Saturday 2 May 2020

BATU UBAN PETEMPATAN AWAL ORANG PULAU PINANG

Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.
News USM website

PULAU PINANG, 4 September 2015 – Batu Uban adalah bukti petempatan awal orang Melayu di Pulau Pinang dan merupakan pusat berkembangnya peradaban Melayu dan Tamadun Islam khususnya di Pulau Pinang, malahan tanah Pulau Pinang bukannya dibuka Francis Light.   
Demikian kata Penyelaras Operasi, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CENPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu  sesi temubual khas bersempena kemerdekaan negara kali ke-58, di pejabatnya, di Bangunan Eureka USM, baru-baru ini.
“Batu Uban adalah penempatan, pelabuhan dan tempat bersejarah paling awal sebelum bermulanya era penjajahan Pulau Pinang pada tahun 1786.
Jelasnya lagi, bukti menunjukkan masjid Batu Uban yang dibina sekitar tahun 1734 merupakan antara tertua di Pulau Pinang.
"Batu Uban merupakan sebuah bandar, dan pelabuhan pertama sebelum George Town dan dibuka oleh Haji Mohammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Nan Intan dengan perkenan Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Syah II.
Katanya lagi, masjid Batu Uban telah diasaskan oleh Nakhoda Nan Intan pada tahun 1734 dan berasal daripada Kampung Buadi, Paya Kumboh, Sumatera dan mempunyai hubungan dengan kerabat diraja Minangkabau.
“Nakhoda Nan Intan merantau ke Pulau Pinang bersama dua lagi bahtera, dan singgah di Batu Uban, satu lagi bahtera singgah di Bayan Lepas (Nakhoda Bayan) dan bahtera ketiga singgah di Jelutong (Nakhoda Kecil)," tambah beliau.
Mengulas lanjut, katanya ketiga-tiga nakhoda tersebut mempunyai tali persaudaraan, manakala Francis Light dikatakan telah membuka Pulau Pinang pada tahun 1786.
Kata Md. Salleh pada tahun 1742, Dato’ Jannatun datang ke kawasan USM yakni Minden Height dan membawa 10 buah Al-Quran dan ini menunjukkan perluasan agama Islam di sekitar kawasan tersebut.
“Masyarakat awal di sini dahulu menjalankan aktiviti-aktiviti harian dengan penanaman kelapa, lada dan tebu di sebelah Batu Uban bukit, merupakan antara kawasan yang terkenal sebagai pendakwahan Islam selain antara golongan yang banyak bergaul dengan Jannatun ialah mereka yang berasal daripada keturunan India-Muslim dan mempunyai pangkal nama “Merican”, malahan kebanyakan mereka (Merican) adalah saudagar kaya yang berniaga intan berlian," kata Md. Salleh.
Mengulas lanjut, nama Anjung Jannatun kediaman rasmi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ini diambil bersempena dengan nama Dato’ Jannatun dalam usaha memberi penghormatan tinggi kepada beliau yang meneroka tanah di kawasan sekitar USM.
Dato’ Jannatun telah meninggal dunia pada tahun 1789 dan kuburnya terletak di Persiaran Minden 1, bersebelahan dengan pagar di Desasiswa Cahaya Gemilang USM.
Kata Md. Salleh lagi, Kampung Batu Uban merupakan warisan sejarah yang amat penting bagi orang Melayu di Pulau Pinang khasnya dan sejarah Pulau Pinang umumnya, namun warisan penjajah dan kaum imigran lainnya mendapat pengiktirafan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization  atau Organisasi Pendidikan, Ilmu Pengetahuan, dan Kebudayaan (UNESCO).
Walau pun Kampung Batu Uban ini tidak digazetkan oleh UNESCO, Kampung Batu Uban ini boleh digazetkan sebagai Kampung Warisan oleh kerajaan Malaysia, dan juga oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Malah melalui Persatuan Warisan Pulau Pinang (Penang Heritage Trust – PHT), dan jaringan-jaringannya telah berjaya dalam usaha-usaha mereka dalam memulihara dan mengekalkan warisan terutama di Georgetown,” tambah beliau.
Kata Md. Salleh, harapannya ialah perlu ada satu inisiatif lain yang berusaha ke arah pengekalan warisan di kampung-kampung terpilih yang mempunyai kaitan dengan sejarah Pulau Pinang, di bahagian lain di pulau dan juga di Seberang Perai. Antara contoh lain ialah nama “Georgetown” sendiri yang sepatutnya “Tanjung Penaga”, malahan turut menyeru kepada para budayawan, sejarahwan dan penduduk Pulau Pinang dan bersepakat untuk terus mempertahankan kampung-kampung warisan ini supaya tidak terhakis dan hilang begitu sahaja.
Sementara itu, Pensyarah Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM, Profesor Madya Datin Dr. Mahani Awang@Musa yang ditemui berkata, Kampung Batu Uban adalah penempatan Melayu yang terawal di Pulau Pinang malahan juga merupakan pekan dan pelabuhan terawal di pulau itu.
“Kampung Batu Uban merupakan kampung istimewa di Pulau Pinang kerana di situlah masjid yang terawal dibina dan di situlah juga tanah dikurniakan oleh Sultan Kedah kepada para peneroka awal sejak tahun 1730-an lagi dan ianya berlaku sehingga tahun 1740-an.
Jelas Mahani lagi, Batu Uban pada ketika dahulu merupakan pelabuhan penting dan sebelum Francis Light tiba, orang Melayu telah wujud di Pulau Pinang.
Peneroka Melayu awal itu telah pun hidup bermasyarakat sebelum 1786. Malahan Dato’ Jannatun yang membuka kawasan sekitar USM terutamanya di Batu Uban bukit.
Katanya lagi, sejarah negara perlu terus diterokai untuk menegakkan kebenaran dengan fakta yang kukuh, malah berharap generasi muda kini menghargai erti merdeka bukan hanya sebagai sebuah omongan kosong dan perayaan semata-mata tetapi wadah penyatuan masyarakat Malaysia sesuai dengan tema kemerdekaan, Sehati Sejiwa.
Copy and paste: 2 May 2020 / 9 Ramadan 1441H : 11.48 am

No comments: