Wednesday, 5 January 2022

HANG TUAH: RAJA DUTA KERAJAAN MELAYU MELAKA

SEMINAR PERPUSTAKAAN NEGARA  MALAYSIA 29 NOVEMBER 2018

SEMINAR MANUSKRIP MELAYU

HANG TUAH: RAJA DUTA KERAJAAN MELAYU MELAKA

OLEH : PROF EMERITUS DATO’ DR HASHIM MUSA PUSAT KECEMERLANGAN KAJIAN MELAYU (PKKM) UNIVERSITI MALAYA

Abstrak

Kertas ini akan menelusuri pelayaran Laksamana Hang Tuah sebagai Raja Duta dengan kapal “Mendam Berahi”, berdasarkan buku Hikayat Hang Tuah  (Kassim Ahmad (penyelenggara), 1966), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, dan dokumen rasmi Rekidai Hŏan Kerajaan Ryukyu  Jepun, terjemahan daripada bahasa asal Bahasa Cina ke Bahasa Inggeris oleh A. Kobata dan M. Matsuda. (1969). Ryukyuan Relations with Korea and the South Sea Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hŏan. Kyoto: Kawakita Printing, dan juga dokumen Portugis The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, Second Viceroy of India, Afonso Albuquerque Vol. I- IV, 1744 Portuguese Edition, (Tr.) Walter De Gray Birch.1875-1884. London: Hakluyt Society. Pelayaran Hang Tuah sebagai raja duta kerajaan Melaka dengan kapal Mendam Berahi merupakan satu warisan penjelajahan atau “odyssey” maritim Melayu yang agung. Laksamana Hang Tuah dengan Mendam Berahi telah menjelajahi sekurang-kurangnya 14 buah negara atau bandar, iaitu Majapahit, Bentan, Lingga, Palembang, Jayakarta, Acheh, Brunei, Siam, Benua Keling, Benua China, Mesir, Jeddah, Mekah, Madinah dan juga Benua Rom Uthmaniah Istanbul, dengan tujuan utamannya misi diplomasi dan juga kegiatan perdagangan antarabangsa antara Melaka dengan negeri-negeri berkenaan.

Kata kunci: Raja duta, odyssey, maritim, Mendam Berahi,  Rekidai Hŏan,

Pendahuluan: Tokoh Hang Tuah

Tokoh Hang Tuah boleh disimpulkan sebagai pahawan dan  perwira, penjelajah, diplomat atau raja duta dan pedagang global Melayu yang terulung. Madah Melayu tentang budaya maritim orang Melayu melambangkan watak Hang Tuah itu:

Sekali merangkuh dayung,
Dua tiga pulau terlangsung; Sekali mengorak pura,
Dua tiga hutang terlangsai
Pantang undur sebelum tiba,
Pantang mengalah sebelum terduga
Biar putih tulang Jangan putih mata
Benih yang baik ke laut menjadi pulau Ke darat menjadi gunung.

Kedudukan Hang Tuah dalam masyarakat Melayu

1. Hang Tuah ialah wira bangsanya; kebanggaan bagi seluruh bangsa Melayu dari segi keperwiraan, kebaktian, dan penampilannya.

2. Menafikan kewujduan Hang Tuah menghapuskan satu ikon unggul dalam memori benak hati bangsanya.

3. Watak Hang Tuah merupakan contoh mithali atau ikon bagi seluruh bangsa Malaysia dan bangsa Melayu sejagat demi membela bangsa dan negaranya, iaitu 3 jenis ikon yang bersepadu:

i) Penampilan diri: keperwiraan, ketangkasan dan kesegakan

ii) Jiwa raganya: keberanaian, ketabahan, kesetiaan pengorbanan dan pantang mengalah

iii) Ilmu dan budi pekerti: kebijakasanaan, keilmuan, kemuliaan budi pekerti, raja duta, penjelajah dan pedagang antarabangsa  yang bijaksana.

Al-Marhum Tan Sri Syed Nasir Ismail, tokoh  pejuang bangsa berkata:

 “Kisah-kisah mereka (Hang  Tuah  dan  empat  sahabatnya)  berulang-ulang  kali disebut dan diceritakan dari dahulu hinggalah sekarang, daripada yang berbentuk cerita-cerita lisan, wayang-wayang bangsawan, hingga kepada sandiwara dan filem. Bangsa Melayu tidak pernah jemu-jemu dengan kisah kepahlawanan mereka ini…. Semenjak beratus-ratus tahun sudah menjadi kisah yang melambangkan kepahlawanan Melayu…. merupakan sumber kepada bangsa Melayu dalam bercita-cita dan berusaha bangun dan maju kembali pada zaman-zaman kemudiannya.

(Hikayat Hang Tuah (HHT) (1966), Sepatah Kata. Hal. V).

Oleh itu kami cadangkan supaya   diangkat Hang Tuah sebagaI wira bangsa Malaysia dan bangsa Melayu sejagat.

Bukti wujudnya watak Hang Tuah dalam sejarah

Ada dua jenis pembuktian:

1.  Bukti kemasyarakatan: Nama Hang Tuah sudah terpahat sebagai wira bangsa dan kebanggaan bangsa Melayu dalam benak hati budi orang Melayu sejak beratus- ratus tahun lamanya, di merata tempat di Alam Melayu;

(i)       Di Malaysia tedapat Frigate KD Hang Tuah, juga 4 nama jalan di K. Lumpur, Melaka, Ipoh, Johor Baharu, dan di Melaka nama Stadium Hang Tuah, Taman Perumahan Hang Tuah Jaya dan  Masjid Jamik Hang Tuah, juga di K. Lumpur: Setesen LRT Hang Tuah dan Medan Hang Tuah, dan lain-lain.

(ii)      Di Indonesia ada Universitas Hang Tuah di Surabaya (ditubuhkan oleh Tentera Laut  Indonesia), Sekolah Hang Tuah di Makassar, 10 nama jalan iaitu di Bentan, Pekan Baru,  Jakarta, Tanjung Pinang, Medan, Surabaya, Palembang, Padang, Bandung, dan ada Stadium Hang Tuah di Pekan Baru.

(iii)       Di Patani ada perigi Hang Tuah

Ringkasnya nama Hang Tuah sudah terpahat dalam ingatan dan benak hati seluruh wilayah bangsa Melayu.

2. Bukti data primer yang wujud pada zaman Hang Tuah:

i) Tiga surat di Ryukyu Okinawa yang boleh dikaitkan dengan H. Tuah bertarikh 1480, 1480 dan 1481

ii) Keris ditempa di Melaka 9 lok bertarikh sekitar abad ke-15 dijumpai di Kuil Diraja Engkakuji abad ke-15.

iii) Catatan asal Afonso Dalboquerque pada 1511 yang menyebut Laksamana berumur 80 tahun  yang bermastatutin di Singapura,

iv) Ada ukiran di dinding runtuhan bangunan empayar Vijayanagara di India selatan yang menunujukkan Hang Tuah menjinakkan kuda tezi, seperti yang tercatat dalam Hikayat Hang Tuah.

1)  Sumber dari Jepun

Terdapat sekurang-kurangnya 19 pucuk surat daripada kerajaan Ryukyu kepada kerajaan Melaka dan 11 surat daripada pihak Melaka kepada kerajaan Ryukyu. Tiga surat pada Bahagian 39 Dokumen yang ke-9, ke-10 dan ke-15 daripada pihak Melaka secara langsung berkaitan dengan Laksamana (Hang Tuah) dan bertarikh 1480, 1480 dan 1481.

2)  Sumber Portugis :

Dokumen Portugis The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, Second Viceroy of India, Afonso Albuquerque Vol. I- IV, 1744 Portuguese Edition, (Tr.) Walter De Gray Birch.1875-1884. London: Hakluyt Society. (Berdasarkan catatan asal Afonso Dalboquerque kepada Raja Don Emmanuel 1469-1521)

Catatan Afonso Dalboquerque  tentang Laksamana  berumur 80 tahun berada  di Singapura semasa penaklukan Melaka pada tahun 1511, terdapat pada halaman 89-90 Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque:

 “At the time when Afonso Dalboquerque set sail for India after having captured Malaca (1511), there had arrived two of their ships (the Lequea (or Ryukyu)) at the gate of Singapura, and they were coming on to Malaca, but by the advice of Lassamane, who was the king of Malacca’s admiral of the sea, they remained where they were, and would not passed up, having learned that Malacca had been taken by the Portuguese… This Lassamane was a man of eighty years of age,  a good  soldier and  of  good  repute  and  great  knowledge. When  he perceived that the king of Malacca was lost, he went and settled in Singapura…”

3)  Sumber Vijayanagara India

Hang Tuah ke Bijaya Nagaram (Vijayanagara) di benua Keling India, dalam Hikayat Hang Tuah, beliau diutuskan sebagai Raja Duta oleh Raja Melaka dengan tujuan menubuhkan hubungan diplomasi dan juga perdagangan (HHT: 339).

Setelah mengadap Rajanya Kisna Rayam dan diperkenalkan sebagai Raja Duta kerajaan Melaka, maka pada suatu hari Raja Kisna Rayam telah menitah kepada Hang Tuah untuk menjinak dan menaiki kuda tezi, iaitu kuda yang besar tinggi enam hasta atau enam kaki lebih, berwarna hijau seperti sayap kumbang dan kelakuannya liar seperti singa yang galak (HHT: 353):

 Maka Laksamana pun melompat naik ke atas belakang kuda itu, serta dipecutnya oleh Laksamana. Maka Laksamana pun  segera menundukkan kepalanya dilindungkan di balik telinga kuda itu. Hatta dua tiga kali dipecutnya berkeliling di balairong, maka oleh Laksamana ditariknya tali kekang, kuda itu pun terdiri berhenti. Maka titah Raja Kisna Rayan, “Hai Lakasamana sungguhlah engkau hulubalang besar dapat naik kuda ini, kerana dalam hulubalangku yang banyak berpuluh-puluh keti ini tiada seorang pun bercakap menaiki dia.” (HHT: 353).

Perahu-Perahu Besar Kerajaan Melaka

Hikayat Hang Tuah menyebut bahawa terdapat sekurang-kurangnya tujuh buah perahu besar kelas ghali dibina di Melaka dan berpuluh-puluh perahu lain yang boleh belayar di laut lepas. Semasa peristiwa belayar ke Inderapura (Singapura) untuk temasya bermain-main, Sultan Melaka telah membawa dua isterinya iaitu Raden Emas Ayu dan Tun Teja serta anakandanya Puteri Gunung Ledang, dengan disertai oleh Bendahara, Laksamana dan pembesar-pembesar yang lain. Mereka menaiki tujuh buah perahu besar, iaitu Sairul Amin (dinaiki Raja Dewa) Mi’ratus Safa (dinaiki Tun Bija Sura), Mendam Barahi (dinaiki Raden Emas Ayu diketuai oleh Hang Tuah), Sekepar (رفكس ) (dinaiki Raja Melaka dan Tun Teja), Batil Tuasa (dinaiki Bendahara dan anak buahnya), Rancung Mengkuang (dinaiki Tun Mat dan orang-orangnya) dan sebuah ghali baharu yang dibina Hang Tuah (tanpa disebut nama) (dinaiki oleh Maharaja Setia). (Kassim Ahmad. 1966. Hikayat Hang Tuah (HHT): 426).

Perahu utama kerajaan Melaka (flagship) ialah Mendam Berahi, iaitu perahu kelas Ghali يلغ atau Galley, yang telah dibina oleh tukang kapal Melaka untuk pelayaran pertama kalinya ke Majapahit membawa perutusan peminangan Sultan Melaka terhadap Raden Emas Ayu anakanda kepada Seri Betara Majapahit.  Dalam Hikayat Hang Tuah pembinaan kapal ghali ini bermula dengan Bendahara dan Tun Tuah bermesyuarat:

Maka Bendahara dan Laksamana pun bermesyuarat hendak membangunkan ghali akan kenaikan raja. Adapun panjangnya ghali itu enam puluh gaz1 (=180 kaki kira-kira   4 kali ganda panjang gelanggang bedminton (44kaki)) dan bukanya enam depa (36 kaki). Maka Bendahara pun mengerahlah segala tukang utas. Maka segala perbuatan ghali itu dindingnya dibubuh papan kambi, maka ditampalnya dengan beledu yang kuning, merah dan hijau. Maka dibubuhnya kaca kerangan dan atapnya daripada kaca kuning dan merah dan beberapa jurai awan dan petir. Maka dibubunya kekuningan dan paterakna dan awan berarak. Antara tiang agung ke buritan itu Bendahara Paduka Raja yang mereka dia, dari haluan datang kepada tiang agung itu Bentara Tun Tuah mereka dia… Maka ghali itupun sudahlah; indah-indah perbuatannya. Maka kata Bendahara “Apa baik kita namakan ghali ini”. Maka sahut Tun Tuah “Pada bicara sahaya dato; baiklah ghali ini dinamai Mendam Berahi.” (HHT.1966: 95).

Ghali atau Galleys ialah sejenis kapal atau perahu besar yang digunakan pada Abad Pertengahan (Abad ke-5M-15M) dengan kombinasi kuasa dayung dan layar, digunakan pada masa itu secara meluas oleh tentera laut negara-negara Mediterranean dan negara-negara Eropah yang lain, dan seterusnya oleh Empayar Turki Uthmaniah. Melalui pengaruh kerajaan Uthmaniah, kerajaan Islam yang lain telah menggunakan teknologi binaan kapal kelas Ghali ini termasuklah kerajaan Melaka dan Aceh. Namun demikian, kapal kelas ghali ini telah diatasi seterusnya oleh pembinaan kapal layar yang lebih besar dan tinggi antaranya Galleon dan Carracks.

1 Gaz زڬ   arkaik ukuran panjang kira-kira 33 inci atau hampir 3 kaki atau satu ela.   Kamus  Dewan. Edisi ke-4. DBP, 2005: 294.

Pelayaran Pertama dan Kedua dengan Mendam Berahi ke Majapahit

Pelayaran pertama Mendam Berahi adalah ke Majapahit membawa utusan daripada Raja Melaka mengadap Seri Betara Majapahit untuk meminang puterinya Raden Emas Ayu, Perjalanan ini diketuai oleh Patih Kerma Wijaya dan Tun Tuah serta pembesar-pembesar Melaka yang lain. Dalam pelayaan pertama ini tidak banyak peristiwa yang berlaku yang diceritakan:

Setelah sudah (kelengkapan semuanya) maka Mendam Berahi pun belayarlah ke Majapahit. Setelah beberapa lama belayar maka sampailah di Majapahit. Lalu berlabuhlah di kuala. Maka bedil pun dipasang oranglah seperti bertih bunyinya… Maka Patih Gajah Mada pun mengadap Seri Betara dan sembahnya “Adapun yang sudah datang itu tujuh buah (perahu). Adapun yang sebuah ghali (Mendam Berahi) itu terlalu besar dengan perbuatannya terlalu indah-indah…” (HHT: 97).

Setelah selesai dan sempurna majlis peminangan itu, maka rombongan pembesar Melaka pun pulanglah ke Melaka:

Setelah sudah (segala persiapan), maka Mendam Berahi pun memasang bedil dan meriam lalu menarik layar lau berlayar terlalu lajunya  seperti burung terbang lakunya… Maka antara tujuh hari tujuh malam sampailah ke Tuban, maka disambut oleh Adipati Tuban dan segala pembesarnya… (kemudian) menuju ke Jayakarta selepas tiga hari tiga malam sampailah ke Jayakarta dan disambut oleh Adipati Jayakarta dengan segala orang besarnya… (kemudian) berlayar pula menuju ke Palembang…(seterusnya) berlayar menuju ke Pulau Sepat…(kemudian) Mendam Berahi pun sampai ke Kuala Melaka. (HHT: 112).

