yang mempunyai urusan dengan masyarakat, carilah masa dan susunlah masa yang sesuai dengan keadaan hidupnya. Asal jangan hidup dalam kelalaian. Kalau dia seorang yang ahli dalam bidang tauhid yang tenggelam dalam pengalaman ketauhidannya, atau ia 'abid yang mempunyai peluang sebesar-besarnya untuk ibadah, dan tidak diganggu oleh perkara-perkara lain dan tidak menyusahkan orang lain, maka dia hidup dengan melaksanakan wirid-wirid dan zikir-zikir yang munasabah dengannya.
Apa yang penting, kita mahu ahli masyarakat Islam hidup dalam keadaan ingat kepada Allah sama ada dia guru, atau murid, atau orang berkeluarga dengan kerjanya, penjawat awam, atau 'abid, atau ahli tauhid yang tenggelam dalam pengalaman rohaninya yang sahih. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita semua dalam kalangan mereka yang taat kepada-Nya, yang mengingati-Nya dan yang melakukan amal kebaikan kepada sekalian makhluk-Nya. Amin.
KITAB YANG DIPERLUKAN DAHULU, SEKARANG DAN AKAN DATANG
Kembali kepada isi kandungan kitab ini yang sedemikian kental, padat tetapi mencakupi tarbiyah dan ta'dib bagi insan Muslim, ia adalah kitab yang perlu dihadamkan isi kandungannya dan diamalkan ajarannya. Ia diperlukan dahulu, sekarang dan akan datang, sebab risalah ajarannya benar dari dahulu, sekarang dan akan datang, kerana dasar-dasar ajaran dan nilai-nilainya adalah kekal abadi dan serasi dengan ajaran dan fitrah agama dan diri manusia.
UBAT MUJARAB MENDEPANI KEROSAKAN ZAMAN
Ia bagaikan ubat mujarab bagi penyakit kerohanian yang melanda manusia zaman ini, apa lagi ditambah dengan pelbagai falsafah yang mengelirukan seperti falsafah dalam Islam liberal, Islam inklusif dan pelbagai macam bid'ah dhalalah yang sedang melanda umat masa kini.
Maka ajaran kerohanian dan akhlak dalam kitab Hidayatus Salikin dan seumpamanya adalah ubat yang mujarab untuk membantu kita mendepani kerosakan zaman seperti ini.
Kita perlu menyokong penerusan pengajaran dan pengembangan ajarannya, malah menyokong institusi-institusi yang menjayakannya sama ada yang melibatkan tarikat atau tidak.
Mudah-mudahan ajaran seperti ini berada di dalam kerangka Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengembalikan rasa persaudaraan antara Muslimin sesama Muslimin, Muslimin dengan para a'immah dan ulil amri mereka, mengelakkan diri daripada budaya benci-membenci, dalam rangka al-din al-nasihat bi'a'immatil Muslim wa li'ammatihim serta Muslimin dengan pihak lain dalam memberi contoh tentang kecantikan Islam dan keunggulannya. Amin. Wallahu a'lam.
(Al-Fatihah kepada tokoh pemikir dan ilmuwan Islam yang sangat berjasa, Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang kembali ke rahmatullah pada 26 Mac 2013 dalam usia 70 tahun. AL-FATIHAH.)

Copy and paste:
2/3/2025 : 1 Ramadan 1446H: 5.52 p.m


No comments: