Wednesday, 1 May 2019

MISI DAN STRATEGI SNOUCK HURGRONJE DALAM MENGEKANG USAHA JIHAD DI ACEH

Willian Christian Snouck Hurgronje lahir pada 8 Februari 1857 di Oosterhout, Belanda. Ayahnya seorang paderi di Belanda. Snouck Hurgronje terkenal sebagai seorang orientalis (pakar dalam hal ehwal ketimuran) yang fasih berbahasa Arab dan Melayu serta pakar ilmu pengajian Islam dan kebudayaan Nusantara.
Pada 1880, beliau menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam kajian ketimuran di Leiden. Pada tahun 1885, Snouck Hurgronje pergi ke Mekah untuk mendalami bahasa Arab dan mengkaji tentang Islam.
Sebelum masuk ke Mekah, beliau telah memeluk Islam di hadapan Qadi Jeddah bagi memudahkan urusan pengkajiannya. Mulai saat itu, beliau mula memakai nama Abdul Ghaffar.
Disebabkan penduduk Hindia-Belanda (Nusantara) sering memberi ancaman kepada kelancaran pentadbiran Belanda dengan melakukan banyak siri peperangan dan pemberontakan, maka Snouck Hurgronje berminat untuk mengkaji dan mendalami masyarakat Nusantara di Mekah.
Di Mekah, Snouck Hurgronje mendapati bahawa orang-orang Nusantara telah menjadikan Mekah sebagai pusat gerakan politik dan jihad bagi menentang penjajahan barat terutama orang-orang Aceh yang memiliki hubungan yang erat dengan Khalifah Uthmaniyah.
Oleh itu, ketika di Mekah, Snouck Hurgronje telah menumpang rumah seorang tokoh rakyat Aceh yang bernama Abu Bakar untuk bergaul dengan masyarakat dari Nusantara dan mendalami pemikiran mereka.
Snouck Hurgronje atau Abdul Ghaffar jelas sekali berpura-pura memeluk Islam. Dalam surat yang diutuskan pada gurunya dalam bidang kajian Islam yang bernama Theodor Noldeke, Snouck Hurgronje mengaku beliau berpura-pura memeluk Islam bagi memudahkannya memasuki Mekah dan mengkaji tentang Islam serta mendapat maklumat-maklumat sebanyak mungkin tentangnya.
Pada tahun 1889, Snouck Hurgronje tiba di Aceh untuk menjalankan misi rahsianya. Beliau telah dilantik menjadi penasihat bahasa-bahasa Timur dan Perundangan Islam bagi pemerintah Belanda. Bagi menjayakan misinya, Snouck Hurgronje telah menubuhkan Jabatan Urusan Peribumi yang mana beliau bertindak sebagai ketuanya. Beliau mengambil pendekatan lembut dan mesra dengan penduduk Aceh dalam menjalankan misinya.
Kesimpulan yang diperolehi oleh Snouck Hurgronje bahawa ancaman utama terhadapa Belanda dan strategi ke atasnya adalah seperti berikut :-
Ancaman 1
Ideologi Islam sebagai politik dan siasah
Snouck Hurgronje melihat agama Islam sebagai ibadat semata-mata bukanlah ancaman kepada Belanda. Tetapi yang menjadi ancaman besar apabila orang-orang Aceh membawa Islam ke dalam politik dan siasah. Dogma ini memberi ancaman kepada Belanda di mana orang-orang Aceh atau Nusantara yang berazam menegakkan politik Islam akan menolak penguasaan dan pemerintahan Belanda secara total.
Strategi
Berikan kebebasan beribadat kepada umat Islam secara mutlak di samping menanamkan propaganda bahawa Islam adalah agama ibadat semata-mata. Orang-orang Islam diberikan kebebasan untuk solat, mendirikan masjid, (malah Belanda membantu dalam usaha membina masjid), berpuasa dan sebagainya. Namun politik dan siasah rakyat Aceh perlu dipisahkan dari Islam.
Ancaman 2
Golongan ulama
Golongan ulama sangat berbahaya apabila mereka mendapat tempat dalam masyarakat. Ini kerana mereka senang membina pengaruh yang akan menanamkan dan mengobarkan semangat jihad.
Strategi
Membenteras dan menghapuskan golongan ulama dengan memburu, menangkap dan membunuh mereka.Di samping itu, dapatkan sokongan tokoh-tokoh masyarakat dalam usaha membenteras ulama. Belanda juga cuba menjauhkan orang-orang Aceh dari ulama dengan mengangkat tokoh-tokoh masyarakat yang pro-Belanda.
Ancaman 3
Pelajar madrasah atau santri
Golongan pelajar madrasah merupakan penyambung usaha golongan ulama dan mereka menjalankan misi-misi dan strategi golongan ulama.
Strategi
Sama yang seperti yang dilakukan ke atas golongan ulama
Ancaman 4
Madrasah atau institusi pengajian Islam
Madrasah atau meunasah dalam bahasa Aceh menjadi tempat para ulama dan pelajar menjalankan segala kegiatan mereka. Pengajian Islam juga menjadi medan bagi para ulama menyebarkan kefahaman mereka.
Strategi
Menghapuskan institusi madrasah dengan membina institusi-institusi pengajian pilihan (alternatif) untuk rakyat Aceh iaitu pengajian Belanda atau pro-Belanda.
Ancaman 5
Tarekat
Gerakat tarekat dilihat satu gerakan politik dan dakwah yang tersusun yang digagaskan oleh para ulama di Nusantara. Melalui gerakan-gerakan tarekat ini, ideologi jihad ke atas penjajahan Belanda mudah disebarkan ke atas orang awam. Gerakan tarekat juga dilihat berbahaya kerana berupaya menanamkan sifat fanatik membenci Belanda dan berupaya mendatangkan keberanian kepada orang awam untuk turun ke kancah jihad menentang Belanda.
Strategi
Memisahkan gerakan tarekat dari masyarakat Aceh dengan apa cara sekali pun.
Ancaman 6
Gerakan Pan-Islam Khalifah Uthmaniyah
Gerakan Pan-Islam yang dilancarkan oleh Khalifah Uthmaniyah di mana seluruh umat Islam bernaung di bawah kekuasaan Uthmaniyah dilihat sebagai satu ancaman besar dari luar. Oleh itu, keakraban hubungan Uthmaniyah dan masyarakat Nusantara terutamanya Aceh mampu menggugat penguasaan Belanda.
Strategi
Memutuskan hubungan antara kerajaan Uthmaniyah dan Nusantara dari segenap aspek.
Hasanuddin Yusof 
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
1/5/2019: 12.32 pm

No comments: