Sunday 10 September 2023

KISAH SEBENAR BLACK HAWK DOWN

BATRISYIA NURSABRINA
FEBRUARY 3, 2021
4:15 PM
(Posted by Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH)



Tentera Amerika Syarikat pernah berkata, “Jangan main-main dengan askar Malaysia. Mereka nampak kecil tetapi apabila di medan perang, mereka takkan sekali-kali berundur.”
Pada 3 Oktober 1993, 114 anggota tentera Malaysia bertarung nyawa dalam misi menyelamat 70 anggota US Rangers dan 5 anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung pengganas di Pasar Bakara dekat Somalia.
Walaupun insiden berkenaan dirakamkan dalam Black Hawk Down, filem tersebut langsung tidak memberikan gambaran tepat tentang penglibatan penting angkatan tentera Malaysia dalam misi menyelamat susulan serangan balas yang dilancarkan oleh pemberontak Somalia, Jeneral Mohamed Farrah Aidid dan konco-konconya.
Oleh itu, kami akan kongsikan kisah sebenar di sebalik peristiwa Black Hawk Down menerusi artikel ini:
Pertempuran Mogadishu
Sebaik sahaja menerima maklumat Farrah Aidid akan bertemu orang bawahannya di sebuah bangunan dua tingkat dekat kawasan Pasar Bakara, Amerika Syarikat menghantar pasukan Delta Force dan Army Rangers diiringi helikopter AH-1 Cobra, UH-60 Black Hawk dan Little Birds.
Dalam operasi itu, Delta Force ditugaskan untuk menyerbu bangunan bagi menangkap pemberontak tersebut dan orang bawahannya manakala Army Rangers akan membuat kawalan keselamatan di luar bangunan.
Selepas misi tentera elit Amerika Syarikat untuk menangkap dua orang kanan Farrah Aidid gagal, markas Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia telah memohon bantuan pasukan tentera Malaysia.
Amerika Syarikat terpaksa minta bantuan Pakistan dan Malaysia
Black Hawk Down merujuk kepada helikopter Black Hawk yang telah ditembak jatuh di dua lokasi berasingan dalam operasi ini. Tuah tidak menyebelahi Amerika Syarikat apabila Black Hawk kedua turut terhempas selepas ia ditembak jatuh oleh puak pengganas.
Malang terus menimpa tentera Amerika Syarikat apabila kumpulan tentera elit ditugaskan untuk membantu di lokasi helikopter terhempas pula terkepung.
Atas sebab itu, mereka terpaksa meminta bantuan pasukan pengaman Malaysia dan Pakistan. Tentera Malaysia diarahkan untuk menyediakan kereta perisai Condor manakala askar Pakistan ditugaskan membawa kereta kebal.
Konvoi operasi menyelamat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Alpha, Charlie dan Bravo. Alpha telah ditugaskan untuk menyelamatkan anggota Rangers yang terkepung dan kru Black Hawk pertama yang terhempas.
Kumpulan Charlie pula diarahkan untuk menyelamatkan juruterbang helikopter kedua yang terhempas. Bravo yang terdiri daripada anggota Rangers pula ditugaskan untuk membantu kedua-dua pasukan tersebut.
Pengunduran tentera Pakistan
Mengikut perancangan asal, tentera Pakistan akan mendahului pergerakan diikuti kumpulan Alpha, Charlie dan Bravo. Disebabkan mereka tiada kelengkapan alat penglihatan malam, tentera Pakistan memilih untuk berpatah balik sebelum memasuki kawasan operasi untuk melakukan tugas menyelamat.
Berbekalkan prinsip pantang undur sebelum ajal, askar Malaysia bagaimanapun terus mara meneruskan misi seperti yang dirancang walaupun tidak mempunyai alat penglihatan malam dan kekurangan anggota susulan pengunduran tentera Pakistan. Bagi mereka, misi yang telah diatur mesti diteruskan walau apa pun yang terjadi.
Tentera Malaysia selamatkan askar Amerika Syarikat
Sepanjang perjalanan ke Pasar Bakara, tembakan daripada pihak musuh kepada tentera Malaysia tidak henti-henti dari kiri dan kanan jalan. Tidak lama selepas itu, puak pengganas telah menyerang konvoi Alpha menyebabkan dua buah kereta perisai mengalami kerosakan teruk.
Setibanya mereka di lokasi pihak musuh, tentera Malaysia terus diasak dengan bedilan dari pelbagai arah. Tidak lama kemudian, sebuah lagi kereta perisai tentera Malaysia turut menjadi sasaran apabila roket RPG menembusi cermin hadapan dan telah menamatkan riwayat pemandu iaitu Prebet Mat Aznan. Seorang lagi anggota cedera dalam serangan itu.
Tersentak dengan pemergian rakan mereka, semangat tentera Malaysia semakin meluap-luap untuk terus menjayakan misi. Setiap daripada mereka mengatur gerak untuk terus mara menyerang balas tanpa memikirkan risiko yang menanti.
Amerika Syarikat iktiraf sumbangan besar Malaysia dalam operasi tersebut
Semua anggota tentera cedera telah dimasukkan ke dalam kereta perisai manakala yang terkorban diletakkan di bahagian atas. Anggota tentera yang tidak cedera mengiringi dari belakang kereta perisai dalam usaha mereka untuk keluar dari zon perang.
Selepas bertempur sepanjang malam, mereka akhirnya berjaya sampai ke kem tentera Pakistan di Stadium Mogadishu. Pertempuran 17 jam ini telah menyebabkan sembilan orang anggota tentera Malaysia mengalami kecederaan selain Prebet Mat Aznan Awang yang telah meninggal dunia. 18 orang tentera elit Amerika Syarikat turut terkorban semasa pertempuran tersebut manakala 84 yang lain cedera.
Prebet Mat Aznan yang terkorban dalam pertempuran berkenaan telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan dinaikkan pangkat kepada korporal. Mejar Ab. Aziz pula dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani bersama dengan anggota lain yang terlibat dalam operasi tersebut.
Pada tahun 2013, Pemangku Penolong Setiausaha Negara Biro Hal Ehwal Politik Tentera Amerika Syarikat iaitu Tom Kelly akhirnya mengucapkan terima kasih secara rasmi kepada kerajaan Malaysia dan ATM.
Dalam erti kata lain, Amerika Syarikat mengambil masa selama 20 tahun untuk mengiktiraf sumbangan besar Malaysia dalam operasi tersebut.
Sumber artikel : I am legend
Copy and paste:
10 September 2023 >25 Safar 1445H: 9.41 pm

No comments: