Sumber: The Patriots
Oleh : Fahrin Azri
Sesungguhnya umat Islam telah bersaksi akan hari Nuzul al-Qur’an pada 17 Ramadan lepas. Amat beruntunglah bagi kita kerana telah dikurniakan al-Qur’an daripada Allah melalui junjungan kita, Nabi Muhammad sebagai panduan untuk kehidupan kita di dunia ini. Namun, mesti ada yang tertanya-tanya, mengapa al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab dan bukan bahasa Parsi, Inggeris, Jerman, Ibrani dan bahkan bahasa Melayu?
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”
Secara ringkasnya, al-Qur’an telah diturunkan dalam bahasa Arab kerana Nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah merupakan berbangsa Arab dan baginda juga telah diutuskan di kawasan semenanjung tanah Arab, iaitu di Makkah al-Mukarramah. Allah juga telah menegaskan tentang penurunan al-Qur’an dalam bahasa Arab di beberapa ayat, antaranya Surah Yusuf ayat 2 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”
Alasan lain yang menjelaskan tentang mengapa al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab adalah kerana secara linguistiknya, bahasa Arab mempunyai elemen yang unik dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain. Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, menjelaskan bahawa Allah menggunakan bahasa Arab di dalam al-Qur’an kerana ia merupakan ‘bahasa yang paling jelas, fasih, luas dan tepat untuk menyampaikan makna yang ada di jiwa. Hal ini juga dapat disokong dengan pandangan Ibnu Faris dalam kitabnya al-Shahibi fi Fiqh al-Lughah bahawa pilihan Allah kepada bahasa Arab menunjukkan kemampuan dan tingkatan yang ‘superior’ berbanding bahasa-bahasa lain, dan juga pandangan Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Mazhar fi Ulum al-Lughah bahawa bahasa Arab memiliki memiliki kekayaan linguistik dan keluasan interpretasi berbanding bahasa-bahasa lain.
Kehebatan bahasa Arab ini melampaui dan kaya dari segi nahu, saraf, balaghahnya dan lain-lain. Sebagai contoh, perkataan-perkataan dalam bahasa Arab ini apabila digunakan, konotasinya merujuk bukan sahaja kepada satu makna, bahkan boleh melebihi daripada 10 dan lebih. Itu baru satu perkataan!
Selain itu, terdapat juga pandangan lain seperti Sayyid Qutb dalam tafsirnya yang menjelaskan bahawa Allah menurunkan al-Qur’an dalam bahasa Arab sebagai hujah dalam membangkang dakwaan golongan musyrikin bahawa ada orang asing yang bukan berbangsa Arab telah mengajar al-Qur’an kepada Nabi. Hal ini juga diperjelaskan oleh Allah tentang dakwaan mereka dalam Surah al-Nahl ayat 103:
“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: " Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia". (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.”
Apapun, berikut merupakan beberapa sebab yang dibincangkan oleh para ulama’ Islam tentang penggunaan bahasa Arab di dalam al-Qur’an. Tentang hakikatnya, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan hikmah di sebalik pilihanNya dengan ilmuNya.
__________________
Al-Qur’an telah diturunkan oleh Allah dalam bahasa Arab kepada seorang insan yang paling istimewa di dunia ini, iaitu Nabi Muhammad. Untuk menelusuri sejarah baginda yang amat indah, boleh dapatkan buku MUHAMMAD: DAKWAH DAN DIPLOMASI dengan segera!
Link pembelian: https://s.shopee.com.my/2Ax8Jd6jnG
Copy and paste:
21/3/2025 @ 20 Ramadan 1446H: 3.17 p.m
No comments:
Post a Comment