SUMBER: TELEGRAM>HIDDEN HISTORY
Pada tahun 1519, Antonio Pigafetta dari Vicenza belayar bersama-sama ekspedisi Ferdinand Magellan dari Kepulauan Seville menuju pulau rempah. Beliau kembali dari penjelajahan yang luar biasa itu pada September 1522, membawa bersamanya lebih dari 400 patah perkataan Moorish dari orang-orang Maluku.
Ternyata apa yang beliau himpunkan itu menjadi antara kamus pertama bahasa Melayu dengan salah sebuah bahasa utama Eropah.
Kita mengetahui Pigafetta berada di Melaka pada 1521, dan sepanjang pelayaran yang jauh, melesukan dan menempuh ombak ganas antara 20 September 1519 dan 27 April 1521, beliau telah mempelajari bahasa Melayu daripada Henrique (Awang), hamba nakhoda Magellan yang berasal dari alam Melayu.
Selain Henrique, Pigafetta juga memanfaatkan seorang hamba, Manoel, berbangsa Melayu dan beragama Kristian. Hamba tersebut merupakan milik Pedro Alfonso de Lorosa yang pernah berada di Tidore.
Oleh kerana bahasa dapat menjadi petunjuk kepada kemajuan, peradaban dan daya cipta sesebuah bangsa, kamus Pigafetta yang bertajuk “Vocaboli de Questi Popoli Mori” ini sangat menarik untuk ditekuni. Menerusi himpunan lebih 400 patah perkataan yang dianggap penting oleh pelayar-saudagar Eropah berbangsa Itali-Sepanyol ini, kita akan mengetahui sejauh mana pencapaian orang Melayu di Melaka pada 1521.
Perkataan pertama di dalam kamus Pigafetta adalah “Alla” yang jelas merujuk kepada kalimah Allah, dan diterjemahkan sebagai “Al suo Ydio” atau mudahnya; “Tuhan”.
Pigafetta bukanlah satu-satunya penjelajah Barat yang merakam kalimah Allah sebagai menjelaskan kata Tuhan. Di alam Melayu, seperti dalam sebuah artikel berjudul “Alien di Musytari Mohon Mengguna Kalimah Allah”, penganut Kristian mengenal kata Allah untuk Tuhan, antara lain, seperti yang terpapar dalam “The First Dictionary of Dutch-Malay” susunan A.C. Ruyl, Justus Heurnius, dan Caspar Wiltens (1650).
Kata “Allah” digunakan untuk menerjemah kata Belanda untuk Tuhan iaitu Godt. Kamus di atas juga merujuk kepada kata “Berallah, Allahi dan Hidopan terallah”. Versi digital kamus Belanda-Melayu ini yang dilakukan oleh Universiti Ghent pada 23 April 2008 dapat dijejak di alam maya.
Perkataan kedua dalam kamus Pigafetta adalah “Nasrani” yang merujuk kepada penganut Kristian yang diterjemah sebagai “al christiano” disebut “naceran”.
Penganut agama Islam adalah kalimah keempat di dalam kamus Pigafetta yang diterjemah sebagai “al moro musulman” atau “Muslim Moor”.
Tentu selepas kalimah Islam, akan ada kalimah “kafir” yang disebut oleh Pigafetta sebagai “caphre”. Harus dinyatakan di sini, kata “kafir” bukan untuk merujuk orang Kristian di Melaka pada waktu itu tetapi untuk merujuk orang Pagan.
Kalimah “masjid”, “katib”, “pendita” dan “sembahyang di dalam masjid” turut ditemui di awal himpunan perkataan kamus Pigafetta ini. Malahan perkataan atau ungkapan bernombor 255 dan 256 ialah “assalamu alaikum” dan “wa alaikum assalam” yang diberi maksud “bon iorno” (selamat pagi) dan jawapan untuk kata selamat itu ialah “alichum salam”.
Ia menjadi petunjuk, meskipun ditakluk oleh Portugis sejak 1511, tanpa para bangsawan, agamawan-mufti dan perlindungan institusi keagamaan tertentu, agama Islam di Melaka pada 1521 masih utuh dan teguh berdiri.
KISAH ANJING DAN HANG TUAH
Di Melaka pada 1521, berasaskan kamus Pigafetta, perkataan untuk merujuk “anjing” adalah “kujuk” yang mana kata yang serupa muncul di dalam dialek Melayu Brunei dan sesetengah dialek di Indonesia. Akan tetapi ada juga kemungkinan Pigafetta belajar daripada orang Sambas yang juga ramai di Melaka pada waktu itu.
Haiwan anjing sebelum ini juga sudah disebutkan dalam “Hikayat Hang Tuah”.Anjing bukanlah 'isu besar' pada ketika itu.Hang Tuah dinyatakan turut menolong menjagakan anjing-anjing milik raja. Anjing-anjing ini dipakaikan rantai bersalut emas dan perak:
“Maka Hang Tuah dan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun turunlah membawa anjing itu dan Kebu Nirang dan Rangga Rari, anjing dua ekor itu dirantai dengan rantai emas, bertebu-tebu akan permata. Dan lain daripada itu, anjing berpuluh-puluh ekor itu ada berantaikan emas, ada berantaikan perak, ada berantai tembaga suasa.”
Kamus Pigafetta yang ringkas ini banyak menyebut dan menerjemahkan anggota badan manusia. Ia meliputi kata rambut, gusi, telinga, malahan alat-alat kemaluan lelaki dan perempuan.
Selain anggota badan, alat-alat pertahanan dan perang turut banyak direkodkan oleh Pigafetta merangkumi “badil” atau “bedil” yang diterjemah sebagai “a la bombarda”, keris (a li sui pugniali), sumpit (a la zorabotana) dan pedang (a la spada).
Kehadiran Magellan dan Pigafetta di Melaka dan alam Melayu tentulah lebih untuk berdagang. Kita tahu Bahasa Melayu pada 1521 adalah bahasa lingua franca yang mana menjadi bahasa utama di pasar dan mesti dikuasai oleh peniaga.
BAHASA MELAYU PADA HARI INI
Tidak seperti hari ini, ia bukan bahasa gunaan ramai di Bursa Saham. Oleh kerana ia adalah bahasa untuk “biniaga” atau “a la merchadantare”, makanya kamus Pigafetta ini memberi perhatian khusus kepada angka-angka atau “numero” yang mana disenaraikan nombor “satus” atau satu (uno) termasuklah “sedjuta” atau “diece fiale cento millia”.
Itulah kisahnya bahasa Melayu pada tahun 1521, ketika tanpa sebarang akta mengikat.
Hari ini, pada 2017, pengamal dan para sarjana bahasa Melayu sedang menggelupur kerana keyakinan terhadap bahasa Melayu sudah tidak lagi sepertinya tahun 1521.
Itu malah terjadi meskipun bahasa Melayu itu diistimewakan sedemikian rupa dan dilekatkan kepada orang Melayu dan agama Islam. Ia bahkan terjadi walaupun bahasa Melayu itu punya status sendiri dalam Perlembagaan Malaysia dan mesti lulus dalam peperiksaan.
Bahasa Melayu menerima nasib malang tidak berbau ini di tengah usaha ia dijadikan bahasa ilmu tinggi di universiti yang paras turun naiknya ditentukan oleh piawai dari Barat, dan bergantung kepada banyak mana penerbitan di dalam jurnal terindeks yang banyaknya dalam bahasa Inggeris.
Ramai tidak menyedari bahasa Melayu yang dikuasai oleh pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal ini tidak pun menjadi syarat kelayakan utama untuk para permastautin tetap yang kelasan seperti Dr Zakir Naik. Mereka, para profesor bahasa yang keharuan hari ini, barangkali tidak perasan yang bahasa Melayu yang dikurungkan dengan berlian dan permata itulah puncanya ia tidak lagi digunakan.
Kita berterima kasih kepada Pigafetta (ada la juga jasa si penjajah ni) tanpa kamus susunan beliau, kita tidak akan mengetahui bagaimana bahasa Melayu dituturkan pada 1521 di kota Melaka.
Apa yang terjadi kepada Pigafetta selepas pulang dari Melaka kurang diketahui ramai. Tarikh kematiannya tidak dinyatakan oleh mana-mana sumber. Beliau hilang secara misteri.
Hanya sebelum hilangnya, Pigafetta diketahui pernah menginap di salah sebuah kediaman milik Pope di Rom iaitu pada tahun 1524, sebelum dikatakan berpindah ke Venice.
Sumber:FMT
Copy and paste: 11 Jun 2023 > 22 Zulkaedah 1444H: 11.10 am
No comments:
Post a Comment