Posted by: Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH
The Lost World Pulau Batu Hairan. Pulau misteri yang timbul dan hilang di perairan Sabah
PADA 15 April 1988, sekumpulan nelayan yang baru balik daripada menangkap ikan di perairan Kudat, Sabah terkejut apabila mendapati muncul sebuah pulau asing secara tiba-tiba tidak berapa jauh daripada laluan mereka.
Justeru pulau aneh yang tiba-tiba muncul itu diberi nama Pulau Batu Hairan. Nama itu diberi oleh penduduk sekitar lantaran kewujudannya yang sungguh menghairankan. Ini kerana sepanjang menangkap ikan di situ, mereka tidak pernah melihat kewujudan pulau itu.
Pulau yang muncul tiba-tiba di perairan Sabah berdekatan Pulau Banggi. Misteri kemunculannya kemudian tersebar dan menjadi bahan bualan hangat penduduk Sabah. Dikatakan cerita ini turut sampai ke Kepulauan Mindanao, Filipina. Malah, ada individu daripada kepulauan Filipina yang mendakwa pulau baru itu kononnya milik negara mereka, tetapi ia telah dihanyutkan oleh ombak besar ke kepulauan Sabah.
Tidak kurang pula yang taksub dengan kepercayaan karut kononnya kemunculan pulau itu membawa petanda buruk. Ekoran bimbang perkara tidak diingini berlaku, sebilangan penduduk mengadakan majlis kenduri dan upacara pemujaan di atas pulau tersebut untuk tujuan menolak bala.
Bagaimanapun, sebilangan peniaga pula mengaut untung dengan memburu batu karang di pulau berkenaan. Mereka mendakwa batu karang di pulau berkenaan membawa tuah dan rezeki. Tidak kurang juga yang mengambil batu di situ untuk disimpan kerana dianggap membawa tuah.
Walau bagaimanapun, segala cerita dan kepercayaan di sebalik kewujudan pulau itu tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana Pulau Batu Hairan itu boleh timbul ke permukaan laut?
Beberapa tahun lalu, kami pernah mendapatkan penjelasan saintifik tentang pulau ini daripada Profesor Dr. Felix Tongkul yang ketika itu merupakan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Profesor Dr. Felix antara orang yang pernah menjalankan kajian terhadap Pulau Batu Hairan. Beliau bersama pasukannya pergi ke lokasi pulau itu pada 4 Mei 1988.
Setibanya di sana, mereka mendapati pulau ganjil itu memang benar-benar wujud. Koordinat pulau baru itu dikesan di latitud tujuh darjah ke utara dan di longitud 117 darjah ke timur. Ia terletak di sebelah timur Pulau Banggi. Kira-kira 70 kilometer jaraknya dari bandar Kudat.
Setelah diukur, diameter Pulau Batu Hairan ini dianggarkan sekitar 60 hingga 70 meter persegi. Keluasannya lebih kurang sebesar padang bola sepak. Bentuknya pula bulat dengan ketinggian mencecah dua hingga tiga meter dari paras permukaan air laut.
Profesor Felix dan pasukannya kemudian membuat penyelidikan di atas lantai pulau tersebut. Mereka mendapati keseluruhan permukaan pulau itu dipenuhi terumbu batu karang. Ada sebahagian terumbu di situ masih lagi diselaputi lumpur kelabu.
Menerusi kajian yang dilakukan, para penyelidik pasukan profesor Felix sepakat mengatakan bahawa pembentukan pulau tersebut sebenarnya disebabkan oleh letusan volkano lumpur di dasar laut.
Fenomena ini terjadi kerana banyak kawasan daratan dan laut di Sabah masih lagi aktif mengalami mampatan tektonik. Perkara tersebut disahkan oleh Profesor Felix. Biasanya apabila mampatan ini terjadi, lumpur di dasar laut akan mengalami tekanan. Lalu ia membuak keluar menerusi ledakan volkano lumpur.
Lumpur yang keluar ini telah menolak terumbu batu karang naik ke atas permukaan laut. Lagi banyak lumpur itu keluar, lebih tinggi pulau tersebut dapat dilihat dari paras air laut. Proses inilah yang sebenarnya terjadi pada Pulau Batu Hairan.
Anehnya, pada 25 Februari 1990, pulau itu didapati telah hilang. Sumber penduduk tempatan memberitahu, pulau tersebut tenggelam dengan sendirinya.
Bagaimanapun, menurut Profesor Felix, misteri kehilangan pulau itu sebenarnya bukanlah disebabkan ia tenggelam begitu saja tetapi disebabkan lokasi pulau itu selalu dibadai ombak besar.
Pukulan ombak yang kuat menyebabkan dasar pulau itu mengalami hakisan. Lama kelamaan ketinggiannya daripada paras laut menjadi kurang dan terhakis hingga di dasar laut.
Hanya lebih kurang 2 tahun Pulau Batu Hairan timbul sebelum tenggelam semula ke dalam laut.
Walaupun pulau misteri itu telah ghaib namun proses mampatan tektonik masih terus berlaku. Proses letusan lumpur ini analoginya seakan sama dengan proses pertumbuhan jerawat di muka. Ia akan surut dan tumbuh semula di tempat yang sama.
Berdasarkan pada kepercayaan itu, ahli geologi percaya, Pulau Batu Hairan akan timbul semula di lokasi berkenaan suatu masa nanti. Namun, bila waktu ia akan timbul semula, itu tidak dapat dipastikan.
Sumber : mastika.online/utusan
Copy and paste: 2 Jun 2023 > 13 Zulkaedah 1444H: 9.48 am
No comments:
Post a Comment