Sunday, 3 May 2020

COVID 19 - Setiap rumah kini 'madrasah' Ramadan

Sumber : BH Online
Oleh : Latifah Ariffin
latifah@bh.com.my

UMAT Islam menyambut Ramadan tahun ini luar biasa apabila perlu mengehadkan pergerakan dan terus berada di rumah, malah sebahagiannya menjalani perintah berkurung.
Lebih meninggalkan kesan, Makkah dan Madinah turut ditutup dengan arahan solat tarawih akan diadakan tanpa jemaah awam di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Di seluruh negara ketika ini, demi memerangi dan memutuskan rantaian COVID-19, amalan yang menjadi kebiasaan masyarakat termasuk majlis berbuka puasa, solat tarawih berjemaah, tadarus al-Quran dan moreh di semua masjid dan surau terpaksa dibatalkan.
Ia selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudian diumumkan dilanjutkan oleh Perdana Menteri hingga 12 Mei ini.
Bagaimanapun, kita tidak seharusnya melihat kedatangan Ramadan kali ini suram sebaliknya berlapang dada dengan ujian menimpa dan berusaha memakmurkan rumah masing-masing dan mentransformasikannya sebagai madrasah Ramadan.
Pendakwah, Mohd Iqbal Zain, berkata Muslim perlu sedar apa sahaja menimpa mereka adalah kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda: Sungguh ajaib dalam urusan Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada Mukmin.
Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya. (HR Muslim)
Mohd Iqbal berkata, walaupun umat Islam terpaksa masuk ke dalam Ramadan hanya dengan berkurung di rumah, hati Mukmin yang berpaut kepada Allah SWT dan bersangka baik kepada-Nya akan menjadi tenang serta bahagia.
"Tidak timbul persoalan suram atau bosan kerana kehidupan Mukmin akan sentiasa ceria apabila hatinya bersama Allah SWT.
"Kita meyakini pasti ada hikmah dan rahsia besar daripada Allah SWT terhadap apa yang didatangkan kepada kita," katanya kepada Ibrah, baru-baru ini.
Mohd Iqbal mengingatkan kedatangan Ramadan jangan disia-siakan hanya kerana kekangan semasa antaranya merasakan ibadah tidak sempurna tanpa aktiviti lazim termasuk solat berjemaah di masjid atau surau.
"Sudah tentu ramai yang terfikir sekiranya ia dapat dikerjakan secara berjemaah, maka bertambahlah pahala.
"Usah risau kerana kita masih boleh menunaikan solat tarawih sama ada secara sendirian atau berjemaah bersama keluarga di rumah.
"Bahkan, solat tarawih boleh dikerjakan sepanjang malam dan bukan pada masa tertentu atau harus selesai dalam beberapa jam selepas Isyak sahaja.
"Jam 12 tengah malam pun masih boleh bertarawih, asalkan ditunaikan sebelum masuk waktu Subuh," katanya.
Beliau berkata, maka terdapat banyak amalan boleh dihidupkan sepanjang Ramadan ini, meskipun berada di rumah.
"Antara amalan boleh dihidupkan di rumah ialah tadarus al-Quran sesama keluarga, walaupun ada kemungkinan tidak sempat khatam.
"Namun jangan jadikan ia penghalang untuk terus menambahkan amalan sepanjang Ramadan.
"Begitu juga dengan amalan qiamullail boleh dihidupkan pada waktu malam bersama keluarga," katanya.
Beliau menambah, bagi membakar semangat supaya lebih bersungguh-sungguh beramal, Rasulullah SAW  berpesan setiap amalan sunat akan digandakan pahalanya seperti amalan fardu dan setiap amalan fardu akan digandakan kepada 70 kali.
Menurutnya lagi, dalam tempoh mencabar, peranan institusi agama termasuk masjid dan surau amat diperlukan terutama memberikan sokongan, panduan ibadah dan memperbanyakkan aktiviti di platform digital bagi menyemarakkan Ramadan.
"Institusi agama, masjid dan surau dapat memainkan peranan membantu ibadah masyarakat dengan mengeluarkan garis panduan, nasihat dan saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain.
"Sebagai contoh, pihak masjid atau surau boleh membentuk kumpulan WhatsApp bagi mengagih-agihkan juzuk tertentu al-Quran untuk dibaca di rumah.
"Maka dengan itu, budaya tadarus dapat terus hidup secara kolektif bersama komuniti setempat," katanya.
Iqbal Zain berkata, PKP juga memberikan kesempatan kepada ibu bapa mendidik anak dengan akhlak baik dan mengajarkan mereka untuk cinta kepada ibadah.
"Apa yang boleh saya sarankan, setiap hari ajaklah anak-anak membaca hadis dan kisah Rasulullah SAW serta orang soleh.
"Walaupun setiap hari cuma satu kisah, ia akan membentuk jiwa anak-anak.
"Galakkan anak-anak untuk turut serta dalam amalan yang dibuat secara berjemaah," katanya.
Beliau berkata, terdapat banyak ibrah yang sangat signifikan untuk diteliti bersama, kesan daripada wabak COVID-19 ini khususnya membuatkan kita lebih mengenal kebesaran Allah SWT.
"Kita dapat melihat Allah SWT dengan Kekuasaan-Nya dapat menukarkan keadaan dalam sekelip mata.
"Dia Maha Berkuasa untuk melapangkan dan menyempitkan keadaan.
"Namun, ini semua penzahiran sifat keindahan dan keperkasaan Allah yang perlu disaksikan dengan mata hati Mukmin hingga dia menjadi insan reda ketentuan Ilahi," katanya.
Katanya, di sini menunjukkan pentingnya untuk menyediakan hati yang sentiasa berpaut kepada Allah SWT dalam keadaan senang dan susah agar hati manusia tidak tertekan atau goyah dengan fenomena yang didatangkan-Nya untuk menguji keimanan setiap hamba.
"Apabila datang musibah sebegini, ia teguran supaya hati setiap manusia tidak sombong dengan apa yang dimiliki.
"Ini disebabkan segala-galanya adalah dalam genggaman kuasa Allah SWT dan kepada Dia, segala-galanya akan kembali," katanya.
Copy and paste: 3/5/2020 @ 10 Ramadan 1441H : 7.41 am

No comments: