Friday, 22 May 2020

ASAL USUL ADAT TEMENGGUNG DAN PERPATIH

Credit : Abu Amru Radzi Othman

Abu Amru Radzi Othman


Semuanya bermula sebelum Adityawarman berpindah ke Sumatera. Adityawarman, sang pendiri Kerajaan Pagaruyung merupakan keturunan Puteri Dara Jingga dari Kerajaan Melayu Dharmasraya. Dia yang kembali ke Sumatera setelah berbakti kepada Majapahit akhirnya berkahwin dengan Puteri Jamilan, anak Puteri Indojati. (Mungkinkah dari keturunan inilah lahir suku Malayu yang selalu menjadi Raja Alam (pemerintah utama) di Pagaruyung?).
Bapa Adityawarman merupakan pembesar Singhasari di pulau Jawa. Sejarahnya bermula bila ibu Adityawarman iaitu Dara Jingga bersama adiknya, Dara Petak menuju ke Singhasari setelah ekspedisi Pamalayu berjaya menakluk Kerajaan Dharmasraya di Sumatera.
Dara Petak berkahwin dengan Raden Wijaya manakala Dara Jingga dikahwinkan kepada pemimpin ekspedisi Pamalayu. Ada yang berkata nama pembesar itu adalah Adwayadwaja.
Dikatakan Adityawarman adalah sepupu kepada Jayanegara, pemerintah kedua Majapahit. Serta menjadi teman dan penasihat kepada Gajah Mada.
Membesar dalam istana Majapahit sehingga menjabat jawatan yang sangat penting - Perdana Menteri - dalam Majapahit lalu mengundurkan diri untuk kembali ke tanah ibunya dan mendirikan Kerajaan Pagaruyung.
Nama kerajaan ini berasal dari pagar yang dibuat dari ruyung - lapisan kulit batang pokok palma yg kuat dan keras - yang mengelilingi tempat pemandian Puteri Jamilan dan anak-anaknya. Ada yang mengatakan ia berasal dari pokok ruyung yang ditaman mengelilingi istana.
Selain dari gelar Raja Alam ada juga gelar Raja Adat dan Raja Ibadat. Raja Adat adalah pemimpin formal dalam mengatur ketertiban adat istiadat sedangkan Raja Ibadat pula merupakan pemimpin formal dalam masalah agama dan peribadatan.
Puteri Indojati memiliki beberapa anak lelaki hasil perkahwinannya sebanyak dua kali. Perkahwinan pertama adalah dengan Sri Maharaja Diraja lalu melahirkan dua putera iaitu Suri Diraja dan Ketumanggungan. Keturunan ini dianggap berdarah biru - keturunan diraja.
Setelah Sri Maharaja Diraja meninggal maka Puteri Indojati berkahwin dengan Cati Bilang Pandai - bukan berdarah biru. Anak dari perkahwinan kedua Putri Indojati dengan Cati Bilang Pandai maka lahirlah Perpatih Sabatang.
Lalu dikatakan bahawa ketiga-tiga anak lelaki Puteri Indojati inilah yang membentuk dasar-dasar hukum adat di Minangkabau.
Sang abang iaitu Datuk Ketumanggungan membuat Adat Koto Piliang atau nama lainnya Adat Temenggung. Sistem politik Koto Piliang memakai sistem aristokratik, memakai hukum "berjenjang naik, bertangga turun". Maksudnya kekuasaan itu bertingkat-tingkat dan wewenang yang bersifat menegak.
Datuk Perpatih Nan Sebatang yang merupakan adik kepada Datuk Ketumanggungan melahirkan Adat Bodi Caniago atau dikenal sebagai Adat Perpatih.
Adat Perpatih ini memakai sistem politik demokrasi dengan berkonsepkan "duduk sama rendah, berdiri sama tinggi", ertinya kuasa itu mendatar dan egaliter (sedarjat).
Balai Adat dan Rumah Gadang bagi Adat Koto Piliang memiliki anjung kiri kanan berlabuh gajah di tengah-tengah. Anjung kiri kanan ada tempat ditinggikan.
Manakala Rumah Gadang dan Balai Adat bagi adat Bodi Caniago pula lantainya mendatar sama.
Sistem kekerabatan dalam Adat Temenggung adalah bersifat patrilineal - dari garis keturunan ayah. Manakala sistem kekerabatan Adat Perpatih pula adalah bersifat matrilineal - dari garis keturunan ibu.
Dari sejarah diatas dapatlah difahami serba sedikit bagaimana kedua-dua adat ini terjadi. Apakah Adat Perpatih itu muncul dari rasa ketidakpuasan hati terhadap adat yang sedia ada pada masa itu? Sungguh ia adalah sekadar spekulasi tanpa bukti. Kita pada hari ini hanya mampu membuat andaian dan tanggapan.
Hakikatnya Adat Perpatih merupakan sistem kekerabatan Matrilineal yang terbesar didunia.
Di Minangkabau sehingga hari ini masih memakai kedua-dua adat ini. Khabarnya adat Temenggung dikembangkan oleh para pedagang dari Suku Koto Piliang ke Melaka pada kurun ke 15. Wallahu'alam.
Tentang ibu dan ayah Adityawarman itu masih diperdebatkan oleh para pengkaji. Namun mereka sepakat untuk menyatakan bahawa darah keturunannya adalah campuran dari Majapahit dan Dharmasraya.
Rujukan:
- Undang-Undang Adat Minangkabau oleh Nurana, Zulyani Hidayah, Syamsidar
- Membangkik Batang Tarandam Demokrasi Minangkabau oleh Aidinil Zetra

Abu Amru Radzi Othman
[Revolusi Melayu Baru]


Copy and paste: 22 May 2020 / 29 Ramadan 1441H: 3.52 am

No comments: