Thursday, 1 February 2024

A TRIBUTE TO THE “MALIM GUNUNG” OF KINABALU

RESOURCE : BORNEO ORACLE

- The Unsung Heroes Of Sabah Earthquake
Pada tanggal 5.6.2015, seluruh dunia telah dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di bumi Sabah dengan gegarannya berskala 5.9 skala richter. Satu gegaran gempa bumi yang paling tinggi setakat ini pernah berlaku di lokasinya di Ranau, Sabah. Gempa bumi yang gegarannya berlaku pada jam 7.15 pagi telah menyebabkan ramai rakyat jelata di bumi Sabah di dalam keadaan panik kerana ramai yang tidak menjangkakannya.
Artikel Edisi Khas daripada Borneo Oracle pada kali ini adalah untuk menjunjung tinggi pengorbananan semua Malim Gunung dari Kinabalu yang merupakan tulang belakang kepada segala yang berlaku di dalam usaha menyelamat pendaki-pendaki yang masih lagi terperangkap di Gunung Kinabalu sekarang iaitu puncak tertinggi di Malaysia. Pengorbanan mereka ini jangan dipandang sepi kerana merekalah yang masih lagi berada di luar sana nun jauh di puncak yang tinggi menghadapi suasana sejuk dan keadaan kelam kabut di dalam perjalanan menyusuri denai-denai Kinabalu yang kebanyakannya sudahpun rosak akibat daripada gegaran gempa bumi 2 hari yang lepas.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui apakah itu “Malim Gunung” kerana hanya mereka yang biasa mendaki gunung sahaja mengetahui fungsi dan misi mereka. “Mountain Guide” itulah bahasa standardnya di dalam Bahasa Inggeris. Untuk di Malaysia, mereka dikenali dengan nama Malim Gunung iaitu jurupandu arah untuk setiap pendaki-pendaki yang ingin mendaki gunung. Bagi Malim Gunung di Kinabalu, mereka ini adalah terdiri daripada anak-anak tempatan yang perkampungan mereka berada di sekitar Gunung Kinabalu. Satu pekerjaan yang sebenarnya dianggap mulia di dalam institusi masyarakat Sabah kerana mereka sebenarnya berjasa dengan Gunung Kinabalu iaitu salah satu gunung suci bagi masyarakat di Sabah.
Sudah pasti pekerjaan sebagai Malim Gunung merupakan satu pekerjaan yang berisiko tinggi kerana mereka harus menjaga pendaki-pendaki yang mungkin hanya baru pertama kali mengenali dunia pendakian dan kerana itulah untuk menjadi Malim Gunung harus melalui beberapa kursus-kursus yang tertentu lebih-lebih lagi di dalam soal keselamatan kerana nyawa menjadi taruhannya. Dan Malim Gunung Kinabalu juga tidak terkecuali kerana walaupun mereka merupakan anak tempatan yang sudah tentu berpengalaman luas di dalam selok belok dunia Gunung Kinabalu namun pengetahuan di dalam serba serbi hal ehwal keselamatan juga menjadikan mereka untuk lebih berkelayakan.
Di sebalik pekerjaan yang penuh berisiko tinggi, difahamkan bahawa pendapatan sebagai seorang Malim Gunung di Kinabalu adalah diluar daripada apa yang diperkatakan oleh semua pihak. Jika kesemua kita bising dengan gaji minima untuk Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak RM800 sebulan namun untuk Malim Gunung dikatakan gaji mereka hanya antara RM250 sehingga RM350 sebulan. Mereka hanya berharapkan tips daripada pendaki-pendaki yang berhati mulia dan juga upah untuk mengangkat barang pendaki berdasarkan kepada berat iaitu antara RM10 ke RM20 sekilo untuk pendapatan yang lebih. Inilah dunia seorang Malim Gunung yang membanting tulang demi sesuap nasi untuk keluarga walaupun gajinya adalah rendah sekali.
Di ketika kita seluruh rakyat Malaysia menuding jari itu dan ini, mereka yang bergelar Malim Gunung telah berganding bahu tanpa bertanya sebaliknya merekalah yang menjadi hero di barisan hadapan di dalam memastikan keselamatan pendaki-pendaki yang mendaki Gunung Kinabalu sekarang. Mereka tidak menggenakan sebarang pakaian khas untuk berada di kawasan pendakian yang tinggi tetapi cukup dengan sehelai baju sejuk, berhelmet, berkasut sukan yang murah serta beg tiada berjenama, yang mampu mereka beli di pasaran, dengan peralatan inilah mereka menjalankan tugas mereka.
Dan di dalam dunia maya juga kita telah mengetahui bagaimana beberapa orang Malim Gunung dari Kinabalu ini telah bertindak cemerlang dengan mendahulukan nyawa pendaki-pendaki daripada diri mereka sendiri. Di dalam cerita yang digambarkan oleh pendaki yang selamat ada yang menyatakan bahawa ketika mereka di dalam perjalanan turun dari puncak Kinabalu ada sesetengah Malim Gunung menjadikan diri mereka alas untuk pendaki-pendaki untuk berpaut kerana denai-denai yang biasa digunakan telah musnah sama sekali. Sesuatu yang harus kita ambilkira sebagai Bangsa Malaysia bagaimana pengorbanan Malim Gunung ini kepada survival manusia sejagat.
Dan umum juga mengetahui angka korban untuk gempa bumi di Gunung Kinabalu sekarang setakat ini telah disahkan 18 orang semuanya dan ada diantaranya adalah Malim Gunung itu sendiri. Dan sudah tentu ramai lagi yang berada di luar sana mungkin sudah terkorban ataupun masih lagi mencari jalan pulang ke Pondok Timpohon iaitu laluan permulaan yang biasanya bermulanya tanggungjawab sebagai seorang Malim Gunung bermula. Hanya doa dan harapan sahaja yang mampu kita panjatkan kepada Tuhan agar kesemua Malim Gunung ini yang sedang di dalam usaha SAR sekarang berada di dalam selamat. Dan bagi yang sudah sah terkorban, kita sama-samalah berdoa agar roh-roh mereka dicucuri oleh rahmat Tuhan.
Sesungguhnya pengorbanan Malim Gunung Kinabalu adalah satu pengorbanan yang suci dan ianya tidak akan mampu dibalas oleh setiap bangsa Malaysia. Mungkin bagi Malim Gunung, pengorbanan mereka tidak perlukan balasan tetapi bagi Borneo Oracle setiap pengorbanan Malim Gunung harus diiktiraf oleh pihak yang berwajib di dalam apa bentuk sekalipun. MALIM GUNUNG OF KINABALU – THE UNSUNG HEROES OF SABAH EARTHQUAKE.
Terima kasih kepada Malim Gunung Of Kinabalu.
Jasamu Akan Dikenang Sepanjang Zaman.
Proud Of You Sir.

Copy and paste:
1 February 2024 > 21 Rejab 1445H: 9.14 pm

No comments: