Monday, 5 February 2024

Penyelidik temui arca, prasasti abad kelapan di Candi Bukit Choras

Oleh: M Hifzuddin Ikhsan
SUMBER: HARIAN METRO

Yan: Penyelidik tempatan berjaya menemui dua arca patung hampir lengkap dan prasasti (batu bertulis) beraksara Pallava abad kelapan Masihi atau kira-kira 1,200 tahun lalu di kawasan Tapak Arkeologi Bukit Choras di sini.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG-USM), Dr Nasha Rodziadi Khaw berkata, Candi Bukit Choras mempunyai keistimewaan kerana satu-satunya tapak terletak di luar kawasan Sungai Merbok dan Sungai Muda (Lembah Bujang).

Katanya, kerja penyelidikan bermula 28 Ogos lalu, berjaya mendedahkan hampir separuh candi yang dianggar mempunyai ukuran sembilan meter panjang dan sembilan meter lebar dengan ketinggiannya belum diketahui.

"Keistimewaan Candi Bukit Choras adalah kerana ia masih dalam keadaan terpelihara bentuknya berdasarkan kedudukan dinding barat, utara dan selatan struktur yang berada dalam keadaan asal.

"Kita juga menemui dua arca bersaiz manusia yang diperbuat daripada bahan stacco iaitu campuran kapur dan bahan lain yang dibentuk di tapak secara terus dengan arca sebegini tidak pernah ditemui di kawasan Lembah Bujang.

"Penyelidikan awal juga menemui terdapat persamaan arca ini dengan arca ditemui di tapak di Batu Jaya, Jawa Barat dan Sumatera dan kajian awal turut menunjukkan terdapat persamaan pada senibina candi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor USM, Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed; Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof dan Pengarah PPAG-USM, Prof Dr Stephen Chia Ming Soon.

Nasha berkata, penemuan berkenaan membangkitkan persoalan baharu mengenai hubungan kebudayaan antara kerajaan Kedah Tua bersama tapak warisan serantau lain dengan pelbagai kajian boleh dilakukan dalam tempoh jangka panjang.

"Berdasarkan saiz pelan, Candi Bukit Choras boleh dikatakan agar besar mengikut ukuran panjang, arca patung juga yang terbesar pernah ditemui. Ini berbeza candi di Lembah Bujang kerana kita hanya jumpa dasar dan tingginya tidak pasti.

"Setakat ini, kerja ekskavasi hanya kira-kira 40 peratus dan kita percaya terdapat banyak lagi candi sekitar Bukit Choras yang belum ditemui dan memerlukan lebih banyak kajian.

"Kami sendiri agak terkejut dengan penemuan ini kerana untuk candi yang besar, bermakna kena ada populasi yang besar. Candi ini satu-satunya di luar Lembah Bujang, maka mungkin terdapat penempatan awal di Bukit Choras sejak abad ketujuh lagi," katanya.

Beliau berkata, sejak sekian lama kebanyakan candi hanya ditemui di kawasan selatan Gunung Jerai dan Candi Bukit Choras terletak di kawasan utara gunung yang berdiri sendiri dan tidak dikelilingi tapak lain.

Sementara itu, Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, pihaknya dan kerajaan negeri akan memastikan penemuan itu dijadikan rujukan serta dikongsikan sebagai bukti peradaban dan teknologi kerajaan Kedah Tua.

"Tapak ini berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan domestik sebagai tapak arkeopelancongan di Yan.

"Impaknya dijangka positif kepada sektor sokongan dan perkhidmatan yang limpahan ekonominya akan dinikmati secara langsung oleh rakyat," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2023 @ 3:41pm

Copy and paste:
5 February 2024 > 25 Rejab 1445H: 10.47 pm

No comments: