Saturday, 8 February 2025

FLYING DUTCHMAN: LAGENDA ATAU KEBENARAN?


SUMBER: SEJARAH DAN LAGENDA DUNIA MISTIK

The Flying Dutchman adalah urban legend yang paling terkenal, berkisarkan tentang kapal hantu penunggu lautan yang menakutkan para pelayar, dan masih menjadi misteri besar dalam dunia pelayaran. Kapal ini dikatakan telah disumpah tidak boleh berlabuh, dan harus mengharungi 7 lautan buat selamanya. Kapal ini didakwa selalu dilihat dari kejauhan disinari dengan sorotan cahaya yang redup.
Kisahnya kapal hantu ini bermula pada abad ke-17, mengenai seorang kapten kapal bernama Bernand Fokke (sesetengah berpendapat nama kapten kapal ialah Ramhout Van Dam atau Van Der Decken). Kapten Fokke digambarkan sebagai seorang yang panas baran, pemabuk dan selalu berkelakuan pelik. Namun sifat negatifnya ditenggelamkan oleh ketrampilannya memimpin anak kapal dan kemampuannya belayar yang mengagumkan. Beliau mampu belayar mendahului jadual pelayaran yang telah ditetapkan. Dikatakan tidak ada kapal lain pada zamannya yang mampu menandingi kepantasan kapal yang dinakhodai Kapten Fokke, sehinggakan beliau dituduh membuat perjanjian dengan Iblis untuk membantu pelayaran beliau. Ini menarik perhatian Syarikat Hindi Timur Belanda (Vereenigde Oost-Indische Compagnie - VOC) untuk menggajikannya memimpin kapal kepunyaan syarikat tersebut.
Pada tahun 1641, Kapten Fokke ditugaskan untuk mengangkut muatan rempah ratus yang dibawa dari Tanah Jawa untuk dibawa balik ke Amsterdam. Kapten Fokke mengambil risiko tinggi dengan membawa muatan yang berlebihan dengan beban yang melebihi kemampuan kapal. Namun kapal tersebut mampu untuk belayar mengatasi kelajuan yang dijangkakan.
Sewaktu di tengah pelayaran iaitu sewaktu tiba di Starndfontein, Cape Town, Afrika Selatan, kapal kendalian Kapten Fokke menghadapi situasi cuaca yang amat buruk. Langit menjadi hitam pekat secara mendadak, dan angin bertiup kencang dari arah tenggara. Seorang anak kapal meminta Kapten Fokke untuk melabuhkan kapal sehingga cuaca kembali tenang, namun lansung tidak dihiraukan oleh Kapten Fokke. Berjam lamanya kapten dan anak kapal mencuba untuk mengatasi deruan angin ribut tropika berserta gelombang yang semakin mengganas dan meninggi. Usaha itu tampak berjaya, tetapi deruan angin secara tiba-tiba berhembus telah mengoyakkan layar kapal tersebut.
Lantas Kapten Fokke teringat akan mimpinya pada malam sebelumnya. Dia bermimpi didatangi seseorang dimana dia disuruh untuk meneruskan perjalanannya walaupun apa rintangan yang melanda. Kapten Fokke membulatkan tekadnya untuk tidak berpatah balik dan menempuh sahaja ribut hingga sampai ke destinasi, atau dia dan anak kapalnya akan disumpah. Serentak itu, Kapten Fokke terus mendongak ke langit, dan menjerit dengan sumpah yang paling dahsyat:-
"I will round this cape, even if I have to keep sailing until dooomsday"
Selepas jeritan yang bergema antara langit dan bumi, kapal tersebut terus dihempap ombak yang menyebabkan kapal tersebut karam.
Maka sumapahan Kapten Fokke mengambil tempat. Kapten Fokke dan anak kapalnya menjadi jasad hidup dan berlayar untuk selamanya. Ini dikuatkan lagi dengan catatan VOC di pertengahan abad ke 17 yang menyatakan kapal miliknya dilaporkan hilang dalam pelayaran dan dipercayai tenggelam di kawasan Cape Town.
Itu bagi versi pertama. Versi kedua lebih menarik dimana dikhabarkan terjadinya penyakit yang berbahaya di kalangan anak kapal sehingga menular menjadi wabak, sehingga kapal tersebut tidak diizinkan berlabuh di mana-mana pelabuhan sekalipun. Sejak itu kapten kapal dan anak kapal dihukum untuk selalu berlayar dan tidak pernah berlabuh.
Walau apapun versi penceritaan, kisah ini tenyata meninggalkan impak yang mendalam sehingga berbekas di hati dan diceritakan turun temurun. Lama-kelamaan ramai percaya lagenda ini benar-benar berlaku pada masa lampau. Sehingga mitos berlegar di kalangan pelayar bahawa apabila sesebuah kapal melihat kapal Flying Dutchman dan anak kapal memberi isyarat kepada kapal berhantu tersebut, maka kapal itu akan karam atau ditimpa kecelakaan. Banyak laporan dari sejak kejadian malang tersebut mendakwa menemui kapal itu belayar berhampiran kapal mereka, termasuklah laporan pada tahun 1930 an. Oleh itu kemunculannya lebih banyak dielak dari diharapkan. Lagenda dan mitos ini menarik minat ramai, bahkan diangkat menjadi novel, drama dan juga dipentaskan di teater. Paling diingati tentunya watak The Flying Dutchman di dalam siri animasi Sponge Bob.
Sejumlah penyelidik telah menyimpulkan bahawa kemungkinan penampakan kapal hantu ini hanyalah sekadar fenomena alam yang dikenali sebagai fenomena biasan ataupun lebih dikenali sebagai fatamorgana.
Teorinya mudah. Berdasarkan kedudukan penampakan terhadap kapal tersebut, kemungkinan besar terjadi akibat biasan udara panas. Waktu keadaan panas memuncak, lautan luas akan memantulkan wap yang berupa gas lalu membentuk satu tabir. Tabir wap ini bersifat telus cahaya (transparent), namun ianya boleh memantulkan dan membiaskan banyangan objek yang jauh menjadi seolah dekat.
Namun persoalannya, bagaimana pada satu kes, penampakan ini berlaku di 60 tempat yang berbeza pada waktu yang sama? Benarkah teori ini sedangkan tidak ada kapal dari abad ke 17 yang mampu belayar pada abad yang ke 20?
Misteri The Flying Dutchman tidak pernah terungkap. Segelintir mahu tetap mempercayai lagenda ini benar-benar wujud dan bukan sekadar dogengan semata-mata.

Copy and paste:
8/2/2025: 8.32 p.m

No comments: