Monday, 24 January 2022

RASULULLAH SAW DALAM AGAMA HINDU


Muhammad bin Abdullah, satu nama yang sangat sinonim dengan umat Islam. Seorang rasul akhir zaman yang diutuskan kepada sekelian makhluk manusia, sememangnya bukanlah tugas yang mudah buat baginda.

Dalam kita memperkatakan tentang kisah baginda, tahukah kalian bahawa ratusan tahun sebelum diutusnya Muhammad kepada sekelian manusia, kedatangannya diramal oleh kebanyakan agama di dunia? Hindu, Buddha, malah Kristian sendiri menceritakan mengenai kedatangan Muhammad, sebagai penyelamat umat manusia.

Pertama, dalam kita memperkatakan mengenai di manakah wujudnya kisah Muhammad, ramalan mengenai Muhammad di dalam ajaran Hindu, kita harus membuka kitab-kitab kuno yang dikarang ketika ribuan tahun dahulu dalam ajaran Hindu. Pengkaji-pengkaji telah menemui petunjuk-petunjuk ramalan yang membawa kita kepada bahawa sebenarnya ianya meramalkan mengenai kedatangan seseorang.

1.) Purana

Purana adalah sebuah kompilasi kisah-kisah yang berkaitan dengan zaman hindu yang menceritakan mengenai apa-ap aperistiwa yang berkait dengan ajaran Hindu. Ianya disusun oleh Mahrishi Vyasa, adalah seorang yang amat dihormati di kalangan penganut Hindu sebagai rishi agung dan seorang yang berilmu.

Di dalam Bhawisyapurana, kita dapat melihat di mana mengenai ramalan-ramalan mengenai kedatangan Muhammad. Ramalan yang menyebut nama Nabi Muhammad ditemui di dalam Prati Sarg Parv III: 3,3, Ayat 5. Mereka merujuk Muhammad dengan gelaran Perkataan Malechha bermaksud seorang lelaki yang berasal dari negara asing dan bertutur bahasa asing.

Lihat di ayat di bawah ini:

"Seorang Malechha (dari negara asing dan bertutur dalam bahasa asing) yang merupakan guru kerohanian akan muncul bersama-sama sahabat-sahabatnya. Namanya adalah Mahamad. Setelah Raja (Bhoj) memandikan Mahadev Arab (dengan keperibadian seperti malaikat) ini, dia mempersembahkan kepadanya hadiah sebagai tanda ketaatannya yang ikhlas dan tanda penghormatannya dan berkata:

'Aku patuh kepadamu '. 'Wahai engkau, kebanggaan manusia, penghuni Arabia. Kau telah mengumpulkan kekuatan yang besar untuk membunuh Syaitan dan kau sendiri telah dilindungi daripada penentang-penentang malechha (penyembah berhala). Wahai engkau, yang merupakan gambar Tuhan Yang Maha Suci, Tuhan yang terbesar, aku adalah hambamu, terimalah aku yang tunduk di kakimu."

"Malechha telah memijak tanah Arabia yang masyhur. Arya Dharma tidak akan ditemui di negara itu. Sebelum itu telah muncul seorang roh jahat yang terseleweng yang telah kubunuh [nota: contohnya Abrahah Al-Ashram, gabenor Yaman yang menyerang Mekah]; dia kini muncul lagi dan dihantar oleh musuh yang gagah. Untuk menunjukkan musuh-musuh ini ke jalan yang benar dan membimbing mereka kepada Mahamad (Muhammad) yang dikenali, yang telah kuberi nama julukan Brahma dan berusaha keras untuk membawa golongan Pishacha ke jalan yang benar.

Wahai Raja! Kau tidak perlu pergi ke negara Pishacha yang tolol, kau akan disucikan melalui kemurahan hatiku di tempat kau diam. Pada waktu malam, dia yang seperti malaikat, manusia yang licik, yang menyamar sebagai Pishacha berkata kepada Raja Bhoj:

"Wahai Raja! Arya Dharma mu telah menang mengatasi agama-agama lain, tetapi menurut perintah 'Ashwar Parmatma (Tuhan, Roh Yang Tinggi), aku akan melaksanakan rukun yang kuat daripada golongan pemakan daging. Pengikut-pengikutku terdiri daripada lelaki yang telah disunatkan, tanpa ekor (di kepalanya), menyimpan janggut, melancarkan revolusi, mengumumkan panggilan sembahyang dan memakan semua yang halal. Dia akan memakan semua jenis binatang kecuali khinzir. Mereka tidak akan mencari kesucian dari pohon suci, tetapi disucikan melalui peperangan. Kerana mereka menentang bangsa-bangsa yang tidak beragama, mereka akan dikenali sebagai Musalman (Muslim). Aku akan menjadi pengasas agama golongan yang memakan daging ini."
(Prati Sarg Parv III: 3,3, Ayat 5)

2.) Atharva Veda

Kuntap Sukt adalah bahagian-bahagian di bab kedua puluh Atahrva Veda, Ia dibaca setiap tahun dalam sembahyang semasa perhimpunan-perhimpunan besar, dan bila mana korban dipersembahkan. Setiap tahun, tujuh belas pundit berkumpul untuk membaca mantra-mantra ini dengan penuh khusyuk. Kuntap Sukt disebut di dalam beberapa kitab-kitab purba Hindu seperti Aitreya Brahmana, Kaushitki Brahmana, Gopath Brahmana, Shankhayana Shraut Sutar, Ashvlayana Shraut Sutar dan Vaitan Sutar.

Mantera ketiga dalam Kuntap Sukt ada menyebut:

"Dia memberikan kepada Rishi Mamah seratus keping wang emas, sepuluh kalungan, tiga ratus ekor kuda dan seribu ekor lembu."

Menurut Dr Vidyarthi, perkataan akar kepada perkataan Mamah adalah Mah yang bermakna yang disanjung tinggi, dihormati, disegani, dibesarkan dan bertaraf tinggi. Perkataan "Muhammad" di dalam bahasa Arab bermaksud "yang dipuji". Di dalam bahasa Sanskrit, banyak nama-nama Muslim yang digunakan dengan sedikit pengubahsuaian. Contohnya, 'Mahmud' Ghaznavi yang memerintah sebahagian daripada India, dipanggil dengan nama 'Mamud' Ghaznavi. Oleh itu, Mamah adalah sinonim dengan Muhammad apabila makna keseluruhan ayat tersebut dipertimbangkan.

Seratus keping wang emas merujuk kepada sahabat-sahabat awal Nabi Muhammad, yang mana lapan puluh daripada mereka berhijrah ke Habsyah untuk melepaskan diri daripada penindasan yang tidak tertanggung. Di dalam Shatpath Brahmana yang merupakan ulasan yang diwahyukan ke atas Yajur Veda, emas adalah digunakan sebagai metafora untuk kuasa spiritual manusia yang tinggi.

Sepuluh kalungan merujuk kepada sepuluh sahabat Nabi Muhammad yang paling rapat yang diberikan berita gembira mengenai syurga oleh Nabi. Umat Islam mengenali mereka sebagai 'Ashra-i-Mubbashshara'. Mereka adalah Abu Bakar (r.a.) , 'Umar, 'Uthman, 'Ali, Talha, Zubair, 'Abdul Rahman bin Auf, S'adbin Abi Waqqas, S'ad bin Zaid, dan Abu 'Ubaidah (moga Allah memberkati mereka). Mereka adalah orang-orang yang disebut di dalam Veda sebagai Dash ashrijah - 'sepuluh jambangan bunga dari syurga'.

Tiga ratus ekor kuda yang bagus (dari baka Arab) merujuk kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad yang berjuang di Badar. (Bilangannya yang tepat adalah 313, tetapi dalam kebanyakan ramalan angka ini digenapkan). Perkataan Sanskrit Arvah bermakna kuda Arab yang pantas, terutamanya yang digunakan oleh golongan Asura (bukan Arya).

Sepuluh ribu ekor lembu merujuk kepada sepuluh ribu sahabat yang mengiringi Nabi semasa pembukaan Mekah. Perkataan Sanskrit 'go' diterbitkan daripada gaw yang bermakna pergi berperang, dan digunakan bagi kedua-dua kerbau dan lembu. Di dalam Veda, kerbau atau lembu digambarkan sebagai simbol peperangan, keamanan dan persahabatan. Kita dapati kedua-dua sifat ini pada sahabat-sahabat Nabi Muhammad. Mereka adalah manusia yang beriman dan pemurah seperti lembu, dan kuat serta perkasa dalam memastikan keamanan dan keadilan.

3.) Sama Veda

Di dalam Sama Veda, II:6, 8 kita dapati:

“Ahmad menerima undang-undang agama (Syariah) daripada Tuhannya. Undang-undang agama ini penuh dengan kebijaksanaan. Aku menerima cahaya daripadanya seperti menerima cahaya dari mentari.”

Seperti mana yang kita tahu, Ahmad adalah nama lain untuk merujuk kepada Muhammad.

4.) Rig Veda

“Pemilik kereta kuda, yang benar dan mencintai kebenaran, yang amat bijaksana, berkuasa dan pemurah, Mamah [Muhammad] telah memilihku dengan kata-katanya. Anak kepada yang Maha Berkuasa, yang memiliki semua sifat-sifat yang mulia, yang mengasihani dunia telah menjadi masyhur dengan sepuluh ribu [sahabat].”

Ini merujuk kepada sepuluh ribu orang sahabat-sahabat Nabi yang menang semasa pembukaan Mekah dan membersihkan Kaabah daripada berhala dan segala kehinaan.

Antara ramalan-ramalan lain dalam kitab Veda dan skrip Hindu yang lain adalah seperti berikut dan boleh dicari oleh para sahabat kita di luar sana. Antaranya ialah di dalam Atharva Veda: (1) XX: 21, Ayat 6, 7 dan 9; (2) XX:137, Ayat 7 - 9; dan (3) X:2, Ayat 26, 27, 28, 29, 30 dan 32. Begitu juga beberapa lagi ramalan ditemui di dalam Rig Veda: (1) VII: 96, Mantra 13 - 16; dan (2) I: 53, ayat 6 dan 9. Akhir sekali, satu ramalan ditemui di dalam Sama Veda III: 10, Ayat 1.

Kredit: Mistis Files

Rujukan untuk artikel ini yang dilakukan oleh penulis asal sebelum diedit:

1. Dr. Vidyarthi. Mohammed in World Scriptures. (1990)

Copy and paste:
24 Januari 2022 > 21 Jamadilakhir 1443H: 11.14 am