Friday, 17 May 2019

MEGAT SEJUBANG: KING OF KLANG RIVER

Oleh Cik Srikandi
Sewaktu kecil dahulu, saya ada terbaca satu buku cerita hikayat di negeri Selangor milik nenek saudara. Tajuknya saya tidak ingat tapi ia menceritakan sebuah kisah yang bagi saya adalah versi paling lengkap bagi satu tokoh hikayat Melayu yang kalau saya sebut namanya pasti ramai yang tahu.

Mengapa paling lengkap bagi saya? Sebab di dalamnya selain menceritakan nama-nama tempat di Selangor dan sedikit tentang asal-usulnya, ia juga ada MENCERITAKAN ASAL-USUL KUALA LUMPUR!
Ia menceritakan tentang bagaimana manusia memulakan penempatan di kedua tebing Sungai Kelang yang ketika itu berlumpur sehingga dipanggil kampung itu Kuala Lumpur. Kuala itu merujuk kepada bermulanya Sungai Gombak dari cabang Sungai Kelang tadi, atau titik pertemuan antara dua sungai, Sungai Gombak dan Sungai Kelang yang kini berdekatan Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Okay, di sini bermula sesuatu yang menarik. Tokoh hikayat itu bernama Megat Si Jubang atau Sejubang, adalah anak orang Sakai yang berasal dari satu perkampungan di hulu Sungai Kelang itu. Kemudian dia meminta kebenaran ibunya untuk mengikut kapal raja (saya andaikan sama ada pemerintah Srivijaya atau Kesultanan Melaka) bagi mencuba untung nasib ke negeri-negeri luar. Maka ibunya bersama orang kampung berbuatlah perahu untuknya sampai ke kapal raja. Lebih kurang macam nak pergi interview kerjalah.
Menariknya, kapal raja itu menunggu di titik pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang itu!
Setelah diterima jadi orang raja, maka keluarlah kapal raja tadi menyusuri Sungai Kelang terus ke Selat Melaka.
Setelah 12 tahun, dia kembali ke kampungnya menyusuri Sungai Kelang tadi. Kini Megat Sejubang sudah kaya-raya dan punya kapal sendiri lengkap dengan hulubalang dan sudah pun berkahwin dengan gadis bangsawan. Ibunya yang tahu kepulangan anak tercinta segera menyiapkan makanan kegemaran anaknya iaitu daging lotong salai dan buah-buahan (salah satunya pisang).
Okay, setakat ni cerita tu, rasa-rasa macam pernah dengar tak kisah ni? Saya bagi 'clue' - agak-agak Megat Sejubang tu mahu tak bertemu dan mengaku anak kepada orang yang melahirkannya?
Kisah Megat Sejubang itu ada disentuh juga dalam karya angker: Malay Magic: An Introduction To The Folklore And Popular Religion Of The Malay Peninsular oleh Walter William Skeat.
Menariknya, kebetulan seorang rakan bertanyakan isu ini dalam statusnya:
Siapakah yang sebenarnya membuka Kuala Lumpur?
1. Raja Abdullah
2. Yap Ah Loy
3. Sutan Puasa
4. Abdullah Hukum
5. Hiu Siew
6. Ah Tze
7. Frank Swettenham

Saya termenung sejenak. Polemik siapa yang membuka Kuala Lumpur tidak pernah padam. Masing-masing mahu mengangkat tokoh mereka sendiri. Baru-baru ini cicit Yap Ah Loy tak mahu kalah, katanya jangan perkecilkan sumbangan moyangnya kepada pembangunan Kuala Lumpur. Kalau ikutkan Yap Ah Loy ini sudah pun terkeluar carta berdasarkan kronologi jawatan kapitan Cina serta peranan Raja Abdullah dan Sutan Puasa yang juga memberi sumbangan kepada pembangunan Kuala Lumpur.
Mungkin... yang sebenar-benarnya membuka Kuala Lumpur adalah...
MEGAT SEJUBANG, RAJA SUNGAI KELANG.
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
17 Mei 2019 : 3 15 am

No comments: