Friday, 29 September 2023

PENEMUAN SEJARAH DI BUKIT CHORAS

Berita Mutakhir

Written on 23 September 2023.
PENEMUAN BERSEJARAH CANDI TERBESAR DI BUKIT CHORAS - STRUKTUR BINAAN DAN ARTIFAK MENARIK, BERSENI TINGGI

YAN, KEDAH, 22 September 2023 – Para penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) membuat penemuan penting yang mengesahkan keberadaan dan saiz struktur binaan dan artifak yang menarik dan tinggi dengan unsur kesenian, berusia sekitar 1,200 tahun lalu di Tapak Arkeologi Bukit Choras, di sini.


Hasil ekskavasi yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu mendedahkan lima penemuan utama iaitu struktur binaan candi, dua buah arca, sebuah Kalam Semah, sebuah prasasti dan serpihan-serpihan tembikar tanah.

Menurut Ketua Penyelidik merangkap Pensyarah Kanan PPAG USM, Dr. Nasha Rodziadi Khaw, tujuan ekskavasi di tapak itu adalah untuk mengesahkan keberadaan dan saiz struktur yang telah dikesan melalui kajian geofizik pada tahun 2017.


Katanya, dengan pembiayaan geran FRGS oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, pihaknya telah memulakan kerja-kerja penggalian/ekskavasi bermula Ogos lalu dan mendapati penemuan baru itu mempunyai signifikasi terhadap Kedah Tua di Lembah Bujang, Kedah.

Tambah beliau, penemuan berkenaan bukan sekadar memperluas pemahaman mengenai sejarah kuno di tanah air, malah telah menimbulkan persoalan baharu mengenai hubungan budaya antara Lembah Bujang dan tamadun purba lain di Asia Tenggara.

Tinggalan struktur candi yang ditemui juga berada dalam keadaan yang terpelihara dan memperlihatkan ciri ukiran dan seni bina yang unik, terutamanya dengan wujudnya struktur bertingkat, serta ruang-ruang khas bagi meletakkan arca.

“Penemuan ini turut mendedahkan struktur binaan dan artifak yang berseni tinggi. Ia termasuk dua buah arca yang diperbuat daripada stuko, yang mana seni binanya memiliki persamaan dengan artifak kerajaan Srivijaya purba yang ditemui di Sumatera dan Jawa Barat, Indonesia.

“Tapak ini istimewa kerana kebanyakan tapak arkeologi yang ditemui di Lembah Bujang terletak di selatan Gunung Jerai iaitu di sepanjang Sungai Merbok dan Sungai Muda.

"Bukit Choras adalah satu-satunya tapak yang terletak di utara Gunung Jerai dan terpencil sepenuhnya. Kami terkejut dengan penemuan tapak candi purba terbesar ini,” ujarnya lagi.

"Ini menunjukkan bahawa terdapat penduduk yang besar berhampiran bukit ini yang dahulunya adalah tanjung sebelum proses pemendapan yang mendorong pantai semasa ke jarak kira-kira 8 km dari sini. Kami berharap dapat membuat lebih banyak penemuan tidak lama lagi," tegasnya.

Tapak tersebut telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 28 Disember 2016 dan kolaborasi ini merupakan projek rintis dalam bidang penyelidikan dan pendidikan susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara JWN dengan Universiti Awam yang telah ditandatangani pada bulan Mac 2023 yang lalu.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, USM akan terus bekerjasama dengan JWN untuk menjalankan lebih banyak kerja-kerja penggalian di tapak arkeologi bagi mengembangkan lagi produk arkeologi-pelancongan.

“Masih banyak kerja ekskavasi yang boleh diterokai di kawasan Lembah Bujang yang mana kita memerlukan lebih masa untuk terus menjalankan kerja-kerja penggalian. Penemuan ini akan membolehkan kita mengkaji semula peristiwa sejarah yang ditulis oleh ahli sejarah barat,” kata Abdul Rahman.

Pesuruhjaya JWN, Mohd Azmi Mohd Yusof pula berkata, penemuan arkeologi ini adalah yang paling penting di negara ini sejak pandemik COVID-19 dan beliau turut memuji penemuan itu berikutan kerja penggalian yang dijalankan selama dua minggu.

Beliau turut menegaskan paling unik mengenai penemuan ini adalah keadaan artifaknya yang masih utuh, kukuh dan candinya yang masih mengekalkan keadaan struktur yang penuh.

“Harapan kami agar lebih banyak penemuan dapat dibuat untuk membawa elemen ke dalam tamadun Kedah selain menambah produk arkeo-pelancongan baharu di negeri ini,” kata Mohd Azmi.

Tambahnya lagi, berikutan MoU yang ditandatangani bersama 11 universiti tempatan lain, ini merupakan penemuan pertama di bawah projek perintis.

Sementara itu, Pengarah PPAG USM, Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon menambah, kerja-kerja penggalian setakat 8 September 2023 mendedahkan keseluruhan dinding barat candi dan separuh dinding utara dan selatannya.

“Patung-patung dan artifak yang ditemui dari tapak itu akan dibawa ke Galeri Arkeologi USM untuk pemuliharaan dan penyelidikan lanjut,” katanya.

Fasa kedua kerja-kerja penggalian pada baki struktur candi dijangka akan bersambung semula pada bulan Januari tahun hadapan.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim Created on 23 September 2023.
Hits: 820


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : mprc@usm.my | Web : www.usm.my

No comments: