Sunday, 4 June 2023

IRSYAD AL-FATWA #227- HUKUM MEMUAT NAIK GAMBAR TIDAK MENUTUP AURAT DI MEDIA SOSIAL

SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Soalan:

Assalamualaikum. Apakah hukum memuat naik gambar yang mendedahkan aurat di media sosial, iaitu gambar wanita Muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau gambar wanita non-Muslim? Mohon penjelasan SS Mufti.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Arahan Menutup Aurat

Allah SWT berfirman dalam Al-Qur’an al-Karim:

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۖ

Maksudnya: Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (yakin Adam dan isterinya) (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga.
(Surah al-A’raf: 22)

Ayat ini menunjukkan bahawa menutup aurat itu merupakan satu fitrah insani yang telah sedia ada dalam diri setiap manusia. Kerana itulah Nabi Adam dan isteri Baginda menutup aurat masing-masing apabila terbuka, meskipun masih belum ada sebarang syari’at yang diturunkan pada waktu tersebut.

Allah SWT juga berfirman dalam kitab-Nya:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.
(Surah Al-A’raf: 26)

Arahan Menundukkan Pandangan dan Larangan Melihat Aurat

Pada masa yang sama, Allah SWT juga memerintahkan kita agar sentiasa memelihara dan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang haram. Firman Allah SWT:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
(Surah An-Nur: 30-31)

Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda kepada Saidina Ali r.a:

يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Maksudnya: Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.
(Sunan Abi Dawud: 2149)

Menurut Imam Nawawi pula, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ ulama
(Imam Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/30)

Hukum Memuat Naik Gambar Tidak Menutup Aurat di Media Sosial

Dalam fiqh Islam, terdapat satu bab yang dinamakan ( نَظَرُ الرَّجُل إِلَى الْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيقِ الْمَاءِ وَالْمِرْآةِ ) iaitu hukum seseorang lelaki melihat wanita melalui pantulan dalam atau cermin.

Dalam bab ini, Imam Ar-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan (mithal). Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. 
(Nihayatul Muhtaj, 6/187. Juga disebut oleh Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anatu at-Thalibin, 3/301. Rujuk juga Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, 40/353-354 )

Dalam hal ini, gambar samada yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran suatu objek yang terpantul pada cermin atau air. Maka hukum melihat kepada gambar yang tidak menutup aurat adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat. Maka memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial atau dalam bentuk cetakan adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah.

Ini turut disokong oleh qa’idah fiqhiyyah iaitu:

إِذا ضَاقَ الْأَمر اتَّسَع

Maksudnya: Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.

الْحَاجة تنزل منزلَة الضَّرُورَة

Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.

Dalam hal ini, mengharamkan memuat naik gambar yang tidak menutup aurat serta melihatnya secara mutlak akan menyebabkan kesusahan dan kesempitan apabila ada keperluan seperti wartawan yang ingin melaporkan lawatan pemimpin wanita non-Muslim ke Malaysia, laporan program keilmuan yang melibatkan wanita tidak bertudung dan sebagainya.

Dalam hal-hal tertentu, terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti yang disebutkan di atas, maka keperluan tersebut perlu diraikan sekadar yang diperlukan.

Kesimpulan

Maka kami berpandangan, hukum asal memuat naik gambar sendiri yang mendedahkan aurat untuk tatapan umum di media sosial adalah HARAM kerana ia akan menyebabkan auratnya turut dilihat oleh bukan mahramnya. Walaubagaimana pun hukum seseorang memuat naik gambar wanita Muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau wanita non-Muslim adalah HARUS jika atas keperluan tertentu yang bukan bertujuan ingin mendedahkan auratnya. Termasuk dalam keharusan ini bagi para wartawan akhbar yang melaporkan berita namun termasuk di dalamnya gambar-gambar yang tidak menutup aurat.

Contoh keperluan yang perlu diraikan ialah memuat naik gambar-gambar rasmi melibatkan urusan kerajaan, syarikat perniagaan atau gambar kenang-kenangan sewaktu program keilmuan. Disyaratkan juga gambar itu masih lagi bersifat sopan dan menepati neraca ketatasusilaan, tidak terlalu mendedahkan dan menghairahkan. Malah adalah lebih baik jika bahagian- bahagian tersebut dikaburkan bagi mengelakkan ia dilihat.

Selain itu, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah az-zhan gambar yang dimuatnaik tersebut mampu menimbulkan fitnah, maka ia diharamkan berdasarkan kaedah Sadd Zari’ah, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram. Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Ini juga berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar r.a:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Wallahu a’lam.

Copy and paste:
4 Jun 2023 > 15 Zulkaedah 1444H: 1.32 pm

No comments: