Thursday, 27 January 2022

MELAYU ITU BUKAN BANGSA?


Salam kepada pembaca yang budiman sekalian. Saya pelik dan hairan dengan sikap sesetengah individu yang mengatakan bahawa kami yang cuba untuk mendedahkan dan membangkitkan semula kecintaan terhadap sejarah Melayu sebagai bersikap perkauman serta tali barut pihak tertentu atau dari parti politik tertentu. Adakah dengan menulis mengenai sejarah bangsa Melayu atau memperjuangkan nasib dan hak orang Melayu boleh dianggap sebagai perkauman atau mengikut telunjuk mana-mana pihak berkepentingan? Bagi saya ini adalah pandangan yang cetek dan jumud, pandangan orang-orang yang mindanya sudah tepu dengan inferiority complex dan teori konspirasi yang pelik-pelik. Boleh jadi juga pihak yang berpendirian sedemikian adalah pihak yang takut dengan kebangkitan dan kesedaran masyarakat Melayu akan sejarah dan hak mereka sebagai penduduk asal Alam Melayu.

Bagaimana jika bangsa anda dihina, dikeji, dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menjelikkan dan sejarahnya diputar belitkan untuk kepentingan pihak tertentu? Adakah anda akan membiarkannya dan melihat sahaja sambil membutakan mata, menulikan telinga dan membisukan mulut sebab tidak mahu dituduh perkauman? Ini lah masalah orang Malayu kita, kita sentiasa beranggapan bahawa melihat atau mendengar sahaja tanpa berbuat apa-apa atau mengambil sebarang tindakan itu lebih baik dan satu contoh diplomasi dan toleransi. Tetapi toleransi juga ada hadnya, bukan semua harus kita tolerate dan biarkan. Lagipun mengapa harus orang Melayu sahaja yang bertoleransi dan berdiplomasi tetapi bangsa atau etnik lain dibiarkan dengan lantang memuntahkan segala pertuduhan dan fitnah kepada bangsa dan agama kita? Kita juga ada maruah! Jangan jadikan bangsa kita sebagai bangsa yang dayus dan pasif yang hanya tahu menerima dan tidak tahu mempertahankan maruah sendiri.

Jika kita tidak mahu membela dan mempertahankan sebarang hak milik kaum atau bangsa kita, lebih baik tidak berbangsa, bersuku atau berkeluarga sekalipun, mungkin anda boleh tinggal seorang diri di hutan belantara. Adakah kita mahu senasib dengan kaum Red Indian di Amerika dan kaum asli Australia yang tiada hak keatas tanah nenek moyang mereka sendiri, tiada hak untuk memerintah, tidak dapat bersaing dalam ekonomi dan pendidikan malah dengan senang dipindahkan dan ditempatkan kemana-mana sahaja yang disukai oleh kerajaan yang diperintah kaum pendatang. Akibatnya warisan budaya, bahasa, sejarah dan ketamadunan mereka hampir pupus sama sekali.

Maaf jika nada tulisan saya berbunyi agak kasar, tetapi saya bukanlah berniat untuk menyudutkan atau membenci mana-mana kaum lain selain Melayu. Cuma saya rasa tersentak dan terhina apabila ada pihak tertentu yang mahu menidakkan kewujudan bangsa Melayu di bumi Melayu ini. Sehinggakan dikata bahawa bangsa atau ras Melayu itu hanya khayalan dan Melayu itu hanya nama bahasa dan bukan ras atau bangsa. Malah ada juga yang percaya dengan hujah bahawa Melayu itu adalah nama tempat atau wilayah dan bukan nama bangsa.

Masih ramai juga yang tidak faham perbezaan diantara bangsa dengan nationality atau kewarganegaraan. Sebenarnya saya sudah pun menyentuh mengenai hal ini dalam artikel saya yang lepas. Negara dan wilayah kekuasaan boleh berubah beribu kali, anda juga boleh mengubah kerakyatan anda berjuta kali, namun bangsa, etnik dan ras anda tidak akan berubah. Kalau anda seorang Melayu, berpindah ke USA atau UK, walaupun anda gosok seluruh badan dan muka anda dengan tawas dan berus dawai sekalipun, wajah atau ciri-ciri fizikal anda tidak akan bertukar menjadi seperti orang eropah atau Caucasian. Anda boleh menukar taraf kewarganegaraan anda samaada untuk menjadi Singaporean, Indonesian mahupun American. Tetapi yang nyata ciri-ciri fizikal kurniaan tuhan yang ada pada anda dan DNA anda tidak akan berubah.

Negara atau wilayah kekuasaan boleh jatuh dan bangun berkali-kali, tetapi bangsa, etnik mahupun ras yang membinanya tidak akan berubah kecualilah kalau berlakunya penghapusan etnik! 
Pendek kata bangsa dan ras itu ciptaan tuhan tetapi kewarganegaraan atau kerakyatan itu adalah ciptaan manusia. Kalau masih lagi ada yang berpegang dengan hujah bahawa nama bangsa itu berasal dari nama negara atau tempat, sila jelaskan mengapa di Kalimantan ada Melayu, di Sumatera ada Melayu malah di Indochina dan Semenanjung ada Melayu, malah orang Brunei pun mengaku sebagai bangsa Melayu Brunei dan bukan etnik atau suku Brunei. Jika Melayu itu hanya nama tempat atau wilayah mengapa pemerintah dan pembesar kesultanan Melaka menggelar diri mereka sebagai orang atau bangsa Melayu dan bukan bangsa Melaka? Buktinya boleh dibaca di dalam Sulalatus Salatun kitab Sejarah Melayu. Bangsa Parsi juga pernah memiliki berpuluh-puluh kerajaan silih berganti sepanjang zaman seperti kerajaan Parthia, Median, Achaemenid, Sassanid, Safavid dan sekarang Iran, namun bangsa mereka tetap sama dan tidak berubah iaitu bangsa Parsi.

Perlu juga difahami bahawa Melayu itu terbahagi kepada dua kelompok di Malaysia iaitu, Melayu anak dagang dan Melayu anak jati. 
Melayu anak dagang ialah Melayu yang datang dari luar Malaysia seperti orang Banjar, Jawa, Bugis dan sebagainya. 
Manakala Melayu anak jati ialah Melayu yang memang sudah wujud di Semenanjung Tanah Melayu sejak beribu tahun dahulu seperti Melayu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan beberapa lagi. Sebelum kerajaan Moloyu atau Malayu di Sumatera wujud, sudah ada kerajaan-kerajaan Melayu di sekitar Semenanjung seperti kerajaan Chih Tu, Gangga Negara, Langkasuka dan Kedah Tua.

Dalam Prasasti Matari Singa Jaya Hikmat yang ditulis sekitar kurun ke 13 jelas terpampang perkataan bangsa Melayu …’Matari Singa Jaya Mat, Dari Ratu, Lami Lami Bangsa Malayu...'. Maka kalau Melayu itu tidak wujud, mengapa dalam prasasti tua ini serta kitab Sejarah Melayu tertulis nama sebuah bangsa yang bernama Melayu? Adakah bangsa ini turun dari langit atau datang dari planet Zargus? Terpulanglah kepada anda semua bagaimana anda mahu menyimpulkannya. Apa yang nyata perbezaan pendapat dan pandangan itu adalah perkara biasa dan sebagai seorang yang waras dan berfikiran terbuka saya menghormati pandangan lain yang bertentangan dengan pandangan serta pendapat saya, namun jangan sesekali putarbelitkan sejarah bangsa saya untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Sekian, wallah hu a’lam.

~ASJ~
Copy and paste:
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
27 Januari 2022 > 24 Jamadilakhir 1443H: 11.51 am

No comments: