Friday, 29 September 2023
PENEMUAN SEJARAH DI BUKIT CHORAS
Petunjuk Ke Ibukota Srivijaya
OLEH: SRIKANDI
Sebab Daging Babi Diharamkan untuk Dimakan
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah dalil dan sebab daging babi diharamkan untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, pengharaman daging babi adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”[1]
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.[2] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’”[3]
Selain itu, Dr. Soleh al-Fauzan ada menukilkan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan pengharaman daging babi berdasarkan ayat-ayat di atas yang menyebutkan berkenaan pengharamannya. Di samping itu, menurutnya lagi, babi memiliki taring yang digunakan untuk mencari makanan. Oleh itu, ia juga termasuk dalam keumuman hadith yang menyatakan mengenai keharaman setiap haiwan yang bertaring. Justeru, pengharaman babi ini adalah berdasarkan kepada nas, kaedah umum dan ijmak. Pengharaman babi itu merangkumi babi daripada jenis yang jinak dan liar, juga semua bahagian anggotanya termasuklah lemaknya.[4]
Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.
Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu ‘ainnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya.[5]
Selain itu, dari segi sains pula terbukti bahawa babi ialah haiwan yang tidak digalakkan untuk dimakan kerana memudaratkan. Kami ringkaskan sebab-sebabnya sebagaimana berikut:
- Babi memiliki kelenjar peluh yang sedikit berbanding saiz badannya. Perpeluhan merupakan proses fisiologikal penting bagi mengekalkan suhu badan yang ideal. Proses penyejatan air peluh daripada permukaan kulit menyebabkan kesejukan badan dan pada masa yang sama, berperanan untuk membuang toksin dalaman. Mereka yang tidak berpeluh terdedah kepada penyakit-penyakit berbahaya. Tambahan lagi, fungsi utama kelenjar peluh adalah untuk membuang toksin. Jadi bagaimanakah caranya babi mengekalkan suhu badan normal?
Babi menggunakan lumpur sebagai alternatif kepada proses penyejukan badan melalui perpeluhan. Jika anda pernah ternampak mereka berkubang atau berguling-guling di atas lumpur, tingkah laku itu membantu mereka untuk menyejukkan badan. Ia seperti anda menggunakan kipas tangan pada musim panas. Babi sebenarnya suka kepada kawasan lumpur yang bersih. Namun, bagi sekumpulan binatang tersebut yang diternak di ladang-ladang atau kilang, ia ditempatkan di ruangan yang sangat sempit. Ini membuatkan kawasan perkubangan mereka menjadi terhad dan kebiasaannya, lumpur yang digunakan bercampur dengan najis dan muntah mereka sendiri.
Jika hendak dibayangkan betapa banyaknya bahan buangan mereka, 5,000 ekor babi boleh menghasilkan najis bersamaan dengan 50,000 orang yang tinggal di bandar. Kawasan buangan inilah kadangkala menjadi tempat mereka menyejukkan badan. Namun tidak semua tinggal seperti itu. Babi seperti Kurobuta, diternak di kawasan persekitaran yang kurang tekanan dan diberi makanan berasaskan bahan-bahan organik. Mereka merupakan “wagyu” dalam kalangan binatang tersebut.
- Bakteria kebal antibiotik dalam daging babi. Disebabkan oleh keadaan tempat tinggalnya yang diternak di kawasan kilang itu kebiasaannya kotor, babi mudah mendapat penyakit kulit dan jangkitan kulat. Kebarangkalian yang tinggi ini menggalakkan penternak untuk menggunakan antibiotik bagi memastikan kesihatan binatang ternakan tersebut berada pada tahap yang optimum. Secara teorinya, penggunaan antibiotik secara meluas ini bukan sahaja boleh menggalakkan tumbesarannya dengan cepat, ia boleh melahirkan spesies bakteria kebal antibiotik yang mampu mengancam kesihatan populasi manusia secara umum. Kajian yang dibuat oleh Julia Osterberg pada tahun 2016, telah mendapati bahawa, babi yang diternak di dalam kilang mempunyai spesies bakteria E. Coli yang kebal dengan antibiotik Ampicilin, Tetracyclin, Trimethoprim, Sulphonamide atau Streptomycin. Bakteria tersebut boleh kebal terhadap 1 atau lebih antibiotik. Oleh sebab harga daging babi organik adalah sangat mahal, majoriti masyarakat memakan daging babi yang diternak di kilang. Ini boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mereka mendapat bakteria kebal antibiotik tersebut.
- Risiko jangkitan parasit. Walaupun jangkitan parasit pada binatang tersebut telah menurun secara mendadak sejak 20 tahun yang lalu, babi (termasuk babi organik) masih terdedah kepada jangkitan tersebut. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), walaupun banyak langkah boleh diambil untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, binatang ternakan tersebut masih terdedah kepada jangkitan jika mempunyai sentuhan secara terus dengan rodensia yang lain. Rawatan pencegah kepada jangkitan ini boleh mencecah 80% daripada perbelanjaan keseluruhan penternakan babi membuatkan ramai penternak yang enggan melaburkan wang mereka. Pengguna yang membeli daging babi yang mempunyai jangkitan ini terdedah kepada risiko penyakit trichinosis jika daging tersebut tidak dimasak dengan betul. Simptom seperti jangkitan mata, bengkak mata, fobia cahaya, kelesuan dan sakit otot merupakan tanda-tanda awal kepada penyakit ini. CDC menggalakkan pembekuan daging tersebut sebelum dimasak secara teliti bagi memastikan parasit tersebut telah terbunuh.[6]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa pengharaman daging babi dan bahagian-bahagiannya yang lain adalah berdasarkan kepada nas al-Quran dan dalil-dalil yang lain. Lebih-lebih lagi, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa daging babi adalah tidak elok untuk dimakan kerana berkemungkinan memberi mudarat kepada pemakannya. Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[7]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Ma’idah: 3
[2] Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77.
[3] Surah al-An‘am: 145
[4] Lihat al-At‘imah, hlm. 215.
[5] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141.
[6] Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/tips-lain/makan-daging-babi/. Diakses pada 1 April 2022.
[7] Surah al-A‘raf: 157
Copy and paste:29/9/2023 > 14 Rabiulawal 1445H: 9.36 pm
AL-KAFI #1143: HIKMAH PENGHARAMAN KHINZIR
SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL\
Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Kenapa binatang seperti khinzir dilarang atau haram dimakan oleh orang Islam?
Jawapan
Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.
Pada asasnya, khinzir adalah binatang yang diharamkan dengan jelas di dalam Islam melalui al-Quran dan al-Sunnah serta ijma’ (kesepakatan) para ulama’. (Lihat al-Ijma’ oleh Ibn al-Munzir, hlm. 177)
Antara ayat al-Quran yang menegaskan akan pengharaman ini adalah firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi.
(Surah al-Baqarah: 173)
Ibnu Kathir berkata, “Begitu juga dilarang memakan daging babi baik yang mati dengan cara disembelih atau mati dalam keadaan tidak seperti biasanya. Lemak babi juga haram dimakan sebagaimana dagingnya kerana penyebutan daging dalam ayat cuma menunjukkan keumuman (aghlabiyyah) atau dalam daging juga sudah termasuk pula lemaknya, atau hukumnya diambil dengan jalan qiyas (analogi).”
(Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/36)
Ibn al-‘Arabi berkata: “Umat telah bersepakat haramnya daging babi dan seluruh bahagian tubuhnya. Dalam ayat disebutkan dengan perkataan ‘daging’ kerana babi adalah haiwan yang disembelih dengan maksud mengambil dagingnya. … Dan lemak babi termasuk dalam larangan daging babi.” (Lihat Ahkam al-Qur’an, 1/94)
Menjawab persoalan di atas, pengharaman khinzir adalah disebabkan ia membawa beberapa kemudaratan sama ada dari aspek kimia, mikrob dan sikap (psikologi), iaitu ia disebut boleh menghilangkan perasaan cemburu serta menjadi dayus.
(Lihat Tafsir al-Manar, 2/98)
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam ketika mengulas berkenaan pengharaman daging babi menyebut: Perkara ketiga yang diharamkan Allah SWT ialah daging babi. Ini adalah kerana tabiat yang sihat akan memandangnya kotor dan tidak akan menyukainya. Sebab babi ini, makanan yang sangat disukainya ialah dari benda-benda yang kotor, jijik dan najis.
Ilmu perubatan moden menetapkan bahawa memakan daging babi itu sangat berbahaya di seluruh pelusuk dunia, khususnya di daerah yang beriklim panas. Sebagaimana yang berkaitan dengan penyelidikan ilmiah bahawa sesiapa yang memakan daging babi itu menyebabkan lahirnya cacing kerawit yang sangat merbahaya, dan ulat-ulat yang dapat membinasakan tubuhnya.
Justeru, dalam masa terdekat ini, ilmu moden ini akan mendedahkan banyak lagi rahsia pengharaman itu, lebih banyak dari apa yang difirmankan Allah SWT, ketika dia mensifatkan Rasul-Nya dalam firman-Nya (وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ) yang bermaksud: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) telah mengharamkan ke atas mereka semua yang kotor.” (al-A'raf: 157)
Ada sesetengah penyelidik bependapat: Jika membiasakan diri selalu memakan daging babi, nescaya akan menghilangkan perasaan cemburu terhadap perkara yang terlarang. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 69-70)
Dr. Joseph Mercola, pakar kesihatan terkenal Amerika Syarikat menyebut: “Kajian mendapati daging babi boleh memberikan bahaya kepada kesihatan dalam pelbagai peringkat. Menurut kajian oleh Consumer Reports, 69 peratus daripada sampel-sampel daging babi yang diuji mengandungi bakteria berbahaya Yersinia enterocolitica yang boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan.” [1]
Dr. Muhammad Abdul Khair menyebut beberapa penyakit yang disebabkan oleh daging babi: "Daging babi mengandung benih-benih cacing pita dan cacing-cacing lain. Cacing-cacing ini akan berpindah kepada manusia yang memakan daging babi tersebut. Perlu dicatat, sehingga ini, generasi babi belum terbebas daripada cacing-cacing ini.
(Lihat Ijtihadat fi al-Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 112)
Dr. Zakir Abdul Karim Naik dalam “20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam” berkata: Antara sebab pengharaman daging babi ialah: Memakan daging babi akan menyebabkan tidak kurang daripada 70 pelbagai jenis penyakit yang akan dijangkiti antaranya:
- Helminthes seperti cacing bulat, cacing peniti, cacing kerawit dan lain-lain lagi.
- Antara yang berbahaya adalah Taenia Solium, iaitu menurut istilah umum cacing pita. Tersimpan dalam usus dan sangat panjang. Ovumnya, iaitu telur memasuki aliran darah dan mampu mencapai ke semua organ tubuh. Jika ianya memasuki otak, boleh mengakibatkan hilang ingatan. Jika memasuki jantung, boleh menyebabkan serangan jantung. Jika memasuki mata, boleh menyebabkan buta. Jika memasuki hati, akan menyebabkan kerosakan pada hati.
Sebagai penutup, kami nukilkan kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Tidak semestinya setiap Muslim untuk mengetahui secara terperinci kesemua barangan yang dianggap rosak dan bahaya, yang dengan sebabnya diharamkan oleh Allah SWT sesuatu barangan itu. Adakalanya, hal itu terlindung dari kefahamannya, yang mana keadaan yang sama kelihatan pada keadaan yang lain. Adakalanya, keburukan sesuatu barangan itu tidak jelas pada sesuatu zaman yang tertentu, manakala ianya jelas pula pada zaman yang berikutnya. Oleh itu, sewajarnya sikap seorang mukmin itu selalu mengatakan: “Kami dengar dan kami taat.”
Tidakkah kamu lihat bahawa Allah SWT mengharamkan memakan daging khinzir? Namun tidak seorang Muslim pun yang mengetahui apakah sebab pengharaman daging khinzir itu selain daripada ianya adalah kotor. Setelah zaman berlalu, dan sekarang barulah ilmu moden masa kini menyingkap hakikat kebenarannya bahawa daging khinzir penuh dengan cacing dan kuman-kuman halus yang boleh membinasakan orang yang memakannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 33)
Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman berkenaan agama kita dengan mentaati segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Amin.
Nota Hujung:
[1] Lihat web Dr. Joseph Mercola, Why I Do Not Recommend Pork, https://articles.mercola.com/sites/articles/archive/2012/12/12/eating-pork.aspx
Tuesday, 26 September 2023
BUKIT CHORAS > ARCHAELOGY FINDING
ARCA BERUSIA LEBIH 1,200 TAHUN DITEMUI DI CANDI BUKIT CHORAS, YAN, KEDAH
POSTED BY IBN KAMAL > PERISTIWA N' SEJARAH
Saturday, 23 September 2023
FAKTA MENARIK AEON ALPHA ANGLE
SUMBER: FB ORANG WANGSA MAJU