Friday 3 May 2019

Persatuan -Persatuan Melayu di Perak 1930an

Cikgu Halmi
Suntikan semangat daripada majalah Al Imam, akhbar Neraca, Tunas Melayu dan Al Ikhwan pada awal tahun 1900 menyedarkan orang Melayu untuk membangunkan masyarakatnya yang tertinggal jauh dari segi sosial dan ekonomi berbanding kaum yang lain. Oleh itu orang Melayu di Singapura telah menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura( KMS) pada tahun 1926 dibawah pimpinan Muhammad Eunos Abdullah.

Pada tahun 1927-1930 sebuah persatuan 'bawah tanah' telah ditubuhkan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Persatuan tersebut ialah Belia Malaya. Persatuan yang menjadi cikal- bakal Kesatuan Melayu Muda (KMM) ini dipimpin oleh Ibrahim Yaakob, Hasan Manan, Abdul Karim Rashid dan Isa Mohammad.
Selain itu Persaudaraan Sahabat Pena (PASPAM) pula ditubuhkan pada tahun 1934. Pertubuhan ini dibawah akhbar Saudara ini telah menyatukan orang Melayu yang datang dari seluruh Malaya untuk membincangkan masalah bersama. Pada mulanya berasaskan sastera. Slogannya 'Hidup Bahasa, Hidup Bangsa'. Kemudian menumpukan untuk memperbaiki sosio ekonomi orang Melayu. Selepas persidangan pertama kali di Taiping 11 November 1934 ahlinya bertambah sebanyak 12,000 orang. Ketuanya ialah Syed Alwi, S.M Zainal Abidin dan Hamidun b. Mohd Hashim.
Antara pertubuhan lain adalah Persatuan Melayu Perak (PMPK). Ditubuhkan pada 18 September 1937. Seramai 104 orang yang hadir. 90% terdiri daripada kakitangan kerajaan yang berpendidikan Inggeris. Tujuan ditubuhkan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan pelajaran, taat setia kepada Great Britain, kerajaan dan Raja, bekerjasama dengan Inggeris untuk memajukan orang Melayu.
Pertubuhan ini diketuai oleh Wan Mohd Nur b. Wan Nasir. Pada satu ketika dianggap oleh Inggeris sebagai 'kongsi gelap' dan kiri kerana tidak menerima golongan bangsawan sebagai ahli. Malah seorang pegawai pendaftar pertubuhan Inggeris pernah berkata kepada Wan Muhd Nur, tidak perlu orang Melayu ada persatuan kerana masyarakat Melayu sudah aman dan teratur, sudah ada Raja, Orang Besar dan Penghulu. Untuk mengelakkan curiga PMPK menggunakkan bahasa Inggeris ketika mesyuarat. Pihak Inggeris juga telah menukarkan pemimpin-pemimpinnya keluar dari daerah Kinta. Wan Muhd Nur ditukar dari Batu Gajah ke Tanjung Malim, Mohd Ali selaku setiausaha ditukarkan ke Rompin Pahang. Laidin pula ditukarkan ke Kuala Kangsar.
Akibat tekanan, dasar PMPK dirombak untuk menerima semua golongan menjadi ahli termasuk golongan bangsawan. Oleh itu pada Oktober 1938 Toh Muda Panglima Kinta Cik Tak, seorang pegawai polis berkelulusan England telah dilantik sebagai Yang Dipertua.
Sumber: Maymon Arif, Kegiatan Politik Orang Melayu 1930an, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia 1973
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
3.5.2019: 12.07 pm

No comments: