Saturday 25 May 2019

MELAKA MENJADI TUMPUAN PEDAGANG RYUKYU

Family Mart, Uniqlo, Toyota, jenama dari Jepun kini bahagian daripada kehidupan kita. Tetapi tahukah anda pada abad ke-15 Kesultanan Melayu Melaka telah menjalin hubungan perdagangan dengan sebuah kerajaan kecil bernama Ryukyu?

Ryukyu asalnya ialah sebuah kerajaan bebas sebelum ia diserap ke dalam negara Jepun pada tahun 1879 Masihi ketika zaman Pemulihan Meiji. Ryukyu hari ini terdiri daripada sekumpulan pulau di barat daya Jepun dengan Okinawa sebagai pulau terbesar.
Menurut dokumen “Rekidai Hoan” (atau Dokumen Berharga Generasi Seterusnya) terdapat 19 pucuk surat daripada Ryukyu kepada Melaka, dan 11 surat daripada pihak Melaka kepada Ryukyu. Hubungan antara kedua-dua negara dipercayai bermula ketika pemerintahan Raja Sho Toku di Ryukyu dan Sultan Mansur Shah di Melaka.
Dalam surat bertarikh 15 Ogos 1468 Raja Ryukyu mengirimkan hadiah “berupa kain sutera, pedang Jepun, kipas berserta tembikar untuk dipersembah kepada kerajaan Melaka.”
Hubungan di antara Ryukyu dan Melaka berterusan hingga 1511. Antara sebab aktiviti maritim Ryukyu mula merosot adalah kebangkitan aktiviti lanun, kemunculan Portugis di wilayah selatan, dan hubungan yang semakin renggang dengan Dinasti Ming di China.
Tetapi kenapa sebenarnya Ryukyu ingin berdagang dengan Melaka? Apakah barang yang mereka jual dan beli daripada Melaka? Nantikan siaran kami pada hari Khamis ini.
Bahan rujukan:
1. "Sejarah Hubungan Ryukyu-Melaka Berdasarkan Sumber Jepun," Nasrudin Md Akhir & Lee Chee Leong (2017). 
2. "Ryukyu and Southeast Asia," Shunzo Sakamaki (1964). 
3. "Sejarah Perdagangan Maritim Ryukyu Serta Hubungannya Dengan Melaka," Azlansyah Aman & Azhar Mad Ros (2016).

Copy and paste: FB Melaka in Fact
25 Mei 2019 : 12.55 pm

No comments: