Friday, 29 September 2023

Petunjuk Ke Ibukota Srivijaya

OLEH: SRIKANDI

Mengapa penyelidik menyatakan penemuan baru-baru ini seperti struktur binaan dan artifak yang berseni tinggi termasuk dua buah arca yang diperbuat daripada stuko, yang mana seni binanya memiliki persamaan dengan artifak kerajaan Srivijaya ?
Ini kerana Srivijaya, sebuah empayar maritim yang pernah berkuasa di Asia Tenggara itu pernah memerintah dari Kedah sekaligus menjadikan Kedah sebagai ibukotanya.
Ini ada bukti dan rekod bertulis yang sangat konkrit.
Dalam Prasasti Kepingan Leiden Besar (kurun ke-11M) yang di­tulis dalam bahasa Sanskrit, peme­rintah Srivijaya pada mulanya di­sebut sebagai “Śriviṣayādhipatinā Kaṭah-ādhipatyam ātavantā” dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud “Pemerintah Srivijaya dan yang menjalankan pemerintahan di Kedah”.
Baginda juga telah diberi gelaran “Kaṭah-ādhipates” yang bermaksud “Pemerintah Kedah”. Pada bahagian bahasa Tamil pula, Raja Suvarnabhumi disebut sebagai “Kiḍāratta-araiyan” atau “Kaḍāratta-araiyan”, masing-masing bermaksud Raja Kidara & Raja Kadara, kedua-duanya membawa makna Raja Kedah.
Jika kita perasan, kaitan gelaran pemerintah Srivijaya dengan lokasi Kedah adalah unik dan ini adalah bukti paling jelas dan muktamad. Manakala calon lokasi ibukota Srivijaya di tempat-tempat lain diambil berdasarkan catatan pengembara China dan sumber-sumber analisis sejarahwan.
Tapi kes Kedah adalah unik kerana nama Kedah disatukan dengan gelaran berprestij pemerintah Srivijaya atau maharaja Srivijaya, dinyatakan dengan jelas dalam satu prasasti.
Malah kedudukan Kedah sebagai ibukota Srivijaya diakui oleh Chola sendiri!
Ini kerana Prasasti Leiden Besar atau Inskripsi Kepingan Tembaga Leiden Besar itu dibuat semasa pemerintahan Rajaraja I. Srivijaya sebagai kuasa ekonomi ketika itu memiliki hartanah di selatan India. Geran terpaksa dikeluarkan oleh Chola untuk mengiktiraf kolonisasi Srivijaya ke atas tanah-tanah yang dijadikan tapak biara dan kampung-kampung di sekelilingnya.
Apakah yang maksud tersirat dari semua ini?
Kedah mesti dipromosikan sebagai ibukota Srivijaya (capital of Srivijaya).
Kalau kita tengok dalam laman-laman sesawang Thailand pun mereka sudah lama promosikan Segenting Kra sebagai salah satu kawasan bersejarah era Srivijaya. Mereka klasifikasikan seni rupa, ukiran dan senibina gaya Srivijaya dan bangunkan tarian yang dinamakan ‘Rabam Srivichai’.
Begitu juga dengan Palembang dan lain-lain tapak yang menjadi calon ibukota Srivijaya. Mereka gigih mempromosikan. Namun semua tempat ini tidak ada bukti bertulis yang mencatatkan secara langsung dan jelas bahawa Srivijaya menjalankan pemerintahan di tempat itu.
Kelebihan di negara-negara luar, mereka rajin menjalankan ekskavasi dan menemui banyak tapak dan artifak. Jadi, kita mesti menjalankan lebih banyak ekskavasi dan penyelidikan. Ini kerana kita sudah ada rekod paling mahal yg mengatakan Srivijaya menjalankan pemerintahan dari Kedah.
Maka dengan bukti rekod luarnegara dan bukti di dalam Kedah sendiri, maka pihak-pihak berwajib yang ada kaitan dengan sejarah, pemuliharaan warisan dan pelancongan mesti bersikap pragmatik dalam bertindakbalas terhadap penemuan ini.
Tidak ada gunanya jika ada berjuta tapak sejarah dan artifak jika kita hanya memandang sepi sahaja semua penemuan ini tanpa memahami apa benda pun nilai dan kepentingannya. Bertindak adalah lebih bijak. Jangan jadi seperti beruk mendapat bunga.
~Srikandi
"there I keep chanting for your forgotten history"

Copy and paste:
29/9/2023 > 14 Rabiulawal 1445H: 10.08 pm

No comments: