Tuesday, 28 May 2019

SEJARAH DAN PENGALAMAN YANG DILUPAKAN.

Oleh Ady Amin
Sejarah yang tidak mungkin boleh dilupakan sepanjang hayat Jalil ialah bermula pada 8 April 1993 semasa menyertai KD Sri Sarawak (KDSS) belayar untuk rutin Ops Cabut untuk kesekian kalinya. KDSS berlepas dari Jeti TLDM Tanjong Gelang pada jam 0800. Keesokan harinya sekitar jam 1000, kapal telah menahan sebuah Bot Pukat Tunda Thai (BPTT) di Perairan Trengganu. Setelah digeledah BPTT dtersebut ternyata tidak mempunyai dokumen yang membenarkan penangkapan ikan dalam negara Malaysia.
Susulan daripada itu Pegawai Memerintah mengarahkan supaya BPTT serta 6 orang awak-awak yang semuanya rakyat Thailand di bawa ke Pulau Redang. Jalil bersama Tim Menggeledah yang lain LK1 PPP Al Haimi Alip yang merupakan Ketua Tim ini malah juga Serang Kedua (2nd Buffer) KDSS dan seorang lagi LK1 TMK Hairozali Hamzah yang bertindak sebagai anggota teknikal tim ini.

Pelayaran dari posisi BPTT ditahan ke Pulau redang memakan masa 3 jam dengan diiringi oleh Kapal Induk KDSS. Mereka bersauh dan bermalam di Pulau Redang sehingga keesokan harinya 10 Apr jam 0600, mereka diarahkan supaya meneruskan perjalanan untuk membawa BPTT ke Pulau Kapas yang akan memakan masa lebih kurang 3 jam untuk tiba ke lokasi untuk diserahkan kepada agensi Penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya. Biasanya agensi Perikanan yang akan mengambil tugas pendakwaan.
Benar kata orang bahawa langit tidak selalu cerah. Selepas dua jam setengah pelayaran ke Pulau Kapas yang pada mulanya cuaca agak tenang tiba-tiba bertukar menjadi sebaliknya. Angin bertiup kencang dan keadaan laut bergelora. Jalil dan rakan-rakannya jadi kelam kabut dan hilang tumpuan. Memburukkan lagi keadaan, kompas bot BPTT turut tidak berfungsi dan mereka jadi hilang arah tuju dan pedoman. KDSS sudah tidak kelihatan lagi di belakang, Pulau Kapas yang pada mulanya jelas kelihatan hilang dari penglihatan disebabkan hujan lebat. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa mengawasi awak-awak BPTT seramai 6 orang yang berada di dalam bot bersama mereka.
Kesemua awak-awak BPTT ditempatkan di haluan bot basah kuyup dan kesejukan. Atas dasar perikemanusiaan, setelah mendapat persetujuan dari Al-Haimi selaku Ketua Tim, semua awak-awak dipindahkan ke Anjungan bot di mana Jalil mengawal di sebelah kiri bot, Al-Haimi mengawal di sebelah kanan dan Hairozali menjaga di bahagian enjin bot.
Setelah kesemua awak-awak berada di Anjungan, AL-Haimi mengarahkan Tekong BPTT supaya mengemudikan bot sementara mereka bertiga mengawasi keadaan yang agak kelam kabut pada masa itu. Hampir 2 jam mereka bertarung dengan ombak dan mencari haluan yang sebenar untuk dituju namun Pulau Kapas masih juga belum kelihatan. KDSS juga tidak kelihatan, perhubungan mereka terputus kerana alat perhubungan walkie-talkie tidak mampu untuk memberi liputan bila berada di luar jarak kemampuannya atau mungkin juga disebabkan cuaca buruk.
Dalam perjalanan yang cukup menyeksakan itu, mereka ada mendengar perbualan antara awak-awak dalam bahasa Thai, tapi mereka tidak faham apa butirannya. Diperhatikan salah seorang dari awak-awak tersebut ada memerhatikan di sekeliling bahagian luar, mungkin mereka ingin meninjau di mana KDSS berada ketika itu dan masuk semula ke Anjungan dan berkata sesuatu kepada kawan-kawannya. Jalil dan rakan-rakannya tidak mengesyaki yang awak-awak ini sedang merancang sesuatu sehingga tiba-tiba kedengaran enjin bot dimatikan.
Serentak dengan itu, 2 orang dari 6 awak-awak yang berada di dalam bot telah menyerbu ke arah Jalil, 2 orang lagi menyerang AL-Haimi dan 2 orang selebihnya menyerang Hairozali. Mereka bertiga tidak sempat untuk berbuat apa-apa tindakan balas disebabkan ruang bot yang sempit.
Jalil dipukul namun Jalil dapat mempertahankan diri dan senjata M16 yang dibawanya sepanjang masa. Dalam pergelutan itu Jalil dapat meloloskan diri dan keluar ke sebelah kanan (starboard) bot. Pada masa itulah Jalil melihat Hairozali sedang diikat. Jalil mencari Al-Haimi namun tidak kelihatan tiba-tiba matanya terpandang ke arah 2 orang lain yang tadinya menyerang Al-Haimi sedang menekan sesuatu objek. 
Firasatnya kuat mengatakan objek yang ditekan itu adalah Buffer Al-Haimi lantas Jalil cuba mengguna senjata yang dibawanya tapi malangnya salah seorang yang melihat tindakan Jalil telah bertindak lebih pantas menerajang sebelah kaki kanannya. Jalil gagal mengimbangi badannya apatah lagi dalam keadaan laut yang bergelora membantunya terhumban ke laut. M16nya turut terlepas dari gengamannya dan tenggelam ke dasar lautan.



29 Jam Terapung Di Laut
Di dalam laut, Jalil mengapongkan diri seketika mengawasi pergerakan bot dikuatiri bot itu berpatah balik dan melanggarnya. Namun beliau bersyukur kepada Ilahi kerana bot BPTT itu tidak bertindak seperti yang dikuatirkan. Bot BPTT terus beredar daripada situ dengan membawa kawannya Hairozali dan Al-haimi yang tidak diketahui apa nasib mereka.
Setelah meyakini Bot itu tidak berpatah balik, Jalil menarik tali pelepas gas karbon dioksida bagi mengembangkan jaket keselamatan yang sepanjang masa berada di pinggangnya bila merapat ke Stesen Menggeledah. Jaket keselamatan yang dibekalkan oleh TLDM boleh bertahan sehingga 72 jam mengikut jaminan pengeluar jika tidak tercucuk benda-benda tajam yang boleh membocorkannya.
Walaupun agak cemas, namun Jalil cuba mengawal perasaan itu kerana beliau yakin KDSS atau bot-bot nelayan yang melalui kawasan itu akan ternampak beliau. Tekaan Jalil meleset….saat demi saat, minit demi minit masa berlalu namun tidak kelihatan satu makhluk pun lalu yang memungkinkan beliau dapat diselamatkan. Masa terus berlalu dari pagi hingga ke petang, menyusur malam dan kembali siang. Jalil telah dihanyutkan jauh dari lokasi asal di mana dia tercampak.

Jalil menjangkakan dia sudah hanyut jauh ke sempadan negeri Kelantan berdasarkan objek-objek yang biasa di lihat melalui pengalamannya. Sebenarnya banyak bot yang Jalil nampak tapi dalam jaraknya yang agak jauh dan tidak nampak atau mendengar jika dipanggil. Jalil cuba juga untuk berenang namun arus deras yang berlawanan menggagalkannya.

Hatinya takut berbaur hiba. Takut mengenangkan keadaan dirinya ketika itu yang sudah tidak berdaya yang boleh mengundang bermacam-macam kemungkinan. Sepanjang beliau terapung kelibat Jerung banyak kali dilihatnya. Obor-obor membelit badannya dan gatal, bisa, pedih yang sangat menyakitkan. Jalil betul-betul pasrah. Sudah lebih 20 jam beliau bersabung nyawa di lautan. Hanya Allah sahaja tempat Jalil mengharap. Kematian boleh menjemput beliau bila-bila masa samada dalam bentuk disambar Jerung, kelemasan, kesejukan, kelaparan atau mungkin beliau dilanggar kapal atau bot yang melalui di kawasan itu. 
Bermacam-macam kemungkinan bemain di fikirannya yang cuma mampu diterjemah dengan doa, istighfar dan laungan azan agar Allah mencampakkan keajaiban. Alhamdulillah, dalam keadaan lapar dan dahaga Allah telah menurunkan hujan lebat dan Jalil hanya membuka mulut menadah air hujan sebagai penghilang dahaga. Siang hari keduanya iaitu 11 Apr 1993 cuaca agak baik. Cuaca panas akan menambahkan lagi keletihan dan dahaga. Seekor burung camar datang hinggap di atas badannya yang terapung bagaikan malaikat yang datang bertanya kabar dan memberi pengharapan kepada Jalil supaya bersabar dan bakal diselamatkan tidak lama lagi.
Hiba mengenangkan isteri yang sedang hamil 4 bulan mengandungkan anak pertamanya. Apakah nasib yang akan dialami oleh isteri dan anaknya jika ketiadaan beliau nanti. Hiba juga mengenangkan sampai saat ini rakan seperjuangan KDSS maupun tim search and rescue (SAR) tidak datang menyelamatkannya.
Dalam keadaan hambanya yang sudah berputus harap untuk terus hidup, tiba-tiba Allah telah mencampakkan keajaiban memakbulkan doa dan pengharapan hambanya yang sudah tidak berdaya dan pasrah menerima apa saja kemungkinan yang ditakdirkan. Lebih kurang jam 1700, sebuah kapal dagang lalu berhampiran dengan kedudukan Jalil. Mengumpul sekuat tenaga Jalil melambai-lambai ke arah kapal tersebut dengan menggunakan jaket keselamatan. Jaket yang berwarna merah itu lebih mudah untuk dilihat oleh pemerhati kapal berbanding lambaian tangan kosong. Namun tindakan Jalil tidak berhasil bila melihat tiada respon dari pihak kapal yang berlalu pergi.
Kecewa melanda di hati Jalil. Fikirnya sudah tiada harapan lagi baginya untuk hidup setelah peluang yang sesekali datang ini berlalu begitu saja. Posisi Jalil sudah melepasi ke buritan kapal …tiba-tiba seorang anak kapal yang berada di buritan terpadang ke arahnya lantas memaklumkan kepada kapten kapal. Beberapa ketika kelihatan kapal tersebut menukar haluan menuju ke arahnya. Semangatnya pulih serta merta. Allah telah memakbulkan doanya. Kapal GASTOR GAS yang berdaftar di Panama dalam pelayaran ke Korea telah menyelamatkan dirinya.
24 jam kemudian kapal GASTOR GAS berlabuh di Singapura dan menyerahkan Jalil kepada Imigresen Singapura sebelum diserahkan kepada BEREK TLDM Woodlands. Di BEREK TLDM, Jalil cuma dirawat sebagai pesakit luar di Sickbay (Rumah Sakit ATM), jauh meleset dari perkiraan Jalil sebelum itu dia sekurang-kurangnya akan di wadkan di Hospital beberapa waktu bagi menghilangkan trauma di samping merawat kulitnya yang hancur teruk. Belum pun terubat kesedihan itu pada Jalil diarahkan balik ke Markas Wilayah Laut 1 (MAWILA 1) di Kuantan dengan menaiki bas Ekspres untuk Board of Inquiry (BOI). Terlintas di benak Jalil, dia seolah-olah dilayan seperti orang salah. Dia jadi keliru.
Apa telah terjadi kepada dua orang lagi rakannya?. Hairozali ditawan oleh awak-awak BPTT dan dibebaskan di Songkhla Thailand dan Buffer Al-Haimi hilang tanpa berita. Mungkin samudera nisannya. Berita ini diketahui setelah beliau tiba di MAWILA 1 bila Hairozali memberitahunya. Hairozali tiba di MAWILA 1 sehari lebih awal daripadanya. 
Walaupun Jalil masih trauma dan fobia dengan laut akibat dari peristiwa lepas namun beliau dikehendaki mengikuti pelayaran macam biasa dan meneruskan perkhidmatan di KDSS sehingga 1995.
Dari tahun 1995 hingga tahun 1996 Jalil ditugaskan di MAWILA 1 bahagian Pusat Kawalan Berek. Pada tahun 1996, Jalil diderafkan ke Berek TLDM Woodlands Singapura sehingga tutupnya Berek TLDM Woodlands pada tahun 1998 lalu berpindah ke Pangkalan TLDM Tanjong Pengelih sehinggalah tahun 1999 yang mana mencapai tempoh tamat perkhidmatan (TTP) wajib selama 13 tahun, Jalil mengambil keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.
Sejak peristiwa hitam yang terjadi ke atas dirinya, Jalil merasakan dia tidak boleh bertahan lebih lama lagi dalam perkhidmatan TLDM memandangkan TLDM sendiri pun tidak pernah mengambil ingatan atas peristiwa tersebut apatah lagi untuk menghargai pengorbanan beliau sekurang-kurangnya. Selepas peristiwa itu hanya kerajaan negeri Pahang sahaja yang telah menyumbang wang tunai RM1,000.00 kepadanya.
Untuk ‘arwah’ Al-Haimi yang diistiharkan mati selepas beberapa ketika, namanya diabadikan pada dewan serbaguna MAWILA 1 di samping berhak menerima pencen bulanan kepada warisnya. Manakala Hairozali meneruskan perkhidmatan.

Kehidupan Pasca Perkhidmatan
Jalil menyedari menamatkan perkhidmatan tanpa pencen akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar jika tidak mengurus diri dengan betul terutamanya dalam soal ekonomi.

Sekarang Jalil mencari rezeki dengan berkerja sendiri seperti mengambil upah memotong buah Kelapa Sawit dan apa-apa saja kerja halal yang boleh mendatangkan wang. Bekerja sendiri walau pun pendapatan tidak tetap namun hatinya lebih tenteram, dengan pekerjaan inilah Jalil menyekolahkan 4 orang anaknya yang kini berumur 18, 16,12 dan 10 tahun.
Mengakhiri perbualan, Jalil berpesan kepada rakan-rakan yang masih dalam perkhidmatan supaya berhati-hati ketika bertugas dan ambillah cerita ini sebagai pedoman kerana kecelakaan boleh menimpa kita tanpa kita mengundangnya. Duka sengsara jangan mengharapkan ada orang yang akan mengenang dan menghargainya melainkan anda adalah Sang Juara yang menjulang piala yang menjadi kebangggaan negara. Derita dan mati dalam menjaga kedaulatan negara belum pasti anda akan diangkat sebagai wira. PERAJURIT



Copy and paste: FB Veteran Tentera Laut
28 Mei 2019 : 5.55 pm

No comments: