Sunday 19 May 2019

18 Mei 1970: JASA TUN RAZAK MENZAHIRKAN PENUBUHAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.

PADA hari ini 49 tahun yang lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan. Cetusan pertama gagasan perlunya pendidikan tinggi untuk orang Melayu berlaku dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja pada tahun 1903. Sehubungan itu, Zainal Abdin bin Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Za’ba, seorang cendekiawan, menulis berkenaan gagasan tersebut dalam akhbar Lembaga Melayu pada tahun 1917.

1- Pendapat itu turut disokong seorang tokoh penulis iaitu Abdul Kadir Adabi yang menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan pada tahun 1923 meminta penubuhan universiti untuk orang-orang Melayu. Perjuangan itu diteruskan oleh sekumpulan intelektual dari Universiti Malaya yang telah mempelopori gerakan untuk menubuhkan Universiti Kebangsaan secara lebih serius. Selepas proses perbincangan antara kerajaan dengan Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan maka pada 24 Januari 1969, Menteri Pelajaran, Encik Mohd. Khir Johari telah mengumumkan penubuhan Universiti Kebangsaan.
2- Kampus UKM di Bangi yang memulakan operasinya pada tahun 1977 mempunyai keluasan 1,096.29 hektar dan menempatkan sembilan (9) fakulti, dan lima belas (15) institut penyelidikan. Selain itu, UKM juga mempunyai sebuah kampus di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur yang menempatkan Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi. Manakala Pusat Perubatan UKM (PPUKM) di Cheras, Kuala Lumpur menempatkan Fakulti Perubatan, Hospital UKM dan Institut Perubatan Molekul (UMBI). Kini, UKM tampil dengan citra baru melalui garis tanda “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”.
LAHIRNYA UKM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU.
1- PENUBUHAN Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 merupakan satu kejayaan besar Dasar Pelajaran Kebangsaan yang mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti itu seperti yang dizahirkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak.
2- Tun Abdul Razak menyatakan bahawa penubuhan UKM adalah kemuncak ke arah memenuhi aspirasi rakyat yang mahu melihat Bahasa Melayu mempunyai kedaulatan dan kedudukan yang sewajarnya dalam menentukan keperibadian bangsa.
3- Malah, jasa Utusan Melayu turut berjuang bersama-sama pejuang bahasa dan tokoh-tokoh intelektual Melayu untuk memastikan penubuhan UKM benar-benar menepati aspirasi rakyat tidak boleh dilupakan. Menurut Utusan Malaysia pada 20 Mei 1970, UKM telah ditubuhkan atas kesedaran rakyat yang mahu melihat Bahasa Melayu terus berkembang dalam negara kita sesuai dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
4- Kelahiran universiti ini merupakan satu kejayaan besar dan penting yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun dalam sejarah sistem pelajaran kebangsaan di negara ini. Penubuhan UKM juga selaras dengan keyakinan para pejuang Bahasa Melayu yang berusaha keras menangkis segala tohmahan dan momokan mengenai kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
5- Utusan Melayu turut mempertahankan dan meyakinkan semua pihak tentang kemam­puan dan kepentingan meletakkan Bahasa Melayu di menara gading agar kedaulatan bahasa ibunda ini akan terus dijaga dan dipertingkatkan. Walaupun mendapat tentangan daripada beberapa golongan yang masih ragu-ragu terhadap kemampuan Bahasa Melayu, UKM terus memainkan peranannya, memperjuang dan mengendalikan kursus-kursus dalam Bahasa Melayu.
“Penubuhan universiti ini menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di peringkat pelajaran tinggi di negara ini” (Utusan Malaysia 20 Mei 1970).
6- Utusan Malaysia melapurkan, cita-cita untuk menubuhkan sebuah universiti nasional mula dicetuskan dalam satu majlis perjumpaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Ogos 1958 yang dihadiri kira-kira 50 orang perwakilan dari semua lapisan pensyarah universiti, maktab-maktab perguruan sehinggalah mahasiswa. Cita-cita yang tercetus itu telah menghasilkan satu usaha yang konkrit apabila berlangsungnya Kongres Universiti Kebangsaan bertempat di Dewan Kuliah Universiti Malaya pada 15 Mac 1969.
