Sunday, 10 September 2023

Tragedi Bukit Kepong : Itulah tabik terakhir Sarjan Jamil


Tan Sri JJ Raj (Jr)

Posted by Nizam Ali > PERISTIWA N' SEJARAH

PERTEMPURAN pengganas komunis dengan sepasukan anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor merupakan antara tragedi hitam yang tersemat dalam sejarah negara.
Tragedi pada 23 Februari 1950 itu yang turut dikenali sebagai The Malayan Alamo menyaksikan bagaimana sebuah balai polis terpencil di Bukit Kepong musnah di tangan komunis.
Balai Polis Bukit Kepong ketika itu diketuai Sarjan Jamil Mohd Shah, terletak kira-kira 59 kilometer dari bandar Muar.
Balai polis tersebut pula berada di bawah kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pagoh yang diketuai Tan Sri JJ Raj (Jr).
JJ Raj, 99, yang pada masa itu ialah Ketua Polis Daerah Pagoh berkata, peristiwa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
Keganasan dan kekejaman yang telah dicetuskan pengganas komunis menyebabkan kerajaan mengisytiharkan Darurat di seluruh Tanah Melayu pada 1948," katanya.
Menurutnya, pasukan keselamatan pada masa itu perlu sentiasa berwaspada terhadap pengganas komunis kerana mereka mahir dalam serang hendap dan mencetuskan huru-hara di kampung dan bandar terpencil.
Sehari sebelum kejadian itu, saya bersama beberapa anggota dari IPD Pagoh telah melawat anggota Balai Polis Bukit Kepong dan memberi masing-masing dua laras senjata ‘Bren Gun’ dan ‘Sten Gun’ untuk kubu balai polis.
"Selain itu, beberapa senjata lain juga diberikan sebagai persiapan sekiranya berlaku serang hendap oleh komunis," katanya kepada Sinar Harian.
JJ Raj berkata, perjalanan dari IPD Pagoh ke Bukit Kepong mengambil masa antara tiga jam dan tiga jam setengah.
"Kita sentiasa berwaspada ketika dalam perjalanan ke Bukit Kepong kerana sebelum itu pernah berlaku serangan hendap komunis di pertengahan jalan semasa kami ke Lenga, Johor," cerita beliau.
Beliau berkata, apabila sampai di Bukit Kepong, Jamil bersama anggotanya dan penghulu kawasan tersebut yang dikenali sebagai Penghulu Ali menyambut kedatangannya.
"Kami makan tengah hari bersama dan beramah mesra dengan anggota polis serta penduduk kampung.
"Kemudian, saya membuat pemeriksaan sekuriti Balai Polis Bukit Kepong dan memberi senjata baharu tersebut kepada Jamil," kenang JJ Raj.
Redah hutan empat jam
JJ Raj berkata, beliau meluangkan masa melakukan rondaan di pekan Bukit Kepong bersama Jamil, Ali dan beberapa orang mata-mata dengan menggunakan basikal.
"Namun, kami tidak menyedari bahawa seramai 180 anggota komunis sedang menyorok di sekitar kawasan itu," katanya.
Menurutnya, beliau kemudian pulang ke jeti pada jam 7 malam.
"Ketika anggota polis marin menghidupkan enjin bot, saya sempat berpesan kepada Jamil:"Tok Jamil, berjaga-jagalah baik-baik.
Saya masih ingat lagi jawapan Jamil, ‘Jangan bimbang Tuan OCPD (Ketua Polis Daerah), kita akan pertahankan tempat ini (Bukit Kepong). Biar putih tulang jangan putih mata’ sambil memberikan tabik yang rupa-rupanya merupakan tabiknya yang terakhir kepada saya," katanya.
JJ Raj berkata, beliau tidak sangka serangan Balai Polis Bukit Kepong berlaku selepas 15 jam beliau meninggalkan kawasan itu.
"Pada masa itu tidak ada telefon bimbit untuk berkomunikasi atau alat-alat komunikasi moden seperti yang ada hari ini," ujarnya.
JJ Raj berkata, serangan Bukit Kepong pada awalnya diketahui Penghulu Kampong Durian Chondong iaitu kampung bersebelahan Bukit Kepong.
"Kejadian serangan berkenaan disedari orang kampung. Maklumat tersebut kemudian disampaikan ke Balai Polis Lenga. Akhirnya Ibu Pejabat Daerah Pagoh dimaklumkan mengenai kejadian itu," jelas beliau.
Menurutnya, beliau dan anggotanya kemudian bergegas ke Bukit Kepong.
"Semasa dalam perjalanan, kami melihat bot polis telah dibakar oleh pengganas komunis.
"Disebabkan itu, saya dan anggota terpaksa meredah hutan belantara selama empat jam sebelum sampai ke Bukit Kepong," katanya
Apabila tiba di balai polis itu, katanya, pihaknya melihat kemusnahan dan jasad anggota polis yang rebah akibat serangan komunis terbabit.
"Saya terus menguruskan dan menghantar anggota-anggota yang masih hidup dan cedera parah ke hospital dengan menaiki bot," ujar beliau.
Menurutnya, tragedi itu merupakan pengalaman yang cukup pahit dan sungguh menyedihkan bagi dirinya.
,Saya anggap Jamil dan anggotanya yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai pahlawan Melayu sejati, berjuang sama hebatnya seperti askar Gurkha ataupun mungkin lebih hebat.
"Askar Gurkha sangat dikenali dengan keberanian mereka dalam berperang dan ia menggerunkan pihak lawan. Mereka sama sekali tidak akan menyerah diri, sama seperti pahlawan Melayu di Bukit Kepong," katanya.
JJ Raj berkata, secara peribadi beliau berpendapat Jamil dan semua anggotanya sepatutnya dijulang sebagai wira dan dihargai.
Minat sejak kecil
"Mereka bermatian-matian mempertahankan kawasan daripada ditawan oleh komunis. Meskipun jumlah anggota polis itu sedikit, mereka langsung tidak gentar melawan pengganas komunis.
"Anggota polis itu tidak menyerah diri atau melarikan diri malah berlawan habis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir," katanya.
JJ Raj berkata, rakyat Malaysia sepatutnya mengingati jasa perwira negara.
"Golongan muda juga harus ingat bahawa keamanan serta kemakmuran negara pada masa ini adalah hasil titik peluh dan titisan darah pejuang negara yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air tercinta ini," kata beliau.
Mengimbas kembali pengalaman menyertai pasukan polis, JJ Raj berkata, beliau menceburi kerjaya polis disebabkan minat dan dorongan keluarga.
"Saya memang minat pasukan polis sejak kecil lagi kerana penampilan seorang anggota polis yang kemas dan segak memakai pakaian seragam polis.
"Pada masa itu, apabila saya melihat anggota polis memakai pakaian seragam, saya memandang mereka seperti orang yang berbakti dan berkhidmat kepada negara," katanya.
Menurutnya, beliau juga mendapat dorongan daripada abangnya, mendiang Datuk JJ Raj Sr yang bersara sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 1969.
"Abang menasihati saya supaya menyertai pasukan ini kerana ia membawa manfaat kepada negara.
Selepas Perang Dunia Kedua dan pemerintahan Jepun berakhir, saya mengikuti jejak langkah abang saya dan menyertai pasukan polis sebagai inspektor percubaan pada 1946," katanya.
JJ Raj berkata, beliau dua beradik kemudian berkhidmat bersama-sama dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Sepanjang perkhidmatan saya di PDRM, saya menyandang pelbagai jawatan; antaranya Ketua Polis Daerah Pagoh, Tangkak, Kulim, Segamat dan Kuala Lumpur; Komandan Maktab PDRM di Kuala Kubu Bharu dan Ketua Polis Negeri Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Selangor.
"Jawatan terakhir yang saya sandang ialah Pengarah Pengurusan Bukit Aman sebelum bersara pada tahun 1976. Saya berkhidmat selama 30 tahun dalam PDRM," beritahu beliau.
JJ Raj berkata, kerjaya polis sangat mulia dan menyifatkan perbuatan segelintir anggota polis yang terlibat rasuah sebagai ancaman kepada keseluruhan anggota PDRM.
Pada zaman saya dahulu, anggota PDRM berdepan dengan ancaman pengganas komunis. Tapi kini anggota polis menghadapi ancaman daripada musuh yang tidak dapat dilihat iaitu ancaman gejala rasuah.
"Jika tidak dibanteras dengan segera, musuh ini boleh melumpuhkan dan menghancurkan PDRM dari dalam," tegas beliau.
AHMAD ISMADI ISMAIL
14 AUG 2020 11:27 PM
****Pesara polis yang terkenal dengan perjuangannya menyelamatkan mangsa insiden berdarah serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Tan Sri J J Raj (Jr) meninggal dunia pada 6 November 2021
Mendiang yang berusia 100 tahun.

Copy and paste
10 September 2023 > 25 Safar 1445H: 10.39 pm

No comments: