Friday, 2 June 2023

Hubungan Melaka - China Semasa Era Parameswara

Posted by : Megat Hisemudin Megat Kasim > Kisah Sejarah Melayu

Saya buatkan terjemahan dan huraian dari 明實錄 Mingshilu, Catatan Sejarah Ming tentang bagaimana terdirinya kerajaan Melaka sehingga kemangkatan Parameswara.
明實錄 Mingshilu dikategorikan sebagai salah sebuah "二十四史 Twenty four histories" yakni 24 buah teks sejarah China sejak 3,000 tahun sebelum Masehi sehingga abad ke 17. Ia ditulis dalam bahasa Cina klasik, sebab itulah untuk menterjemahkannya lebih susah berbanding dengan bahasa Cina moden sekarang.
永樂元年十月遣中官尹慶使其地,賜以織金文綺、銷金帳幔諸物。
Pada bulan ke 10 dalam tahun pertama pemerintahan Maharaja 永樂 Yong Le, baginda telah mengutuskan seorang utusan bernama 尹慶 Yin Qing ke Melaka. Dihadiahkan selembar kain tenunan emas, sebidang kelambu dengan jahitan benang emas di tepinya dan lain-lain.
Untuk rujukan, Maharaja Yong Le adalah maharaja ke 3 bagi Dinasti Ming. Tahun pemerintahan maharaja di China adalah bermula ketika baginda naik takhta. Tahun pertama atau 元年 yuan nian adalah bersamaan dengan tahun 1403.
其地無王,亦不稱國,服屬暹羅,歲輸金四十兩為賦。
Tempat itu tidak ada raja dan bukan dinggap sebuah negara. Ia adalah naungan Siam dan setiap tahun membayar ufti 40 tahil emas.
慶至,宣示威德及招徠之意。其酋拜里迷蘇剌大喜,遣使隨慶入朝貢方物,三年九月至京師。
Yin Qing datang dengan memperagakan kehebatan dan memberitahu niat kedatangannya. Penghulu tempat itu, Parameswara amat gembira dengan perkhabaran oleh Yin Qing. Parameswara menghantar seorang utusan mengikut Yin Qing bersama hadiah untuk dipersembahkan ke istana. Pada bulan ke 9 tahun ke 3 barulah sampai ke ibu kota China.
Untuk rujukan, masa kedatangan Yin Qing ke Melaka dikatakan Parameswara telah membuka Melaka selama 10 tahun. Beliau adalah penghulu di Melaka dan terpaksa membayar ufti kepada Siam. Daripada Melaka, Yin Qing meneruskan perjalanan ke Sumatera (kemungkinan sekali Acheh) dan Calicut, India. Semasa dalam perjalanan balik ke China, Yin Qing telah membawa bersama utusan-utusan dari Sumatera, Calicut dan Melaka. Sebab itulah pada bulan 9 tahun ke 3 pemerintahan Maharaja Yong Le barulah rombongan ini sampai ke ibu kota di Nanjing. Kemudian ibu kota kerajaan Ming berpindah ke Beijing.
帝嘉之,封為滿剌加國王,賜誥印、綵幣、襲衣、黃蓋,復命慶往。
Maharaja China berkenan mewatikahkan (Parameswara) sebagai raja Melaka. Menghadiahkan cop mohor, wang syiling, persalinan pakaian dan tanjak kuning. Yin Qing beredar setelah melaporkannya.
九年,其王率妻子陪臣五百四十餘人來朝。
Tahun ke 9 pemerintahan Maharaja Yong Le yang bersamaan tahun 1411, Parameswara telah membawa permaisuri dan anakanda berserta 540 orang yang lainnya ke negara China.
Untuk rujukan, rombongan Sultan Melaka ke China dengan menaiki kapal-kapal dari armada Laksama Cheng He yang membuat ekspedisinya ke 3 di tahun 1409 dan dalam perjalanan baliknya di tahun 1411 kapal-kapal ini singgah di Melaka.
十二年,王子母乾撒於的兒沙來朝,告其父訃。
Tahun ke 12 pemerintahan Maharaja Yong Le bersamaan tahun 1414, putera sultan, Megat Iskandar Shah telah mendatang sembah ke istana memberitahu kemangkatan ayahandanya, Parameswara.
Untuk rujukan, sebenarnya tarikh-tarikh kemangkatan dan pertabalan raja-raja Melaka yang kita gunakan sekarang adalah dipadankan dengan tarikh yang tercatat dalam rekod China. Dari rekod inilah kita mengetahui Parameswara mangkat di tahun 1414.

Copy and paste:
2 Jun 2023 : 13 Zulkaedah 1444H: 9.25 am