Friday, 10 May 2019

HANG TUAH DI MEKAH TAHUN 1481?

Merah Silu
Sedang membaca buku "Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyah & Kesultanan Melaka" tulisan ustaz Hasanuddin Yusof (2018). Sampai bab melibatkan laksamana Melayu Melaka terkenal Hang Tuah tergerak untuk membuat semakan rujuk silang dengan kitab Hikayat Hang Tuah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1966) dan buku "Daulah Shalihiyah di Sumatera" tulisan ustaz Taqiyuddin Muhammad (Aceh 2011). Adapun cerita Hang Tuah pergi ke Turki (Uthmaniah) ada dipanjangkan dalam hikayat. Cuma ia menyebut Turki sebagai Rum, sultannya Sultan Rum.

Hikayat menyebut dalam perjalanan Hang Tuah singgah ke Aceh yang sedang diperintah oleh Sultan Salahuddin. Namun menurut salasilah raja-raja Aceh cuma seorang sahaja raja bernama begitu pernah memerintah Aceh iaitu pada tahun 1530 hingga 1539. Ini adalah dua dekad selepas kota Melaka jatuh ke tangan Portugis tahun 1511. Sedangkan cerita Hang Tuah dan Melaka semuanya berlaku sebelum itu.
Oleh itu cerita dalam hikayat Hang Tuah singgah ke Aceh lalu menghadap Sultan Salahuddin itu tidak selari dengan sejarah rasmi atau sejarah yang diketahui. Nasib baik ia boleh dipadankan dengan penemuan baru Ustaz Taqiyuddin dari Aceh yang mana disebut wujudnya seorang bernama Sultan Salahuddin pada zaman kegemilangan Melaka. Cuma ia merujuk kepada kerajaan Samudera Pasai kerana waktu itu nama kerajaan Aceh sebenarnya belum naik lagi. Pun begitu salasilah raja-raja Samudera Pasai yang diketahui ramai tidak menyenaraikan walau seorang pun raja bernama Sultan Salahuddin. Sebaliknya ia adalah penemuan baru yang dbuat oleh Taqiyuddin bersama rakan-rakannya dalam CISAH (Persatuan Sejarah Samudera Pasai) di mana ditemukan batu nesan di tapak tinggalan pusat kerajaan yang jelas menyebut nama seorang Sultan Salahuddin dengan tarikh pemerintahan bersamaan 1438-1462 Masihi.
Ini cocok dengan zaman kegemilangan Melaka sekitar tempoh pemerintahan Sultan Mansur Syah. Hikayat Hang Tuah pula menyebut selepas rombongan laksamana singgah di Aceh mereka ada singgah di Jeddah, Tanah Arab. Kebetulan ketika itu hampir musim haji. Rombongan pun diajak pergi ke Mekah.
Hikayat menyebut ini berlaku pada tahun 886 Hijriah. Setahu saya itulah satu-satunya tarikh peristiwa ada disebut dalam kitab yang dirumikan lalu diterbitkan DBP menjadi lebih 500 muka surat itu. Kira-kira menunjukkan ini bersamaan 1481 Masihi. Dah timbul konflik kerana ketika itu Sultan Salahuddin di Aceh (lebih tepat di Samudera Pasai yang zaman itu turut meliputi Aceh, 40 tahun kemudian baru terbalik Aceh meliputi Samudera Pasai) sudah mangkat tahun 1462.
Saya pun tertanya-tanya mana yang betul ni? Apakah tarikh dalam hikayat tersilap? Ia ditulis bukan dengan nombor tapi perkataan - delapan ratus delapan puloh enam tahun. Kalau 866 Hijriah baru boleh selari dengan zaman Sultan Salahuddin yang memerintah 1438-1462 itu. Mungkin ada kesilapan oleh penyalin kitab terdahulu?
Tiba-tiba terlihat kedudukan buku-buku seperti ditunjukkan dalam gambar. Terus nampak nombor 1481 pada muka surat berkenaan buku hubungan Uthmaniah Melaka seolah-olah mahu menunjukkan memang Hang Tuah pernah sampai ke Mekah pada tahun 1481. Kalau begitu sama ada Sultan Salahuddin yang ditemui Hang Tuah masih memerintah lalu bukan mangkat tahun 1462 atau sultan Aceh (Samudera Pasai) yang ditemui Hang Tuah adalah seorang sultan kemudian, Hikayat Hang Tuah yang ditulis lebih 200 tahun setelah peristiwa berlaku yang tersilap.
Apapun menarik memikirkan bagaimana tahun 1481 itu ditunjukkan melalui susunan buku yang tidak dirancang. Saya letak begitu secara tidak sengaja kerana kena buat hal lain di celah menelaah buku.
Nota : Buku "Daulah Shalihiyah di Sumatera" mengenengahkan satu teori menarik yang mana Melaka sebenarnya asalnya dibuka sebagai pelabuhan selatan untuk kerajaan Samudera Pasai. Dan Sultan Mansur Syah yang terkenal itu sebenarnya anak Sultan Pasai yang dihantar memerintah di sana. Melaka bermula sebagai bawahan Samudera Pasai. Malah Taqiyuddin membayangkan Sultan Mansur Melaka adalah kekanda kandung kepada Sultan Salahuddin yang disebut Hikayat Hang Tuah sedang memerintah "Aceh" ketika itu. Ini cocok dengan beberapa keadaan yang diceritakan dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang lebih seabad selepas kejatuhan kota Melaka.
Saya sendiri pernah mendapat alamat menyebut perkara sama. Bahawa Melaka memang bermula sebagai jajahan Samudera Pasai sebelum menjadi kerajaan bebas, antaranya disebabkan konflik perebutan takhta yang menyebabkan pengaruh Samudera Pasai merosot di Alam Melayu. Kalau dapat gerak insyaallah akan dipanjangkan perkara ini...
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
10/5/2019 : 1.27 pm

3 comments:

radzie said...

Assalam tuan.. tarikh haji 886 Hijrah adalah pada 10 Dzulhijjah,
kalo kita tukar pada tarikh masihi ialah 30 januari 1482

radzie said...

https://www.facebook.com/SejarahMuar/posts/1377544235928556

zulheimymaamor.blogspot said...

Alhamdulillah terima kasih En Radzie