OLEH : AMIR ZAYYANID > TELEGRAM: HIDDEN HISTORY
Tiada inskripsi mahupun lembaran papyrus yang dapat memastikan siapakah ibunda kepada Cleopatra VII. Walau bagaimanapun, maklumat yang ada berkenaan beliau dan keadaan Mesir di Zaman Ptolemaic mengisyaratkan bahawa ibunda ratu Mesir terakhir itu adalah Ratu Cleopatra V Tryphaena. Jika tidak, agak kurang munasabah bagi seorang wanita yang membesar tanpa ibu dapat menempuh perjalanan hidup yang begitu mengagumkan seperti Cleopatra VII.
Cleopatra V Tryphaena hilang dari lembaran sejarah sekitar waktu yang sama dengan kelahiran Cleopatra VII, si ratu terakhir Mesir. Tryphanea dianggap sebagai salah seorang ratu Zaman Ptolemaic yang paling misteri. Beliau dipercayai menetap di Iskandariah. Lembaran papirus tertua setakat yang ditemui, yang menyebut perihal beliau adalah papirus yang bertarikh 79SM. Tahun tersebut merupakan tahun di mana Tryphaena berkahwin dengan Ptolemy XII si raja Mesir.
Dalam beberapa buah buku, Tryphaena disebut sebagai Cleopatra V sementara dalam beberapa buah buku yang lain pula beliau dikenali sebagai Cleopatra VI. Kekeliruan pada angka tersebut berkemungkinan adalah rentetan daripada kemasyhuran nama tersebut di Zaman Ptolemaic. Walau bagaimanapun, di dalam artikel ini, Cleopatra Tryphaena akan ditulis sebagai Cleopatra V.
IBUNDA KEPADA RATU TERAKHIR MESIR
Di samping itu, sejarahwan juga tidak mengetahui jangka hayat Cleopatra V. Namun, beliau diyakini menjalani kehidupan di istana diraja Iskandariah selama 10 tahun. Beliau mengahwini Ptolemy beberapa bulan selepas suaminya itu menjadi pemerintah Mesir. Ketika menaiki takhta Mesir, Ptolemy berusia 35 tahun dan beliau bukanlah calon terbaik untuk menjadi pemerintah Mesir.
Pemerintahnya yang terdahulu, iaitu Ptolemy XI digulingkan dan bahkan, dijatuhi hukuman oleh rakyat jelata Mesir di atas perbuatannya membunuh ratu yang amat dikasihi, Berenice III. Sesudah kemangkatannya, Dinasti Ptolemaic hanya mempunyai seorang sahaja pewaris lelaki iaitu Ptolemy XII.
#Ptolemy XII memukul musuh-musuhnya dengan cemeti diraja. Relif di Kuil Edfu
Ibunda kepada Ptolemy XII merupakan seorang wanita Yunani yang tidak dikenali, namun dipercayai sebagai salah seorang dari sekalian wanita yang hidup di dalam harem Mesir. Ptolemy XII menjalani sebahagian hidupnya sebagai putera buangan di Sinope, Pontus. Pada zaman pemerintahan Ptolemy XI, beliau dicatatkan menetap di istana Mithridates VI. Ketika beliau pulang ke Iskandariah pada tahun 80SM, rakyat Mesir meletakkan harapan baru di bahunya.
Pada masa-masa itu, Mesir sudah pun menjadi bayang kepada entitinya yang lama, yang penuh megah lagi berkuasa. Antara masalah yang dihadapi oleh Mesir pada waktu itu adalah tanggungan hutang terhadap Empayar Rom, permasalahan-permasalahan dalaman yang tiada penghujung dan juga kemungkinan ia bakal menjadi wilayah naungan Rom. Dalam atmosfera sedemikian, Ptolemy XII mengahwini sepupunya, Cleopatra Tryphaena.
Pihak Rom tidak menentang kenaikan takhta Ptolemy XII. Namun, mereka sudah pun berhasrat untuk menjadkan Mesir sebagai sebahagian daripada empayar mereka. Oleh kerana itu, mereka tidak melayan Ptolemy XII sebagai seorang pemerintah yang selayaknya. Nama kultus peribadi beliau adalah Neos Dionysos. Namun, beliau turut dikenali sebagai Auletes yang bermaksud ‘si pemain seruling’. Menurut catatan Strabo:
“(…) Auletes, di samping kekurangan moralnya, beliau gemar bermain seruling dan sering berbangga-bangga dengan hal tersebut sampaikan beliau tidak teragak-agak untuk mengadakan pertandingan di istana raja, di mana dalam pertandingan tersebut, beliau bersaing dengan peserta-peserta yang lain.”
Tryphaena merupakan puteri kepada salah satu dari dua pasangan ini, iaitu Ptolemy XI dan Cleopatra Selene I ataupun Ptolemy X Alexander dan Berenice III. Untuk merungkai kekeliruan ini, mungkin kita boleh lihat pada nama puteri kepada ratu terakhir Mesir, iaitu Cleopatra Selene II. Nama tersebut memungkinkan hakikat bahawa Cleopatra VII mahu mengenang nendanya, justeru menamakan puterinya itu bersempena nama nendanya. Tiada penjelasan yang lebih munasabah berkenaan pengambilan nama tersebut untuk satu-satunya puteri beliau.
#Berenice III, Cleopatra Selene I
Ptolemy dan Tryphaena memerintah sebagai pasanan dewaia theoi Philopatrores kai Philadelphoi (dea bapa dan dewa pasangan adik-beradik yang bercinta). Menurut kebanyakan sejarahwan, mereka mempunyai tiga orang puteri, iaitu Cleopatra VI Tryphaena, Berenice IV dan Cleopatra VII. Auletes pula dikatakan mempunyai tiga orang anak bersama isterinya yang lain yang tidak dikenali, iaitu Arsinoe, Ptolemy XIII dan juga Ptolemy XIV.
Sementara itu, sebahagian penyelidik mempercayai bahawa ibunda kepada kesemua anak Ptolemy adalah Tryphaena. Namun, ia hanyalah satu andaian sahaja. Bercanggah dengan andaian tersebut, Strabo menyebutkan bahawa Ptolemy XII hanya mempunyai tiga orang puteri, iaitu Berenice IV, Cleopatra VII dan juga Arsinoe IV.
APA YANG BERLAKU KEPADA TRYPHAENA?
Dinasti Ptolemaic dikenali sebagai salah sebuah keluarga yang paling kejam dalam sejarah. Oleh kerana itu, tidak mengejutkan seandainya nasib Tryphaena berakhir dengan pembunuhan. Namanya hilang pada sekitar masa kelahiran Cleopatra VII pada tahun 69SM. Keadaan ini turut memungkinkan bahawa beliau meninggal dunia semasa bersalin.
Pada tahun 68SM, tiada lembaran papirus yang menyebutkan namanya. Manakala wanita yang mempunyai nama yang sama, yang menjadi pemerintah-bersama Mesir dengan Ptolemy dan Berenice IV hampir pasti merupakan puteri sulungnya.
Semasa Cleopatra VII berusia 12 tahun, ayahandanya mengarahkan pembinaan sebuah tanda peringatan di Kuil Edfu. Pada tanda peringatan tersebut, nama Cleopatra Tryphaena muncul di sisi nama Ptolemy. Hal ini mengisyaratkan bahawa beliau bukanlah puteri kepada Ptolemy, sebaliknya adalah isterinya. Inskripsi ini dan juga laporan-laporan yang dikemukakan oleh Strabo cenderung menghadirkan pendapat bahawa kurangnya kehadiran Cleopatra Tryphaena di dalam istana adalah disebabkan oleh isu lain, bukannya disebabkan meninggal dunia.
#Binaan pertama di Kuil Edfu yang didekorasi oleh Ptolemy XII pada 57SM dengan figura dirinya sendiri sedang memukul musuh
Menurut teori lain, Ptolemy menceraikannya sekaligus keadaan hidup Tryphaena pun berubah sama sekali. Terdapat juga sejarahwan yang berpendapat bahawa kisah perjalanan hidup Tryphaena sesudah tahun 69SM tersimpan di dalam sebuah kisah yang menceritakan tentang pemerintah-pemerintah bersama Mesir yang menyokong pemerintahan Ptolemy XII.
Jika apa yang dikemukakan oleh Strabo itu benar, dan tiada puteri yang bernama Cleopatra Tryphaena, maka wakil pemerintah yang mendokong firaun ini adalah merupakan isterinya. Dalam erti kata lain, hal ini bermaksud bahawa peranannya di dalam istana berubah sekaligus memberi kesan kepada kehidupan keluarganya.
Pada tahun 58SM, masyarakat Mesir meminta supaya Ptolemy turun takhta. Untuk menyelamatkan nyawanya, beliau pun akur dengan permintaan itu. Ketika Auletes membawa diri keluar dari Mesir, para pemerintah-bersamanya menjadi pemerintah rasmi Mesir.
Tryphaena pula mangkat beberapa bulan kemudian, tepatnya pada tahun 57SM akibat diracun oleh Berenice IV yang enggan berkongsi takhta Mesir dengannya. Sejarah tidak menceritakan secara terperinci lagi penuh tentang apa yang berlaku. Namun, pada tiga tahun kemudian ketikamana Ptolemy XII kembali ke Mesir dan mengambil semula takhta, beliau menjatuhkan hukuman mati ke atas Berenice.
BAYANG YANG MENYELUBUNGI SEORANG RATU
Berikutan kemangkatannya, Cleopatra V Tryphaena berkemungkinan disemadikan di pemakaman yang terletak di Iskandariah. Sejarahwan tidak mengetahui sama ada beliau dikebumikan di makam raja-raja Ptolemies ataupun di Soma – makam Alexander Agung yang menjadi tempat bersemadinya ramai pemerintah Ptolemaic.
Di samping itu, penting juga untuk dinyatakan di sini bahawa personaliti atau keperibadian puterinya, Cleopatra VII adalah sangat berbeza dengan bapanya. Hal ini menjadi kunci yang penting untuk mengenal pasti siapa sebenarnya Tryphaena. Adakah Cleopatra VII mirip dengan ibundanya?
Jalur keluarga terakhir Ptolemaic yang amat rumit dan tidak lengkap ini masih lagi ketandusan maklumat, dan kebanyakan maklumat itu pula telah pun dilupakan seiring peredaran masa.
SUMBER
- Aidan Dodson, Dyan Hilton. The Complete Royal Families of Ancient Egypt. 2004.
- Anna Swiderkowma, Siedem Kleopatr. 1978.
- Joann Fletcher, Cleopatra the Great. The woman behind the legend. 2008.
- http://www.tyndalehouse.com/egypt/ptolemies/cleopatra_v_fr.htm
Artikel asal:
Natalia Klimczak. (24 April 2016). Finding the Lost Mother of Cleopatra VII – Cleopatra V Tryphaena of Egypt. Ancient Origins.
Copy and paste: 11//6/2023 > 22 Zulkaedah 1444H: 3.58 pm