Pelayaran yang kedua Mendam Berahi bersama satu lagi perahu besar iaitu Kota Segara  dan  tujuh  bual  perahu  lagi,  adalah  juga  ke  Majapahit ketika  membawa rombongan perkahwinan Sultan Melaka dengan puteri Seri Betara Majapahit diiringi oleh para pembesar Melaka yang diketuai oleh Tun Tuah. Perjalanan ini juga menelusuri jalan yang sama dengan perjalanan yang pertama dahulu. Namun dalam masa rombongan ini berada di Majapahit banyak peristiwa yang berlaku atas angkara Seri Betara Majapahit yang tidak mahu rombongan ini kembali ke Melaka membawa puterinya, iaitu katanya;

“Jikalau dapat, baik aku suruh bunuh (Tun Tuah). Apabila ia mati, barang kehendak hati kita pun berlakulah, tiada ia (Raja Melaka) kembali ke Melaka.” (HHT: 125)

Maka berlakulah tipu helah untuk membunuh Hang Tuah, antaranya pertikaman dengan Taming Sari yang dibunuh oleh Hang Tuah dan dia memperoleh keris sakti Taming Sari, pertikaman dengan seorang pemabuk, seterusnya berlawan dengan 70 orang pendekar dan akhir sekali pertikaman dengan Sang Winara dan membunuhnya. Semua kejadian ini atas angkara dan tipu daya Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada, namun Hang Tuah berjaya mengatasiya.

Pelayaran Hang Tuah dengan Mendam Berahi ke Benua Keling (Bijaya Nagaram atau Vijayanagara) dan ke Benua Cina

Pelayaran Hang Tuah ke Bijaya Nagaram (Vijayanagara) di benua Keling India, dalam Hikayat Hang Tuah diceritakan perjalanannya  memakan masa 18 hari; 8 hari dari Melaka ke Pulau Birama Dewa, dari situ 3 hari ke pinggir jajahan Benua Keling, dan

7 hari lagi baru sampai di Kuala Benua Keling India. Tujuan ke Benua Keling ialah untuk mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan, seperti yang terkandung dalam surat Raja Melaka kepada Raja Benua Keling Kisna Rayam (Hikayat Hang Tuah, 1966: 340):

 “Shahadan pada bicara kakanda (iaitu Raja Melaka) antara Melaka dan Benua Keling itu hendaklah dihampirkan jangan lagi helat dalammnya.” (HHT: 339). Maka persiapan ke benua Keling dilakukan oleh Bedahara dan Laksamana:

“Maka Bendahara dan Laksamana pun mengeluarkan segala emas dan perak beberapa keti. Maka diberikannya kepada orang muda-mudanya harta sekaliannya. Maka Laksamana pun berkata, “Hai tuan-tuan sekalian berlengkaplah dan belilah  segala dagangan  yang patut dibawa  ke  benua Keling…” (HHT: 340).

Setelah sampai di Bijaya  Negaram, maka  Laksamana  pun  menerangkan  tujuan kedatangan mereka untuk menjalinkan hubungan diplomasi:

Maka kata Laksamana kepada Shahbandar, “Adapun pekerjaan hamba datang ini dititahkan oleh oleh Sultan Melaka   kepada Duli Krisna Rayan tanda muafakat dan berkasih-kasihan.” (HHT: 343)

Empayar ini berpusat di ibu negarannya Vijayanagara yang juga menjadi nama empayarnya. Setelah kejatuhanannya pada 1642, kini peninggalan bangunan, ukiran dan inskripsi yang indah terdapat di Hampi yang telah diistiharkan sebagai World Heritage Site di Karnataka India.

Jawaharla Nehru (1945/1969: 205), Perdana Menteri pertama India dalam bukunya The Discovery of India, telah menyebutkan   bahawa perhubungan antara India Selatan dengan alam Melayu, yang bermula pada  awal abad pertama atau kedua Masihi, menjadi bertambah pesat dengan kerajaan Srivijaya (abad ke-7 hingga ke-14), terutamanya zaman kebangkitannya pada abad ke-8 Masihi.

Pada zaman kesultanan Melaka, telah tertubuh perhubungan perkapalan yang langsung antara pelabuhan di pantai Koromandel India dengan pelabuhan Melaka.

Pada zaman Deva Raja II   perhubungan dengan Melaka dibuat, dan perjalanan Laksamana Hang Tuah ke Vijayanagara berlaku pada sekitar zaman ini. Dalam Hikayat Hang Tuah, rajanya disebut sebagai Kisna Rayam, iaitu ada kesamaan dengan nama raja Krishna Deva Raya Vijayanagara..

Terdapat hubungan secara terus daripada pelabuhan Koromandel ke Melaka yang membawa berjenis-jenis produk kain dengan permintaan yang besar di seluruh Asia Tenggara dan juga Timur jauh. Di Melaka pula pedagang ini membeli dengan banyak kayu cendana (sandalwood), kapur barus (camphor), tawas (alum), mutiara, lada hitam dan lada putih, buah pala (nutmeg), selaput pala (mace), cengkih (clove), dan juga barang logam seperti emas, timah, dan tembaga, serta produk dari China seperti sutera putih dan merah (damask) dan juga kain broked.

Pelayaran Hang Tuah ke Benua Cina

Semasa di Benua Keling rajanya Kisna Rayam sangat terkesan dengan tingkah laku manis Hang Tuah dan fasih berbahasa Keling. Maka baginda telah mengutus Hang Tuah pula ke Benua China sebagai raja dutanya untuk mengeratkan perhubungan diplomatik dan hubungan perdagangan dengan Cina. Hang Tuah telah menerimanya dan pelayaran ke Benua Cina memakan masa dua bulan (HHT: 364).

Di Benua Cina Hang Tuah dan rombongannya dapat mengadap Raja Cina yang berada dalam singgahsana berupa mulut naga emas, tetapi tidak dapat menatap wajahnya kerana semua dilarang daripada menatap wajahnya. Namun melalui helahya, iaitu memakan sayur kangkung yang panjang yang tidak dipotong, maka beliau dengan mendongak kepala sambil makan kangkong yang panjang, dapat melihat wajah Raja Cina. Hang Tuah berada di Cina selama dua bulan dan menyaksikan pelbagai perkara yang luar biasa. Hang Tuah dan semua rombongannya telah diberikan hadian yang berbagai- bagai jenis barang.

Dalam pelayaran balik, perahu mereka telah dihadang dan dibedil oleh kapal Feringgi (Portugis) dan berlakulah peperangan. Hang Tuah telah membaca pustakanya sehingga bedil-bedil kapal Potugis tidak dapat berfungsi lagi, yang membolehkan mereka menghampiri kapal Portugis dan Hang Tuah dengan pahlawan-pahlawannya dapat melompat ke atas kapal Portugis dan mengamuk serta membunuh orang-orang Portugis. Maka alahlah kapal Portugis sebanyak 40 buah hanya tiga sahaja yang sempat lari. Setelah sampai balik di Benua Keling Kisna Rayam Raja Benua Keling sangat sukacita mendengarkan berita kejayaan Hang Tuah di Cina. Selepas sebulantinggal di Benua Keling maka Hang Tuah dan rombongannya berangkatlah balik ke Melaka untuk membawa surat dan bingkisan daripada raja Benua Keling kepada Raja Melaka.

Laksamana Hang Tuah ke Berunai

Laksamana Hang Tuah diutuskan ke Berunai oleh Raja Melaka bertujuan untuk menghantar pulang anak Adipati Agong Berunai, iaitu Adipati Solok yang telah ditawan dan dibawa ke Melaka oleh Hang Tuah apabila cuba menghadang rombongan Hang Tuah dalam perjalanan pulang dari Majapahit. Namun Adipati Solok semasa di Melaka dijaga dengan baik oleh Hang Tuah sebagai anak raja bukan sebagai tawanan, dan semasa dihantar pulang ke Berunai dibawa dengan penuh istiadat berserta dengan surat dan bingkisan daripada Sultan Melaka. Apabila ditanya oleh Adipati Agong Berunai apa sebab anakandanya ke Melaka, Hang Tuah dengan penuh diplomasi menjaga hati Adipati Solok tidak memberitahu tentang pertempuran, kekalahan dan penawanan beliau, tetapi menyerahkan kepada beliau sendiri untuk memberitahu ayahandanya. Juga apabila orang-orang Adipati Solok yang lari ketika beliau dikalahkan dan ditawan oleh Laksamana Hang Tuah, hendak dihukum oleh Adipati Agong Berunai, Hang Tuah telah memmohon supaya dilepaskan dengan penggunaan kata-kata yang penuh berdiplomasi:

 “Daulat tuanku shah alam patik pohonkan ampun kurnia, pada bicara patik, sungguhpun ia (pengikut-pengikut Adipati Solok) undur, kali-kali berbalik pula mencari  paduka  anakanda  (Adipati  Solok).”  Setelah  raja  (Adipati  Agong) mendengar sembah Laksamana demukian itu, maka raja pun tunduk fikir dalam hatinya, “Benar seperti kata Lakasamana itu.” Maka segala  orang-orang yang terpeguh (tertangkap) itu lepaslah.”

Pelayaran Hang Tuah dengan Mendam Berahi ke Negeri Siam

Pelayaran ke negeri Siam pula diutuskan oleh Raja Melaka untuk membeli empat ekor gajah jantan dan dua ekor gajah betina serta membawa bingkisan Raja Melaka kepada Raja Siam. (HHT: 388). Setelah siap berlengkap maka Laksamana Hang Tuah dan Maharaja Setia pun belayar ke Siam:

 “Setelah sudah (persiapan) maka Laksamana pun menyuruh membongkar sauh, berdayung hilir sambil memasang bedil. Setelah sampai ke laut, lalu menarik layar lalu berlayar menuju benua Siam.”

(HHT: 388)

Setelah beberapa lama belayar mereka pun sampai di negeri Patani dan Hang Tuah singgah sebentar untuk melihat kotanya yang berpintu gerbang yang besar dengan mukanya berkepala naga yang besar. (HHT: 389). Setelah itu Hang Tuah dengan rombongannya  meneruskan  perjalanan  ke  Siam  dan  selepas  beberapa  waktu sampailah di negeri Siam. Apabila mengadap Phra Chau Raja Siam, mengikut adat Siam mereka mesti merangkak dan menyembah, seperti kata Shahbandar Siam:

“Apabila sampai ke hadapan Raja (Siam) merangkak sambil menyembah”.

Namun melalui helah Hang Tuah, iaitu yang mengatakan ia berpenyakit di tubuhnya dan tidak boleh merangkak dan dengan ucapan yang penuh bijaksana, iaitu tidak terus membantah, kata Hang Tuah:

 “Yang Shahbandar mengingatkan hamba itu benarlah sudah. Dan seperkara pula tiada dapat hamba merangkak kerana ada penyakit pada tubuh hamba ini.”

Maka dia dan Maharaja Setia dibenarkan berjalan masuk untuk duduk menyembah, sedangkan semua pembesar Siam terpaksa merangkak masuk untuk menyembah Raja Siam.

Raja Siam sangat tertarik kepada Hang Tuan dengan tingkah lakunya yang manis dan fasih bercakap bahasa Siam. Di Siam Hang Tuah telah bertikam dengan tujuh orang pendekar (Ninja) Jepun dan membunuh lima orang manakala dua lagi melarikan diri ke Kemboja tempat perkampungan orang-orang Jepun. Maka orang-orang Jepun itu marah dan berdendam untuk menyerang angkatan Hang Tuah dan datang dengan kapal mereka dan menghadang perahu Hang Tuah dalam perjalanannya pulang membawa gajah-gajah ke Melaka. Maka berlakulah peperangan dan Hang Tuah membaca pustaknya menyebabkan   segala bedil Jepun tidak meletup dan perahu Hang Tuah dapat menghampiri perahu Jepun dan Hang Tuah serta pahlawannya pun melompat ke atas perahu Jepun dan mengamuk menyebabkan Jepun-Jepun itu berterjunan lari dan yang lain dibunuh. Maka Hang Tuah memperoleh emas perak harta rampasan yang sangat banyak sehingga sarat muatan perahunya dan dibawanya ke Melaka. (HHT: 394)

Pelayaran Hang Tuah ke Ryukyu: Hubungan Ryukyu dengan Melaka

Dalam dokumen rasmi kerajaan Ryukyu  Rekidai Hŏan huraian antara lain tentang hubungan antara Ryukyu dengan Melaka, iaitu terdapat pada bahagian iii), sekurang- kurangnya 19 pucuk surat daripada kerajaan Ryukyu kepada kerajaan Melaka dan 11 surat daripada pihak Melaka kepada kerajaan Ryukyu. Tiga surat pada Bahagian 39

Dokumen yang ke-9, ke-10 dan ke-15 daripada pihak Melaka secara langsung berkaitan dengan Laksamana (Hang Tuah) dan bertarikh 1480, 1480 dan 1481.

Dalam surat-surat ini jelas menunjukkan peranan Laksamana Hang Tuah sebagai Raja Duta dari segi bahasa diplomasi yang digunakan dalam surat-surat itu dan juga aksi  dan  tindakan  beliau  antaranya  cuba  membantu  orang-orang  Ryukyu  yang terdampar di Campa Anam. Kerajaan Ryukyu ialah sebuah kerajaan yang bebas yang muncul di Kepulauan Rhukyu selatan Okinawa Jepun . Walaupun kecil kerajaan ini memainkan peranana yang besar dalam penubuhan hubungan perdagangan dengan negara di sebelah timur dan juga kepulauan Asia Tenggara pada abad-abad pertengahan iaitu bermula pada abad ke-15.  

Dokumen Rikidai Hŏan yang sekian lama terpendam telah pertama kali dikaji dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh Prof Dr. Atushu Kobata dan Dr. Mitsugu Matsuda dan diterbitkan pada tahun 1969.

Berikut ialah terjemahan Bahagian XXXIX (39) Dokumen No. 9 dalam bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugu Matsuda (1969: 116-118):

The King of the country of Malacca respectfully submits this dispatch to Your Majesty the King of the Country of Ryukyu.

We have learned with reverence that the Imperial bounty of the Middle Kingdom is far-reaching. I am just six years of age, and I am grateful for the peace and welfare ensured for the little country by heavenly favors. It is hoped that Your Fatherly Majesty of Ryukyu will gratefully grant us many letters and presents.

You have dispatched your envoy, Interpreter Tei Raku, and others aboard your ship, with a cargo of local products, to proceed hither to present them. Merchant-travelers have come one after another. But alas! The distance over the sea is so great that we have not yet been able to return our thanks. It has been faithfully reported that more liberal treatment is accorded there [in Ryukyu], and much as we wish to make our way hence to pay tribute and express appreciation, we are generally in want of ship.

Mindful of the principle of neighborly relations, we are hereby expressing our feelings by means of sincere and humble presentation of gifts to return your kindness. We shall be most pleased if you will accept them with a smile.

Pray have pity on this destitute country of ours, Your Fatherly Majesty, and let us look forward with humility to your continued communication in succeeding generations and to our sympathy and grant of presents.

We have our respective territories, whose soils are rich and products abundant. For this reasons travelling merchants come swarming to us from far. [We request that] that you have your people engage in business [with our envoys] as soon as possible and send the envoys back to the country safely and speedily with the wind, accompanied by your envoys. This would be most beneficial to us. Let this dispatch be given to the addressee.

The present are now listed:

Sha-nan-pu  10 bolt                    
Sheng-che-ha 10 bolts
Na-mu-[na]  10 bots         
Shan-nan-pu wen-ti-li 10 bolts
Huo-wai  10 bolts
Ch’ng-hua 16/2/? [1480]
On behalf [of ‘the king]

Berikut ini ialah terjemahan dalam Bahasa Inggeris surat itu oleh Atushu Kobata & Mitsugu Matsuda, 1969: 119, dan di bawah serterusnya ialah terjemahan dalam Bahasa Melayu:

“Lo-shi-mana of Malacca respectfully submits this dispatch to Your Majesty the King of Rhukyu.

We have learned that one of your ships was cast ashore in Chiao-chih [northern Annan], and,  wanting  to obtain  water, [the  Rhukyuans] became engaged with bloody fight with people of Chiao-chih. Having learned of this, Lo- hsi-ma-na despatched envoys aboard a small ship to to the land of Chan-ch’en [Champa, Annam] and after a thorough investigation they found only two men, one of whom died of illness before long.

Now the envoys of the King of Rhukyu, including interpreter Tei Raku, having come to this country, and after they did their business peacefully, they returned to their country.

Lo-shi-ma-na is but a servant of Malacca, and thus a servant in the service of Your Majesty the King of the Country of Rhukyu [as well]. On behalf of the men remaining here [in Malacca i.e. the Rhukyu waif), I venture to submit this letter to Your Majesty and request a grant of one sword, one bow-adjusting tool, and a horse saddle. These are for use by this servant who comes begging, and I am your servant indeed.

The number of voyages of your ships in increasing each year, and we always receive presents. I hope you will give consideration to the uncahnaging feelings [faithfulness] of your servant.

Long live the King!

Ch’eng-hua 16/3/2 [April 11, 1480] Respectfully
Lo-hsi-.ma-na”

Terjemahan ke dalam bahasa Melayu:

“Lo-hsi-ma-na daripada Melaka, dengan sepenuh takzim mempersembahkan perutusan ini kepada DYMM Raja negeri Rhukyu.

Sesungguhnya telah datang perutusan daripada DYMM Raja Rhyukyu dengan seorang penterjemah ke negeri kami, dan sesudah selesai urusan perdagangan mereka dengan amannya, mereka telah pulang ke negeri mereka.

Kami telah mendapat tahu bahawa sebuah daripada kapal Tuanku telah terdapar di pantai Chiao-chih [Annan utara], dan, apabila sedang mencari air, [orang Rhukyu itu] telah terlibat dalam pertempuran berdarah dengan orang- orang Chiao-chih. Setelah kami mendapat maklumat ini, Laksamana   telah menghantar wakil dengan sebuah kapal kecil ke negeri  Chan-ch’en [Champa, Annam], dan sesudah menyiasat secara rapi mereka menemui dua orang, seoang daripadanya meninggal tidak lama kemudian kerana sakit.

Shahdan, perwakilan Raja Negeri Rhukyu, termasuk penterjemah Tei Raku, setelah tiba di negeri ini [Melaka], dan sesudah selesai perniagaan secara aman, telah pulang ke negeri mereka.

Lo-hsi-ma-na sesungguhnya khadam bagi negeri Melaka yang dengan itu khadam juga kepada DYMM Raja Rhyukyu. Bagi pihak orang-orang (Rhyukyu) yang masih ada di sini (di Melaka), hamba memohon kurnia Tuanku mempersembakan surat ini, dan dengan ini memohon kurnia Tuanku sudilah apa kirannya menghadiahkan kami sebilah pedang, satu alat pembentuk busur panah, dan sebuah pelana kuda. Barang-barang ini adalah untuk kegunaan khadam ini yang kini berdatang sembah kepada Tuanku.

Jumlah pelayaran kapal perdagangan Kebawah Duli Tuanku bertambah- bertambah setiap tahun, dan kami sentiasa mendapat bingkisan daripada Tuanku

Kami berharap Tuanku sentiasa menerima baik terhadap perasaan ketulusan hati kami sebagai khadam Tuanku.

Dirgahayu Tuanku!

Ch’eng-hua 16/3/2 [11 April, 1480] Ampun Tuanku .

Lo-hsi-ma-na”

Surat dalam catatan XXXIX (39) Dokumen No. 15   juga   khusus merujuk kepada Laksamana Hang Tuah yang menulisnya dengan bahasa diplomasi yang indah bagi pihak Sultan Melaka, iaitu berbunyi seperti berikut (terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugu Matsuda. 1969: 119, dan di bawahnya terjemahan ke Bahasa Melayu):

 “[The King of] The Country of Malacca submits this reply to Your Majesty the King of The Country of Rhukyu. Your percepts nourish and tend all people, and they look up to you as to the Great Mountain. Your wise rule permeats every corner and encourages the cultivation of honesty, talent and the sense of shame. In the seventh territories laws and regulations are enforced, and your prestige and authority are spread far and wide as are the rays of the sun  and moon. You rule with the Mandate of Heaven and in accordance with the wishes of the people, and noble personages came from afar to enjoy your petronage. We are grateful for the favour of theGreat Ming Empire.

Our brother king [referring to the King of Rhukyu] is always blessed with happiness and prosperity, and your glory last for thousands of years, the state of peace being ensured for your posterity for ever.

Now your envoys and interpreters and others have come hither aboard a ship, beringing presents with them. Peacefully and without restriction we let them conduct their business.We ordered precious coloured wine to be bestowed on them, we let your people set out on their homeward voyage.

We wish that your hills and rivers may last forever. Long live [the King!] Lo-shi-ma-na in appreciation

Ma-an-shan to your Majesty the King of the Country of Rhukyu. The present are listed below:

Chi-ti-pu 20 bolts

Lin-wu-na 12 bolts
Hsing-si-chih 14 bolts
Shan-nan-pi 4 bolts

Ch’eng-hua 17/3/? [1481]

On behalf of the King”

Terjemahan ke dalam Bahasa Melayu

“[Raja bagi] negeri Melaka mengutuskan jawapan ini kepada Kebawah Duli Tuanku Raja negeri Rhukyu.

Pandangan Tuanku memupuk dan membelai semua orang, dan mereka semua menyunjung tinggi Tuanku sepertilah sebuah Gunung yang agung. Pemerintahan tuanku yang bijakasana meresapi seluruh pelosok dan mendorong penyemaian sifat kejujuran, bakat dan perasaan malu. Di semua tujuh wilayah undang-undang dan peraturan telah dikuatkusakan, dan martabat dan kuasa Tuanku tersebar luas dan jauh bak sinaran mata hari dan bulan. Tunaku memerintah dengan mandat dari langit dan berselaras dengan kehendak rakyat jelata, dan banyak peribadi ternama telah datang dari jauh untuk berada di bawah naungan Tuanku. Kami amat berterima kasih di atas kemurahan hati Empayar Ming yang agung. Kakanda Tuanku [merujuk Raja Rhukyu] sentiasa diberkati dengan kegembiraan dan kemakmuran, dan kegemilangan Tuanku berkekalan ribuan tahun, dengan keamanan terjamin untuk berterusan sehingga abadi.

Shahadan, utusan dan penterjemahTuanku dan yang lain-lain telah tiba di sini dengan kapal, membawa bingkisan bersama-sama mereka. Dengan aman dan tanpa halangan kami telah membenarkan mereka menjalankan perdagangan mereka. Kami telah menempah arak mahal yang berwarna untuk disampaikan kepada mereka, dan sesudah itu kami telah mengizinkan mereka belayar pulang ke negeri mereka.

Kami mengharapkan agar gunung dan sungai Tuanku kekal sehingga abadi. Dirgahu Tuanku!

Laksamana dengan penuh takzimnya.Ma-an-shan2 kepada DYMM Raja Negeri Rhukyu.

Tersenarai di bawah ialah bingkisan-bingkisan:

Chi-ti-pu 20 bolt

Lin-wu-na12 bolt
Hsing-si-chih 14 bolt
Shan-nan-pi 4 bolt

Ch’eng-hua 17/3/? [1481]

Bagi pihak Sultan”

Professor Atushu Kobata dan Mitsugu Matsuda dengan berdasarkan tarikh surat ini pada tahun 1480 dan 1481 menegaskan bahawa Laksamana yang disebutkan itu tidak lain daripada Laksamana Hang Tuah yang sememangnya masih berkhidmat di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah. Ini mengikut beliau disahkan juga oleh dokumen Portugis The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque catatan asal dalam Bahasa Portugis oleh Alfonso Dalboquerque ditulis semasa beliau menakluki Goa di India (1510) dan Melaka (1511) seperti yang akan diperturunkan di bahagian huraian tentang dokumen Afonso Dalboquerque nanti.   

Afonso Dalboquerque menyebut bahawa Laksamana ketua angkatan laut Melaka itu merujuk kepada Hang Tuah yang semasa penaklukan Melaka 1511 berada di Singapura.

Kata Afonso Dalboquerque “This Lassamane is a man of eighty years of age, a good soldier and of good repute and great knowledge.”

Kata Profesor Atushu Kobata dan Mitsugu Matsuda lagi (rujuk Atushu Kobata dan Mitsugu Matsuda. 1969: 119, nota 36), ini bermakna semasa surat ke Rhukyu ini di tulis pada tahun 1480 Laksamana Hang Tuah berumur 50 tahun, iatu 30 tahun sebelum kejatuahan Melaka pada tahun 1511. Ini juga bermakna Hang Tuah lahir pada tahun 1431 iaitu zaman Sultan Muahammad Shah memerintah Melaka (1424-1444).

Zaman remaja dan pendewasaan Hang Tuah berumur 15 hingga 28 tahun ialah zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1459) dan beliau berumur 28 hingga 46 semasa zaman Sultan Mansur Shah (1459-1477), manakala zaman pertengahan umur Hang Tuah iaitu berumur 46 hingga 57 dalam zaman Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) dan zaman tua berumur 57 hingga 80 tahun pada zaman Sultan Mahmud Shah (1488-1511).

Pelayaran Hang Tuah dengan Mendam Berahi ke tanah Arab, Mesir dan Benua Rom

Seterusnya ialah penjelajahan Hang Tuah dan orang-orangnya yang paling jauh iaitu ke Benua Rom3 atas perintah Raja Melaka untuk membeli bedil meriam bagi kelengkapan negeri Melaka. Huraian tentang perjalanan dan penjelajahan ini ialaah yang terpanjang dalam Hikayat Hang Tuah, iaitu dari halaman 452 hingga 476:

 “Maka titah baginda (Sultan Melaka), “Hai Bendahara dan Laksamana, apa bicara kita kerana kita hendak mengutus ke benua Rom hendak beli bedil meriam itu… kita hendak mencari senjata yang besar-besar. Pada bicara kita, kita hendak kotai dengan bedillah negeri Melaka ini….” HHT: 1966: 437).

 “Maka baginda pun mengeluarkan emas dan perak berpuluh-puluh pikul diberi baginda akan Hang Tuah dan Maharaja Setia akan membeli bedil itu… maka dimuatkan oranglah segenap buah kelengkapan yang keempat puluh buah (perahu itu)… Maka Laksamana pun menyuruh orang membongkar sauh lalu berdayung hilir… setelah lepas halangan maka Mendam Berahi pun menarik layarlah menuju tanah Aceh, terlalu laju… segala perahu yang lain tidak dapat menurut Mendam Berahi, yang lekat hanya (perahu) Sairul Alamin kenaikan Maharaja Setia dan Maharaja Dewa itu juga.”   (HHT: 439)

Dalam pelayaran itu, yang terdiri daripada 42 buah perahu dengan 1600 anak kapal (HHT: 443), persinggahan pertama ialah di Aceh Darussalam, rajanya ialah Sultan Sallehuddin. Selepas 12 hari di Aceh dan mengambil bekalan semuanya, maka Hang Tuah pun belayar lagi menuju ke laut lepas mengharungi Lautan Hindia. Setelah 10 hari sampai ke Pulau Dewa,  setelah beberapa lama sampailah ke Laut Mokha, di  Benua Rom = Rom Timur iaitu Kerajaan Turki Uthmaniah, sebelah kirinya Habashah (Abbysinia) dan di sebelah kanannya ialah tanah Mokha (Yaman?).

 “Laksamana pun belayarlah kira-kira dari (Pulau) Dewa dua bulan lamanya sampailah ke antara Laut Judah (Laut Merah). Maka kelihatanlah alamat negeri Judah. Maka kata mu’alim. “Inilah   negeri Judah namanya, pengkalan (pelabuhan) Mekah.” (HHT: 440)

Di Jeddah Hang Tuah mengadap Malik Rastul لتسر pemerintah Jeddah yang sangat tertarik kepada Hang Tuah kerana manis budi pekerti dan amat fasih berbahasa Arab dan sangat ia merendahkan diri. Hikayat Hang Tuah menyebut tarikh Hang Tuah berada di Jeddah adalah pada 886 Hijrah (bersamaan dengan 1481 Masihi) (HHT:

444). Seterusnya Hang Tuah dan rombongannya telah mengunjung ke Mekah bersama kafilah Malik Rastul.

Di Mekkah sambil menunggu untuk membuat ibadat haji, Hang Tuah dan pengikutnya dapat melawat kubur para sheikh dan wali Allah dan melihat berbagai jenis bahan dagangan yang ajaib semuanya. Pada 9 Zulhijjah maka berhimpunlah para hujjah dari pelbagai tempat untuk berjalan dan wukuf di Arafah dengan diketuai oleh pemerintah Mekkah Sharif Ahmad anak Zainal Abidin, selepas wukuf Arafah menuju pula ke Mina untuk melontar Jamrah, dan selepas itu membuat ibadat korban dan akhirnya bercukur (bertahlul). Selepas itu Hang Tuah berpeluang solat dalam Ka’bah, mencium Hajaratul Aswad, dan akhir sekali buat tawaf rukun dan kemudian mengambil air zamzam dan bertolak pula ke Madinah untuk menziarah kubur nabi SAW dan Masjid Nabi dan kubur para sahabat Nabi SAW.

Selepas 12 hari di Madinah Hang Tuah dan rombongan pulang ke Jeddah, dan sesudah itu Hang Tuah dan rombongannya menaiki perahu mereka dan belayar ke Mesir.

 “Maka kata Laksamana, “Hai jurumudi, beloklah Mendam Berahi menuju tanah Mesir itu, kerana hamba hendak singgah melihat kekayaan Allah subahnahu wa Ta’ala barang sehari dua di sini dan hendak minum air Sungai Nil itu.” Maka Mendam Berahi pun dibelok oleh jurumudi menuju ke Mesir. Setelah sampai ke labuhan maka Mendam Berahi pun dilabuhkan oranglah lalu memasang merian tujuh kali.” (HHT: 447).

Pelayaran Mendam Berahi dan  segala perahu  Melaka  ke  Mesir walaupun  tidak disebut dalam Hikayat Hang Tuah, namum besar kemungkinan mereka telah belayar melalui terusan purba yang dibina pada zaman Firaun dari Laut Merah ke Sungai Nil, iaitu sebelum pembinaan Terusan Suez pada zaman moden, seperti yang tercatat dalam peta berikut:

Selepas dua puluh hari sampailah di negeri Mesir dan mereka pun singgah untuk melihat kekayaan Allah. Di Mesir Hang Tuah dan rombongannya tinggal selama 3 bulan dengan Perdana Menteri Mesir dan dapat melihat pelbagai barang yang aneh dan harta yang banyak, berkata Hang Tuah:

 “Tiadalah aku lihat dalam dunia seumur hidupku ini. Adapun negeri Mesir ini dua tiga ratus buah negeri Melayu tiada sama kekayaan orang Mesir ini.” (HHT: 450).

Hang Tuah juga telah membeli beberapa ratus buah bedil di Mesir untuk di bawa ke Melaka. Selepas tiga bulan di Mesir Hang Tuah dan rombongan pun belayar ke Benua Rom.

 “Hatta berapa lamanya Laksamana dilaut… beberapa melalui negeri, pulau dan gunung dan selat, maka Laksamana pun sampailah ke jajahan benua Rom yang berkota di tepi laut itu berpuluh-puluh buah negeri itu. Sekira-kira tujuh belas hari   dari situ,  dari pagi-pagi  hari  maka  sampailah  ke negeri  Rom bernama Stambul itu”. (HHT: 452)

Shahbandar telah mengunjungi Hang Tuah untuk bertemu dan bertanya berita. Maka Shahbandar itu amat tertarik dengan budi bahasa Hang Tuah yang manis dan fasih berkata-kata dalam bahasa Rom serta amat merendahkan diri. (HHT: 453). Seorang pembesar Rom bernama Ibrahim Kakan telah menerangkan tentang negeri Rom kepada rombongan Hang Tuah:

 “Adapun negeri Rom yang bernama Stambul itu kotanya tujuh lapis dan paritnya demikan juga dan pintu gerbangnnya yang besar enam butir. Dan adapun apabila masuk pintu mata hari hidup (di timur) berjalan ke pintu sebelah mata hari mati (di barat) tiga bulan lamanya. Maka apabila berkeliling negeri itu dua bulan perjalanan. Demikianlah luasnya… Maka Laksamana dan Maharaja Setia terlalu hairan mendengar riwayat Ibrahim Kakan itu.”  (HHT: 456-460)

Perjalanan darat daripada pinggir tanah jajahan negeri Rom ke Bandar Stambul memakan masa beberapa puluh hari. Apabila sampai mereka terpaksa menunggu keberangkatan keluar Raja Rom kerana adat baginda hanya keluar 40 hari sekali di balai penghadapan. Hikayat Hang Tuah telah menghuraikan secara rinci dan panjang lebar tentang keindahan dan keajaiban Stambul (Istanbul); tentang tamannya yang luas dengan pelbagai pepohon kayu dan pelbagai bunga-bungaan, sungai, tasik, kolam, bangunan, masjid yang besar, istana raja, balairong, takhta Raja yang berkelambu jala-jala emas yang berkilauan apabila terkena cahaya.

Seterusnya Hang Tuah dan Maharaja Setia telah dibawa ke gedung yang berisi bedil:

 “Setelah sampai pada tempat bedil itu, maka dilihatnya bertimbun-timbun dan berbagai pembuatannya, jenisnya, besar kecilnya, ada yang besi ada yang tembaga. Maka bedil itu pun dibawalah orang ke parahu kira-kira besar kecil delapan ratus pucuk bedil yang boleh dibeli di Benua Rom itu.”  (HHT: 474).

Sesudah memperoleh bedil-bedil meraim itu maka Hang Tuah dan rombongannya memohon untuk kembali ke Malaka:

 “Setelah sudah maka Laksamana dan Maharaja Setia pun bermohonlah kepada Ibrahim Kakan, maka diberinya oleh Ibrahim Kakan laki isteri harta yang gharib-gharib berpuluh kati emas akan Laksamana dan Maharaja Setia. Maka berapa-berapa diberi oleh Shahbandar akan Laksamana dan Maharaja Setia   berkati-kati   emas   harganya.   Maka   Laksamana   menyuruh   orang membongkar sauh lalu belayar. Maka segala perahu yang lain pun belayarlah mengikut kenaikan Laksamana dan Maharaja Setia. Hatta berapa lamanya kira-kira empat bulan Laksamana belayar itu malam dan siang tiada turun lagi, maka Laksmana pun sampailah ke Kuala Melaka. Maka Mendam Berahi pun dilabuhkan oranglah, lalu memasang meriam seperti bertih terlalu azimat bunyinya.” (HHT: 476)

Peristiwa Serangan Portugis Kali Kedua dan Penaklukannya ke atas Melaka

Pelayaran ke Benua Rom merupakan perjalanan terakhir bagi Hang Tuah. Sesudah itu ada satu peristiwa lagi berlaku semasa beliau di Melaka, iaitu Hang Tuah telah masuk ke dalam kubur atas titah Raja Melaka untuk mengetahui kejadian dalam kubur. Sesudah kejadian itu, Bendahara, Temenggung dan juga Laksamana Hang Tuah   telah bermohon kepada Raja Melaka untuk berkhalwat dan beribadat, iaitu Bendahara di Tanjung Keling, Temenggung di Tanjung Tuan dan Laksamana Hang Tuah di Tanjung Jugara. Sesudah itu tiada lagi peristiwa tentang mereka.

Tidak lama kemudian Raja Melaka pun turun daripada takhtanya untuk bermusafir sebagai darwish, dan negeri Melaka diserahkan kepada anakandanya Puteri Gunung Ledang.

Tidak lama sesudah itu datanglah angkatan Portugis sekali lagi, kali ini di bawah panglimanya yang bernama Alfonso d’Albuquerque. Dalam Sulalatus Salatin diterangkan keadaan armada Portugis, seperti berikut:

“Maka Alfonso d’Albuquerque pun naik ke Portugal  menghadap raja Portugal minta wardi4. Maka diberikannya Raja Portugal empat buah kapal kerakah5 yang besar, lima buah ghali panjang. Maka Alfonso d’Albuquerque pun turun ke Goa, berlengkap pula di Goa tiga buah kapal, delapan buah fusta, menjadi empat puluh tiga buah semuanya. Maka pergilah ia ke Melaka.” (W.G. Shellabear (Pengusaha). 1967. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), h. 262).

Dalam Hikayat Hang Tuah diterangkan bahawa dengan tipu helah Portugis yang pada mulanya meminta izin membuat gedung perniagaan di Melaka, tetapi sebenarnya untuk memindahkan segala senjata mereka dan seterusnya menyerang Melaka. Maka dengan tipu helah itu maka akhirnya mereka telah dapat mengalahkan Melaka dan menjajahnya.

Serangan Belanda (Wolanda) dan Johor ke atas Portugis di Melaka

Hikayat Hang Tuah menyebut tentang kedatangan Belanda dan serangan mereka ke atas Portugis di Melaka dengan bantuan kerajaan Johor, seperti berikut:

 “Berapa lamanya Feringgi duduk di Melaka itu, maka sekonyong-konyong datanglah kapal Wolanda menyerang negeri Melaka, dibedilnya di laut oleh Wolanda, tiada juga diendahkan Portugis itu. Maka oleh orang Wolanda pergi minta bantuan pada orang Johor pula, lalu berjanjilah orang Johor dan orang Wolanda, (iaitu) apabila alah Feringgi itu boleh negeri Melaka itu akan orang Wolanda, hendak berkasih-kasihan orang Wolanda tiada lagi hendak mendatangkan khianat kepada orang Johor….   Maka orang Johor pergilah bantu Wolanda itu menyerang Feringgi di negeri Melaka itu; Dato Paduka Raja akan panglimanya…. Maka Dato Paduka Raja lepaslah masuk ke dalam kota itu, maka Dato Paduka Raja pun mengamuklah memarang dengan pedangnya dengan segala orangnya yang sertanya tiga puluh orang itu. Seketika juga maka Feringgi itu pun habislah… Maka negeri Melaka pun alahlah, boleh akan orang Wolanda datang sekarang ini. ” (HHT: 489)

Hang Tuah sebagai Ikon Bangsa Melayu sepanjang zaman

Tujuh Keperibadian Hang Tuah yang cemerlang melambangkan orang Melayu yang budiman atau “a gentleman par excellance” sebagai ikon bangsa Malaysia dan bangsa Melayu sepanjang zaman:

1)   Taat setia dan khidmat kepada ketua setulusnya, contohnya:

 “Sembah Hang Tuah kepada Raja Siam, “Daulat tuanku, patik hamba ke bawah duli Phra Chau, mana titah patik junjung. Tetapi si-Tuah tiada menghilangkan nama tuannya (rajanya).” (HHT: 391).

2)  Menjaga maruah, amat cakna tentang kehormatan diri:

Maka titah Chau Phrau, “Laksamana jangan amarah.” Maka Laksamana pun menyembah, “Daulat tuanku patik mohonkan ampun. Ada pun hulubalang Melayu itu tiada dapat mendengar kata yang keji di tengah majlis.”

3) Kepintaran akal fikirannya dengan ilmu yang tinggi dan daya komunikasi serta  diplomasi yang berkesan. Protokol mengadap Raja Siam dengan merangkak sambil menyembah Baginda Berkat daripada respon yang positif daripada Hang Tuah, iaitu tidak terus membantah tetapi dengan teknik komunikasi dan diplomasi yang berkesan, beliau mengadap mengikut adat Melayu.

4) Asas ilmu agama yang teguh, berbudi bahasa yang tinggi, diplomat, penjelajah dan padagang yang bijaksana

5) Ilmu perajurit dan hulubalang yang tinggi iaitu dengan Aria Putera di Bentan dan Sang Persata Nala di Jawa.

6) Keberanian dan ketabahannya apabila berdepan dengan cabaran dan berdepan dengan musuh. Semasa di Majapahit pada kali yang kedua, 40 orang perajurit upahan Gajah Mada telah mengamuk di pasar dan Hang Tuah berhadapan dengan mereka seorang diri dan bertahan melawan mereka sehingga dibunuh semuanya.

7) Penampilan dan kesegakan yang menawan “Adapun akan Laksamana Hang Tuah, barang tempat ia pergi, gegak gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika di pasiban, pasiban gempar, jika di panggungan, panggungan gaduh. Dan segala perempuan Jawa anak dara- dara, jikalau ia berjalan di pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang Tuah” (Sejarah Melayu, 1968: 115).

Implikasi Kajian

Kertas ini hasil daripada analisis bahan-bahan data yang dikemukan, telah membuktikan dengan jelas dua pekara:

1)  Watak Hang Tuah wujdud dalam sejarah dengan berdasarkan data kemasyarakatan dan data  primer yang tidak boleh disangkal lagi dengan dibantu oleh data sekunder..

2)  Watak Hang Tuah dengan tujuh sifat yang unggul memang layak diangkat sebagai Adi Wira Bagsa Melayu dan ikon perwatakan bagi seluruh bangsa Melayu.

Kesimpulan

Hang Tuah sememangnya watak adi wira Melayu yang wujud dalam sejarah. Lambang kepewiraan dan kebijaksanaannya sudah bersemadi dalam memori dan benak hati budi orang Melayu sudah beratus-ratus tahun. Iktibar daripada sifat keistimewaan peribadi Hang Tuah yang dilukiskan oleh pengarang Hikayat Hang Tuah dengan pelbagai episod yang menakjubkan mungkin dalam bentuk simbol, untuk mengajar orang Melayu sehingga ke akhir zaman, bagaimana hendak menangani cabaran dan rintangan, iaitu dengan ilmu, akal yang bijak, kefasihan berkomunikasi dan kearifan diplomasi, kehalusan budi bahasa dan ketekalan adat susila Melayu, keberanian, keperwiraan, dan kecekalan menghadapi musuh, seperti yang digambarkan dalam episod Hang Tuah dalam penjelajahan ke pelbagai pelosok dunia. Maka amat wajar mengangkat Laksamana Hang Tuah sebagai adi wira bangsa Malaysia dan bangsa Melayu demi menyemai dan memupuk rasa cinta, bangga dengan negara  bangsa  Malaysia  agar  semangat patriotik  yang  mendalam  akan muncul. Madah “Aku anak Malaysia” diperturunkan berikut demi menyemai semangat patriotik yang mendalam:

Aku anak Malaysia, Ini tanah airku, Tempat tumpahnya darahku, Yang kukasih dan kusayang, Tempat aku dilahirkan,Di tanah ini aku dibesarkan,Di sini aku mengecapi kenikmatan, Menjunjung langit  nan biru meluas, Memugar bumi membanting ruas, Mengharungi sungai dan saujana lautan, Mencari rezki menampung kehidupan.

Wallahu `a’lamu bi s-sowab wal hamdulullahi r-Rabil ‘alamin.

Rujukan

Atushu Kobata & Mitsugu Matsuda. 1969. Ryukyuan Relations with Korea and the South Sea Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hŏan. Kyoto: Kawakita Printing

A. Samad Ahmad. 2013. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Edisi Pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia

Braginsky, V. I. 1990. Hikayat Hang Tuah: Malay Epic and Muslim Mirror. KITLV, Vol, 146. 4e afl.

Cortesao, A. (ed.). 1944. The Suma Oriental of Tom Pires and the Book of Francisco Rodrigues, London: Huklyut Society.

Dalboquerque, Alfonso. (Tran.) Walter de Gray Birch. 1880. The Commentaries of the Great Alfonso Dalboquerque: Second Viceroy of India.   London: The Hakluyt Society.

Dames, M. L. (ed.). 1918-21. The Book of Durante Barbossa. London: Huklyut Society

Hashim Hj Musa. 2013. Navigating the Odyssey of “Mendam Berahi” , the 15th century Malacca Sultanate ship: lessons for the future Malay civilization. Proceeding in the International Conference on Malay Excellence (II) “Nusantara Maritime Culture and Heritage: Their Relevance to Current Economic and Social Development of the Malays. 11-12 September, 2013. Organized by the Research Centre for Malay Excellence University of Malaya (PKKM).

Hashim  Musa  dan  Rohaidah  Kamaruddin.  2015.  Hang  Tuah: Catatan  Okinawa.Serdang: Penerbit UPM.

Rohaidah Kamaruddin, Hashim Musa, Shamshul Kamar Ahmad. 2017. Hang Tuah: Catatan Vijayanagara. Serdang: Penerbit UPM.

Hooker, Verginia Matheson (pengkaji). 1998. Tuhfat al-Nafis. Karya Agung Melayu. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

Kassim Ahmad (pengkaji). 1966. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Liang Liji 1996. Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Maier Henk, M. J. (2004). “An epik that never was an epic: the Malay Hikayat Hang Tuah”. In Jansen, Jan & Henk M. J. Maier (eds.) 2004. Epic Adventures: Heroic Narratives in the Oral Performance Traditions of Four Continents. New Brunswick/London: Transaction Publishers (pp. 128-139).

Mills, J. V.   1930. Eridea Description of Malacca, Meridional India and Cathay. JMBRAS Vol. 8, pt 1.

Muhammad Haji Salleh. 2003. Hang Tuah Bercakap Oghang Puteh: Terjemahan dan Penjelmaan Hang Tuah dalam Bahasa Eropah”. Prosiding Seminar Kebangsaan Hikayat Hang Tuah: Takkan Melayu Hilang Di Dunia, pada 26-27 September, 2003, di Universaiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Muhammad Haji Salleh. 2011. (terj.) The Epic of Hang Tuah. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nordin Hussin. 2007. Trade and Society in the Straits of Malacca: Dutch Malacca and English Penang 1780-1830. Copenhagen: NIAS Press.

Shellabear (penyunting). 1967. Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Shunzo Sakamaki. 1963. The Rekidai Hŏan. Journal of the American Oriental Society. LXXXIII (January-March, 1963). Pp. 107-113.

Shunzo Sakamaki. 1963. Ruykyu and Southeast Asia. Proceeding in the 15th Annual Meeting of the Association for Asian Studies, at Philadelphia, March 25-27, 1963. P.387.

Sulastin  Suntrisno.  1983.  Hikayat  Hang  Tuah:  Analisis  Struktur  dan  Fungsi.Yogyakarta: Gajah Mada Univsersity Press.

Wade, Geoff.  (trans.). Southeast Asia in the Ming Shi-lu: an open access resource. Singapore: Asia Research Institute and the Singapore E-Press, National University of Singapore, (http://epress.nus.edu.sg/msl).

Wake, C. H. 1983. Melaka in the fifteenth Century: Malay Historical Traditions and the Politics of Islamization. Dalam Sandhu, Kernial Singh & Paul Wheatley. (eds.). 1983. Melaka: The Transforamation of Malay Capital c. 1400-1980. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Winstedt, R.O . 1958. A History of Classical Malay Literature. Dalam JMBRAS XXXI, iii. 1958.

Xin Fei. 1996. (tr. J. V. G. Mills). Hsing-chʻa-sheng-lan: The Overall Survey of the Star Raft. Weisbaden: Otto Harriassaowittz.

Copy and paste:

Hj Zulheimya bin Maamor
Lembah Keramat, KL
5 January 2022 > 2 Jamadilakhir 1443H: 4.11 pm

No comments: