Friday, 10 May 2019

SEPINTAS LALU : SEJARAH KUALA KUBU YANG DILUPAKAN

Oleh Johan Ahmad
Beberapa hari yang lalu sempat bersiar-siar di pekan Kuala Kubu Bharu. Sempat juga melihat-lihat beberapa monumen bersejarah yang terdapat di sana. Alhamdulillah. Ada usaha dari pihak kerajaan untuk menaikkan semula nilai warisan sejarah yang terdapat di pekan ini. Antaranya adalah Jam Peringatan King George VI. Menara jam ini dibina sebagai tanda memperingati hari pertabalan King George VI dan Queen Elizabeth II sebagai raja dan ratu kerajaan Britain. Selain dari menara jam yang terdapat di pekan ini, menara-menara lain turut dibina di seluruh Malaya ketika itu sebagai simbol yang Malaya adalah salah satu dari naungan British.
Selain itu, turut diletakkan sebagai tapak warisan adalah bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor yang terletak di Bukit Kerajaan, berhadapan dengan menara jam tersebut. Bangunan pejabat kerajaan ini digunakan pada tahun 1931 bagi menggantikan bangunan lama yang telah musnah akibat banjir besar yang berlaku pada tahun 1883 hingga menenggelamkan hampir keseluruhan pekan lama Kuala Kubu.
Pekan lama terletak di kawasan Ampang Pecah kini, iaitu kawasan perumahan besar antara yang terawal di bangunkan di Kuala Kubu Bharu pada tahun 1980-an. Tinggalan dari pekan Kuala Kubu lama yang masih tinggal adalah Masjid (Lama) Al-Hidayah yang berusia lebih seratus tahun, yang terselamat dalam dalam tragedi banjir besar tersebut.
Mengikut sejarahnya, dahulu Kuala Kubu dikenali sebagai Ulu Selangor. Ia merupakan sebuah pekan perlombongan yang terkenal di Selangor kerana kaya dengan hasil bijih timah. Kewujudan penempatan di sini diperkira sezaman atau lebih awal dari terbentuknya negeri Selangor. Ramai orang-orang yang datang ke sini yang terdiri dari orang-orang Melayu asal, Rawa dan Mendailing. Orang-orang Pahang turut serta dalam aktiviti melombong bijih timah di sini.
Lantaran kaedah mendulang yang melelahkan, mereka bepakat dan bergotong royong membina sebuah empangan di Sungai Kubu (salah satu cabang Sungai Selangor), bagi memudahkan aktiviti melombong. Empangan ringkas ini dikatakan mempunyai panjang satu kilometer dan lebar sekitar 90 ke 100 meter. Dengan adanya empangan ini, ia memudahkan bagi mereka untuk melombong bijih timah dengan melonggokkan tanah ke dalamnya sebelum membasuh lumpur dan tanah melalui aliran empangan yang deras. Lantaran kepesatan aktiviti perlombongan di sini, ia menarik minat orang-orang Cina dari Kuala Lumpur untuk melombong di sini.
Sewaktu Perang Saudara Selangor meletus, ia menjadi benteng atau kubu pertahanan pihak Syed Mashor dan Raja Mahadi. Melalui kubu pertahanan inilah ia mendapat namanya. Beberapa kali serangan Tunku Kudin gagal kerana keampuhan kubu ini. Pun begitu, dengan bantuan dari Pahang melalui Haji Muhammad Nor, akhirnya pasukan Tengku Kudin berjaya merampas Kuala Kubu dari Raja Mahadi dan Syed Mashor memaksa mereka berundur hingga ke Perak dan mengakhiri perang yang berlangsung selama tujuh tahun ini. Dengan berakhirnya perang ini, membolehkan Selangor kembali aman dan meneruskan kemakmurannya.
Berbalik kepada sejarah Kuala Kubu. Setelah perang tamat, Tengku Kudin terpaksa menyerahkan Ulu Selangor kepada Bendahara Wan Ahmad selaku penguasa Pahang sebagai pajakan atau gadaian atas hutang yang dihulurkan dalam membantunya memenangi perang tersebut. Bendahara Wan Ahmad melantik Haji Muhammad Nor selaku wakilnya dalam memungut hasil cukai daerah ini. Kekalahan Syed Mashor ini turut memberi kesan buruk terhadap penduduk Kuala Kubu. Seramai 500 orang Rawa yang menyerah diri kepada Haji Muhammad Nor selaku penguasa Ulu Selangor termasuklah Sultan Bengkulu.
Selain itu, ketua-ketua lain dalam angkatan Pahang seperti Wan Muhammad dan Tok Muda Sentul sering melakukan kekacauan dan kekejaman ke atas penduduk Kuala Kubu terutamanya orang-orang Rawa yang memang dimusuhi mereka. Harta benda mereka dirampas, orang-orang lelaki dibunuh manakala perempuan dihantar ke Pahang untuk dijadikan abdi. Selain itu, ia turut menyebabkan kebanjiran pendatang dari Pahang ke Kuala Kubu.
Bagi membebaskan Ulu Selangor dari cengkaman Pahang, Tengku Kudin ada berunding dengan Gabenor Inggeris di Singapura pada tahun 1875, dan hasilnya baginda telah menghantar kepada Bendahara Wan Ahmad timah bernilai 3000 ringgit. Beliau turut membuat perakuan yang beliau (Tengku Kudin) akan membayar sebanyak enam bahara timah setiap bulan sehinggalah hutang-hutangnya yang terdahulu langsai. Walaupun Tengku Kudin menunaikan janji-janjinya ini, Bendahara Wan Ahmad masih lagi tidak menarik semula wakilnya di Ulu Selangor.
Dua sebab yang boleh dirumuskan mengapa Bendahara Wan Ahmad tidak mahu menarik balik wakilnya di Ulu Selangor, iaitu ekonomi dan hubungan rapat Ulu Pahang dan Ulu Selangor sejak awal kurun ke-18 lagi. Dari sudut ekonomi, Ulu Selangor merupakan daerah yang kaya dengan hasil bijih timah terutama di Kuala Kubu. Disebabkan hal ini, Frank Swettenham, selaku Timbalan Residen di Selangor terpaksa melakukan kunjungan ke atas Bendahara Wan Ahmad di Pekan bagi menasihatinya mengundurkan wakilnya di Ulu Selangor, dan ianya dipatuhi.
Setelah Inggeris berjaya mengambilalih Negeri Selangor sebagai Negeri Melayu Bersekutu, ia melihat akan kekayaan hasil bijih Ulu Selangor ini. Dan apabila Tengku Kudin mengutarakan masalahnya dengan Bendahara Wan Ahmad, Frank Swettenham selaku Timbalan Residen Inggeris di Selangor waktu itu tidak melepaskan peluang lantas menggunakan pengaruhnya untuk meminta Pahang melepaskan Ulu Selangor. Setelah itu, pada tahun 1883, Cecil Ranking dilantik bagi menjalankan tugas sebagai Pemungut Cukai dan Majistret Ulu Selangor.
Beliau melihat akan potensi yang ada pada Kuala Kubu lantas mengutarakan keinginannya untuk melihat Kuala Kubu didirikan penempatan yang lebih tersusun dan kemudahan-kemudahan seperti Pejabat Pos, Pejabat Polis, dan lain-lain lagi. Namun banjir besar yang berlaku pada November tahun yang sama mengorbankan nyawa 33 orang termasuk dirinya.
Namun hanya sebelah tangannya sahaja yang ditemukan dan ia ditanam di Kuala Kubu Planter’s Club House (ia dimusnahkan dan didirikan Masjid Ar-Rahimiah kini). Banjir besar itu turut memusnahkan 38 buah rumah dan memusnahkan sama sekali pekan Kuala Kubu. Lantaran itu, kawasan itu dinamakan ‘Ampang Pechah’ mengambil sempena peristiwa pecahnya empangan yang dibina itu.
Peristiwa banjir besar itu tidak melemahkan semangat Inggeris. Atas semangat ini, Inggeris membangunkan kembali Kuala Kubu di tempat yang lebih tinggi dan agak jauh sedikit dari pekan asal Kuala Kubu. Pekan baru itu dinamakan sebagai ‘Kuala Kubu Bharu’ dan kekal sehingga sekarang. Pejabat Pentadbiran Daerah dibangunkan di sebuah bukit dinamakan Bukit Kerajaan yang siap dibina dan digunakan pada tahun 1931. Idea asal bagi membangunkan konsep pekan baru ini diilhamkan oleh Charles Crompton Reade, Perancang Bandar Negeri Melayu Bersekutu (NMB) pada tahun 1925 dengan konsep bandar dalam taman. Perkembangan pesat bandar yang baru ini semakin rancak selepas tahun 1931 apabila sekali lagi berlaku banjir besar pada tapak asal Kuala Kubu sekaligus mengakibatkan ia terus mati tidak berpenghuni.
Akhirnya pada sekitar tahun 1980-an, kawasan pekan Kuala Kubu Lama dibangunkan semula dengan projek perumahan di Taman Ampang Pecah dan Taman Tanjak. Setelah itu, sedikit demi sedikit kawasan sekitarnya dimajukan dengan membangunkan Darul Quran (JAKIM), Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Taman Rekreasi Mellinium KKB, Institut Kemahiran Belia Negara Peretak (IKBN Peretak), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, serta kemudahan sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Ampang Pecah.
Sumber:


Perang Saudara Di Selangor 1868-1873, A. Talib bin Hj. Ahmad, 1986, Pustaka Antara.
Copy and paste: FB Lembaran Sejarah
10.5.2019 : 1.54 pm

No comments: