Sunday, 9 February 2025

Benarkah istana Melaka memanjang kiri ke kanan?

Oleh Megat Hisemudin Megat Kasim

Dar catatan Mǎ huān menyebut, "有一大溪河水,下流从王居前过入海". Terdapat sebuah sungai yang besar di mana di hilir sungai masuk ke laut dibina kediaman raja yang berhadapan dengan sungai. Dengan catatan ini mengesahkan bandar Melaka bukanlah sebuah "kota" seperti dakwaan setengah orang yang menyebut kota kubu Portugis yang dibina dengan batu dahulunya adalah runtuhan "kota Melaka" yang dibina oleh Sultan Melaka. Sebagai perbandingan, Mǎ huān telah menulis tentang tempat kediaman raja Champa. "其城以石垒,开四门,令人把守". Kotanya diperbuat daripada dinding batu, mempunyai 4 pintu dan dijagai oleh pengawal. Namun Mǎ huān tidak menyebut wujudnya sebarang dinding batu di bandar Melaka.
Terdapat juga polemik tentang kedudukan istana Melaka yang sering digembar-gemburkan berada di atas Bukit St. Paul atau di tempat bangunan merah, Stadthuys sekarang. Namun catatan Mǎ huān telah mengesahkan yang kedudukan istana adalah mengadap Sungai Melaka yang tentunya di tanah pamah. Ia juga boleh dirujuk dari catatan Portugis semasa serangan kali keduanya yang diarahkan oleh Afonso de Albuquerque kepada kapten dan askar-askarnya untuk mengikut arah masjid tetapi tidak melewati masjid. Sudah tentu kedudukan istana dan masjid berada di tempat yang hampir antara satu sama lain.
Dalam serangan untuk menawan Melaka terdapat dua lokasi pertempuran iaitu di kawasan bandar yang dekat dengan istana dan satu lagi di jambatan kayu yang merintangi Sungai Melaka. Kedudukan Stadthuys sekarang sebenarnya adalah bertentangan dengan jambatan. Dari fakta ini mengesahkan yang kedudukan istana bukan terletak di situ tetapi lebih jauh ke belakang tetapi masih mengadap ke Sungai Melaka.
Dari sumber 海语 Hǎi yǔ yang ditulis oleh 黄衷 Huáng zhōng ada menceritakan serba-sedikit bentuk istana. Dituliskan, "王居前屋用瓦乃永乐中太监郑和所遣者馀屋皆僭拟殿宇以锡箔为饰." Bahagian hadapan istana menggunakan 瓦 wǎ iaitu bumbung jubin (yakni diperbuat daripada tanah liat yang dibakar dalam relau) yang ditinggalkan oleh Laksamana Zhèng hé semasa pemerintahan Maharaja Yǒnglè. Bahagian lain (bumbung) untuk balairong istana dihiasi dengan saduran timah.
Sumber ini memberikan indikasi bahawa istana Melaka tidak banyak berubah sejak pemerintahan Sultan Muhammad Shah (1424 - 1445) kerana kali terakhir Ekspedisi Zheng he ialah di tahun 1431 - 1433. Sedangkan catatan dalam Hǎi yǔ adalah bermula dari era akhir pemerintahan Sultan Mahmud Shah dan awal pemerintahan Portugis. Ini bermakna bumbung jubin yang dibawa oleh Zheng he juga telah dipasang ketika pemerintahan Sultan Muhammad Shah dan kekal sehingga Melaka jatuh ke tangan Portugis.
Menurut catatan Dinasti Ming mengatakan kebakaran istana Melaka berlaku tidak lama selepas pertabalan Sultan Muzaffar Shah. Dituliskan, "已,复入贡,言所赐冠带毁于火". Tidak lama selepas itu sekali lagi utusan menghadap ke istana menyatakan yang tanjak dan bengkung yang dihadiahkan oleh Maharaja China telah habis musnah dalam kebakaran.
Dalam Sulalatus Salatin pula menyebut setelah Hang Jebat mati dibunuh oleh Hang Tuah maka Sultan Mansur Shah tidak mahu lagi tinggal di istana itu lalu menitahkan untuk dibina istana yang baru. Dituliskan, "Adapun besar istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga-tiga depa luasnya; besar tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya. ...... Istana itulah dinamai orang Mahligai Hawa Nafsu, atapnya tembaga dan timah disiripkan". Setelah itu Sultan Mansur Shah pun pindah ke istana baru namun tidak lama kemudian istana ini terbakar pula. Maka sultan menitahkan, "Berbuat istana dan balairong, sebulan itu juga dikehendaki sudah".
Jika berpandukan catatan 黄衷 Huáng zhōng dalam 海语 Hǎi yǔ jelas menyebut bumbung jubin yang dipasang sekitar tahun 1430an masih digunakan sehingga kejatuhan Melaka di tahun 1511. Pada anggapan pengarang Sulalatus Salatin yang bumbung istana diperbuat daripada tembaga padahal "warna tembaga" itu ialah warna bumbung jubin yang seakan-akan sama. Manakala di bahagian balairong pula bumbungnya diperhiaskan dengan saduran timah disebabkan Melaka kaya dengan timah ketika itu. Tentang cerita istana Melaka terbakar ketika pemerintahan Sultan Manur Shah tidak dapat disahkan namun dari catatan Dinasti Ming hanya menyebut sekali sahaja kebakaran istana Melaka di awal pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.
Lakaran fiksyen istana Melaka oleh artis-artis kemudiannya tidak bersandarlan fakta sejarah yang sebenar. Tambahan ia dilukiskan memanjang ke kiri dan kanan tetapi jika diamati catatan Huáng zhōng lebih menjurus kepada bentuk memanjang dari depan ke belakang. Ia adalah sama seperti bentuk rumah tradisional orang-orang Melayu yang terdapat anjung hadapan kemudian bahagian tengah manakala dapur di belakang.
Daripada buku Portuguese Documents on Malacca from 1509 - 1511 susunan M.J. Pintado menyebut, "The loss which he regretted most of all was that of two lions of hollowed iron, fine pieces of craftsmanship and artistry, which the emperor of China had sent as a gift to the Sultan of Malacca, and which the Sultan had placed at the entrance to his palace". Ia adalah barangan yang sangat berharga kepada Afonso de Albuquerque tetapi karam bersama kapal Flor De la Mar. Daripada kenyataan ini menunjukkan bahawa memang terdapat bahagian hadapan istana di mana laluan masuk sebelum sampai ke balairong istana.
Dalam banyak catatan luar tentang kerajaan-kerajaan asing sering menyebut balai menghadap atau balairong terdapat beberapa pintu yang dikawal oleh para pengawal bersenjata. Ia sebagai langkah keselamatan untuk raja yang memerintah. Oleh itu tidak terkecuali istana Melaka terdapatnya anjung hadapan barulah sampai ke balairong tempat sultan bertemu perwakilan asing, saudagar-saudagar atau ketika para pembesar menghadap sultan untuk berbicara masalah negara. Sudah tentu semua bilik-bilek yang lain terletak di belakang balairong istana. Akhir sekali barulah bahagian dapur. Jadi ia menunjukkan bahawa istana Melaka dibina secara memanjang dari depan ke belakang tetapi bukannya memanjang dari kiri dan kanan.

Copy and paste:
9/2/2025: 3.00 p.m

No comments: