Thursday, 15 June 2023

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 520: BAHAYA MENYAMAKAN HADIS DA’IF DENGAN PALSU

SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL

Soalan

Assalamualaikum, adakah hadis da’if dan palsu ini setaraf dan mesti ditolak secara keseluruhan? Mohon pandangan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Berdasarkan persoalan di atas, hadis da’if dan hadis palsu tidak dapat disamakan kerana perbezaannya adalah jelas, di mana hadis da’if mempunyai pembahagiannya yang pelbagai dan perlu diperhalusi sebelum ia diterima untuk beramal atau ditolak. Manakala hadis palsu pula adalah sesuatu yang direka-reka tetapi disandarkan kepada baginda SAW tanpa rasa tanggungjawab dan amanah.

Huraian Jawapan

Pelbagai permasalahan yang timbul dalam masyarakat akibat daripada tidak mengamati sesuatu isu secara teliti. Antara permasalahan tersebut, berlaku salah faham terhadap al-Sunnah di mana sebahagian masyarakat telah menyamakan hadis da’if dengan palsu.

Mutakhir ini, banyak pandangan yang mengelirukan masyarakat awam tentang perbahasan ilmu hadis terutama yang melibatkan perbahasan hadis da’if, sehingga menyebabkan masyarakat menyamakan hadis yang da’if dengan palsu. Pandangan yang keliru dalam ilmu hadis ini telah dikemukakan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan ilmu yang mereka miliki.

Pertama sekali, perlu difahami bahawa hadis da’if adalah hadis yang tidak memenuhi syarat hadis sahih dan hasan. Berikut merupakan definisi yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti: [1]

الضعيف وهو ما لمْ يَجْمَع صِفة الصَحيحِ أو الحَسَن

Maksudnya: Hadis da’if adalah hadis yang tidak memenuhi sifat hadis sahih atau hadis hasan.

Definisi ini sebagaimana yang telah disebutkan dalam kebanyakan kitab-kitab ulum al-hadis klasik mahupun kontemporari. Bahkan, hadis da’if adalah suatu subtopik yang paling banyak perbincangannya di dalam ʻulum al-hadis. Manakala, hadis palsu diertikan sebagai satu ucapan yang bukan daripada Nabi SAW tetapi disandarkan kepada baginda SAW tanpa rasa bertanggungjawab oleh perawi tertentu. Imam Ibn al-Ṣalāḥ berpandangan bahawa hadis da’if yang paling buruk/rendah serta haram meriwayatkannya sama sekali, melainkan jika dijelaskan status kepalsuan hadis tersebut. [2] Imam al-Suyūṭī menyebutkan di dalam Tadrīb al-Rāwī: [3]

الموضوع هو المختلق المصنوع وشر الضعيف

Maksudnya: Hadis palsu adalah sesuatu yang dicipta atau rekaan semata dan ia merupakan seburuk-buruk hadis da’if (tidak termasuk hadis da’if yang boleh diriwayatkan dan diamalkan, tetapi yang dimaksudkan da’if di sini ialah hadis palsu).

Imam al-Sakhāwī dalam al-Qawl al-Badīʻ menukilkan bahawa Imam Ibn al-Ṣalāḥ menyebutkan seperti berikut: [4]

جواز رواية الضعيف باحتمال صدقه في الباطن فإنه قال عقب قوله بعدم جواز رواية الموضوع إلا مقروناً بخلاف الأحاديث الضعيفة التي تحتمل صدقها في الباطن

Maksudnya: Boleh meriwayatkan hadis da’if dengan kebarangkalian terkandung kebenaran dalam maknanya. Sejurus selepas beliau menyebutkan tentang tidak boleh meriwayatkan hadis palsu melainkan diikat (dengan penjelasan terhadap kepalsuannya), berbeza dengan hadis-hadis da’if yang mempunyai kebarangkalian kebenarannya pada makna.

Menurut Imam al-Nawawi hadis daʻif boleh diamalkan jika memenuhi syarat-syarat berikut: [5]Hadis da’if tersebut tidak palsu. [6] Tidak berkaitan hukum hakam.Boleh diamalkan dalam hal fada’il (kelebihan), targhib (galakan) dan tarhib (ancaman).

Menurut Syeikh Muḥammad ʻAwwāmah hadis da’if masih dinisbahkan kepada baginda Nabi SAW jika terdapat riwayat lain yang menyokong, sedangkan hadis palsu ialah pembohongan dan pendustaan semata-mata. Oleh kerana itu, beliau membahagikan hadis da’if kepada 4 pembahagian: [7]
Da’if yang ringan (ضعفا يسيرا).
Da’if yang sederhana (ضعفا متوسطا).
Da’if yang berat (ضعفا شديدا).
Terkait perawi yang bersifat penipu dan suka memalsukan hadis (الكذب والوضع).

Syeikh Muḥammad ʻAwwāmah menggambarkan bahawa da’if dan palsu itu sesuatu yang amat berbeza. Dengan adanya pembahagian ini, jelaslah bahawa bukan semua hadis da’if itu mesti ditolak secara mutlak sebagaimana telah berlaku dalam masyarakat yang meletakkan hadis da’if ini di dalam satu kelompok setaraf dengan hadis palsu.

Kesimpulan

Melalui pembahagian yang telah disebutkan di atas, salah faham yang telah berlaku dalam masyarakat dapat diselesaikan kerana hadis da’if mempunyai kategori-kategori pelbagai dan syarat-syarat yang mesti dilihat dan diteliti barulah ianya boleh ditetapkan sama ada diterima atau ditolak. Justeru, tidak tepat sesiapa yang menyamakan hadis da’if dengan hadis palsu kerana palsu itu jelas suatu perkataan yang direka-reka dan disandarkan kepada baginda SAW tanpa rasa bertanggungjawab. Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Jalāl al-Dīn al-Suyūṭī, Tadrīb al-Rāwī fī Syarḥ Taqrīb al-Nawawī, ed. Syaikh Muḥammad ʻAwwāmah (Jeddah: Dār al-Minhāj, 2016), 3/81.

[2] ʻUthmān bin ʻAbd al-Raḥmān, Maʻrifah Anwāʻ ʻUlūm al-Ḥadīth (Bayrūt: Dār al-Fikr, 1986), 98.

[3] Jalāl al-Dīn al-Suyūṭī, Tadrīb al-Rāwī fī Syarḥ Taqrīb al-Nawawī, ed. Syaikh Muḥammad ʻAwwāmah, 3: 426.

[4] Muḥammad bin ʻAbd al-Raḥmān bin Muḥammad al-Sakhāwī, al-Qawl al-Badīʻ fī al-Ṣalāh ʻalā al-Ḥabīb al-Syafīʻ (Kaherah: Dār al-Rayyān li al-Turāth, t.t), 256.[5] Yaḥyā bin Syaraf al-Nawawi, al-Azkar (Bayrūt: Dār al-Fikr, 1994), 8.

[6] Yaḥyā bin Syaraf al-Nawawi, al-Taqrīb wa al-Taisīr li Ma’rifah Sunan al-Basyīr al-Nazīr (Bayrūt: Dār al-Kitāb al-ʻArabī,1985), 48. Dalam al-Taqrīb al-Nawawi menambahkan bahawa boleh beramal dengan hadis daʻif selagimana tidak berkaitan dengan hal-hal akidah.

[7] Muḥammad ʻAwwamah, Ḥukm al-ʻAmal bi al-Ḥadith al-Ḍaʻīf (Jeddah: Dār al-Minhāj, 2017), 32.
Copy and paste:15 Jun 2023 > 27 Zulkaedah 1444: 8.43 pm

No comments: