Thursday, 15 June 2023

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 577: STATUS HADIS SYURGA ITU DI BAWAH TAPAK KAKI PARA IBU

SUMBER : PEJABAT MUFTI WPKL

Soalan

Salam, betulkah lafaz hadis ini berasal daripada Nabi SAW? الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الْأُمَّهَاتِ

Ringkasan Jawapan

Lafaz hadis “الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الْأُمَّهَاتِ” yang bermaksud syurga di bawah tapak kaki ibu adalah palsu. Namun demikian, terdapat lafaz yang sahih dalam riwayat yang lain berbunyi “فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا” dengan maksud maka sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya (ibu). Oleh itu, sebaiknya disandarkan hadis tersebut kepada lafaznya yang sahih.

Huraian Jawapan

Hadis berkenaan syurga di bawah tapak kaki para ibu adalah satu hadis yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Semenjak daripada kecil masyarakat sering diperdengarkan dengan hadis ini. Tujuannya adalah untuk mendidik anak-anak kecil untuk taat dan hormati para ibu mereka. Lafaz hadis tersebut adalah seperti berikut:

الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الْأُمَّهَاتِ

Maksudnya: Syurga itu di bawah tapak kaki para ibu.[1]

Setelah melakukan penelitian terhadap lafaz hadis ini terdapat dua jalur sanad yang berbeza. Jalur sanad yang pertama merupakan jalur daripada Anas bin Malik RA, manakala jalur sanad kedua pula adalah daripada Ibn ʻAbbas RA. Walau bagaimanapun, kedua-dua jalur mempunyai masalah.

Jalur daripada Anas bin Malik RA bermasalah disebabkan perawi yang bernama Mansur bin al-Muhajir dan Abu al-Nadhr al-Abbar. Menurut Ibn Hajar al-ʻAsqalani, Mansur bin al-Muhajir adalah seorang mastur (tidak dikenali).[2]

Kemudian, al-Munawi menukilkan pandangan Ibn Tahir dalam Fayd al-Qadir bahawa Mansur bin al-Muhajir dan Abu al-Nadr al-Abbar sebagai tidak dikenali dan hadis mereka adalah munkar.[3]

Pada jalur Ibn ʻAbbas RA juga berlaku hal yang sama, yang mana terdapat perawi bermasalah dalam sanad iaitu Musa bin Muhammad bin ʻAta’. Menurut Ibn ʻAdi, riwayat hadisnya munkar dan dia juga mencuri (riwayat) hadis (yusriq al-hadith).[4]

Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa ayahnya iaitu Abu Hatim al-Razi mengatakan Musa bin Muhammad bin ʻAta’ adalah pendusta.[5]

Ibn Hajar juga mengatakan Musa bin Muhammad bin ʻAta’ adalah salah seorang daripada perosak hadis (أحد التلفاء).[6]

Jika diperhatikan daripada sudut maksud hadis maka maksudnya adalah sahih. Hal ini kerana terdapat hadis lain yang diriwayatkan secara sahih dengan sanad dan matan yang berbeza. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Muʻawiyah bin Jahimah al-Salami seperti berikut:

أَنَّ جَاهِمَةَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَدْتُ أَنْ أَغْزُوَ، وَقَدْ جِئْتُ أَسْتَشِيْرُكَ. فَقَالَ: هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا

Maksudnya: Bahwasanya Jahimah pernah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku ingin pergi jihad, dan sungguh aku datang kepadamu untuk meminta pendapatmu. Baginda bertanya: “Apakah engkau masih mempunyai ibu?” Dia menjawab: Ya, masih. Baginda bersabda: “Hendaklah engkau tetap berbakti kepadanya, maka sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.”[7]
Riwayat al-Nasa’i

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, hadis syurga di bawah tapak kaki ibu dengan lafaz { الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الْأُمَّهَاتِ } adalah palsu. Namun, maknanya sahih berdasarkan keseragaman maknanya dengan riwayat yang sahih sanadnya iaitu فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا. Justeru, sebaiknya disandarkan hadis ini kepada lafaznya yang sahih dan meninggalkan lafaz yang palsu tersebut. Setiap maklumat yang kita perolehi lebih-lebih lagi yang melibatkan nama Rasulullah SAW sebaiknya diselidiki dan disahkan terlebih dahulu kebenarannya. Ini bagi mengelakkan daripada kita melakukan pendustaan ke atas Baginda SAW. Selain itu, Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Wallahua’lam.

Rujukan:

[1] Abu ‘Abdullah Muhammad bin Salamah al-Qudaʻi, Musnad al-Syihab, ed. Hamdi bin ‘Abd al-Majid al-Salafi (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1986), no. hadis 119, jld. 1: hlm. 102.

[2] Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Hajar al-‘Asqalani, Taqrib al-Tahzib, ed. Muhammad ‘Awwwamah (Syria: Dar al-Rasyid, 1986), jld. 1: hlm. 547.

منصور ابن المهاجر الواسطي أبو الحسن بياع القصب ويقال له البزوري بضم الموحدة والزاي مستور من كبار العاشرة

[3] Zain al-Din Muhammad al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1937), jld. 3: hlm. 361.

قال ابن طاهر: ومنصور وأبو النضر لا يعرفان والحديث منكر

[4] Abu Ahmad bin ‘Adi al-Jurjani, al-Kamil fi al-Duʻafa’ al-Rijal, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Sinnah (Beirut: al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1997), jld. 8: hlm. 64.

موسى بْن مُحَمد بْن عَطَاء أَبُو طاهر المقدسي.

منكر الحديث، وَيَسْرِقُ الحديث.

[5] Abu Muhammad Ibn Abi Hatim al-Razi, al-Jarh wa al-Taʻdil (India: Majlis Da’irah al-Maʻarif al-‘Uthmaniyyah, 1952), jld. 8: hlm. 161.

موسى بن محمد بن عطاء أبو الطاهر المقدسي روى عن حجر بن الحارث وابى المليح والوليد بن محمد الموقرى والهيثم بن حميد روى عنه عباس بن الوليد بن صبح الخلال وموسى بن سهل الرملي.

نا عبد الرحمن

قال سألت أبي عنه فقال.

رأيته عند هشام بن عمار ولم اكتب عنه، وكان يكذب وياتى بالا باطل نا عبد الرحمن نا موسى بن سهل الرملي يقول: أشهد عليه أنه كان يكذب.

نا عبد الرحمن قال سئل أبو زرعة عن ابى طاهر المقدسي فقال: اتيته فحدث عن الهيثم بن حميد وفلان وفلان وكان يكذب.

[6] Ahmad bin ʻAli bin Muhammad bin Ahmad bin Hajar al-ʻAsqalani, Lisan al-Mizan, ed. Da’irah al-Muʻarrif al-Nizamiyyah (Beirut: Mu’assasah al-A’lami, 1971), jld. 6: hlm. 127.

"موسى" بن محمد بن عطاء الدمياطي البلقاوى المقدسي أبو الطاهر أحد التلفاء

[7] Ahmad bin Syuʻaib al-Nasa’i, Sunan al-Nasa’i, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (Halab: Maktab al-Matbuʻat al-Islamiyyah, 1986), no. hadis 3104, jld. 6: hlm. 11.


Copy and paste:
15 Jun 2023 > 27 Zulkaedah 1444H: 8.01 pm

No comments: