Thursday, 27 February 2025

Khazanah kita di bumi asing.

Sumber: Lovers of the World Military & Defense

SEBAHAGIAN manuskrip alam Melayu yang tersimpan rapi di luar negara.
Ribuan manuskrip alam Melayu dikatakan bernilai puluhan juta ringgit tersimpan di beberapa lokasi di seluruh dunia.Antaranya ialah di British Library, London, United Kingdom; Muzium Topkapi, Istanbul, Turki; Muzium Leiden, Belanda selain Portugal.
Manuskrip alam Melayu ini terdiri daripada pelbagai kategori, antaranya hikayat cerita Melayu, undang berkanun ketika era kegemilangan Melaka sehingga kepada surat rasmi raja-raja.
Menerusi arkib digital di British Library, wartawan menemui lebih 100 naskhah manuskrip pelbagai bidang termasuk kanun bertulis, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah serta surat daripada kesultanan Melayu kepada pembesar luar.
Arkib digital berkenaan kini boleh diakses secara percuma dengan memasukkan kata kunci 'Jawi' dan semua bahan manuskrip berkenaan ditulis dalam bahasa Jawi dan ada juga dalam bahasa Arab.
Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah berkata, semua manuskrip berkenaan tersimpan di beberapa negara dan ia cukup terpelihara.
Menurutnya, tahap nilai sesebuah manuskrip itu diukur menerusi isi kandungannya, siapa pengarangnya dan usia manuskrip berkenaan.
Beliau berkata, setiap manuskrip itu akan memberi gambaran kepada kehidupan masyarakat, teknologi serta pengetahuan ketika ia ditulis."Kebanyakan manuskrip ini berusia antara 200 hingga 700 tahun termasuk manuskrip besar seperti Sejarah Melayu serta kitab-kitab awal berkaitan agama Islam.
"Kitab-kitab berkaitan hukum hakam agama ini kebanyakannya ditulis oleh ulama Nusantara sebelum manuskrip berkenaan dibawa ke negara luar untuk simpanan serta kajian.
"Saya kira, terdapat ribuan manuskrip alam Melayu masih berada di beberapa negara seperti United Kingdom dan Belanda ketika era kolonial dahulu," katanya kepada Metro Ahad.
Dr Mohd Syukri berkata, wujud juga simpanan manuskrip yang besar di Muzium Topkapi kerana alam Melayu mempunyai pertalian sejarah dengan kerajaan daulah Uthmaniyyah.
"Sebenarnya, terdapat ribuan lagi manuskrip Melayu yang masih tersimpan dan tidak keterlaluan jika saya menganggarkan puluhan ribu.
"Ada manuskrip yang masih belum dikatalogkan lagi oleh penyimpan seperti muzium di sesebuah negara.
Pengkaji tempatan memerlukan kaedah khusus untuk melaksanakan kajian terhadap khazanah kita.
"Jika ada rundingan di peringkat kerajaan kepada kerajaan (G2G), pastinya kita dapat membawa pulang sebahagian besar manuskrip ini namun kita tidak begitu agresif ke arah objektif berkenaan," katanya.
Gesa wujud Pusat Manuskrip Melayu
Pusat Manuskrip Melayu perlu diwujudkan bagi memartabatkan sejarah warisan bangsa sekali gus menyangkal dakwaan bahawa bangsa Melayu lemah dan ketinggalan.
Itu cadangan Pengerusi Majlis Penasihat Peradaban Melayu, Prof Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar berhubung ribuan manuskrip alam Melayu yang bertebaran di seluruh dunia.
Abdul Latiff berkata, sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan satu institusi khusus yang mengumpul, menyimpan serta melaksanakan kajian berhubung manuskrip lama.
"Saya sendiri pernah melihat beberapa manuskrip alam Melayu yang tersimpan di beberapa negara luar dan ia satu perasaan yang amat menggembirakan apabila melihat ketinggian warisan Melayu suatu ketika dulu.
"Wujud beberapa kaedah untuk kita bawa pulang manuskrip ini, antaranya jika tidak boleh kita ambil manuskrip asal, mungkin kita boleh buat salinan atau menerusi simpanan digital.
"Semua manuskrip ini perlulah diletakkan di suatu institusi khusus dan untuk itu saya berpandangan bahawa kewujudan Pusat Manuskrip Melayu adalah sangat penting," katanya.
Beliau berkata, pusat berkenaan perlu juga mendapat kerjasama daripada Perpustakaan Negara (PNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memiliki kepakaran dalam pengkajian manuskrip.
Menurutnya, setiap manuskrip ini mempunyai nilai tersendiri termasuklah cerita rakyat yang turut tersimpan di negara luar kerana setiap ciri berkenaan memberi gambaran kehidupan masyarakat ketika itu.
"Saya juga amat yakin, banyak lagi manuskrip yang mungkin tidak dikatalogkan di beberapa muzium utama dunia seperti di Belanda, Itali dan United Kingdom.
"Kita bukan mahu menubuhkan pusat ini untuk berbangga dengan sejarah lalu, namun sejarah lalu memberi gambaran siapa kita pada hari ini.
"Malah, dengan kewujudan satu pangkalan data manuskrip Melayu itu, ia akan menguatkan nilai jati diri anak bangsa supaya tidak mudah diperlekeh kononnya kita ketinggalan sedangkan manuskrip berkenaan adalah bukti keupayaan kita suatu masa dulu," katanya.
Bawa pulang warisan negara
Usaha untuk membawa pulang manuskrip alam Melayu termasuk kaedah untuk menyimpan salinan berkenaan, perlu dilakukan kerana ia adalah khazanah penting negara.
Aktivis Kebudayaan dan Pengasas Pusaka, Eddin Khoo berkata, negara asing sangat berminat dengan manuskrip ini kerana mereka boleh mengetahui adat budaya Melayu termasuk latar belakang sejarah suatu ketika dulu.
Beliau yang juga anak kepada Tokoh Sejarah Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, khazanah negara ini perlu dibawa pulang untuk kajian mendalam berhubung pelbagai bidang.
"Kita sudah mempunyai kepakaran dalam aspek penyimpanan arkib lama malah kita juga boleh melaksanakan dokumentasi digital bahan ini.
"Bagaimanapun, kita seakan kurang agresif untuk membawa pulang manuskrip ini dan hanya menilai manuskrip itu hanya buku-buku lama sedangkan terdapat ilmu pengetahuan yang bernilai di dalamnya.
"Jika ia sekadar buku lama, pastinya negara barat tidak berminat untuk menyimpannya malah banyak naskhah manuskrip alam Melayu yang dikaji oleh sarjana barat," katanya.
Menurutnya, ia memberi gambaran bahawa manuskrip ini mempunyai nilai yang tersendiri dan pengkaji tempatan perlu diberikan ruang untuk mengkaji khazanah negara ini.
"Apa yang saya tahu, kebanyakan manuskrip ini disimpan di British Library hasil koleksi beberapa tokoh sarjana barat seperti Stanford Raffles dan beberapa orang lain," katanya.
"Jika ada ruang yang diberikan oleh kerajaan untuk berunding dengan pihak beberapa muzium, pasti kita dapat membawa pulang manuskrip ini atau mempunyai salinan digital yang boleh digunakan untuk kajian lanjut," katanya.
Kredit & Sumber :
▪️
Hmetro Ahad dan Muhammad Saufi dan Nor ‘Asyikin Mat.
#Lovers Of the World Military & Defence
@everyone

Copy and paste:
27/2/2025: 12.32 p.m

Saturday, 22 February 2025

KISAH J.W.W. BIRCH DI SELANGOR DAN PEMBUNUHANNYA DI PERAK

Sumber: FB Selangor Gazette

Tahukah anda, James Wheeler Woodfort Birch atau dikenali sebagai J.W.W. Birch adalah seorang anggota tentera laut British dan telah menjalankan beberapa tugas pentadbiran sebelum ditugaskan sebagai wakil kerajaan British di negara kita? Antara jawatan yang pernah disandang oleh J.W.W. Birch ialah:
- Pesuruhjaya Jabatan Jalanraya, Ceylon (1846)
- Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jaffna (1852)
- Majistret Polis di Jaffna (1853)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan Trincomalee (1854)
- Hakim Daerah Batticaloa (1856)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Batticaloa (1862)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Ratnapura (1864)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Hambantota (1866)
- Pemangku Wakil Kerajaan dan Pemungut Cukai, Wilayah Timur India (1868)
- Setiausaha Kolonial, Negeri-Negeri Selat (1870)
- Residen British Pertama di Perak (1874)
Semasa menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Selat (1871), satu rundingan telah diadakan di antara Sultan Abdul Samad, J.W.W. Birch dan Tengku Kudin di Istana Jugra, Selangor. Rundingan ini diadakan bagi mengesahkan semula perlantikan Tengku Kudin sebagai wakil Yamtuan bagi mentadbirkan segala hal ehwal seluruh negeri Selangor yang telah dibuat oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1868.
Perlantikan 1868 telah menyebabkan berlakunya peperangan di Selangor dan membawa kepada campur tangan Inggeris. Dalam rundingan ini juga Sultan Abdul Samad telah menyerahkan surat kuasa perlantikan tersebut kepada Tengku Kudin dan disaksikan oleh J.W.W. Birch dan C.J. Irving. Dengan perlantikan ini, J.W.W. Birch telah memberi pengakuan bahawa pihak Inggeris akan memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada Tengku Kudin untuk mengamankan negeri Selangor.
Hasil dari rundingan dan perlantikan ini telah memberikan kuasa kepada Tengku Kudin memerintah daerah-daerah pantai Selangor iaitu dari Kuala Selangor hingga ke Jugra dan Kuala Lumpur serta sekitarnya. Namun, pada tahun 1878 Tengku Kudin telah berhenti dari jawatan ini.
Pada tahun 1874 pula, J.W.W Birch telah dilantik sebagai Residen British pertama di Perak. Namun, atas sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas, pada 2 November 1875, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak, Kampung Gajah. Kerani J.W.W. Birch, Mat Arshad juga turut dibunuh dalam peristiwa tersebut.
Satu perbicaraan telah diadakan di Bandar Baru, Perak ke atas Si Putum, Che Gondah dan Ngah Ahmad yang dituduh membunuh Residen British di Perak, J.W.W. Birch. Ketiga-tiga orang yang dituduh itu telah dibicarakan di hadapan Raja Deris yang dilantik oleh Sultan Abdullah untuk menghakimkan perbicaraan itu.
Terdapat empat orang saksi yang mengaku telah melihat pembunuhan tersebut iaitu Hamid, yang bekerja sebagai pencuci sampan J.W.W. Birch, Kok Ah Yong, seorang peniaga emas, Mat Tahir, seorang pendayung sampan dan Ho Ah Choy, tukang masak Kok Ah Yong. Keempat-empat saksi tersebut bersumpah bahawa mereka melihat Si Putum menetak J.W.W. Birch, manakala Che Gondah dan rakan-rakannya menyerang J.W.W. Birch.
Akhirnya setelah mendengar keterangan saksi-saksi tersebut, Raja Deris telah mengumumkan ketiga-tiga yang dituduh bersalah dan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Si Putum dan hukuman penjara seumur hidup ke atas Che Gondah dan Ngah Ahmad . Si Putum telah dihukum gantung pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru.
Sumber: Arkib Negara

Copy and paste:
22/2/2025: 1.57 p.m

ASAL USUL KUALA KUBU BHARU, SELANGOR

Sumber: FB Selangor Gazette

Sejak awal abad ke 18 lagi Kuala Kubu asalnya dikenali dengan nama Hulu Selangor dan telah menjadi satu kawasan yang amat penting untuk aktiviti perlombongan bijih timah.
Orang-orang melayu tempatan disana mula memikirkan satu cara yang paling mudah untuk mendapatkan bijih timah lantas mereka telah memutuskan untuk membina sebuah empangan untuk merentasi Sungai Kubu pada sekitar tahun 1780.
Bayangkan pada waktu itu tanpa bantuan teknologi moden seperti hari ini, orang-orang melayu dengan bantuan orang asli berjaya membina empangan kukuh yang sepanjang 1.6 kilometer dan mempunyai lebar 90 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah.
Apabila empangan mula penuh, air yang melimpah telah disalurkan untuk menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih akan tercampak ke dalam arus deras ini.
Konsepnya adalah lumpur dan tanah akan hanyut dibawa arus deras manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali kemudian hari.
Perang saudara di Selangor juga turut menyaksikan kawasan Kuala Kubu menjadi kawasan pertahanan dan kubu kuat buat Sayyid Masyhor yang merupakan sekutu kepada Raja Mahadi.
Sayyid Masyhor dikatakan telah berjaya mengumpulkan seramai 2,500 orang angkatan perang dan pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Sayyid Masyhor tetapi gagal.
Ada teori yang menyatakan bahawa dari kubu-kubu yang dibina oleh Sayyid Masyhor inilah Kuala Kubu mendapat namanya. Sayyid Masyhor hanya dapat dikalahkan oleh pasukan perang dari Pahang yang diminta oleh Tengku Kudin untuk menyerang Kuala Kubu.
Akhirnya Sayyid Masyhor berundur dan mendapat perlindungan di Istana Perak. Maka selepas kekalahan Sayyid masyhor yang berlaku sekitar awal dalam tahun 1870, Kuala Kubu atau Hulu Selangor telah menjadi jajahan bawah pentadbiran Pahang.
Tengku Kudin telah menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang dan untuk membayar perbelanjaan perang yang telah dikeluarkan dahulu oleh Pahang.
Beberapa tahun selepas Inggeris menjadi penjajah selangor, Kuala Kubu mendapat perhatian mereka kerana kekayaan hasilnya. Sebab itulah mereka menghantar Cecil Ranking sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor.
Cecil Ranking melihat bahawa terdapat potensi besar yang ada di Kuala Kubu dan tanpa berlengah lagi, beliau telah mengesyorkan pihak Inggeris supaya membina bandar baru yang lebih tersusun di Kuala Kubu untuk memaksimakan potensi ekonominya.
Sebelum sempat melihat Kuala Kubu jadi bandar, empangan yang sudah berusia lebih 100 tahun itu pecah melimpah dan Cecil Ranking telah mati lemas dalam bencana banjir besar yang melanda.
Tragedi ampang pecah itu tidak melemahan semangat Inggeris untuk membangunkan bandar Kuala Kubu. Mereka telah menjadikan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Hulu Selangor lengkap dengan pejabat daerah, hospital dan rumah-rumah pegawai.
Kuala Kubu pernah menjadi pintu masuk utama untuk ke negeri Pahang apabila jalan bridle path ke Raub telah siap diperbaiki. Sewaktu terjadinya pemberontakan pahang, Kuala Kubu menjadi pintu utama untk menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.
Dalam tahun 1896, satu kawasan peranginan untuk pegawai-pegawai serta saudagar telah dibina di atas Bukit Kutu berhampiran dengan bandar Kuala Kubu.
Aktiviti perlombongan bijih timah yang sangat giat dijalankan di Hulu Sungai Selangor akhirnya telah membawa padah yang besar bagi bandar Kuala Kubu.
Kesan sampingan yang terpaksa dihadapi adalah hakisan tanah yang teruk telah berlaku dan telah mengakibatkan pasir dan lumpur telah turun hanyut meliputi bandar Kuala Kubu setiap kali banjir besar berlaku.
Dalam tahun 1900 sehingga 1931, telah berlaku siri banjir-banjir besar yang bukan sahaja mengakibat kerugian harta benda, tapi menimbuskan sebahagian bandar Kuala Kubu dengar timbunan lumpur dan pasir.
Oleh yang demikian, Kuala Kubu tidak lagi selamat untuk diduduki bagi aktiviti ekonomi dan dalamtahun 1921, Pihak Berkuasa Tempatan kerajaan inggeris..
eris telah mengistiharkan bahawa mereka tidak lagi dapat menjamin keselamatan penduduk Kuala Kubu lalu menggesa mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Masalah banjir ini menjadi begitu kronik sehingga pada tahun 1921 dan pusat pentadbiran Kuala Kubu dipindahkan ke Rasa. Dalam pada masa yang sama, pihak Inggeris telah merancang kawasan baru yang lebih tinggi dan selamat dari banjir bagi membangunkan bandar Kuala Kubu yang baru.
Mereka telah menggunakan khidmat seorang arkitek yang berasal dari New Zealand bernama Charles Compton Reade, untuk mereka pelan bandar yang baru. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 telah mempercepatkan lagi proses bagi membina bandar baru ini.
Akhirnya bandar ini pada asasnya telah siap dibina dalam tahun 1930 di mana pusat pentadbiran dipindahkan semula dari Rasa ke Kuala Kubu yang baru. Namun masih ada lagi penduduk tempatan di Kuala Kubu yang masih enggan berpindah ke Kuala Kubu Bharu ini kerana mata pencarian dan perniagaan mereka terletak di kawasan lama ini.
Dalam tahun 1931, berlaku satu lagi peristiwa banjir besar di mana akibatnya Kuala Kubu lama terus ditinggalkan oleh penduduknya ditelan pasir dan bumi.
Maka segala sejarahnya yang gilang gemilang sebagai bandar kolonial Inggeris yang makmur di Selangor telah terkubur di dalam tanah sehinggalah pada awal 1980 yang mana berlakunya penempatan dan pembangunan semula kawasan Kuala Kubu Lama dan Ampang Pecah ini.

Copy and paste:
22/2/2025: 1.52 p.m


KISAH BATU BELAH BATU BERTANGKUP

Sumber: FB Selangor Gazette

Sebuah kisah lagenda yang terkenal buat masyarakat Melayu, khususnya di Malaysia. Batu Belah Batu Bertangkup mendapat nama sempena sebuah bongkah batu besar yang pada lagendanya mempunyai ruang mulut yang ternganga dan terbuka seperti sebuah gua atau batu terbelah dua, namun mengeluarkan suara yang kuat dan menyeramkan, dikatakan ia telah menelan ramai manusia yang memuja-mujanya untuk dimakan dan ditelan.
Penulis Abdul Samad pernah telah menulis buku mengenai Batu Belah Batu Bertangkup (1936).
Khabarnya, gua Batu Belah Batu Bertangkup terletak di Kampung Batu Belah, Kapar, Klang. Lebih tepat lagi di sebidang tanah kini dijadikan kompleks Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah. Menurut sisipan Jurnal, akhbar kontemporari Malaysia, Kosmo, bertarikh 13 November 2011, halaman 46. Wartawan Kosmo iaitu Megat Lutfi Megat Rahim telah menemubual salah seorang guru sekolah agama berkenaan iaitu, Cikgu Mohd. Faeez Mohd Yassin, 32, tentang nasib yang berlaku pada batu yang dimaksudkan itu. Menurut guru tersebut, tiada lagi bongkah batu besar yang boleh ditemui di kawasan sekolah itu melainkan saki-baki batu yang bersaiz kecil yang kini mejadi milik persendirian, ini kerana bongkah batu besar itu telah diletupkan (dibomkan) bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan sekolah baharu.
Dalam temubual yang sama, wartawan Kosmo itu juga telah mendapatkan maklumat lebih mendalam tentang Batu Belah Batu Bertangkup dari Ketua Kampung Batu Belah, iaitu Encik Salim Hassan, 64 tahun. Menurutnya, memang wujud bongkah batu yang besar di kawasan sekolah tersebut, namun batu itu terpaksa diletupkan kerana memberi laluan kepada pembinaan sekolah, lagipun batu itu sukar untuk dialihkan kerana saiznya yang begitu besar dan berat.
Pada awal tahun 1950-an, berdekatan batu besar itu juga terdapat sebuah kolam air semula jadi dengan struktur batu terbelah setinggi 2 meter pada lebar dan panjang bersaiz sama. Kolam air itu sering dijadikan sumber mendapat bekalan air seharian dan menjadi tempat bermandi-manda kanak-kanak kampung. Namun menurut Salim, tiada sebarang kejadian aneh berlaku disitu sepanjang hematnya bermandi-manda disitu. Cuma yang agak menghairankan adalah bentuk batu itu seaka-akan mulut manusia atau hidung manusia. Serta dalam jarak 500 meter radius dari bongkah batu tidak terdapatnya sebarang tumbuh-tumbuhan, serangga mahupun haiwan sedangkan kelilingnya dipenuhi hutan hujan yang tebal.
Batu Belah tersebut menurut Salim, telah mengalami 3 kali sesi letupan besar, pertama pada zaman British, diletupkan kerana terdapat aktiviti pemujaan batu beserta colok ditemui disekitarnya, kedua, ketika era penjajahan Jepun, bagi memberi laluan untuk pembinaan jalanraya, dan terakhir pada tahun 2006, dimana diletupkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu sekolah agama tersebut.
Walaupun sebanyak 3 kali letupan dibuat, sisanya sehingga sekarang masih wujud tetapi dalam saiz-saiz yang agak kecil dan dialihkan ke kawasan lapang berhampiran sekolah. Pihak kontraktor sekolah pernah menawarkan untuk membina sebuah monumen sejarah berkenaan lokasi batu belah tersebut dan sejarahnya menggunakan batuan asal yang telah diletupkan, namun projek RM10,000 itu tidak dijalankan kerana mendapat bantahan kerana kos yang tinggi dan mengelakkan pemujaan.
Sebagai usaha lanjutan bagi memperingati nilai sejarah kawasan terbabit, terdapat 2 buah taman perumahan di pekan Kapar diberi nama sebagai Taman Bunga Melur dan Taman Seri Pekan sempena nama Si Bunga Melur dan Si Pekan. Lokasi kisah Batu Belah itu juga pernah dijadikan tempat bersejarah di bandar Klang diantara tahun 1980 hingga 1990.
Sumber : kosmo

Copy and paste:
22/2/2025 : 1.49 p.m

 


Friday, 21 February 2025

WEARNE'S AIR SERVICE - EARLY MALAYAN AIRLINE

RESOURCE: HISTORY INSIGHTS - MALAYSIA

Wearne's Air Service (WAS), established in 1937, was an early Malayan airline.
Based in Kallang Airport, Singapore, it emerged as one of the earliest airlines in the region. WAS operated a diverse range of air services, including scheduled passenger flights, charter operations, aerial photography, land surveying, cargo and air mail transportation. Additionally, the airline is alternatively referred to as Wearne's Air Services or Wearnes Air Services.
The inception of Wearne's Air Service dates back to 1906, initiated by Australian siblings Charles Frederick Foster Wearne and Theodore James Benjamin Wearne. Their establishment, C.F.F. Wearne & Company, initially concentrated on the automotive sector, evolving into Wearne Brothers Limited by 1912. Specialising in renowned automobile brands including Oldsmobiles, Rolls-Royces and Fords, the company diversified its operations to encompass motorized services throughout Southeast Asia. In tandem with this expansion, subsidiary automotive companies were established to manage Wearne's various agencies, starting with Malayan Motors.
In 1929, the aspiration for air transport took root when Charles Wearne envisioned providing air services in Malaya. To realise this dream, he imported an Avro Avian plane to be assembled by the mechanics at Malayan Motors. The unveiling of the plane at Malayan Motors' showroom generated significant interest, marking a significant step towards the realization of Charles Wearne's vision.
A crucial development unfolded with the establishment of Kallang Airport in 1937. This new aviation hub not only provided essential infrastructure but also played a pivotal role in laying the groundwork for the emergence of local airlines. Inspired by a vision for airborne transportation, Charles Wearne turned his attention to aviation, ultimately leading to the Wearne's Air Service.
On June 28, 1937, WAS achieved a significant milestone with the commencement of its first official service. Utilizing the DH.89 Dragon Rapide aircraft, the flight traversed from Singapore to Penang with a stop in Kuala Lumpur. Beyond its role in transporting airmail, the inaugural service also accommodated several passengers.
In a subsequent phase of development, WAS expanded its services to Alor Setar, inaugurating a weekly Saturday flight from April 2, 1938. Simultaneously, the airline broadened its network by introducing a daily flight to Ipoh later that year. The airline had aspirations to enhance its network even more by including Johore, Port Swettenham and Setiawan among its growing list of destinations.
Impressed by the efficiency of Wearne's Air Services, the government has deemed it justifiable to provide financial assistance to maintain the service.
Wearne's Air Service underwent a significant shift in its trajectory when the government assumed control of the airline just before the Japanese attack on Malaya in 1941.
Despite the cessation of military control after the war in 1945, the airline did not resume its services, marking the closure of an era in Southeast Asian aviation history.
Source and image credit: Wikipedia

Copy and paste:
21/2/2025: 10.33 p.m

Monday, 17 February 2025

KEZALIMAN TENTERA SALIB YANG TAK TERBAYANG DEK AKAL MANUSIA

Oleh : Helmi Effendy
The Patriots : 17/2/2025

Perang Salib sering digambarkan oleh Barat sebagai perjuangan suci untuk merebut kembali Baitulmaqdis, tetapi di sebalik propaganda ini tersembunyi kezaliman yang tidak terperi. Sepanjang 1096 hingga 1291, tentera Salib melancarkan siri peperangan yang dipenuhi pembunuhan beramai-ramai, perbuatan keji terhadap wanita dan kanak-kanak, serta penghancuran tamadun Islam dan Kristian Timur.
Ketika Perang Salib Pertama tiba di Baitulmaqdis pada 15 Julai 1099, tentera Salib yang dipimpin oleh Godefroy de Bouillon melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap lebih 70,000 penduduk Muslim dan Yahudi. Catatan sejarah menyatakan bahawa darah mengalir setinggi buku lali di dalam Masjid Al-Aqsa akibat keganasan mereka.
Sejarawan Barat sendiri mengakui kezaliman ini. Fulcher of Chartres, seorang penulis Latin, menulis:
"Para tentera memancung musuh-musuh mereka di jalan-jalan, menyembelih lelaki, wanita, dan kanak-kanak tanpa belas kasihan."
Selain itu, ramai wanita Muslim dan Yahudi diperkosa dan diseksa sebelum dibunuh, menunjukkan betapa ganasnya penaklukan ini.
Sebelum tiba di Baitulmaqdis, tentera Salib telah membunuh ribuan penduduk Kristian Ortodoks di Anatolia (Turki) dan Eropah Timur. Bandar-bandar Kristian di Balkan dan Konstantinopel turut dijarah dan dibakar, membuktikan bahawa perang ini bukan sekadar antara Kristian dan Islam, tetapi juga penindasan sesama Kristian.
Juga, kita perlu tahu bahawa salah satu perang salib yang digerakkan ialah melawan saudara Kristian mereka sendiri apabila mereka telah menjarah Konstantinople seteruk-teruknya. Antara kezaliman mereka di Konstantinopel termasuk:
• Pembunuhan ribuan penduduk Kristian Ortodoks, termasuk paderi dan rahib.
• Rogol dan penyeksaan terhadap wanita, termasuk rahib dalam gereja.
• Pencurian khazanah gereja dan perpustakaan.
• Pembakaran biara dan gereja, termasuk Hagia Sophia, gereja terbesar Kristian pada waktu itu.
Paus Innocent III sendiri mengecam tindakan ini, menyifatkan ia sebagai dosa besar yang tidak boleh dimaafkan. Namun, kerosakan sudah berlaku – Empayar Byzantine tidak pernah pulih sepenuhnya dan akhirnya jatuh kepada Uthmaniyah pada 1453.
Dalam serangan ke atas Tripoli (1109) dan Antiokhia (1098), tentera Salib membunuh lebih 100,000 orang Islam dan Kristian Ortodoks. Di Tripoli, mereka membakar ribuan manuskrip ilmu Islam, termasuk kitab-kitab sains dan perubatan yang berharga.
Di Antiokhia, Bohemond I memerintahkan pemenggalan kepala lebih 16,000 Muslim dalam satu malam, menjadikannya salah satu pembunuhan beramai-ramai terbesar dalam sejarah Perang Salib.
Dalam Perang Salib Ketiga (1189-1192), Richard the Lionheart mengkhianati perjanjian dengan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dan memerintahkan pembunuhan lebih 2,700 tawanan Muslim di Akka. Mereka dipancung dan dibakar hidup-hidup, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Begitulah secara ringkas kisah betapa zalimnya tentera salib yang menjual agama, bahkan bukan sahaja berlaku zalim pada orang Islam dan Yahudi, tetapi kepada pengganut Kristian itu sendiri!
Kalau anda nak mendalami lebih dalam sejarah Perang Salib, kami nak cadangkan buku terbaru kami iaitu PALESTIN: DARI SUNGAI KE SEGARA tulisan saudara Ayman Rashdan Wong yang anda boleh dapatkan di: https://s.shopee.com.my/60BgpX7Sw

Copy and paste:
17/2/2025: 10.36 a.m

Sunday, 16 February 2025

BLACK HAWK DOWN - BATALION KE 19 REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA.

Posted by Maisara Afrienna Umairinz
14 January 2022
KISAH & SEJARAH

Black Hawk Down, Mogadishu 1993 - 19th Battalion Royal Malay Regiment in Joint Rescue Operation
"The sight of Americans and Malaysians locked in soldierly embrace at the battle's end is one I will never forget. It was my honour and privilege to be in command of this coalition task force of this day. Truly the MALBATT more than lived up to its motto - Tigers. Displaying the utmost discipline, patience, determination and courage. No commander should have asked for more."
With Deepest Respect
Lt. Col Wlliam C. David
HQ, 2nd Battalion, 14th Infantry Regiment
Begitulah antara kandungan surat penghargaan bertarikh 9 Oktober 1993 dihantar kepada Kol. Abdul Latif atas penglibatan anggota-anggota dari Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam insiden yang lebih dikenali sebagai "Black Hawk Down".
Pada 3 Oktober 1993, satu kompeni US Rangers telah menjalankan Operasi Gothic Serpent secara sendirian dengan bantuan helikopter Quick Reaction Force (QRF) disekitar kawasan Bakara Market. Objektif operasi ini adalah menangkap 2 orang kuat General Aidid yang sedang bermesyuarat. Pasukan ini dinamakan Task Force Ranger dan terdiri dari unit-unit berikut:
Kompeni Bravo, Batalion ke-3, 75th Ranger Regiment, US Army
C Squadron, 1st Special Forces Operational Detachment (Delta Force)
Batalion Pertama, 160th Special Operations Aviation Regiment
krew-krew dari Air Force Combat Controllers dan Pararescue
komando SEAL dari Naval Special Warfare Development Group
Ketika operasi sedang berjalan, 2 buah helikopter UH-60 Black Hawk telah ditembak jatuh di Rujukan Grid 365263 dan 363265. Kumpulan bersenjata General Aideed bertanggungjawab menembak helikopter tersebut. Sehingga jam 1630 dilaporkan 70 anggota Rangers dan 5 krew udara terperangkap dilokasi tersebut.
Pada 4 Oktober 1993 MALBATT (Malaysian Battalion) telah diletakkan didalam keadaan siap-sedia serta merta mulai jam 1755, sejurus selepas dimaklumkan akan turut serta didalam misi menyelamat di timur Pasar Bakara. Setengah jam kemudian, Markas UNOSOM II sekali lagi menghubungi Lt. Kol Mohd. Rozi meminta MALBATT menyediakan satu kompeni lagi bagi misi menyelamat tersebut.
Lebih kurang jam 6.45 petang, Kompeni A, Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah tiba di New Port. Ketika itu, Pegawai Gerakan Mejar Mohd. Arif Shafie dan Kompeni B, 19 RAMD telah berada disitu. Anggota-anggota dari Batalion ke-2, 14th Infantry Regiment, 2nd Brigade, Task Force 10th Mountain Division, US Army sampai kira-kita jam 9 malam, manakala Komander QRF Col. Lawrence E. Casper tiba setengah jam kemudian.
Dalam perbincangan seterusnya, Komander QRF meminta MALBATT menurunkan kesemua anggota sebuannya dan digantikan dengan oleh anggota dari Batalion ke-2, 14th Infantry Regiment didalam setiap APC yang telah MALBATT sediakan. Hanya para pegawai, ketua kenderaan, penembak belakang, pemandu dan jururadio dikekalkan dalam setiap APC bagi memudahkan komunikasi. Seramai 11 pegawai dan 102 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam gerakan bersama ini. Baki 134 anggota telah diarahkan pulang ke Kem Lapangan Terbang, Mogadishu. Untuk makluman, anggota komando dari 11 Rejimen Gerak Khas juga terlibat semasa menyelamatkan krew helikopter Super 6 - 1.
Leftenan Kamal Idris selaku ketua platun, terpaksa memilih anggota yang akan mengikuti misi tersebut kerana tidak semua anggotanya dapat turut sama setelah berlaku perubahan rancangan sebagaimana yang dikehendaki oleh Komander QRF.
"Saya hendak pergi bertempur, siapa yang hendak menuruti saya biar kita pergi dan mati sekali, kalau kita dapat balik, bertuahlah!" katanya Lt. Kamal kepada anak buahnya. Kesemua anggota bujang termasuk 3 ketua seksyen yang telah berkahwin sedia untuk mengikut misi tersebut. Lt, Kamal kemudian memilih anggota yang bujang sahaja, tindakan ini dibantah oleh lain-lain anggota yang telah berkahwin. Mereka berpendapat kebanyakan anggota bujang masih baru dan tidak cukup pengalaman, tetapi Lt. Kamal menerangkan dia tidak sampai hati hendak membawa anggota yang sudah berkahwin, mentelah lagi, inilah masa yang sesuai untuk anggota-anggota baru mendapat pengalaman bertempur.
Kol. Casper telah membahagikan pasukan penyelamat seperti berikut:
Combat Team Charlie - (Kompeni A) - menggunakan kesemua 14 APC Condor dan 2 kenderaan Platun Anti-Kereta Kebal membawa anggota Kompeni C, 2nd Battalion, 2nd Brigade, 14th Infantry Regiment, 10th Mountain Division
Combat Team Alpha - (Kompeni B) - membawa anggota Kompeni A, 2nd Battalion, 2nd Brigade, 14th Infantry Regiment, 10th Mountain Division
Pergerakan masuk:
Mengikut perancangan, pergerakan didahului oleh Trup Kereta Kebal Pakistan (19th Lancers) diikuti oleh Combat Team Alpha, Bravo dan Charlie. Bagaimanapun, apabila hendak memulakan pergerakan Trup Pakistan enggan mendahului konvoi dengan alasan mereka tiada alat pandang malam. Mejar Rashid kemudian memaklumkan kepada Trup Pakistan kenderaan MALBATT juga tiada alat pandang malam. Akhirnya Trup Pakistan memberitahu mereka tidak mendapat kebenaran dari Pemerintah Briged mereka untuk melaksanakan tugas pada malam itu. Trup Pakistan bersetuju untuk mengiringi sehingga ke Strong Point 69 sahaja
Konvoi meninggalkan New Port menuju ke objektif melalui Strong Point 73, Strong Point 69 dan Strong Point 207 kemudian ke National Street untuk sampai ke sasaran. Konvoi tiba di Strong Point 207 pada jam 0238, 4 Oktober 1993. Disini, setiap Combat Team akan berpecah menuju objektif masing-masing.
Pertempuran: Combat Team Alpha
Condor bernombor ZA 9647 yang mendahului Combat Team Alpha, dipandu oleh Pbt. Rizal Ismail, diketuai oleh L/Kpl Md. Nayan Ismail dan L/Kpl Abdullah Din sebagai penembak belakang. Mereka diarahkan membelok ke kanan setelah melintasi satu lampu isyarat, tidak berapa jauh dari Strong Point 207. Bermula saat itulah kenderaan APC MALBATT telah diserang dengan tembakan pelbagai senjata, dari sejata ringan, heavy machine-gun sehinggalah RPG (Rocket Propelled Grenade). L/Kpl Abdullah membalas tembakan sehinggalah senjatanya mengalami kerosakan. Dia kemudiannya membantu menyambung peluru untuk digunakan oleh L/Klp Md. Nayan. Ketika itulah ZA 9647 terkena tembakan RPG dan mencederakan L/Kpl Md Nayan dan pemandu Pbt. Rizal Ismail. APC tersebut rosak dan kesemua anggota infantri keluar mengambil perlindungan disebuah rumah kosong kira-kira 30 meter dari kenderaan itu.
ZA 9582 berhenti apabila nampak kereta perisai dihadapannya (ZA 9647) terkena tembakan RPG. Ia juga menjadi sasaran tembakan militia dan tayar hadapannya meletup terkena tembakan. Sejurus anggota-anggota infantri keluar dari ZA 9582, sebutir peluru RPG membolosi dinding belakang Condor ini dan melumpuhkan sistem persenjataannya. Kpl Manaf Mohammad (ketua kereta) dan L/Kpl Rosdi Abdullah (pembantu gunner) cedera ringan terkena serpihan RPG. Kesemua krew berlari keluar dan selang seketika, bahagian hadapan Condor itu kena tembakan RPG dan kenderaan itu terus terbakar.
Lt. Zunaidi Hassan yang mengetuai ZA9435 mengarahkan pemandunya Pbt. Abdullah Aziz memotong dua buah kereta kebal Pakistan dihadapannya dan membuka sportlight untuk mencari ZA 9647 dan ZA 9582 yang telah ditembak itu. Disamping itu, Lt Zunaidi mengarahkan 2 kereta perisai dibelakangnya (ZA 9421 dan ZA 9422) meneruskan perjalanan ke objektif.
Pbt. Rizal yang cedera parah berada selama sejam didalam ZA 9647 sebelum dikeluarkan oleh seorang anggota Ranger. Dia dibawa kesebuah rumah kosong dan dirawat oleh Tentera Amerika setelah setengah jam disitu. Ketika itu dia terasa sesuatu yang terlalu dingin masuk melalui kedua hujung kakinya dan bergerak perlahan-lahan naik ke paras pinggang. Di saat itu dia tidak lagi dapat melihat dan sukar untuk bernafas. Rasanya ajal sudah sangat hampir, tetapi tiba-tiba sebutir mortar telah meledak dihadapan rumah tersebut, dia dapat merasakan dingin tadi mula menurun ke kaki dan beransur hilang. Tiba-tiba dia rasa yakin untuk terus hidup setelah dapat bernafas kembali.
Combat Team Bravo - baki anggota Ranger menaiki kenderaan Humvee
Objektif:
Combat Team Alpha - diarah pergi ke objektif sebelah kanan bagi menyelamatkan 70 anggota Rangers yang terperangkap
Combat Team Charlie - diarahkan menyelamat juruterbang dan krew helikopter QRF disebelah kiri
Combat Team Bravo - ditugaskan membantu kedua-dua Combat Team Alpha dan Charlie
Ketua Kompeni, Mejar Abd. Rashid Ahmad memaklumkan kepada semua ketua kereta perisai agar membalas tembakan dan terus bergerak ke sasaran. Kereta kebal Pakistan telah pun beredar meninggalkan lokasi pertempuran. Mejar Abd. Rashid mengarahkan Platun 6 pimpinan Lt. Muda Khairul Anuar Abd. Aziz (ZA 9389) menggantikan Platun 4 mendahului konvoi. Setibanya dipersimpangan jalan besar, Lt. Muda Khairul Anuar bertanya kepada ketua pasukan Rangers arah manakah harus dituju. Dia mengarahkan Lt. Muda Khairul Anuar melintasi jalan berkenaan dan memasuki lorong tanah merah. Disitu keretanya ditembak dari arah hadapan. Dia membalas tembakan sambil mengarahkan kenderaan belakang berundur. Apabila semua telah selamat berundur, mereka berhenti dan memanggil ketua platun Rangers yang berada diluar APC menunjukkan arah lokasi helikopter itu ditembak jatuh.
Setelah tiba dilokasi dimana 70 anggota Rangers terperangkap, anggota Rangers yang tercedera telah dimuatkan kedalam APC manakala yang telah terkorban diletakkan sahaja diatas kereta perisai itu. Mana-mana anggota yang selamat berjalan mengiringi APC. Mereka kemudian bergerak menuju ke lokasi helikopter yang jatuh itu untuk mengambil mayat krew helikopter tersebut. Mereka berada dilokasi itu kira-kira jam 0100 (4 Oktober 1993). Rangers menggunakan chainsaw untuk memotong badan pesawat sebelum dapat megeluarkan mayat krew helikopter. Pada masa yg sama, pihak militia terus menembak bertubi-tubi. Anggota-anggota Rangers mengabil perlindungan setiap kali mereka ditembak. Kerja-kerja mengeluarkan mayat selesai kira-kira jam 0430.
Pertempuran: Combat Team Charlie
Mejar Ab. Aziz Ab. Latif mengetuai Combat Team Charlie. Konvoi bergerak menurut susunan berikut - Platun 2 mendahului konvoi, diikuti dengan Markas Kompeni dan Platun 1 ditengah-tengah manakala Platun 3 mengekori dibelakang. Konvoi mula diserang pada jam 2340 iaitu sejak di Strong Point 69 lagi. "Macam ini ke berperang?" tanya Prebet Mat Aznan Awang melalui radio. "Ha...macam inilah, hang jaga sikit" jawab L/Kpl Mohd Sabri, ketua kereta ZA 9341 dari Platun 2, Kompeni A. kesemua anggota infantri meminta diturunkan selepas konvoi meninggalkan simpang empat sejauh kira-kira 1000 meter. Konvoi mara sambil membalas tembakan kearah kedudukan militia. Walaupun dihujani peluru dan halangan dijalan, konvoi berjaya tiba di objektif kira-kira jam 0230. Disebabkan APC berada dilorong kecil yang terdapat bangunan disekelilingnya, Mejar Ab. Aziz mengarahkan semua APC merapat ke bangunan. Disebabkan terlalu banyak halangan, konvoi hanya bergerak 100 meter dalam masa sejam setengah.
Ketua platun infantri yang berada didalam kereta Mejar Ab. Aziz meminta untuk diturunkan. Walaupun dihalang oleh Mejar Ab. Aziz kerana tembakan musuh bertubi-tubi, mereka berkeras untuk turun dan cuba membuka pintu. Tiga anggota mereka rebah setelah terkena tembakan semasa hendak keluar dari kereta perisai. Mereka diseret ke longkang berhampiran untuk berlindung.
Ketua Kompeni Rangers, Capt. White Stone yang berada didalam ZA 9357 bersama-sama Kapt. Abd. Latif Ladin terus menerus mengadakan perhubungan dengan juruterbang helikopter di udara bagi mengetahui kedudukan objektif. Helikopter akan memancarkan cahaya yang boleh dilihat dengan alat pandang malam (Night Vision Goggle). Helikopter dapat merapati sasaran setelah ZA 9589 dan ZA 9357 menembak serentak musuh diatas bumbung bangunan 4 tingkat yang sedang mengendalikan senjata anti pesawat udara. Tembakan tersebut telah berjaya meruntuhkan lantai bangunan dan memusnahkan kedudukan militia itu.
Lebih kurang pada jam 0250, ZA 9340 telah terkena tembakan RPG. APC tersebut kelihatan bergegar dan asap putih menyelubunginya. Pintu kiri APC ditembusi RPG dan serpihannya mencederakan L/Kpl Suleiman Aziz. Selain itu, keseluruhan sistem elektrik dan sistem hidraulik APC berkenaan juga lumpuh. Tidak lama selepas itu, ZA 9341 pula kena tembakan RPG. Menurut L/Kpl Mohd Sabri, kenderaannya ditembak dari 3 arah, tembakan dari hadapan menembusi cermin hadapan dan peluru RPG tersebut meletup sehinggakan helmet yang dipakai oleh L/Kpl Mohd Sabri tercampak. Prebet Mat Aznan, pemandu ZA 9341 telah terkorban dalam letupan itu.
Lt. Kol Mohd Rozi berjaya berhububg dengan Mejar Ab Aziz dan memerintahkannya berundur. Dia kemudiannya memberitahu Lt. Kol Mohd Rozi bahawa anggota tentera Amerika masih dikawasan objektif, jikalau dia meninggalkan mereka, mereka akan menjadi sasaran mudah militia. Lagipun sekiranya Mejar Ab Aziz memilih untuk meninggalkan kawasan objektif, belum tentu dia boleh keluar dengan selamat. Lt. Kol Mohd Rozi kemudiannya menyerahkan kepada budi bicara Mejar Ab Aziz untuk membuat tindakan wajar. Mejar Ab Aziz kemudiannya mengarahkan Platun 1 mara kehadapan menggantikan Platun 2 yang hanya tinggal 2 kenderaan dalam keadaan baik.
Pengunduran
Mejar Ab. Aziz menghubungi Kapt. Zawawi bagi membuat koordinasi pengunduran dengan Ketua Kompeni Rangers. Kapt. Zawawi terpaksa keluar mencari Capt. White Stone untuk membincangkan koordinasi pengunduran. Beliau mencapai M16 dan 5 magazin peluru sambil meminta L/Kpl Ahmad Nadzri Husain menyampaikan pesan buat keluarganya seandainya beliau tidak kembali. Sejurus selepas turun dari kereta, beliau menghampiri bangunan berdekatan dan ternampak sebutir peluru RPG menuju kearahnya. Beliau sempat mengambil perlindungan, tetapi peluru itu mengenai 3 orang tentera Amerika dihadapannya. Selepas setengah jam mencari, beliau dapat menemui Capt. White Stone lalu berbincang mengenai koordinasi pengunduran
Setelah berlindung kira-kira 4 jam disebuah rumah kosong, anggota Rangers memberitahu terdapat APC pasukan sahabat kira-kira 1000 meter dari rumah itu. Mereka dibahagikan kepada 3 kumpulan, sekumpulan Rangers berada dihadapan, Anggota Rangers yang cedera bersama 6 anggota MALBATT ditengah dan dibelakang sekali satu lagi kumpulan Rangers. Pbt. Rizal yang cedera parah telah diusung dengan stretcher oleh Kpl Manaf, L/Klp Md Nayan, L/Kpl Abdullah dan Pbt. Mohd. Sabri. Kumpulan mereka diserang, seorang Rangers di kumpulan hadapan cedera parah, manakala Pbt. Rizal tercampak dari stretcher. Anggota Rangers mencampak penanda yang boleh dilihat oleh NVG. Helikopter kemudian memberi bantuan tembakan perlindungan. Setelah sejam disitu, 3 buah APC dari Platun 3, Kompeni A telah sampai untuk menyelamatkan mereka.
Setelah mendapat persetujuan Timbalan Komander MALBATT, Mejar Ab Aziz memohon helikopter memusnahkan APC yang telah rosak kerana tembakan RPG supaya senjata dan peluru yang masih tinggal tidak jatuh ketangan militia. Pengunduran dibuat kira-kira jam 0545 dan pihak militia masih lagi melepaskan tembakan. Semasa konvoi lalu dikawasan perumahan, sebahagian penghuni dilihat sedang merokok dan menggosok gigi dengan selamba diluar rumah. Konvoi bergerak menuju ke Stadium Mogadishu yang merupakan kem tentera Pakistan.
Semasa pertempuran itu, kerosakan aset MALBATT adalah seperti berikut:
3 x Condor dengan GPMG berkembar musnah
1 x Condor dengan 20mm Oerlikon rosak pada tayar
3 x Condor dengan GPMG berkembar rosak pada tayar
Kemalangan jiwa:
Pbt. Mat Aznan bin Awang - terkorban
Kecederaan:
PW2 Rofei bin Jasin
Kpl Manaf bin Mohammad
L/Kpl Suleiman bin Aziz
L/Kpl Mohd Sabri bin Ahmad
L/Kpl Rosdi bin Abdullah
L/Kpl Aziz bin Barakatollah
Pbt. Rizal bin Ismail
Pbt. Noorazam bin Baharom
Tentera Amerika yang terkorban:
MSG Gary Ivan Gordon (1st SOFOD - Delta Force)
SFC Randy Shughart (1st SOFOD - Delta Force)
SSG Daniel D. Busch (1st SOFOD - Delta Force)
SFC Earl Robert Fillmore, Jr (1st SOFOD - Delta Force)
MSG Timothy "Griz" Lynn Martin (1st SOFOD - Delta Force)
CPL James "Jamie" E. Smith (Batalion 3, 75th Ranger Regiment)
SPC James M. Cavaco (Batalion 3, 75th Ranger Regiment)
SGT James Casey Joy (Batalion 3, 75th Ranger Regiment)
CPL Richard W. Kowalewski, Jr (Batalion 3, 75th Ranger Regiment)
SGT Dominick M. Pilla (Batalion 3, 75th Ranger Regiment)
SGT Lorenzo M. Ruiz (Batalion 3, 75th Ranger Regiment)
SSG William David Cleveland, Jr (160th Special Operations Aviation Regiment)
SSG Thomas J. Field (160th Special Operations Aviation Regiment)
CWO Raymond A. Frank (160th Special Operations Aviation Regiment)
CWO Clifton P. Wolcott (160th Special Operations Aviation Regiment)
CWO Donovan Briley (160th Special Operations Aviation Regiment)
SGT Cornell Lemont Houston, Sr (Batalion 2, 14th Infantry Regt, 2nd Brigade, 10th Mountain)
PFC James Henry Martin, Jr (Batalion 2, 14th Infantry Regt, 2nd Brigade, 10th Mountain
Sumber dari militia mengatakan 315 anggota mereka terbunuh dan 812 mengalami kecederaan.

Copy and paste:
16/2/2025: 10.42 p.m