Friday, 17 May 2019

GUNUNG TURSINA: ANTARA JABAL SINAI DAN JABAL LAWZ

 ,Artikel kali ini akan membincangkan tentang dua gunung yang dikatakan adalah Gunung Tursina, tempat Nabi Musa as menerima wahyu dan tempat Bani Israel berkumpul setelah keluar dari Mesir, negeri Firaun.
Jika kita google "Gunung Tursina", kebanyakan halaman web atau blog akan menunjukkan Jabal Sinai di Mesir. Ini kerana sejak dahulu lagi ramai yang percaya Jabal Sinai adalah Gunung Tursina.
Selain Jabal Sinai (Mesir), ada pendapat lain yang mengatakan Gunung Tursina adalah Jabal Lawz (Arab Saudi). Pendapat ini dikukuhkan dengan penemuan-penemuan yang terdapat di Laut Merah dan Jabal Lawz. Teruskan bacaan untuk mengetahui maklumat selanjutnya...
Kita mulakan dengan awal Surah At-Tiin.
"Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun. Dan Gunung Tursina. Dan demi negeri yang aman ini." (At-Tiin 95:1-3)
Untuk memahami ayat di atas bukanlah mudah. Pelbagai persoalan muncul mengenai ayat ini.
Apa keistimewaan buah tin dan buah zaitun, di mana terletaknya Tursina dan di mana "negeri yang aman" itu?
Nama-nama yang disebut dalam Surah At-tiin (ayat 1-3) ini masih diperdebatkan. Di antara yang diperdebatkan adalah buah tin, zaitun dan Tursina.
Beberapa pendapat mengatakan bahawa Tursina berada di Baitul Maqdis, Palestin.
Namun ada juga yang mengaitkan Surah At-Tiin ayat 1-3 itu dengan tiga tempat berbeza;
i. Ayat "Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun" dirujuk pada Palestin kerana kawasan itu terkenal dengan pohon tin dan zaitun yang sangat banyak. Tempat ini juga merupakan tempat Nabi Isa as ditugaskan sebagai rasul dalam menyebarkan agama tauhid.
ii. Sedangkan ayat "Dan Gunung Tursina", sebahagian penafsir merujuk pada Nabi Musa as yang menyebarkan perintah Allah di Mesir yang bermula dari Gunung Tursina untuk melawan Firaun dan membela Bani Israil.
iii. Sementara itu, mengenai ayat "Dan demi negeri yang aman ini", para ulama sepakat mengatakan negeri itu adalah Makkah.
Dari ketiga-tiga tempat yang disebutkan para mufassir itu, mereka mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan dalam Surah At-Tiin (ayat 1-3) itu adalah di tiga tempat ini tersebarnya agama Samawi iaitu agama Yahudi (Tursina), Islam (Makkah) dan Nasrani (Palestin) yang hakikatnya berasal dari Tuhan yang sama.
Jadi, para mufassir mentafsirkan Surah At-Tiin ayat 1-3 itu berkaitan dengan penciptaan Allah swt ke atas diri manusia sebagaimana ayat seterusnya.
”Allah bersumpah dengan menyebut tiga tempat lahirnya agama-agama Samawi dalam rangka menghuraikan fitrah kesucian manusia,” jelas Sayyid Quthb.
Menurut Sami bin Abdullah al-Maghluts dalam bukunya "Atlas Sejarah Nabi dan Rasul", pendapat pertama yang mengatakan Tursina berada di Mesir sangat lemah kerana perkataan itu (Tursina) disalah anggap dengan perkataan 'Sinai'.
”Siapa boleh pastikan bahawa yang dimaksudkan Allah swt dengan Tursina itu adalah Sinai? Sekiranya memang benar, tentu Allah swt tidak mengatakan 'Siniin' jika maksudnya Sinai."
DI MANA TERLETAKNYA GUNUNG TURSINA?
Seorang ahli sejarah iaitu Ron Wyatt mendakwa dia menemui lokasi penyeberangan Nabi Musa dan kaumnya semasa peristiwa terbelahnya lautan. Dia berpendapat lokasi penyeberangan bermula di pantai Nuweiba (Semenanjung Sinai) dan berakhir di sempadan antara Jordan dan Arab Saudi sekarang.
*Rujuk artikel sebelum ini tentang LOKASI PENYEBERANGAN NABI MUSA DAN KAUMNYA.

Jika pendapat Ron ini benar, bererti Gunung Tursina yang disebut dalam al-Quran dan Bible bukan terletak di Semenanjung Sinai (Mesir), tetapi terletak di Arab Saudi.
Kemungkinan yang menyatakan Gunung Tursina terletak di Semenanjung Sinai agak dipersoalkan kerana pada zaman itu Semenanjung Sinai juga termasuk dalam kekuasaan Mesir di bawah Firaun.
Oleh sebab itu, besar kemungkinan Gunung Tursina terletak di Madyan (sekarang termasuk dalam kawasan Arab Saudi).
Ia juga sesuai dengan kisah setelah menyeberang, Bani Israel bertemu dengan kaum penyembah berhala yang secara kebetulan adalah penduduk Madyan ketika itu.
"Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang lautan itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: 'Wahai Musa buatlah untuk kami sebuah tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan'. Nabi Musa menjawab: 'Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil'." (Al-A'raaf 7:138)
Menurut Ron, Nabi Musa membawa kaumnya menuju ke kawasan Arab Saudi dan kajiannya menunjukkan Jabal Lawz adalah Gunung Tursina seperti yang dimaksudkan dalam kitab-kitab.
Banyak bukti ditemui di sekitar Jabal Lawz bersesuaian dengan apa yang tertulis dalam al-Quran dan Bible. Di antaranya adalah puncak gunung yang menghitam, batu yang dipukul oleh Nabi Musa dengan tongkatnya, malah sebatang pokok zaitun yang disebutkan terletak di lembah suci Tuwa pun ditemui.
Apakah itu pokok yang sama? Wallahua'lam...
Dan yang menarik adalah ditemui juga 'Petroglyph' (lukisan batu) yang menggambarkan lembu di sebuah dinding batu di sekitar kawasan bukit ini.
"Maka ketika dia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu (yang ada di situ): 'Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam'." (Al-Qasas 28:30)
*(Api itu adalah sebagai satu isyarat yang didatangkan oleh Allah untuk menarik perhatian Musa ke tempat itu dan bukannya zat Allah. Wallahua'lam.)
"Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan." (Al-Mu'minuun 23:20)
"Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu'. Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka Mann dan Salwa. (Lalu Kami berfirman): 'Makanlah dari baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu'. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi merekalah menganiaya diri mereka sendiri." (Al-A'raaf 7:160)
"Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh dan bersuara, lalu mereka berkata: 'Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa'." (Taha 20:88)
Benarkah Gunung Tursina adalah Jabal Lawz (Arab Saudi) dan bukan Jabal Sinai (Mesir)?
Sebenarnya penduduk tempatan (suku Badwi) di sekitar Jabal Lawz dan Tabuk sudah memanggilnya 'Jabal Musa' dan kemungkinan besar pemerintah Arab Saudi pun telah lama mengetahuinya.
Mungkin untuk menghindari pendapat berbeza dengan Mesir, pemerintah Arab Saudi tidak terlalu memberitakannya.
Perlu dicatatkan bahawa sebahagian besar umat Yahudi dan Nasrani tidak setuju dengan teori lokasi Gunung Tursina di Arab Saudi.
Israel mendakwa Tursina berada di Palestin. Sedangkan bagi kaum Nasrani, mereka berpendapat Tursina berada di Mesir iaitu Jabal Sinai.
Wallahua'lam...
-Debu-
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
17 Mei 2019 : 1.32 pm

No comments: