Ilmu sejarah boleh digunakan untuk menjatuhkan atau menidakkan serta memperlekehkan sesuatu tamadun, tokoh malah agama sesuatu ummah dan bangsa. Caranya mudah yakni seseorang ahli sejarah terkemuka itu boleh menulis dalam bukunya atau makalah ilmiahnya bahawa tokoh itu diragui kewujudannya, atau sejarah itu diragui kesahihannya atau kota itu diragui kewujudannya kerana tiada bukti arkeologi atau bukti catatan sezaman dari bangsa lain atau bukti-bukti dari sumber primer.
Hal ini berlaku kepada kita umat Islam sendiri, kerana wujud sejarawan sekular barat yang mengaku sebagai pakar dalam sejarah Islam atau sejarah Asia Barat yang mengatakan bahawa Bandar Mekah itu tidak wujud. Menurut mereka seperti Tom Holland mengatakan bahawa gambaran tentang Mekah sebagai salah sebuah bandar yang berada di laluan perdagangan diantara Yaman dengan Syria adalah tidak benar dan sengaja dibuat-buat oleh sejarawan Islam. Malah beliau kata Mekah mungkin hanya sebuah kampung biasa sahaja yang tak ada aktiviti perdagangan atau pusat sembahan (zaman jahiliah) dan bukan sebuah kota penting pon di Semenanjung Tanah Arab pada zaman Rasulullah.
Alasan beliau berkata begini kerana kononnya tidak dijumpai catatan sezaman dari bangsa-bangsa lain tentang sebuah bandar yang bernama Mekah pada zaman jahiliah. Dan catatan tentang Mekah menurut beliau hanya bermula setelah zaman Islam. Dan beliau juga kata sebab tiada bukti arkeologi seperti bangunan, atau patung atau sebagainya yang fizikal bermakna bandar itu mungkin tidak wujud! Nampak tak kejahatan sejarah sekular dalam hal ini? Padahal kita tahu semua bukti fizikal boleh dimusnahkan malah memang telah dimusnahkan sedikit demi sedikit bermula dari zaman Rasulullah memusnahkan patung berhala di Kaabah sehinggalah zaman sekarang dimana kerajaan Arab Saudi meruntuhkan segala jenis bukti fizikal tentang Nabi Muhammad SAW dan keluarganya seperti rumah, tempat lahir, tempat sembahyang dan lain-lain tempat bersejarah milik Rasulullah kecuali Masjid dan Makamnya. Itu pon telah diubah suai dan dibina semula.
Pendek kata kalau nak cari bukti fizikal memang sukar. Lagipun siapa pula nak benarkan ahli arkeologi bukan Islam buat penggalian dekat TANAH HARAM atau dalam Masjid Nabawi? Memang takkan berlaku. Pendek kata kalau tak ada bukti arkeologi atau catatan sezaman belum tentu sesebuah tempat atau kota itu tidak wujud. Sama kes la dengan sejarah Melayu juga, kalau belum dijumpai lagi bukti fizikal jangan kata kerajaan seperti Chih Tu atau Pan-pan atau Pahang Kuno, Langkasuka dan sebagainya tidak wujud, nak pula ia memang dah ada catatan sezaman.
Lagipun sejarawan Islam dah cakap yang mungkin tiada catatan sezaman sebab tidak ada sejarawan dari bangsa asing ketika itu yang pernah sampai ke Mekah atau mereka sekadar terlepas pandang kerana kebanyakan pedagang luar pada zaman itu lebih suka menggunakan jalan laut dan pantai jika berdagang di Semenanjung Tanah Arab kerana mereka takut untuk menggunakan jalan perdagangan padang pasir yang hanya mahir dilalui oleh orang-orang Arab Badwi.
Selain itu sejarawan sekular juga menuduh sejarawan Islam dan pengumpul Hadith sebagai melebih-lebih dalam menggambarkan kepentingan Mekah pada zaman Rasulullah dengan tujuan untuk menaikkan prestij baginda SAW sebab tak mahu orang luar tengok baginda lahir dari kawasan yang tiada kepentingan atau mudah kata kampung atau pekan biasa di tengah padang pasir. Sejarawan barat juga kata yang sejarawan Islam berbuat begitu untuk menunjukkan yang Rasulullah lahir bebas dari pengaruh tamadun atau agama Yahudi dan Kristian. Jadi menurut mereka ia semata-mata untuk memberikan gambaran suci kepada baginda.
Nampak tak bahayanya jika kita percaya cakap sejarawan barat ini. Jika kita guna method sejarah yang sekular ini maka kita perlu meragui Hadith sahih yang menyebut tentang aktiviti perniagaan baginda di Mekah hingga ke Syria. Kita juga perlu meragui tentang wujudnya pasar-pasar di Mekah, dan meragui bahawa Mekah adalah sebuah pusat berkumpulnya kabilah Arab untuk menyembah 360 berhala setiap tahun pada zaman jahiliah, dan meragui bahawa Mekah itu wujud sebagai sebuah bandar. Ini semua asas kepada sejarah wujudnya Islam. Jadi menurut mereka jika asas atau foundationnya boleh diragui maka Agama Islam secara keseluruhannya akan dianggap sebagai agama yang kabur dan meragukan serta tidak berasas kukuh.
Bagi sejarawan sekular Al Quran hanyalah sebuah manuskrip Arab yang mencedok kisah-kisah tentang Nabi-nabi Bani Israel dan sebuah kitab undang-undang yang diambil dan disadur dari kitab orang Majusi, Yahudi dan Kristian. Manakala Hadith pula bagi mereka tak lebih daripada catatan lisan atau petitih penglipur lara Arab tentang seorang tokoh lagenda tempatan.
Malah kalau ikut sejarawan sekular, peristiwa seperti penerimaan wahyu pertama Rasulullah di Gua Hira' dan penampakan rupa sebenar malaikat Jibril, atau peristiwa baginda membelah bulan, peristiwa baginda naik Israq Mikraj, peristiwa baginda dibedah sebelum naik ke langit dan lain-lain peristiwa kemukjizatan dan keajaiban yang berlaku pada baginda akan dianggap sebagai fairy tales, dongeng, mitos atau penambah sedap rasa dalam cerita lisan orang Arab sahaja dan tak akan diambil serius sebagai sumber sejarah!
Atau mereka akan cuba untuk menjelaskan ia dengan pemikiran logik dalam setiap peristiwa tersebut. Contohnya peristiwa baginda mendapat wahyu pertama di Gua Hira' akan dikata berlaku kerana baginda telah terlalu lama bersuluk atau bermeditasi berseorangan dalam gua dan akibatnya baginda berhalusinasi. Atau peristiwa Israq dan Mikraj akan cuba dijelaskan oleh mereka sebagai salah satu peristiwa halusinasi juga akibat kesedihan melampau yang baginda hadapai setelah kematian Siti isteri baginda yang tercinta. Akhirnya baginda akan dituduh atau difitnah sebagai mengalami Midlife crisis, Depression atau Bipolar disorder yang menyebabkan baginda mendengar suara-suara atau berhalusinasi. Nauzubillah, saya beristighfar dari pemikiran-pemikiran huduh dan fitnah buruk begini kepada junjungan kita Rasulullah SAW. Sekarang anda nampak tak betapa jahatnya sekularisme ilmu sejarah.
Sekularisme sejarah inilah yang menjadi konflik dalam benak saya masa mula menuntut ilmu sejarah di Uni dahulu. Sebab di Universiti kami diajar ilmu sejarah dan method kajian sejarah yang sekular. Kalau ikutkan kami perlu meragui setiap manuskrip atau cerita lisan atau catatan sejarah yang kami terima. Dan ini termasuklah Al Quran dan Hadith. Jadi dalam ilmu dan method sejarah Hadith Sahih pon tak boleh diambil sebagai sumber primer sebab ia tetap sumber lisan dan dalam ilmu sejarah semua sumber lisan wajib diragui tak kiralah perawinya itu jujur atau zuhud ke tidak. Hal ini menyebabkan wujud golongan anti Hadith dalam masyarakat kita sebab bagi mereka sumber lisan turun-temurun dari manusia tak boleh dipercayai tak kiralah samaada ia dari Ulama mahupun para Sahabah. Ternyata cara ini bertentangan dengan Islam.
Jadi pendek kata disini ialah kita sebagai orang Islam perlu berhati-hati dengan sekularisme Ilmu sejarah dan ilmu-ilmu lain juga. Ia boleh mengundang bahaya kepada akidah jika kita tak bersedia dengan ilmu agama yang cukup. Al Quran dan Hadith adalah pegangan hidup kita sampai mati dan jangan sesekali meraguinya walau apa sebab sekalipun. Walau segenius mana pon anda pasti tidak akan dapat menulis sebuah kitab sehebat dan sebenar-benarnya seperti Al Quran. Dan walau setinggi mana pun anda belajar ilmu undang-undang, anda tak akan dapat gubal undang-undang yang paling sempurna dan paling berkesan sepertimana undang-undang yang Allah telah tetapkan dalam Al Quran untuk kita. Sekian.
~ASJ~
Copy and paste: 10 Jun 2023 > 22 Zulkaedah 1444H: 8.54 pm