7- Hasil kongres itu yang merupakan ‘arkitek’ pelaksanaan untuk mewujudkan universiti yang diidam-idamkan dan menjadi kemegahan negara dan rakyat. Kongres yang berlangsung pada hari itu telah menjadi medan perbahasan antara pejuang-pejuang nasionalis bangsa Melayu mengenai konsep Universiti Kebangsaan. Kerajaan pada waktu itu memberi jaminan bahawa taraf ijazahnya sama, setanding dengan ijazah yang dikeluarkan oleh universiti di dalam dan luar negara.
8- Menteri Pelajaran Datuk Abdul Rahman Yaakob dan Naib Canselor universiti itu sendiri telah memberi jaminan tentang taraf universiti tersebut. Encik Mohd. Khir Johari sendiri semasa menjadi Menteri Pelajaran juga menegaskan bahawa Universiti Kebangsaan bukanlah universiti kelas dua atau tiga untuk menampung penuntut-penuntut kelas dua dan tiga” (Utusan Malaysia 25 Ogos 1970).
TUN RAZAK SEBAGAI CANSELOR PERTAMA UKM.
1- PERLANTIKAN Tun Razak sebagai Canselor Pertama UKM sejak Julai 1970, memberi keyakinan dan kekuatan semangat kepada mahasiswa UKM dan UKM sendiri. Ini bukan sahaja Canselor Pertama diterima UKM, tetapi juga adalah satu-satunya universiti yang Canselornya adalah seorang Perdana Menteri yang selepas itu hingga kini tiada lagi universiti di Malaysia yang Canselornya adalah Perdana Menteri.
2- Perlantikan Tun Razak menjadi Canselor UKM melengkapkan visi dan misi Tun Razak yang pada masa menjadi Menteri Pelajaran di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman terhasilnya Penyata Razak yang menjadi landasan pendidikan di Malaysia dari peringkat rendah membawalah kepada peringkat pengajian tinggi.
3- Pada 2 September 1980, kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi telah dirasmikan penubuhannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah. Kampus tetap Bangi yang dirasmikan itu terletak di kawasan seluas 2,967 ekar dan mampu menampung 10,000 pelajar dalam berbagai bidang pengajian dan telah mula digunakan pada akhir 1977.
“Dengan perasmian kampus tetap UKM di Bangi pada hari ini juga telah membuahkan hasil kepada kegigihan pejuang bahasa dan hasrat rakyat yang ingin melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat” (Hari Ini Dalam Sejarah: Perasmian UKM. Arkib Negara 8 Oktober 2008).
4- Menurut rekod UKM, seramai 98 orang daripada 173 mahasiswa mengikuti kursus dalam fakulti sastera, Fakulti Sains (37 orang) dan Fakulti Islam (36). Tiga orang intelek Melayu yang terkenal mengetuai Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam. Fakulti Sastera diketuai oleh Syed Naguib Al-Attas iaitu bekas Ketua Pengajian Melayu Universiti Malaya; Pengetua Kolej Islam Malaya, Tan Sri Dr. Abdul Jalil Hassan mengetuai Fakulti Pengajian Islam dengan gelaran profesor dan Dr. Ghazali Abdul Rahman pensyarah di Universiti Malaya mengetuai Fakulti Sains.
Hari ini, UKM sudah maju dan hebat. Anak anak muda yang bergelar mahasiswa sudah sampai ke angka 35 ribu orang di kampus ini. UKM sendiri sudah menghasilkan lebih dari 200,000 graduan sejak 49 tahun yang lalu.
Hari ini anak anak muda di UKM mungkin hanya kenal sejarah UKM melalui buku, internet dan keratan akhbar. Mereka yang menjayakan penubuhan UKM dulu juga sudah ramai yang pergi meninggalkan kita. Yang ada juga kebanyakkan sudah meningkat usia mereka.
Hari ini juga, anak anak muda selalu bercakap soal perjuangan. Baguslah. Semoga mereka juga faham dan tahu menghargai perjuangan pimpinan UMNO yang telah pergi. Semoga anak muda di UKM tahu dan ingin meneruskan perjuangan pemimpin UMNO dahulu memartabatkan UKM demi kemajuan bahasa Melayu dan jati diri kebangsaan.
Sumber dan rujukan:
80-tahun-utusan/sejarah-utusan/penubuhan-ukm-kemuncak-aspirasi-rakyat-
Sejarah-penubuhan-universiti-kebangsaan-malaysia/
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA DITUBUHKAN

Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
19.5.2019: 5.51 am

No comments: