Wednesday, 7 June 2023

MARCAPADA DUNIA - TIANANMEN SQUARE


BY AYMAN RASHDAN WONG
9 JUNE 2019

4 Jun 2019 ialah tarikh ulang tahun ke-30 bagi 2 peristiwa bersejarah yang wajib diambil tau oleh semua pengkaji hubungan antarabangsa.
Yang pertama ialah Peristiwa Dataran Tiananmen bertarikh 4 Jun 1989. Kalau korang subscribe atau follow page seperti Foreign Policy, Foreign Affairs atau The Diplomat mesti dah baca sampai lebam artikel pasal ni.
Peristiwa tersebut berpunca daripada demonstrasibesar-besaran mahasiswa di Dataran Tiananmen (“Gate of Heavenly Peace”), pintu masuk ke istana lama Forbidden City di mana terletaknya ibu pejabat Parti Komunis China. Selepas 2 bulan mahasiswa berkampung di dataran menuntut demokrasi, Deng Xiaoping (pemimpin tertinggi China masa tu) mengarahkan tentera untuk suraikan petunjuk perasaan.
Ratusan mati menurut kiraan kerajaan, tapi media dan NGO buat anggaran sampai ribuan kalau tak cecah 10,000 orang. Jadi kadang orang namakan Peristiwa Dataran Tiananmen sebagai satu “massacre”.
Kedua ialah pilihanraya bersejarah Poland yang juga bertarikh 4 Jun 1989, yang merupakan pilihanraya pertama Poland sejak ia jadi negara komunis dan menyaksikan kekalahan parti komunis yang memerintah Poland selama 4 dekad.
Walaupun Beijing dan Warsaw berbeza jarak 7,000 km, tapi kedua-dua peristiwa ni saling berkaitan dan dilihat sebagai sebahagian daripada gelombang revolusi tahun 1989-1991 yang menumbangkan rejim-rejim komunis di seluruh Eropah Timur, dengan itu menamatkan Perang Dingin antara blok kapitalis (pimpinan US) dan blok komunis (pimpinan Kesatuan Soviet) sejak tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.
Cuma, “revolusi” di China tak menjadi, dan China kekal sebagai salah satu daripada 4 negara yang masih mengaku diri sebagai komunis pada hari ini, bersama-sama Cuba, Laos dan Vietnam. Korea Utara dah lama tak mengaku diri komunis, menggantikan Marxisme-Leninisme dengan “Juche”. Mongolia, negara komunis kedua tertua selepas Soviet terkesan dengan revolusi di Eropah dan menamatkan pemerintahan komunis pada Mac 1990 serta mengadakan pilihanraya.
Manakala kejayaan revolusi di Poland mencetuskan kesan domino (satu jatuh, semua jatuh) di seluruh Eropah Timur. Dari Poland, Hungary, Jerman Timur, Czechoslovakia, Bulgaria, Albania hingga ke Yugoslavia, semua kerajaan komunis jatuh dalam masa beberapa bulan. Dan akhirnya abang long komunis, Kesatuan Soviet pun give up komunisme pada 25 Disember 1991.
Revolusi 1989 mewujudkan “euforia” di kalangan pembuat dasar dan ahli sains politik di Barat yang berhaluan “liberal internationalist”. Seorang bernama Francis Fukuyama melihat Revolusi 1989 sebagai bukti keinginan semua manusia terhadap sistem demokrasi liberal, dan sebagai tanda kemenangan ideologi liberalisme ke atas komunisme sebagai ideologi sejagat.
Golongan liberal internationalist ni hairan kenapa tuntutan demokrasi pada Jun 1989 gagal di China tapi berjaya di Eropah Timur. Teori pemodenan Barat berandaian bahawa liberalisasi ekonomi akan membawa kepada liberalisasi politik. Apabila negara mengamalkan kapitalisme, ia akan melahirkan golongan kelas menengah yang lebih bijak pandai akan membuat tuntutan ke arah demokrasi. Itu harapan komuniti pembuat dasar dan akademik Barat terhadap China apabila ia melaksanakan liberalisasi ekonomi pada tahun 1978.
Selepas Peristiwa Dataran Tiananmen, US terus mengutuk China dengan sekeras-kerasnya, mengenakan sekatan ke atas China dan memberi perlindungan kepada tokoh mahasiswa yang melarikan diri daripada China selepas 4 Jun 1989. Tapi tak lama kemudian, US dan China berbaik semula. US anggap China masih memerlukan masa untuk mencapai demokrasi, mungkin selepas ekonomi China jadi betul-betul mantap.
Jadi, pada tahun 1999, US memberi taraf Permanent Normal Trade Relations (PNTR) kepada China yang membolehkan China menyertai World Trade Organization (WTO) pada tahun 2001. Once masuk ke dalam WTO, pertumbuhan ekonomi China lagilah jadi unstoppable. Tapi bukan saja China tak jadi demokratik, malah ia mencabar US dengan ideologi authoritarianisme. Sebab tu Trump kritik tindakan Bill Clinton memberi PNTR kepada China dan ingin “memperbetulkan” kesilapan US melalui pendekatan “trade war”.
Kebangkitan ekonomi China bukan saja tidak menimbulkan keinginan terhadap demokrasi, malah rakyat China jadi semakin berharap kepada pemerintahan parti komunis. Pemerintahan China sekarang terbukti efisien, nak bina high speed rail menghubungkan timur dan barat China hanya memerlukan sebulan dua. Mereka risau, sekiranya China jadi sebuah demokrasi, ia akan jadi kelam kabut macam jirannya India, nak baiki jalan kat kampung pun ambil masa bertahun-tahun.
Yang ironiknya, negara-negara Eropah Timur yang menjadi pencetus dalam Revolusi 1989 pun mula menampakkan kebangkitan ideologi authoritarian. Masalah ekonomi berekoran pendemokrasian membuat rakyat di Poland dan Hungary menyokong parti-parti sayap kanan yang berkecenderungan authoritarianisme seperti PiS di Poland dan Fidesz di Hungary.
Rusia dah lama give up demokrasi liberal selepas pendemokrasian pada 1990-an menyebabkan ekonomi negara dikuasai oleh oligarch (ahli perniagaan monopoli yang berkepentingan). Hanya selepas Putin memerintah, masalah oligarch dapat diselesai dan Rusia kembali jadi negara yang disegani.
Jadi soalan yang menarik di sini ialah: apakah senario hari ini sekiranya Peristiwa Dataran Tiananmen tidak berlaku, sebaliknya China mencapai pendemokrasian bersama-sama negara Eropah Timur yang lain pada tahun 1989?
Bagi golongan idealis, of course semua benda indah-indah belaka akan berlaku: bebas bersuara, bebas berpolitik, bebas rasuah. Dan menurut pandangan “democratic peace theory”, negara demokratik juga lebih mencintakan keamanan, jadi China akan jadi kurang agresif, tak macam hari ini asyik nak cari gaduh pasal Laut China Selatan.
Tapi kalau fikir dari sudut yang lebih realistik, pendemokrasian negara gergasi seperti China pasti akan membawa kepada disintegrasi daripada dalaman. Gerakan pemisah akan jadi kuat di Xinjiang dan Tibet. Masalah pertama yang dihadap oleh Rusia selepas kejatuhan Soviet ialah masalah pemisah di Chechnya. Pembangunan ekonomi China mungkin akan terbantut, tiada pertumbuhan 8% setahun yang memberi kesan limpahan kepada ekonomi serantau Asia Timur termasuk Malaysia.
Antara demokrasi, kebebasan, kestabilan dan kemakmuran, you can’t always have it all. Liberalisasi ekonomi tak semestinya membawa kepada liberalisasi politik, dan “kemajuan” politik juga tidak menjamin “kemajuan” ekonomi. Renung-renungkan lah kita nak apa sebenarnya di dunia ni.

Sumber artikel : thepatriots