Monday, 5 February 2024

Penemuan Tamadun Sejak Abad ke-7 Masehi?

Oleh Srikandi
22 September 2023

Baru-baru ini sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berjaya menemukan dua buah arca Buddha hampir lengkap dan prasasti (tulisan kuno atas batu) di Tapak Arkeologi Bukit Choras.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG-USM), Dr Nasha Rodziadi Khaw, berdasarkan saiz pelan, Candi Bukit Choras boleh dikatakan memiliki saiz yang agak besar mengikut ukuran panjang berserta penemuan arca patung yang terbesar pernah ditemui. Ini berbeza dengan candi di Lembah Bujang kerana di sana hanya dijumpai dasar namun ketinggiannya tidak dapat dipastikan.
"Setakat ini, kerja ekskavasi hanya kira-kira 40 peratus dan kita percaya terdapat banyak lagi candi sekitar Bukit Choras yang belum ditemui dan memerlukan lebih banyak kajian.
"Kami sendiri agak terkejut dengan penemuan ini kerana untuk candi yang besar, bermakna kena ada populasi yang besar. Candi ini satu-satunya di luar Lembah Bujang, maka mungkin terdapat penempatan awal di Bukit Choras sejak abad ketujuh lagi," katanya.
Apakah pentingnya kemungkinan terdapat penempatan awal di Bukit Choras sejak abad ketujuh?
Menurut penyelidik tersebut, penemuan berkenaan membangkitkan persoalan baharu mengenai hubungan kebudayaan antara kerajaan Kedah Tua bersama tapak warisan serantau lain dengan pelbagai kajian boleh dilakukan dalam tempoh jangka panjang.
"Keistimewaan Candi Bukit Choras adalah kerana ia masih dalam keadaan terpelihara bentuknya berdasarkan kedudukan dinding barat, utara dan selatan struktur yang berada dalam keadaan asal.
"Kita juga menemui dua arca bersaiz manusia yang diperbuat daripada bahan stacco iaitu campuran kapur dan bahan lain yang dibentuk di tapak secara terus dengan arca sebegini tidak pernah ditemui di kawasan Lembah Bujang.
"Penyelidikan awal juga menemui terdapat persamaan arca ini dengan arca ditemui di tapak di Batu Jaya, Jawa Barat dan Sumatera dan kajian awal turut menunjukkan terdapat persamaan pada senibina candi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Candi besar, populasi besar dan satu-satunya di luar Lembah Bujang... mungkinkah jika diusahakan dan digembelingkan lagi kerja-kerja ekskavasi di sana, akan terbuka satu lagi ketamadunan antara terawal di Asia Tenggara sezaman dengan zaman Srivijaya?
Menariknya, di sana juga dijumpai prasasti bertulisan Pallava. Sebagai maklumat tambahan, Prasasti Kedukan Bukit berusia abad ke-7 Masehi juga bertulisan Pallava.
~Srikandi
The History of Thy Beloved

Copy and paste: 5/2/2024 > 25 Rejab 1445H: 10.51 pm



No comments: