Sunday, 10 September 2023

Batalion 3 Rejimen Renjer DiRaja

Bahagian 1
Tumpah darah demi negara: Rejimen Renjer Diraja menentang keganasan komunis
Nikmat keamanan yang kita kecapi pada hari ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Lipatan sejarah air telah membuktikan bahawa kemerdekaan Malaysia pada hakikatnya dibayar dengan darah dan keringat para pejuang tanah air.
Mungkin ramai yang lupa bahawa ketika Malaysia masih muda dalam melangkaui alam kemerdekaan, ianya digoncang oleh pelbagai cubaan yang boleh menghancurkan masa depan sebuah negara serta rakyatnya.
Antara ancaman yang dihadapi oleh negara adalah pemberontakan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya.
Hari demi hari, cerita pengorbanan dan perjuangan anggota keselamatan kian dilupakan. Mungkin kita kenal atau tahu akan beberapa tragedi dan pertempuran yang menimpa pasukan keselamatan dalam menghalang penularan ideologi komunis di bumi bertuah ini.
Mejar (Bersara) Richard Veerasingha, 71 tahun merupakan antara saksi perjuangan Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 Renjer) semasa negara dilanda Darurat Kedua.
Anak kelahiran Alor Setar ini mula menghadiri latihan kadet pada tahun 1968 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Sebelum saya lapor ke 3 Renjer, saya bercuti selama dua minggu. Pada waktu itu, ayah saya telah membawa surat khabar dengan berita peristiwa serang hendap di utara Kampung Alai, Kroh,” kata Richard mula mengimbau detik-detik penglibatan beliau semasa mula menyertai kerjaya sebagai seorang anggota tentera.
Kroh, Perak
Kroh yang dikenali sebagai Pangkalan Hulu pada hari ini sudah tentu dikenali dalam laman sejarah tanah air kerana tempat ini merupakan antara titik panas aktiviti komunis pada satu ketika dahulu.
Tempat ini menjadi saksi sejarah hitam Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja kerana mereka kehilangan 7 anggota dalam satu serang hendap ketika komunis melancarkan semula pemberontakan senjata mereka.
Pada 20 April 1970, satu seksyen dari Platun 8 Kompeni C Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja (RRD) sedang menyelusuri Sungai Kuak, Kroh (kini Pangkalan Hulu), Perak.
Kesemua 9 anggota terbabit sedang bergerak ke arah utara bagi mencari dan menggempur pengganas komunis yang kembali bermaharajalela di negeri Perak.
Hampir 2 tahun lalu, pengganas komunis telah menyerang hendap konvoi 4 buah kenderaan polis yang sedang menuju ke Betong dari Kroh. Insiden malang 17 Jun 1968 itu menyaksikan 16 orang anggota polis dari Batalion Pertama Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am) maut dan 17 lagi cedera.
Lebih menyedihkan, mayat anggota keselamatan yang terkorban telah diseksa oleh musuh negara.
Kejadian itu merupakan antara titik permulaan kebangkitan semula pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) bagi mencapai impian mereka untuk membentuk People’s Republic of Malaya.
Lantaran dari serangan itu, Darurat ke-2 telah diisytiharkan dan pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk menghancurkan semula ancaman komunis yang datang dari yang dikenali sebagai Darurat Ke-2 atau Insurgensi.
Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja
Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3RRD) merupakan antara elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) yang telah diaturgerak ke Kroh bagi membendung ancaman pengganas komunis. Pasukan ini ditubuhkan pada tahun 1965 di Kem Suvla Line, Perak dan dikenali sebagai The Red Hackles.
Tidak lama selepas penubuhannya, pasukan ini telah dihantar ke Tawau, Sabah bagi melaksanakan operasi di Tawau bagi membendung ancaman Tentara Nasional Kalimantan Utara (TNKU) semasa Konfrantasi.
Dalam operasi yang dijalankan semenjak 1 Disember 1966 hingga Januari 1967, pasukan ini telah menembak mati 5 orang anggota TNKU dan 5 lagi ditawan. Sementara itu, seramai 6 orang musuh telah menyerah diri kepada pasukan 3RRD.
Kebangkitan semula ancaman pengganas komunis di Perak telah menuntut bakti dan pengorbanan pasukan ini di utara Semenanjung Malaysia.
Platun 8 Kompeni C merupakan antara elemen 3RRD yang telah diaturgerak ke Kroh bagi membendung ancaman bersenjata komunis. – airtimes.my

Bahagian 2
Tumpahnya darah demi negara: 7 anggota Renjer gugur ketika menentang kebangkitan pengganas komunis

Pada 19 April 1970, satu seksyen berkekuatan 8 orang dari platun ini mula bergerak ke dalam hutan utara Kampung Alai. Objektif mereka adalah untuk melaksanakan rondaan dan mengempur mana-mana pengganas komunis yang ditemui.
Ketika matahari terbit di ufuk timur, kumpulan ini telah bergerak menyelusuri Sungai Kuak. Bergerak ke arah objektif mereka untuk menyekat penyusupan komunis yang dipercayai dari Rejimen ke-12 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (Malayan National Liberation Army, MNLA) yang berpusat di kawasan Selatan Thailand.
Ketika melalui kawasan tebing Sungai Kuak, 40 orang pengganas komunis sedang memerhati gerak-geri anggota tentera yang sedang berbakti kepada tanah air. Mereka telah membentuk satu garisan di kawasan pokok pada bukit yang menaungi Sungai Kuak.
Tanpa disedari, seksyen terbabit telah memasuki zon membunuh. Tanpa berlengah, kumpulan musuh melepaskan tembakan bertalu-talu terhadap anggota tentera.
Tembak-menembak antara anggota tentera dan pengganas komunis memecah keheningan pagi kawasan hutan di Kroh.
Seorang demi seorang anggota dari Platun 8 gugur menyembah bumi. Namun, situasi itu tidak menghentikan dua anggota tentera untuk melepaskan tembakan ke arah musuh. Renjer Rodney yang cedera bertindak mengambil mesingan ringan dari rakannya yang gugur dan menembak ke arah musuh yang ramai.
Namun, seksyen terbabit hanya mempunyai kekuatan yang begitu sedikit berbanding musuh yang terdiri daripada 40 orang. Kini, hanya tinggal dua orang anggota tentera sahaja yang masih hidup bertarung nyawa.
Melihat situasi yang tidak menyebelahi mereka dan komunis mula mara ke arah posisi pertahanan mereka, 2 anggota Renjer yang cedera parah itu terpaksa berundur meninggalkan kawasan pertempuran.
Mahu tidak mahu, mereka perlu sampaikan maklumat kepada markas tentang kehadiran musuh di sektor mereka.
Lans Koperal Kamarudin Abdullah dan Renjer Rodney Bayren berjaya pulang ke pangkalan untuk melaporkan keadaan kepada komander platun.
Dengan segera, anggota tentera yang lain telah dikerahkan ke lokasi pertempuran untuk menjejaki musuh.
Insiden yang dialami oleh Platun 8 merupakan insiden kedua yang berlaku di kawasan Kroh. Sejam sebelum tragedi tersebut, pertempuran turut berlaku di kawasan timur laut Kampung Klian. Namun, dalam serang hendap oleh 30 pengganas komunis pada pukul 8.55 pagi itu tidak meragut sebarang nyawa dari pasukan tentera.
Peristiwa berdarah ini merupakan detik hitam dalam sejarah 3RRD kerana kehilangan anggota yang begitu ramai dalam satu serangan musuh. Malah, ada diantara mayat anggota tentera terkorban telah diseksa dan dicela tanpa rasa bersalah oleh komunis.
Kisah tragedi ini menjadi penghias dada akhbar untuk selama beberapa hari.
TDM mempertingkatkan usaha memburu pengganas komunis terbabit. Helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula dikerahkan untuk membawa anggota keselamatan ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi menutup laluan pengganas.
Rejimen Artileri Diraja pula ditempatkan di Kroh dan melepaskan tembakan meriam terhadap kedudukan musuh di dalam hutan.
Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamed Sany Abdul Ghafar yang pada ketika itu memegang Panglima Divisyen ke-2 Infantri berkata, anggota tentera begitu bersemangat dan mahu menuntut bela kematian kesemua 7 anggota 3RRD.
‘Mahu menuntut bela’
Api semangat untuk menuntut bela kematian 7 anggota tentera terbabit turut dirasai oleh Mejar (Bersara) Richard Veerasingha, 71 tahun yang pada ketika itu sedang bercuti sebelum melaporkan diri ke 3RRD.
Pada ketika itu, beliau baru sahaja selesai menamatkan latihan kadet di Maktab Tentera Diraja (KTD) dan ditauliahkan pangkat Leftenan Muda.
“Sebelum saya lapor ke 3 Renjer, saya bercuti selama dua minggu. Pada waktu itu, ayah saya telah membawa surat khabar dengan berita peristiwa serang hendap di utara Kampung Alai,
“Setelah membaca berita itu, semangat untuk menentang komunis semakin berkobar-kobar dan membara dalam jiwa saya,” kata Richard kepada Air Times.
Anak kelahiran Alor Setar ini mula menghadiri latihan kadet pada tahun 1968 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Selepas melapor diri ke pasukannya, Richard telah terlibat Ops Radak yang bertujuan untuk menggempur elemen komunis di Kedah.
Menurutnya, operasi itu merupakan antara tugasan yang tidak dapat beliau lupakan sepanjang kerjayanya sebagai anggota tentera selama 22 tahun.
Insurgensi Komunis di Kedah
Peristiwa yang menimpa Platun 8 Kompeni C 3RRD di utara Kampung Alai merupakan antara titik permulaan pemberontakan bersenjata komunis di tanah air. Ini terutamanya selepas PKM berjaya menyusun semula kekuatan mereka selepas Darurat Pertama tamat pada Julai 1960.
Antara penyusunan semula yang dilakukan adalah menukar strategi serangan, menawan kawasan-kawasan luar bandar sebagai langkah untuk mengepung kawasan membangun dan mempertingkatkan pengaruh mereka terhadap penduduk di luar kampung.
Selain itu, PKM turut memperkemaskan semula ketumbukan bersenjata mereka.
Anggota kumpulan komunis di Pulau Pinang dan Kedah dihumpunkan semula menjadi Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang/Kedah yang turut dikenali sebagai Rejimen ke-8 MNLA. Rejimen iniberpusat di kawasan Sado dan diketuai oleh Wong Chung Sing @ Eik Chiang.
Kedah telah menjadi antara negeri terawal menjadi sasaran penyusupan komunis. Namun kempen penghapusan dalaman PKM telah menyebabkan perpecahan dan perubahan dalam struktur bersenjata mereka.
Sepert mana rejimen PKM yang lain, Rejimen ke-8 MNLA mengendalikan unit penggempurnya sendiri yang dikenali sebagai Unit Penggempur Ke-8.
Tugas untuk memperluaskan pengaruh ideologi komunis Negeri Jelapang Padi itu kini digalas oleh Unit Penggempur Ke-8 yang berkekuatan seramai 33 orang. Malah, unit ini turut beroperasi di Selangor dan kawasan sempadan Thailand-Perak.
Ketua kumpulan penggempur ini, Siew Chong telah menempatkan unitnya di kawasan Gunung Inas dan mempunyai pengaruh di daerah Kulim serta Baling. – airtimes.my

Copy and paste:
10 September 2023 > 25 Safar 1445H: 10.30 pm

No comments: